Gara-gara Tak Tahu Cara Tuntut Harta Pusaka Selepas Suami Meninggal, Isteri ‘Ditendang’ Bak Bola

Share

Pendedahan yang dikongsikan oleh peguam Roslina Sabiyah & Co. mengenai pengurusan harta pusaka oleh isteri yang kematian suami ini benar-benar memeranjatkan.

Maklumnya, beliau menerima lebih 100 kiriman soalan yang menunjukkan kebanyakan wanita masih tak terdedah dengan isu ‘tuntutan harta pusaka selepas suami meninggal’. Malah tak tahu cara betul tuntut harta pusaka arwah suami.

Kisah benar yang dikongsikan ini sebenarnya menerangkan dengan jelas apa prosedur betul yang isteri perlu ambil semasa menuntut harta peninggalan arwah. Tidaklah nanti anda diperkotak-katikkan seperti tiada harga diri.

 

Urus Pusaka Memang Macam Ini Ke Puan.. Saya Dah Penat!

Wanita.. ketahuilah hak anda!

Jangan sampai ditendang ke sana sini umpama bola gara-gara tidak tahu prosedur yang betul menuntut harta pusaka suami yang dah meninggal. Jangan sampai maruah anda dipijak hanya kerana anda tak tahu nak membela dan mempertahankan hak anda sendiri!

Saya membelek senarai dokumen yang diserahkan seorang wanita yang baru setahun kematian suami. Saya perasan macam ada sesuatu yang tak kena. “Kamu dah uruskan insurans, akaun bank dan kereta ni semua?”

Sudah puan.. saya sudah uruskan semuanya. Hampir 10 bulan saya uruskan tapi tak selesai-selesai lagi. Sekarang ini rumah pulak nak kena mohon. Urus pusaka memang macam ni ye puan? Saya dah penat..”

Saya menggeleng.. rasa terkilan sebab masih ramai wanita yang tak dapat maklumat yang lengkap untuk mengurus harta pusaka dengan betul.

Boleh ceritakan apa urusan yang puan dah buat?” Tanya saya sekadar nak tahu sejauhmana laluan ‘berliku’ yang dah dilaluinya..

Suami ada tinggalkan wang simpanan di bank. Saya pergi ke bank untuk keluarkan duit. Pihak bank suruh saya pergi ke Amanah Raya untuk dapatkan surat Arahan.”

“Saya pergi ke Amanah Raya. Pihak Amanah Raya pula suruh saya ke Mahkamah Syariah untuk mohon sijil faraid.”

Saya ke Mahkamah Syariah pula untuk mohon sijil faraid. Dah dapat sijil faraid saya hantar ke Amanah Raya.”

“Saya pun dah ke JPJ untuk urusan yang sama. Dalam surat JPJ ada minta beberapa dokumen dan saya pilih untuk uruskan dengan Amanah Raya sahaja.”

Jawapan Pegawai Berbeza-beza..

Kalau dah berurusan di sana, kenapa baru sekarang puan nak jumpa peguam?

Sebenarnya saya dah tanya ramai orang.. kat mana saya nak uruskan harta pusaka ni. Tapi jawapan mereka berbeza-beza.

“Ada yang suruh saya ke pejabat tanah. Jadi saya ke pejabat tanah daerah. Pejabat tanah daerah suruh saya buat carian persendirian tanah tu di pejabat tanah negeri pula (sebab hakmilik tanah adalah HS.(D)).”

“Saya dah buat carian dan pergi semula ke pejabat tanah daerah. Pejabat tanah daerah dah bagi saya borang permohonan pusaka..”

Kemudian? Kenapa tak teruskan permohonan? Tanya saya semakin tak sabar..

 

Cuma Inilah Rumah Suami, Tapi Mentua Kata Itu Atas Nama Anaknya

Puan.. anak saya masih kecil. Suami cuma tinggalkan rumah ini sahaja untuk saya. Mak ayah mertua dah dapat pampasan insurans suami. Tak ada cara ke macamana saya boleh dapatkan rumah ini untuk saya dan anak? Sebab mak ayah mertua dah pernah bagitau.. rumah yang saya duduk ni atas nama anak mereka…“

Tak sempat habiskan ayat dia dah keluarkan sapu tangan dari dalam beg tangannya. Merambu air matanya.

Mungkin dah lama sangat dipendam apa yang terbuku di hati.. usianya masih muda tetapi wajahnya jelas menggambarkan raut keletihan.. saya yang mendengar cerita pun dapat rasakan betapa letihnya dia mengurus semua seorang diri.

“… jadi mereka pun nak tuntut juga hak mereka atas rumah tu. Mak ayah mertua saya bukan orang susah puan. Mereka orang berada.”

“Tapi sejak arwah hidup memang mak ayah mertua dan adik-beradik suami tak suka kami sebab kami bukan orang senang.”

Dia tak pernah pelawa cucu dia sendiri makan di rumah dia puan. Bila suami meninggal, dia dulu yang tuntut insurans suami. Tak bagi pun kat anak saya.”

“Duit tu saya tak kisah sangat. Saya hanya nak rumah ini sahaja untuk tempat berteduh saya dan anak..”

Baru saya faham kenapa dia tak teruskan permohonan sendiri. Beliau rasa tak selamat untuk teruskan kerana ada isu yang beliau tak tau jalan penyelesaiannya.

 

Cuma Buat Ini Untuk Tuntut Harta Pusaka Arwah Suami

Puan tau tak, sebenarnya puan tak perlu pergi semua tempat tu. Jika arwah suami ada tinggalkan rumah atau tanah, puan sebenarnya hanya perlu mohon terus di unit pusaka kecil di pejabat tanah sahaja.”

Perintah dari pejabat pusaka tu nanti boleh digunakan untuk keluarkan duit di bank dan tukar nama kereta di JPJ dan juga untuk tukar nama pemilik rumah dalam geran. Jimat masa dan tenaga. Tak perlu mohon faraid pun sebab di pejabat pusaka tu dah ada pegawai yang mahir kirakan faraid.”

Terkejut dia dengar saya bagitau macam tu. “Patutlah saya rasa macam orang bodoh je puan. Tak ada siapa pun yang bagi maklumat macam tu. Suruh ke sana saya ke sana. Suruh ke sini saya ke sini.

Kadang rasa macam bola kena tendang ke sana sini. Dahlah keluarga mertua langsung tak ambil kisah.. sekarang apa perlu saya buat puan?“ ada harapan dalam nada suaranya.

Sebenarnya, urusan pusaka kecil ni puan boleh mohon sendiri. Tapi jika ada isu dengan waris-waris, puan kena lantik pihak ketiga sebagai orang tengah. Ini untuk memastikan, puan mendapat nasihat yang betul dan hak puan serta anak terbela

.”

Jika Mak Ayah Mentua Enggan Lepaskan Hak Faraid Atas Rumah..

Walaupun bahagian puan di atas rumah tu hanya 1/8, puan masih boleh mohon Hak Harta Sepencarian. Bahagian mak ayah mertua akan semakin kecil selepas ditolak dengan bahagian harta sepencarian.

Jika mak ayah mertua masih tak setuju melepaskan hak faraid atas rumah tu, minta bapa mertua tandatangan surat, “saya setuju mengambil duit pampasan ini sebagai bahagian faraid saya dari harta si mati dengan sepenuh kesedaran bahawa tanggungjawab untuk menanggung anak si mati iaitu cucu saya adalah di bawah tanggungjawab saya sebagai datuknya.”

Lepas ni kalau datuk tu senyap dan buat tak tahu pasal cucu tu, puan boleh failkan tuntutan nafkah untuk anak puan di Mahkamah Syariah. Faham?

Alhamdulillah faham puan. Terima kasih puan. Saya memang tak tau langsung pasal hak saya. Kan bagus kalau ramai wanita yang tau hak mereka. Tak adalah mereka kena lalui apa yang saya dah alami..” ada sinar di matanya. Ada senyum di bibirnya. Alhamdulillah.. lega saya drama air mata kali ini tidak berpanjangan.

Sejenak saya terfikir. Aduhai wanita.. kalau kita sendiri yang tak mempertahankan hak kita siapa lagi?

Sumber/Foto : Roslina Sabiyah & Co

Published by
Netty Ah Hiyer