Ayah tiga anak ini, Khairul Abdullah membesarkan tiga orang anak lelakinya sendirian selepas pemergian isteri ke alam abadi. Anak sulungnya, Khaleef genap usia 7 tahun baru-baru ini.
Anak yang begitu dinanti-nantikan olehnya dan arwah isteri ini, cuma sempat mengecap nikmat mempunyai ibu untuk 4 tahun saja. Malah, anak ini disahkan Autisme.
Tentu tak mudah, untuk ayah ini melalui ujian hebat ini. Janjinya pada arwah isteri, akan membesarkan anak-anaknya mengikut apa yang pernah arwah isteri gambarkan.
Khaleef, Anak Yang Aku Tunggu Selama 10 Tahun
Genap 7 tahun dah anak sulung aku, Khaleef.
Anak yang aku tunggu selama 10 tahun dari hari pertama aku berkahwin. Lama sangat rasanya sampai aku dan isteri macam dah give-up. Sampai ke tua lah nampaknya kami berdua meneman diri masing-masing.
Rupanya perancangan Allah lain sekali. Isteri pergi meninggalkan dan anak ini yang meneman hari-hari aku.
Dilahirkan dibumi asing dengan kedinginan di bawah paras beku diiringi salji yang turun semalaman, dia normal sahaja. Cukup lengkap fizikalnya dan sihat tubuh badannya.
Namun menjelang usia 2 tahun, ada kelainan yang aku rasakan pada anak ini. Lebih bijak dari usianya dan ciri-ciri autistik mula ketara.
Membesarkan Anak Sulung Yang Disahkan Autisme
Ditakdirkan ibunya pergi ketika usianya baru 4 tahun.
Ads
Dia semakin berubah. Berulang-alik aku ke hospital selama 2 tahun lebih agar dia dapat menjalani pemeriksaan dan juga terapi. Alhamdulillah, akhirnya disahkan Autism.
Semakin hari semakin mencabar. Semakin dia membesar, emosi dan perasaan dia juga mula bertambah dan sifat agresif dia juga semakin ketara.
Memang mencabar mental dan emosi bila berhadapan dengan anak yang seorang ini. Bohonglah kalau aku kata tak penat. Bohonglah kalau aku kata tak menangis kerana dia. Namun, aku gagahkan juga.
Aku bersyukur kerana aku banyak belajar dari dia. Paling banyak aku belajar adalah bersabar. Aku belajar mengawal emosi dan amarah aku.
Banyak benda yang dia ajar aku.
Paling best dia ajar aku pasal Kepler 22B, Ganimede, Calisto, Amatea, Sirius A, Cat Eye Nebula, Andromeda, Canis Major, Cygnus A yang aku dah lupa apa benda semua tu sebenarnya. Yang aku tahu semua tu adalah planet, bintang, bulan, galaksi dan segala sistem di dalamnya.
Hari ini, genap 2,555 hari sejak saya potong tali pusat dia, saya tukar lampin dia dan buatkan susu dia bila awak tidur, potong semua kuku dia sebab awak takut dan suapkan makan pada dia sebab saya sangat suka.
Thanks for giving me this opportunity.
Ads
Hari ini dia sudah besar, walaupun tidak sama macam anak-anak lain, saya yakin awak pasti bangga dengan dia. Walaupun mencabar, saya akan usahakan semua yang awak inginkan untuk anak-anak kita.
Seriously, It is one hell of a journey and I do hope you really proud of me.
Buat Khaleef,
One day, you will read this and I want you to know that i am very proud of you. I am sorry If I do hurt you in any way. Raising you is a challenge like no other, but I’ll keep going. I promise you that, just like I promised your mother.
Cerita yang dikongsikan Imam Muda Hassan Adli ini benar-benar terjadi dalam kehidupan suami isteri. Bila suami terlalu rajin buat kerja rumah, sampai isteri rasa tak seronok nak meneruskan hidup dengan suaminya itu.
Kata Imam Muda Hassan lagi, banyak pengajaran yang boleh didapati dari kisah suami isteri ini. Bahawa cinta itu janganlah terlalu dicari, tapi jemputlah cinta yang diberkati dalam alam rumah tangga.
Isteri Minta Cerai Sebab Suami Terlalu Rajin Buat Kerja Rumah
Betullah manusia ini sangat kompleks untuk difahami. Allah ciptakan akal dengan 1001 rahsia yang sukar untuk difahami. Hebat ciptaan Allah!
Berlaku di India, seorang isteri menuntut perceraian di peringkat pengadilan Syariah dengan alasan suaminya terlalu mencintainya dan terlalu rajin membantunya mengemas rumah, memasak untuknya, dan suaminya langsung tidak pernah meninggikan suara padanya.
Pegawai Syariah menung panjang juga bila mendengar alasan si isteri ini.
Cinta Bukan Untuk Dimiliki..
Si isteri inginkan seorang suami yang boleh dibawa bertengkar, pemalas, dan tidak terlalu mencintainya. Akhirnya pegawai Syariah terpaksa menolak permohonan luarbiasa daripada isteri ini.
Nak bagitahu di sini, cinta itu terlalu subjektif dan adakalanya sukar untuk difahami, dan adakalanya di luar jangkauan pemikiran manusia.
Ada benarnya kata bijak pandai, “cinta bukan untuk dimiliki, tapi untuk diperjuangkan.” Bila suami sibuk mencari cinta isteri, mungkin suatu hari nanti dia akan penat. Begitu juga bila isteri terlalu mencari cinta suami, akhirnya dia akan lelah juga.
Cinta bukan dicari tetapi dijemput dan diundang. Undanglah ia dengan keberkatan. Cinta yang diberkati, di dalamnya ada kalimah La Ilaha Illallah.
Bila mana Allah yang diangkat dalam cinta kita, in shaa Allah berkat cinta yang akan diperolehi oleh suami isteri.
Jemputlah cinta, jangan terlalu mencari!
#jiwatenang
MW : Memburu cinta diberkatiNya agar rumah tangga aman harmoni.
Dalam saat-saat akhir sebelum tibanya Hari Raya, ramai mak ayah yang merebut peluang keluar membeli belah bersama anak-anak. Bila bawa anak-anak kecil membeli belah ni, faham-faham je lah mak ayah memang perlukan kesabaran yang tinggi dalam melayan ragam dan kerenah mereka. Tak habis lagi, beli belah anak dah meragam buat perangai, sudahnya apa pun tak dapat dibeli.
Sebenarnya mak ayah kena faham, ada 6 perkara yang menjadi punca kenapa anak meragam ketika membeli belah.Berikut merupakan perkongsian oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar daripada Parent Connect sebagai panduan;
PERSEDIAAN SEBELUM ANAK MERAGAM KETIKA MEMBELI-BELAH
Kelmarin di pusat membeli-belah,
“Mama, nak yang ni!” Anak kecil berusia lingkungan 4 tahun menunjukkan t-shirt bercetak kartun kegemaran kepada ibunya. “Kita tak nak beli baju ni adik. Kita nak beli baju Raya,” balas si ibu yang kelihatan keletihan “Adik tak nak baju Raya, adik nak yang ini. Adik tak nak baju Raya!”
Dan bermulalah drama antara dua-beranak itu.
Di celah-celah gantungan baju dan seluar, anak-anak kecil berlari-lari sambal bersembunyi. Ada juga anak yang menari-nari sambal bernyanyi-nyanyi. Tergambar wajah-wajah kegembiraan anak dan tergambar juga wajah-wajah kegusaran ayah dan ibu yang cuba membahagikan pandangan antara anak dan pakaian yang perlu dipilih.
Dari satu sudut yang lain kedengaran tangisan kanak-kanak yang kuat. Si ayah dengan wajah tanpa perasaan dan tanpa berkata apa-apa laju menyorong keluar anak yang menjerit-jerit itu keluar dari pasaraya. Beginilah suasana di pusat membeli-belah yang meriah dengan kanak-kanak terutamanya menjelang Hari Raya dan apa saja musim perayaan.
Ada yang membawa anak kecil untuk meluangkan masa kualiti dengan anak. Ada yang membawa anak kecil supaya saiz pakaian yang dipilih bersesuaian dengan anak. Ada yang membawa anak kecil kerana tiada siapa yang boleh tengok-tengokkan anak jika ditinggalkan di rumah.
Walau apa pun sebab anda membawa anak-anak untuk membeli-belah,
2 PERKARA YANG PERLU DIINGAT:
1) Tumpuan dan keceriaan anak-anak ada hadnya.
2) Kesabaran dan kudrat ibubapa ada hadnya.
Jangan biarkan kedua-dua perkara ini sampai ke tahap maksima sehingga merosakkan ‘mood’ kedua-dua pihak dan mencetuskan konfrantasi. Inilah masa terbaik untuk belajar menghormati had masing-masing.
“Nampaknya adik dah letih. Ayah pun dah letih. Jom kita balik.”
Sebelum anak meragam dan mengamuk, sebelum ayah atau ibu turut lesu dengan kerenah anak, eloklah ditamatkan aktiviti membeli-belah atau tunda ke lain kali saja.
Janganlah membeli-belah pada waktu yang tidak sesuai dengan rutin biasa anak. Kita mungkin suka dan selesa memborong pada lewat malam di gudang yang buka selama 24 jam di musim perayaan ini tetapi adakah waktu tersebut adalah waktu terbaik untuk anak? Salah anakkah jika dia meragam?
APA YANG MENYEBABKAN ANAK MERAGAM KETIKA MEMBELI-BELAH?
1. Tiada Persediaan
Sebelum tiba ke destinasi, beritahu anak tingkah laku yang bagaimana yang anda harapkan daripada anak. Anak kecil tidak suka diberi kejutan. Dia juga perlu persediaan emosi dan mental sebelum sampai ke tempat yang penuh sesak dengan manusia di musim perayaan ini.
Jangan lupa berikan taklimat santai tentang keselamatan. Dalam kelam kabut bersesak-sesak itu keselamatan anak paling utama. Pesan kepada anak perlunya anak sentiasa memegang tangan ayah, ibu atau abang kakak yang lebih dewasa.
Pernahkah anak anda ‘hilang’ di pusat membeli-belah?
Positifkan ‘mood’ anak sebelum sampai. Minta anak tolong anda mencari barang-barang yang hendak dibeli. Kanak-kanak suka menolong dan kanak-kanak suka tugasan dan cabaran. Mereka akan sedia membantu. Apabila anak tahu apa yang kita harapkan daripada mereka, anak akan lebih mudah bekerjasama dengan kita kerana mereka tahu apa had dan batasan mereka terlebih dahulu.
2. Letih Dan Lapar
Cuba ukur panjang kaki kita dan panjang kaki anak. Ingatlah satu langkah kita bersamaan dengan 2 atau 3 langkah anak kecil, oleh itu anak berkemungkinan besar untuk lebih letih berbanding dengan orang dewasa.
“Eh! tapi kenapa bila main banyak saja tenaga dia? Sampai tak nak mandi Sampai tak nak tidur?”
Bukankah bermain itu kerja budak-budak. Mereka ada banyak objektif dan motivasi untuk bermain tetapi mereka tidak nampak apa objektif mereka membeli-belah. Selalunya apabila dapat saja apa yang mereka mahu mereka akan terus ajak kita balik dan mula meragam. Ketika membeli-belah, kudrat kita masih banyak kerana kita ada matlamat yang hendak dicapai tetapi anak kecil sudah mula letih, dan mengantuk jika mengambil masa terlalu lama. Kenal pasti isyarat dan bunyi tangisan yang menggambarkan anak yang mengantuk, lapar, letih, bosan, marah, dan sebagainya.
Janganlah di’puasa’kan anak kecil juga bersama-sama kita yang berpuasa. Kenyangkan anak sebelum memulakan perjalanan. Bawalah makanan dan minuman sebagai bekal jika kita merasa segan hendak memasuki mana-mana premis makanan di pusat membeli-belah. Anak-anak yang aktif pada mulanya akan mula kehilangan tenaga dan mula terasa lapar.
Ini adalah salah satu punca anak meragam.
3. Tidak Selesa
Adakah ‘stroller’ anak anda selesa? Adakah anak perlu juga diberi peluang berjalan sendiri supaya kaki kecil anak boleh bebas seketika? Adakah anak terlampau letih berjalan? Adakah anak kecil lebih selamat dan selesa dengan ‘baby carrier’ berbanding ‘stroller’? Adakah anak panas ataupun sejuk?
Keselesaan anak perlu diambil kira. Janganlah dilabel anak mengada-ngada apabila mereka meragam kerana tidak selesa. Semua ini adalah keperluan asas yang seharusnya difikirkan terlebih dahulu jika anda inginkan pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan bersama-sama anak. Jika anak sudah mula menunjukkan rasa tidak selesa, pendekkan eksplorasi anda di pusat membeli-belah tersebut.
4. Sifat Ingin Tahu
Ingatlah anak kecil sangat ‘curious’ sifatnya. Ada anak yang belajar dan meneroka dengan lebih efektif melalui sentuhan. Semua benda hendak disentuh, dipegang, ditarik dan dirasa. Bila berada di tempat barangan kaca atau pinggan mangkuk perlulah diingatkan anak. Bukan salah anak jika mereka menarik apa yang dilihat didepan mata. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk pesan dan pantau anak-anak di tempat awam.
Dulu anak kecil saya menjadi tidak keruan apabila melihat sebarang suis atau soket. Dia tidak dapat mengawal dirinya dari menekan suis-suis yang dilihat. Saya dan suami perlu lebihkan pantauan dari sudut itu kerana bimbang dia akan menimbulkan huru-hara di tempat awam. Tambahan lagi ia membahayakan anak dan orang ramai.
Jika anak anda kuat kecenderungannya terhadap sesuatu objek seperti anak saya, maka persediaan dan kawalan perlu dilakukan. Kadang-kadang halangan secara mendadak akan menjadi punca anak meragam.
5. Stimulasi Berlebihan
Ada anak yang tidak suka berada di tempat yang penuh sesak dengan manusia. Ada anak yang cemas berada di tempat yang terlampau luas, hingar-bingar, terang benderang dan bingit dengan muzik yang kuat. Keadaan sebegitu menakutkan bagi mereka. Jangan membuat andaian mereka ok hanya kerana anda ok.
Jika anak dari awal lagi sudah mula meragam, itu tandanya mereka cemas berada di kalangan ramai manusia. Ada yang risau kiranya mereka terpisah daripada anda atau kiranya anda tidak memberi tumpuan kepada mereka. Anda perlu kenal temperament atau sifat semulajadi anak anda dan cari keseimbangan supaya masing-masing merasa selesa berada dalam situasi yang sebegitu.
Elakkan ruang-ruang yang akan memberi stimulasi berlebihan kepada anak contohnya ruang permainan kanak-kanak yang terlalu luas kerana anak mudah meragam jika diajak pergi. Semakin kurang godaan kepada anak semakin mudah untuk anak bertingkahlaku sebaiknya.
Emosi dan mood ibubapa juga akan terkesan apabila terpaksa bersesak dan beratur panjang di kaunter pembayaran. Ingatlah mood anda juga akan mempengaruhi mood anak-anak.
6. Bosan
Jika sepanjang masa anda sekeluarga hanya berada di ruangan pakaian dan keperluan rumah, tentulah bosan anak dibuatnya. Janganlah disuruh anak yang sudah lama bersabar untuk terus bersabar. Keceriaan anak ada hadnya. Bawalah juga anak ke kedai atau ruangan yang disukai anak dan boleh menggembirakannya untuk menghilangkan kebosanan.Tambahkan humor dan ‘fun’ ketika membeli-belah untuk mengambil hati anak yang kebosanan.
Mempunyai ‘shopping list’ yang dikongsi dengan anak-anak juga boleh mengelakkan anak-anak dari merasa bosan. Beri peranan aktif kepada anak untuk turut sama membantu mencari barang keperluan tersebut. Anak-anak akan lebih tenang jika mereka mempunyai matlamat.
‘Shopping list’ ini juga dapat melatih anak dan diri anda juga untuk berbelanja mengikut keperluan. Jika anak inginkan sesuatu yang tidak ada dalam shopping list beritahu anak barangan tersebut boleh dimasukkan ke dalam senarai membeli belah yang seterusnya. Jadikan ini peluang untuk mengajar anak tentang nilai wang.
Ini adalah latihan yang baik untuk mengajar anak tentang ‘delayed gratification’ atau bersabar untuk menerima ganjaran, yang didapati semakin menipis di kalangan anak-anak zaman sekarang yang penuh dengan kemewahan.
GANJARAN
Jika anak berkelakuan sebaiknya sepanjang berada di pusat membeli-belah, pujilah anak atau berilah ganjaran yang setimpal kepada anak. Ganjaran yang mengejutkan anak akan meninggalkan kesan positif yang berpanjangan terhadap tingkah laku anak.
Ingatlah apabila membeli-belah di musim perayaan atau bila-bila saja dengan anak, kita perlu lebih peka dengan keperluan anak. Adakah anak letih, lapar, tidak selesa dengan bunyi yang kuat, keliru, perlukan udara segar, perlu lebih bergerak atau perlu lebih pelukan dan pujian.
Dan ingatlah kesabaran dan kudrat kita juga ada hadnya.
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah yang nak bawa anak-anak pergi membeli belah nanti,boleh jadikan tip ini sebagai panduan. OK!
Benarlah kata Puan Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy, Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK) MA Early, “kanak-kanak walau dalam masjid sekalipun akan tetap menjadi kanak-kanak. Adalah mustahil untuk dia menjadi seperti orang dewasa.”
Jadi, bagaimana sebagai mak ayah mahu melunaskan misi membawa anak ke masjid dengan tenang dan damai. Tanpa perlu mengherdik anak agar duduk setempat. Dan tanpa perlu menahan hati dari melihat jelingan tajam jemaah lain yang berbaur-baur emosi dalam hati mereka itu.
Kerana inilah sifat kanak-kanak, “Dia bersemangat, dia impalsif, dia perlu bergerak, dia belum boleh mengawal diri. Ruang yang luas dan lapang sangat mengujakan bagi dia.”
“Lapar, letih, mengantuk, panas, sejuk, dan bosan akan membuatkan dia meragam.”
Sebelum Bawa Anak Ke Masjid, Mak Ayah Pastikan..
Jadi mak ayah, apabila membawa kanak-kanak ke masjid, adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk:
1) Menyediakan keperluannya supaya dia tidak lapar dan dahaga.
2) Memastikan keselesaannya supaya dia mempunyai ruang dan tidak kebosanan.
3) Memberi bimbingan kepadanya terlebih dahulu dan dari masa ke semasa supaya dia tahu adab di masjid.
4) Mengajak dan memberi galakan untuk mengikut imam supaya dia dilatih untuk bersolat.
5) Memberi pujian apabila dia berkelakuan elok supaya dia bersemangat untuk terus menjadi baik.
6) Memberi peringatan jika dia tersalah laku supaya dia memperbetulkan kesilapannya.
7) Menegah jika dia keterlaluan supaya dia tahu dia sudah melampaui batas.
Elak Mengherdik, Biar Anak Jadi Biasa Dengan Masjid
ANDAI DIBIARKAN, dia tidak akan tahu bagaimana untuk menghormati masjid dan makmum yang lain.
ANDAI DIHERDIK, dia tidak akan suka untuk datang ke masjid lagi.
Latihlah anak untuk ke masjid dari masa ke semasa supaya dia menjadi biasa. Kebiasaan menjadikan anak lebih tertib dan tenang.
Kanak-kanak akan tetap menjadi kanak-kanak walau di mana sekalipun. Orang dewasa perlu bersikap seperti orang dewasa dalam menguruskan kanak-kanak.
MW: Semoga tip ini membantu memudahkan urusan mak ayah membawa anak-anak ke masjid sepanjang Ramadan ini.
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...