Generasi hari ini (millennial) dan generasi terdahulu sangat berbeza. Seringkali kedengaran aduan daripada rakan-rakan bahawa cara didikan dahulu dan sekarang jauh berbeza. Jika dulu, rotan itu perkara biasa dan tiada anak yang lari rumah kerana di rotan malah makin baik akhlak dan perilakunya. Namun, senario itu agak berbeza sekarang.
Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah binti Muhamad pensyarah Di USIM dan kolumnis di dalam Majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/naznur.muhamad
Jurang Generasi Jauh Berbeza
Konklusi yang dibuat, orang sekarang manjakan anak tidak sama dengan orang dahulu. Perbincangan ini ada benar dan ada salahnya. Ini kerana, setiap kita berbeza apatah lagi apabila melibatkan generasi sudah pasti gelombang perbezaannya lebih besar dan memerlukan cara yang mungkin sedikit berbeza namun matlamatnya sama.
Begitulah juga dengan cara mendidik. Untuk membangunkan generasi, tidak semudah membangunkan atau mencipta sebuah mesin. Manusia memiliki komponen spiritual dan fizikalnya. Kedua-duanya berbeza sentuhan dan keperluannya.
Pentingnya Wujudkan Persekitaran Sihat
Namun yang perlu kita fahami adalah komponen spiritual inilah yang memandu keseluruhan kehidupan manusia tersebut. Berbalik kepada perubahan generasi, ia tidak terletak kepada individu atau sesebuah generasi tersebut. Minat dan kecenderungan adalah pengaruh persekitaran yang wujud di sekeliling mereka sewaktu mereka membesar.
Jadi adalah amat penting untuk kita mewujudkan sebuah persekitaran yang sihat untuk anak-anak kita bermula daripada usianya yang masih kecil. Apabila dikatakan persekitaran, ia bukan sahaja merujuk kepada persekitaran kecil di rumah malah persekitaran di luar kawasan rumah juga iaitu masyarakat. Pendedahan kepada anggota masyarakat yang baik amat membantu persekitaran anak-anak kita.
Generasi Kini Tak Seakrab Dulu
Dahulu, anggota masyarakatnya amat akrab. Seisi masyarakat bagaikan satu keluarga. Jika anak dimarahi di rumah kerana melakukan sesuatu, perkara itu jugalah yang akan diterima di luar rumah sebagai peneguhan. Maksudnya, informasi dan input yang baik itu dijumpai di mana-mana.
Anak-anak tidak keliru untuk memilih, perkara yang baik jelas, manakala perkara yang tidak baik juga jelas. Kemudian, kasih sayang dalam sebuah masyarakat amat dirasai. Anak jiran, anak kita juga. Mengambil tahu dan mengambil peduli. Keakraban ini membentuk nilai murni yang seragam di antara anggota masyarakat.
Sibuk Sampai Berjiran Pun Tak sempat
Berbeza dengan generasi era ini. Kesibukan menyebabkan kita menyendiri tiada jaringan yang positif dengan jiran-jiran apatah lagi masyarakat. Kita hanya sibuk dengan urusan kita dan keluarga dan tidak mahu mengambil tahu urusan orang luar kerana persekitaran kita membentuk norma sedemikian.
Bayangkan anak-anak yang akan dibesarkan dalam persekitaran sebegini, mereka sudah pasti sukar untuk mendapat perhatian dan sokongan masyarakat terhadap apa yang dilakukan apatah lagi merasai kasih sayang hidup bermasyarakat. Pada waktu ini, jika kita memarahi anak-anak, mereka tiada tempat mengadu, dan persekitaran yang mereka ada sangat rencam sehingga sukar membezakan yang benar dan yang salah.
Jika salah apa yang dibuat di rumah maka mereka memiliki seribu satu pilihan di luar rumah untuk mereka. Amatlah ditakuti pilihan mereka itu salah dan tiada siapa yang sudi menegur kerana anakmu, bukan anakku.
Sesuaikan Pendidikan Dengan Keadaan Semasa
Oleh sebab itulah, cara pendidikan yang ditengahkan perlu laras dan sesuai untuk generasi yang sedang kita bangunkan. Generasi kini amat sensitif, perlu sentiasa dipujuk dan ditunjukkan contoh agar perilakunya terpimpin. Ruang pembelajarannya terhad di dalam rumah dan di sekolah. Manakala pembelajaran di dalam konteks masyarakat mungkin sukar untuk diperoleh. Jadi, mereka harus dibelai dan ditunaikan keperluan mereka barulah impian yang kita letakkan mampu memberikan impak dan kesan terhadap pembentukan kendirinya selaku hamba Allah dan khalifah-Nya.
Oleh yang demikian, apa yang kita lihat daripada orang yang terdahulu haruslah dijadikan ibrah dan pengalaman yang dapat mengajar kita bagaimana seharusnya kita bertindak untuk menyediakan yang terbaik buat anak-anak kita dan yang paling penting adalah ianya bersesuaian dengan zaman mereka. Wallahuallam.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI