Seorang insan yang bergelar sahabat adalah orang yang sentiasa mengingati temannya terhadap perkara-perkara yang baik. Bukan itu sahaja malah sahabat juga akan berasa bahagia apabila melihat teman mereka berjaya dan akan merasa sedih apabila melihat rakannya berduka. Dek kerana hubungan persahabatan yang cukup erat, tujuh orang sahabat yang terdiri daripada Norseyha Sugeharto (Seyha), Salwani Mohd Khaidzir (Wani), Nor Roshaidah Mohd Thith (Ieda), Che Hazrina Che Hamzah (Sue), Nik Syahirah Hamizah Nik (Nik), Suhaila Shahrul Annuar (Lala) dan Nurul Huda Zakaria (Huda) telah memberikan nama kumpulan mereka ‘7 Petala Cinta’.
Baru-baru ini bagi meraikan persahabatan mereka, kumpulan ‘7 Petala Cinta’ ini telah mengadakan sebuah majlis reunion bertempat di VERDI Eco-Dominiums Cyberjaya bertujuan untuk membina semula keakraban dan melepaskan rindu antara mereka. Malah semasa mereka mengadakan reunion anak-anak dibawa suami jadi suami bolehlah rileks di rumah.
Menurut Seyha mewakili rakan-rakannya sewaktu ditemubual Mingguan Wanita, perkenalan mereka bermula ketika masing-masing melanjutkan pelajaran di universiti.
“Kami mula berkenalan ketika berada di zaman belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka pada tahun 2007-2010. Masa tu kami sama-sama mengambil jurusan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media dan duduk dalam satu kelas yang sama. Selepas itu, kami satu hati untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Masa ini kami tidak lagi duduk kelas yang sama kerana masing-masing memilih jurusan yang lain pada 2010-2012.
“Biasanya kalau geng yang mempunyai ahli ramai, wajib ada nama kumpulan. Kami beri nama kumpulan ini ‘7 Petala Cinta’. Ia diambil sempena dengan nama filem yang pada masa itu tengah popular pada 2012. Kebetulan pula nombor tujuh itu merupakan simbolik bagi jumlah ahli kumpulan kami,” ungkap Seyha mulai bicara.
Reunion Erat Hubungan
Selepas tamat pengajian, Seyha memaklumkan mereka terlalu sibuk membina kerjaya dan ada yang memberikan tumpuan pada keluarga selepas mendirikan rumah tangga.
Ads
“Ada yang mendirikan rumah tangga sehingga kami tiada masa untuk berjumpa walaupun hakikatnya semua duduk dekat sahaja dalam kawasan Selangor dan Kuala Lumpur. Biasanya kami berjumpa tiga atau lima bulan sekali. Ikut kelapangan masing-masing. Tapi tidak pernah lengkap tujuh orang. Kadang-kadang hanya dapat berjumpa seorang dua saja untuk setiap kali pertemuan. Jadi sebab itu kami cadangkan untuk buat reunion supaya ketujuh-tujuh kami ada bersama,” akui Seyha yang turut memberitahu sewaktu majlis reunion berlangsung mereka turut membawa anak-anak bersama yang digelar ‘Junior Petala Cinta’.
Tempah Homestay Untuk Reunion
Seyha juga menerangkan majlis reunion mereka telah diadakan selama tiga hari dua malam dan mereka turut menempah homestay.
“Pada hari Pertama, kami semua daftar masuk homestay. Macam biasa, ada yang masuk tengah hari dan ada yang masuk malam. Masa tu pula bermula pada hari Jumaat. Jadi ada sebilangan daripada kami yang masih bekerja pada waktu itu.
“Hari kedua merupakan hari kejadian di mana kami menghias homestay yang disewa mengikut tema yang dipersetujui iaitu, Pink, Mint and White. Selain deko, kami turut menempah kek dan kek cawan sebagai kudapan. Majlis tidak lengkap kalau tiada sesi bergambar. Kami sewa juru foto untuk ambil gambar kami sebagai kenangan.
Ads
“Pada waktu petang pula, kami meneruskan aktiviti mandi kolam renang bersama anak-anak. Waktu malam, selepas anak-anak dah tidur, kami bermain permainan Bean Boozled (coklat busuk). Permainan ini kena ikut giliran untuk membuat putaran pada bekas berbentuk bulat. Siapa yang kurang bernasib baik, akan dapat coklat busuk dan kena makan! Itu salah satu cabarannya. Hari Ketiga pula kami bersiap-siap untuk daftar keluar,” cerita Seyha.
Kumpul Duit Untuk Reunion
Bagi merealisasikan perjumpaan ini Seyha turut menerangkan mereka sepakat menabung dan setiap ahli kumpulan perlu membayar RM50 sebulan.
Ads
“Sebenarnya, sebelum deadline reunion, kami akan ada tabung bersama untuk dikutip setiap bulan. Setiap daripada kami akan menyumbang RM50 sebulan. Kos ini bagi menampung perbelanjaan ketika berlangsungnya majlis tersebut. Sebagai contoh, sewa homestay, makanan (tengah hari dan malam), sewa juru foto dan dekorasi.
“Alhamdulillah. Majlis berjalan dengan lancar semuanya, walaupun ada anak yang meragam. Demi menjayakan majlis tersebut, kami gagahi juga untuk mendapatkan sesi fotografi terbaik sebagai kenang-kenangan ‘7 Petala Cinta’ walaupun masa tu anak-anak sedang meragam.
‘Inilah keunikkan reunion kami, bawa bersama dengan anak-anak. Jadi masa ni, geng-geng suami bolehlah rileks di rumah.
Reunion Setahun Sekali
Meneruskan perbualan, Seyha dan rakan-rakannya cukup gembira apabila ketujuh-tujuh ahli berjaya dikumpulkan pada reunion kali ini.
“Ya. Sebenarnya, ini kali kedua kami mengadakan reunion. Pertama kali kami buat pada tahun 2017, di Regalia Residence. Tapi masa itu kami kekurangan seorang ahli, Nik Syahirah. Dia ketika itu memilih berpantang di kampung bagi cahaya mata kedua.
“Apabila bertemu masing-masing cukup gembira, sudah tentu yang paling best bila masa bergosip. Nak tahu perkembangan masing-masing, kehidupan berumah tangga, melayan keletah anak-anak yang masih kecil dan kerjaya yang dibina.
“InsyaAllah, kalau ada rezeki dan umur yang panjang, kami memang tetapkan reunion setahun sekali wajib buat dan mesti kesemua tujuh ahli perlu hadir. Itu sudah pasti,” luah Seyha sambil tersenyum manis.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Masalah menantu dengan mak mentua seakan tiada kesudahannya. Kalau yang baik, baiklah tapi kalau yang hubungan sentiasa sahaja ‘panas’ memang akan terus berlarutan. Ramai menantu yang mungkin tak sebulu dengan mentua atas alasan kerana suami jenis anak mak atau disebabkan mentua terlalu cerewet.
Menantu Tak ‘Ngam’ Dengan Mak Mentua
Sebenarnya ada banyak cara yang lebih manis untuk anda dekat dengan hati mentua, malah sekelip mata akan disenangi di kalangan ipar-duai. Kenapa perlu pilih jalan negatif kalau cara positif dan hasilnya semua bahagia dalam hubungan kekeluargaan.
Ini Cara Rapatkan Balik Hubungan Yang Suam-suam Kuku
Jom ikut cara ini:
1. Elak Tanggapan Buruk
Wanita selalu bersangka buruk dengan ibu mertua kerana perasaan takut tidak dapat menjadi isteri yang baik kepada anaknya. Sebab pemikiran inilah yang membawa kepada aura negatif. Cuba anda bersangka baik dengan ibu mertua anda, pasti semua akan baik-baik sahaja.
2. Belajar Kenal Ibu Mertua
Di awal perkahwinan, belajarlah untuk lebih mengenali sikap ibu mertua. Tanya kepada pasangan, apa yang disukai dan dibenci oleh ibunya. Ketahui bagaimana mertua anda sebenarnya dan kemudian barulah anda mengikut rentaknya. Namun anda juga harus lebih sopan dan tertib kala bersama dengannya.
3. Samakan Dengan Ibu Sendiri
Jalan paling mudah, letak status hormat di depan. Mesti semua perkara jadi senang. Kalau saat berdepan dengan bebelan ibu kandung sendiri, anda mampu. Pasti kes melibatkan teguran daripada mentua dapat ditelan dengan baik. Layanlah dia dengan sempurna dan hormatilah dia dengan sebaiknya. Allah sudah menjanjikan pahala dan rahmat jika kita ikhlas dalam memberikan yang terbaik untuk orang tua.
4. Bertolak Ansur
Hubungan kekeluargaan perlu dilengkapkan dengan sifat tolak ansur yang bukan sedikit. Biarpun dihimpit waktu dan kerja yang padat, cubalah memberikan ruang untuk bersama mereka. Bertolak ansur dalam apa jua permasalahan pasti buat hubungan lebih harmonis.
5. Ambil Hati Ibu
Berusahalah untuk mengambil hati mentua walau payah. Lebih senang, pulang untuk menjenguk ibu di kampung. Semakin kerap anda meluangkan masa semakin baik hubungan yang cuba dijalinkan. Mendekatkan ibu mertua dengan cucu-cucunya sudah pasti buat ibu lebih gembira.
6. Hadiah Sampingan
Tidak hanya ambil hati, anda juga harus bijak mencuri hati kecilnya. Biarkan hatinya tersentuh dengan pemberian ikhlas anda. Hadiah berupa barangan kesayangan dan kegemaran ibu mertua pasti buat hatinya gembira dan lembut. Namun ingat, hati perlu ikhlas. Jangan pula sudah memberi, anda mengungkit!
7. Pekakkan Telinga
Hati orang tua banyak ragamnya. Ada sahaja perkara yang tidak kena pada matanya. Sebagai menantu, pekakkan sahaja telinga dan usahlah disimpan dalam hati akan apa jua patah perkataan yang keluar daripadanya. Anggap sahaja segala hal positif dan anda sendiri perlu tenang saat terima arahan atau mungkin secebis nasihat. Tak perlu berdalih, sekali pun rasa salah lebih baik belajar menerima.
8. Kurangkan Lawatan
Jika anda dapat kesan emosi mentua kurang baik atau keadaan anda dan ibu mertua kurang baik, ada baiknya kurangkan sesi lawatan ke rumahnya. Cukup hanya sebulan atau dua bulan sekali. Itu pastinya lebih selamat dan pasti lebih menjaga hubungan.
9. Jadikan Kawan
Ibu mertua yang cerewet tidak kena pada gayanya memang buat sakit hati. Ubah angin dan rentak hubungan anda dengan menjadikan ibu mertua seperti kawan. Berkongsilah apa sahaja dengannya asalkan tidak melampaui batas. Cubalah berinteraksi secara baik. Ajak ibu mentua keluar membeli belah atau makan bersama tanpa suami. It’s girl time! Hebat, bukan?
10. Bercuti Bersama
Sesekali ajaklah ibu mertua untuk turut bercuti bersama anda sekeluarga. Tidak salah rasanya menggembirakan hatinya. Ada kalanya dia juga perlukan rehat sambil melihat dunia luar. Hatinya yang keras pasti mampu dilembutkan jika anda selalu bersamanya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Memang menjadi tanggungjawab isteri atau mak-mak memasak dan menghidangkan menu berbuka untuk seisi keluarga. Setiap hari fikir menu dan kemudian ambil masa untuk masak dari satu hidangan ke satu hidangan memang penat.
Jadi bila mak-mak masak, kemudian rasa kurang sedap atau menu tak kena tekak, janganlah komplen itu dan ini. Prihatin sikit dengan penat lelah mak habiskan masa di dapur untuk kenyangkan setiap perut dalam satu rumah.
Ikuti perkongsian, Nurul Haslinda ini dan berhenti komplen itu dan ini ya:
Puasa bujang vs puasa dah berkeluarga
Dulu zaman bujang bila tiba bulan puasa, tak kisah nak berbuka dan bersahur makan apa sebab isi perut kita seorang saja. Dah tu tak kisah makan kat mana-mana pun janji dapat berbuka dan bersahur. Kerana bila kita seorang, tidak ada masalah dan makan apapun tak kisah janji kenyang.
Tetapi bila dah berkeluarga ni, bila bulan puasa masa nak berbuka dan bersahur ni mulalah pening kepala fikir nak masak dan makan apa? kerana bukan perut kita seorang je tapi ada lagi 2, 3 perut yang lain nak makan juga.
Selepas itu menu pula ikut tekak dan selera masing-masing. Lagilah pening kepala mak ni ooi.. Sebab hendak memenuhi kehendak selera orang lain. Jadi terpaksa berfikir supaya ianya menepati kehendak mereka.
Kadang-kadang rasa nak menangis bila memikirkan menu untuk di masak hari-hari. Malah ada yang sampai bergaduh kerana menu yang di masak tidak kena dengan selera. Adoii… memang haru laa.
Ada yang jenis orang masak, dia makan saja tanpa komplen dan cerewet asalkan kenyang dan bersyukur sebab ada orang yang sudah masakkan dan sediakan makanan untuk mereka. Tetapi ada juga yang cerewet nak mati, asyik perlekehkan masakan orang saja, konon dia chef no.1 dekat dunia ini.
Lain Orang Lain Ragamnya
Macam-macam ragam orang. Apapun sepatutnya setiap kita perlu ada peri kemanusiaan. Hargailah orang yang memasak untuk mereka itu. Kalau boleh bagilah kerjasama kalau apa yang tekak anda hendak makan ‘request’lah atau anda boleh masak sendiri.
Jangan bila orang sudah masak, lepas itu komplen dan marah-marah. Prihatin sikit pada yang tukang masak tu. Penat lelah dan masa dia. Dia dah masak pun kita sepatutnya bersyukur dan ucap terima kasih.
Macam aku, kalau orang masak dan sediakan semuanya aku suka sangat dan bersyukur atas rezeki untuk hari ini. Buat apa nak komplen, Allah dah tetapkan itu rezeki kita hari ini maka makanlah dengan berselera dan ucap Alhamdulillah.
Cuba fikirkan diluar sana ramai saudara kita yang kebuluran dan kelaparan. Malah ada yang sanggup mengutip sisa-sisa makanan orang yang telah dibuang dan juga memunggah tong sampah untuk sesuap makanan bagi mengisi perut mereka yang kosong.
Langsung tidak fikir makanan tersebut bersih atau elok lagi. Bahkan apa yang kita tahu semestinya makanan tersebut sudah basi dan ada yang sudah berbau busuk.
Belajarlah Bersyukur
Tidak bersyukur lagikah kita? Dalam dunia ini jangan kita hina makanan kita, jika kita menghina ibarat kita hina rezeki yang Allah bagi. Jangan menyesal jika suatu hari nanti Allah tarik rezeki kita dan nikmat selera kita. Fikirlah sedalam-dalamnya dan renungkanlah sebaiknya.
Maaf jika coretan aku ini ada yang terasa. Kita hidup didunia ini, kena banyak bersyukur. Apa yang berlaku dalam kehidupan kita seharian sama ada apa yang kita makan atau apa yang kita buat sebenarnya tanpa kita sedari ianya telahpun di tentukan oleh Allah.
Jadi jangan sesekali kita menyalahkan rezeki dan apa juga yang berlaku. Banyak-banyakkanlah muhasabah diri dan bersyukur dengan apa yang kita makan dan terjadi. semua itu adalah rezeki.
Jadi bila kita dah berkeluarga, bila bulan puasa atau tidak. Makan dan minumlah apa yang disediakan asalkan ianya boleh mengenyangkan kita. Jangan dikomplen dengan rezeki kita kerana kita kena hargai orang yang sudah masak tu.
Jadi sama-samalah bertolak ansur. Dulu zaman bujang lain, duit makan untuk kita seorang saja tetapi bila dah berkeluarga duit makan kena berkongsi.
Bujang Tak Sama Dengan Bekeluarga
Dulu bujang boleh makan dekat restoran mahal sebab bayar untuk kita seorang saja. Tetapi sekarang kalau hendak makan kat restoran mahal-mahal, banyak yang kita kena fikir dan jika mampu tidak kisah sekali sekala untuk melepaskan keinginan kita dan bawa keluarga bersama.
Makan ini kita tak boleh pentingkan diri dan perut kita saja bila sudah berkeluarga, ingat sama keluarga kita adakah mereka juga nak makan macam kita atau sebaliknya. Sedikit boleh dikongsi banyak boleh di rasa semua. Betul tak?
Terima kasih sudi membaca. Coretan hanya suka-suka kebetulan baru siap masak ni. Tengah-tengah duduk idea datang menjengah. So, Apalagi jari jemari ni pun rancak nak menaip dan otakpun seiring dengan idea yang datang.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Yang baik datangnya dari Allah dan yang tidak baik itu datangnya dari kelemahan diri kita sendiri. Sekian. Wasalam.. #kisahcikgulinda #catatankupengalamanku #akupejuangkanser
MW: Hargailah setiap makanan yang dihidangkan, ucapkan terima kasih. Rasa hilang penat memasak bila ahli keluarga berterima kasih dan suka dengan makanan yang dimasak. Belajarlah bersyukur dengan setiap rezeki yang telah Allah tetapkan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ramai sebenarnya di luar sana , isteri-isteri yang alami kes ‘gantung tidak bertali’ atau kata mudahnya suami menghilang atau lari dari tanggungjawab sebagai seorang suami. Tinggallah isteri itu terkontang kantung membesarkan anak sendirian tanpa bantuan suaminya.
Hendak mohon jalan perpisahan, suami tak mahu beri kerjasama. Bertahun-tahun isteri hidup menderita. Kata Peguam Syarie ini, Khairunnisa Abd Samad, isteri boleh mendakwa suami yang menghilang dan lari dari tanggungjawab ini. Hadamkan perkongsiannya.
Saman Suami Culas Tanggungjawab, Beri Nafkah
Sebelum balik kerja semalam terkejut bila tiba-tiba dapat parcel atas meja. Bila ingat balik rasanya tak ada beli barang online dalam masa terdekat ni. Bila buka je parcel, bertambah terkejut bila nampak barang yang sampai dan kad yang ada. Speechless sangat. Nak dipendekkan cerita, parcel tersebut adalah hadiah pemberian seorang klien.
Pemberian tersebut adalah tanda penghargaan daripada beliau kepada kami kerana telah berjaya menyelesaikan masalah rumahtangganya yang telah bermasalah sekian lama. Bayangkan dua tahun ditinggalkan oleh suami. Membesarkan anak seorang diri selama ini. Jadi klien tersebut telah mengambil inisiatif untuk move on dan memfailkan tuntutan fasakh terhadap suaminya.
Setelah diteliti cerita beliau, suaminya boleh didakwa berdasarkan Seksyen 53 (1) (b), Seksyen 53 (1) (d), Seksyen 53 (1) (h) (i) dan Seksyen 53 (1) (l) di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Johor (2003) di mana;
1) Suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkah Plaintif selama lebih dari tempoh tiga (3) bulan;
2) Suami telah tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
3) Suami lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan Plaintif menderita disebabkan oleh kelakuan aniayanya; dan
4) Apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan Plaintif dan Defendan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.
Setelah diserahkan saman tersebut kepada suaminya, kami terangkan semula kepada beliau implikasi jika fasakh ini diteruskan. Selain daripada aib pihak-pihak akan dibuka di mahkamah. Saksi-saksi juga akan dipanggil untuk memberikan keterangan kepada mahkamah. Perkara tersebut sedikit sebanyak akan menggangu emosi pihak-pihak dan juga anak mereka.
Perkara yang tak sepatutnya orang luar tahu akan diketahui apabila perbicaraan penuh diadakan. Jadi memang dah tugas kami sebagai seorang peguam yang juga orang tengah bagi mereka, akan brief dan nasihat pihak-pihak terlebih dahulu sebelum memulakan sesuatu perbicaraan.
Bila Dapat Saman Suami Menghilang, Muncul Kembali
Setelah pihak-pihak faham implikasi yang telah diterangkan, kami akan beri pilihan kepada mereka sama ada ingin teruskan kes ataupun ada persetujuan yang ingin dicapai. Akhirnya suami beliau yang telah hilang selama dua tahun datang ke mahkamah dan setuju untuk menceraikannya dengan cara baik (lafaz talaq). Kes tersebut juga telah di pinda daripada Fasakh (Seksyen 53) kepada Cerai baik (Seksyen 47). Tuduhan-tuduhan (Seksyen 53) yang disebutkan di atas juga akan dikeluarkan daripada perintah dan tidak disebutkan di mahkamah. Kes Fasakh yang normal kebiasaannya mengambil masa lama untuk diselesaikan. Ia akan memakan masa serta kos yang tinggi untuk diselesaikan.
Jadi berbalik kepada penghargaan yang diberikan oleh klien itu tadi. Setelah kes tersebut selesai, beliau ada meluahkan pada saya, “Saya masih tak percaya kes itu akan selesai secepat ini. Saya lega puan akhirnya beban yang saya pikul selama ini dah pun selesai.”
Tak sangka suaminya akan berikan kerjasama yang baik kepada kes tersebut sebab apabila beliau sendiri yang mengajak suaminya berbincang bagi menyelesaikan masalah rumahtangga mereka, pasti akan berakhir dengan perbalahan serta pergaduhan dan tidak jumpa penyelesaian yang sepatutnya.
Baik Selepas Bercerai, Jodoh Sebagai Rakan
Baru-baru ini beliau juga ada Whatsapp saya dan cerita pada saya yang hubungan beliau dan bekas suami semakin baik. Mungkin mereka bukan berjodoh sebagai suami isteri, tetapi tidak salah untuk menjadi kawan baik bagi menjaga anak mereka bersama. Kebajikan anak terjaga, emosi pihak-pihak juga terpelihara.
Kadang-kadang orang hanya nampak, peguam ni sebagai pihak yang ingin menghancurkan rumahtangga orang dengan mengesyorkan perceraian. Tetapi sebaliknya, jika kita ambil dari sudut yang berlainan. Keperluan setiap orang itu berbeza. Begitu juga cerita, jangan pernah samakan kisah awak dan dia.
Tak semestinya orang yang bercerai ni adalah orang yang gagal dalam hidup. Mungkin asbab perceraian itu merupakan batu loncatan bagi seseorang untuk mencapai kebahagian yang sebenar dalam kehidupan dia. Apa salahnya kita sebagai manusia sesama manusia memberikan kata-kata semangat dan juga kekuatan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.
Sesungguhnya mencari kemaslahatan umum itu kan lebih baik dan penting daripada membina masalah itu sendiri. Kalau kita yang tak start ubah mindset kita, siapa lagi kan? Hanya orang yang tahu menilai kerja seorang peguam akan lebih menghargai usaha serta pengorbanan seorang peguam.
Terima kasih sekali lagi buat si pemberi. Moga hidup puan sekeluarga selalu diberkati olehNYA. Alhamdulillah selesai satu kes. Priceless moment bila dapat selesaikan masalah pihak-pihak secara baik. Alhamdulillah
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...