Genap 6 Tahun Stacy Peluk Islam Akui Akim Jentik Hati “Bercerita Keindahan Islam Secara Santai, Tidak Terlalu Berat”

Share

Genap 6 tahun Stacy peluk Islam akui Akim jentik hati dan bercerita mengenai keindahan Islam dengan cukup santai dan tidak terlalu berat.

Tanggal 24 Ogos lalu, genaplah enam tahun usia penyanyi Stacy memeluk Islam di  Jabatan Agama Islam Johor Bahru, Johor.

Genap 6 Tahun Stacy Peluk Islam Akui Akim Jentik Hati

Pemilik nama Islam Ummu Shaikhah Stacy Anam ini mengakui suami tercinta, Akim Ahmad antara insan yang banyak menjentik hatinya untuk mendekati agama Islam.

“Dulu sebelum memeluk agama Islam, saya seperti tiada agama sebenarnya. Hidup lebih berpaksikan cara membesar, apa yang dilihat dan didengari.

“Namun selepas enam tahun berkawan dengan Akim, banyak gerak hati untuk tahu apa itu Islam banyak didoronginya.  Cara dia bercerita hal agama Islam nampak ringan dan tidak terlalu ‘direct’. Pendek kata apa yang terpacul dari mulutnya membawa ke satu siri penceritaan menarik.

“Siapa sangka keakraban kami, termasuk cara saya jadi dekat dengan Islam menerusinya terus menguatkan jodoh kami. Pandai adik (merujuk kepada Akim) ambil hati kakak (Stacy). Pada 26 September 2015, kami bertunang. Seterusnya 5 Februari 2016 kami bernikah di sebuah hotel di Sabah,” ungkap Stacy.

Imbas Detik Penghijrahan & Pernikahan

Ibu kepada dua cahaya mata kepada Bella De Luna Valentina, 8, dan Eshaal Afiq Hakim, 4, menerusi program bual bicara dalam talian, Bersama Tya akui detik paling bermakna dikenang hingga saat ini ialah ibu bapanya juga hadir ketika dia memeluk Islam.

“Saya rasa momen pengislaman jadi sangat sempurna apabila ibu bapa  ada di sisi merestui keputusan paling besar dilakukan anak mereka.

“Awalnya hanya ibu bapa saya saja tahu keputusan memeluk Islam ini. Tapi adik beradik lain dan saudara mara belum diberitahu lagi.  Apabila viral gambar dan video itu, jadi kecoh.

“Tapi Akim suruh saya bersabar dan relaks dengan apa yang terjadi,” katanya.

“Beginilah Kalau Hasil Tangan Amatur..” Stacy Cerita Pengalaman Lucu Siapkan Baju Raya Satu Famili

Rajinnya Stacy Bakar Kuih Raya Sendiri & Baru 2 Bulan Belajar Menjahit Buat Baju Raya Satu Famili!

Mulakan Hari Lebih ‘Ummph’, Rasai Susu Dengan Kopi Sebenar Pilihan Stacy Anam

Takut Dengan Keputusan

Stacy akui sebenarnya, dia melalui satu episod yang cukup dasyat sebelum melafazkan dua kalimah syahadah.

“Jujur ketika itu, hati saya jadi takut sangat dengan keputusan berkenaan. Hingga saya mempersoalkan dalam diri, apakah betul keputusan yang dibuat itu.

“Saya macam berperang dengan diri sendiri. Hingga terpacul rasa apakah sampai tahap perlu meninggalkan keluarga sendiri untuk agama Islam.

“Tapi akhirnya, takdir hidup saya memilih Islam sebagai agama yang satu. Saat selesai melafazkan kalimah itu, kelihatan ibu bapa saya tersenyum dan gembira. Ketika itu saya sedar, perasaan bukan bukan itu hanya mainan emosi,” jawab Stacy yang masih belajar untuk menjadi insan yang terbaik.

Published by
Norhayati Suboh