Gara-Gara Muntah Di Sofa, Budak 3 Tahun Maut, Tengkorak Pecah Dibelasah Kekasih Ibu! Memang melampau, zalim dan tidak berperikemanusiaan. Tubuh anak kecil yang baru berusia menjadi mangsa ‘belasahan’ kekasih ibu, hanya kerana muntah di sofa kesayangan.
Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dihantar berubat di rumah teman lelaki ibunya di Cheng, di sini semalam.
Difahamkan ibu mangsa menghantar anaknya ke rumah teman lelakinya yang bekerja sendiri pada 5.30 pagi, bagaimanapun 40 minit kemudian lelaki itu memaklumkan anaknya terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke Hospital Melaka (HM).
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebaik tiba di HM pada 6.50 pagi, kanak-kanak itu dirawat di Zon Merah dan diberikan bantuan pernafasan lebih sejam, namun disahkan meninggal dunia pada 9.15 pagi.
Katanya, pada 10.30 pagi, mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HM dan pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan kecederaan di kepala dan badannya.
“Hasil siasatan awal, lelaki berkenaan mengaku ada menendang mangsa secara agresif kerana muntah di atas sofa kesayangannya.
“Lelaki itu juga mengaku menekan perut kanak-kanak itu secara agresif berkali-kali selain menendang sehingga kepala mangsa terhantuk ke lantai.
“Akibat perbuatan kejamnya itu tengkorak kanak-kanak itu pecah selain organ dalam perutnya turut pecah,” katanya.
Beliau berkata, ibu kandung mangsa dan teman lelakinya berusia 24 dan 25 tahun kemudian ditahan polis di hospital untuk siasatan lanjut.
Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengetahui motif kejadian dan siasatan lanjut.
Dalam pada itu, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 13 Julai depan bagi membantu siasatan kes.
Baca Lagi Di Sini:Bawa Pulang Cenderahati Dari Tanah Suci, NEKAD Sarung 15 Lapis Pakaian Elak Lebihan Bagasi!
Artikel Menarik:Anak Kedua LIZA HANIM Naik Pentas Terima Anugerah Pengetua MRSM Alor Gajah
Lagi Di Sini:LUMPUH Akibat Kecuaian Hospital, Nasib Adik Adeena Terbela Dapat Pampasan RM5.6 Juta!
Mingguan Wanita: Memang melampau dan sangat zalim. Tak terbayang sakit yang perlu ditanggung oleh budak yang baru berusia 3 tahun ini. Apabila di tendang dan ditekan perutnya berkali-kali sehingga organ dalam dan tengkorak nya pecah. Semoga pelaku ini mendapat pembalasan yang setimpal.
Sumber: Hmetro
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.