Gara-gara Kesilapan Sendiri, Pasangan Muda Merayu Kes Cerai Talak 3 Di Mahkamah

Share

Pasangan suami isteri yang masih terlalu muda, dengan anak perempuan seorang mendatangi Peguam Syarie, Roslina Sabiyah. Si isteri menangis teresak-esak, suaminya pula dalam kebingungan. Mereka baru selesai kes pengesahan lafaz cerai talak 3 di hadapan hakim.

Selepas hakim putuskan keduanya sah bercerai talak 3 barulah masing-masing menyedari kesilapan. Dan berusaha untuk bersatu semula. Tegas Roslina, tidak semua kes cerai talak 3 boleh dirayu semula di mahkamah.

Rupanya ada kisah yang jadi pada suami isteri muda ini sehingga berlakunya lafaz talak 3 dari mulut suami muda ini di luar mahkamah.

Rayuan Kes Cerai Talak 3

Tak semua kes cerai talak 3 boleh dirayu semula di Mahkamah. Jika lafaznya soreh walaupun tiada niat tetap akan jatuh talak tu walaupun berapa jumlah talaknya sekalipun. Sebab tu jangan main-main dengan perkataan talak.

Namun setiap kes itu berbeza dan kena tengok situasi sebelum mahkamah boleh putuskan adakah cerai talak 3 itu jatuh talak 3, atau hanya jatuh talak 1 ataupun cerai tu tak jatuh langsung pun sebenarnya macam kes yang saya nak kongsikan ni..

Kami baru keluar dewan lepas habis kes ketika tiba-tiba ada pasangan suami isteri yang sangat muda menghampiri kami. Si isteri sambil menangis teresak-esak manakala si suami nampak kebingungan.

Rupanya, mereka baru selesai kes pengesahan lafaz cerai talak 3 dan hakim putuskan talak 3 tu sah. Mereka sedang mencari peguam untuk failkan rayuan kerana tak puashati dengan keputusan hakim. Memandangkan kes rayuan perlu difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan, mereka terus minta untuk datang ke pejabat bagi mendapatkan consultation.

Ini Sebab Berlakunya Lafaz Cerai Talak 3

Apa yang berlaku? Macamana suami boleh terlafaz cerai talak 3 tu? Si suami hanya tunduk. Si isteri yang bersungguh memulakan cerita.

Saya yang salah Puan.. saya yang salah.” sambil air mata tak berhenti mengalir di pipi.

“Pada hari kejadian, seharian suami tak dapat dihubungi. Rupanya dia ada masalah di tempat kerja dan balik ke rumah untuk tenangkan diri. Saya geram sebab dia tak jawab call, saya masuk bilik dan terus hempas pintu hingga terkena kaki suami yang tengah solat. Bilik kami sempit dan saya tak perasan dia tengah solat belakang pintu.

Dia terduduk dan tak jadi teruskan solat. Saya tanya dia banyak kali tapi dia masih diam tak jawab. Dan saya mula naik hantu dengan baling semua benda yang tercapai kat tangan termasuklah kipas dan televisyen.

Saya dah macam kena rasuk sambil cakap, “ceraikan talak 3! ceraikan talak 3!” Berkali-kali.

Dengan keadaan bilik yang tunggang-langgang, dengan suara baby saya yang menangis, dengan saya yang menjerit.. akhirnya suami saya terikut cakap perkataan “ceraikan talak 3” sebab tak tau nak tenangkan saya macamana.

Lepas suami lafaz saya terus terdiam. Suami ambil baby yang sedang menangis bawak ke ruang tamu untuk tenangkan baby dan dia. Saya macam tak sedar apa yang berlaku. Semuanya berlaku terlalu pantas. Saya betul-betul menyesal”

Ketika Di Hadapan Hakim..

Q : Puan ada ceritakan semua perkara yang berlaku ni kat Hakim?
A : Tak ada.
Q : Kenapa tak cerita?
A : Hakim tak tanya.
Q : Puan ada niat nak rujuk semula?
A : Nak. Kami sama-sama menyesal dan memang nak rujuk semula.
Q : Tahu tak kalau talak 3 tak boleh rujuk?
A : Tahu. Tapi saya ingat Hakim akan jatuhkan 1 talak sahaja.
Q : Kenapa berani failkan kes sendiri tak pakai peguam? Talak 3 pulak tu.
A : Keluarga tak bagi pakai peguam. Katanya kes ni senang je.
Q : Yang berkahwin dan nak rujuk semula tu Puan ke keluarga Puan?
A : Sayaaa… **nangis lagi**

Isi Borang Online Hanya Tulis Nak Sahkan Cerai Talak 3

Banyak lagi yang saya bebel sebenarnya. Isi borang online hanya tulis nak sahkan cerai talak 3. Tak ada langsung fakta yang lain. Sendiri tak nak guna khidmat peguam lepas tu nak salahkan Hakim bila Hakim putuskan berdasarkan apa yang dia masukkan dalam pliding.

Dalam alasan penghakiman, Hakim ada tanya cuma pihak-pihak yang tak cerita detail. Sedangkan, fakta-fakta tentang perkara-perkara yang berlaku sebelum, semasa dan selepas talak dilafazkan itulah yang paling penting untuk diceritakan supaya mahkamah ambil kira.

Failkan Rayuan Untuk Kes Suami Isteri Muda..

Saya tanya si suami pulak.

Q : Apa lafaz yang encik lafazkan sebenarnya?
A : Saya ikut apa yang isteri cakap.. “ceraikan talak 3
A : Kenapa kat dalam perintah mahkamah tulis, “Aku Ceraikan Kau Dengan Talak 3”?
Q : Haaa? Saya tak tau. Saya tak faham apa yang Hakim tanya sebab masa tu saya tengah bingung. Apa semua yang Hakim cadangkan saya pakai angguk je tak boleh nak fikir. Yang penting saya nak kes cepat selesai dan nak bersama isteri dan anak saya semula.
Q : ………….. **geleng kepala**
.
Saya ambil keputusan untuk failkan rayuan dalam kes ini sebab ada percanggahan fakta yang jelas dan ada banyak isu-isu yang patut diambilkira tapi tak dimasukkan dalam permohonan.

Walaupun pada awalnya di pihak keluarga isteri ramai yang bersuara sinis kata rayuan ni takkan berjaya dan menuduh peguam lawan hukum Allah dan buat kes semata nak duit.

Ye macam-macam tohmahan tapi kami professional dan telan je. Kami teruskan sebab itu memang tanggungjawab kami sebagai peguam yang mana orang awam tak mampu buat tugas tu semua. Kita hanya usaha selebihnya biarlah Mahkamah yang putuskan.

Kalau betul lafaz tu soreh dan cukup semua rukun talak, maka menangis air mata darah sekalipun hukum tetap hukum dan tak boleh nak tarik balik semula apa-apa yang dah terlepas. Tapi kalau betul ada rukun talak yang tak sempurna, ada keadaan tertentu di mana suami dalam keadaan gila, marah yang menghilangkan kewarasan, dipaksa, terdesak atau tertekan sehingga tidak sedar apa yang dilakukan.. maka hukum syarak tidaklah zalim.

Setiap inci keterangan, fakta, situasi, saksi, bukti bertulis atau tidak, iqrar mahupun qorinah akan sangat bernilai dan memberi kesan kepada kes. Itulah beza tugas peguam yang tak boleh diambil alih oleh orang awam.

Baca : Dicerai Suami Talak 3 Selepas 7 Tahun Berkahwin, Namun Ia Hari Paling Bahagia Buat Wanita Ini

Berbulan Berpisah Tak Dibenarkan Berjumpa

Setelah melalui beberapa episod duka akibat tindakan diri sendiri yang melulu dan mengikut perasaan, berbulan-bulan berpisah tak dibenarkan berjumpa selagi keputusan rayuan tidak diketahui.

Maka akhirnya mahkamah membenarkan rayuan kami dan memutuskan talak 3 tersebut tidak jatuh kerana ada rukun yang tidak lengkap dan mereka berdua masih sah sebagai suami isteri.

Alhamdulillah.. Semoga peluang “kedua” yang disambut dengan air mata gembira itu tidak disia-siakan dan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pasangan muda tersebut dan menjadi pengajaran kepada kita yang lain.
.
Nota :

  • semua kes lafaz talak di luar mahkamah perlu disahkan di Mahkamah untuk menentukan berapa bilangan talak yang jatuh dan berapa baki talak yang tinggal.
  • jika suami rujuk dalam tempoh iddah, hanya perlu daftar sahaja di pejabat agama KECUALI jika isteri tak setuju dengan rujuk tu, barulah bawa ke mahkamah syariah untuk disahkan rujuk tersebut.
  • jangan pandai-pandai cerai sendiri rujuk sendiri.. kerana di sisi hukum syarak ia memberi kesan kepada status hubungan suami isteri, nasab keturunan anak2 dan hukum perwarisan.

Wallahua’lam.
#peguammenulis
#CelikSyariah
#darifailmahkamah
#siri1001kisah

Sumber/Foto : Roslina Sabiyah

 

Published by
Netty Ah Hiyer