
Isi Kandungan
ToggleSekali pandang, nampak normal dan sangat comel bayi ini kerana pipinya yang tembam dan kemerah-merahan.
Rupa-rupanya pipi bayi yang berasal dari Beijing ini bukanlah tembam, sebaliknya pipinya menjadi bengkak dan kembung selepas disapu sejenis krim pelembab.
Pipi seorang bayi menjadi kembung dan ditumbuhi rambut selepas disapu krim mengandungi steroid di wajahnya.
Gara-Gara Disapu Krim Pelembab
Semuanya bermula selepas ibu bapa bayi itu menyapu krim pelembap berkenaan untuk mengurangkan kesan kulit kering pada wajah anaknya.
Selepas beberapa kali menyapu krim berkenaan, ibu bapa bayi itu menyedari wajah anak mereka mula ditumbuhi rambut, manakala pipi menjadi kembung.
Memetik laporan portal Daily Mirror, ibu bapa bayi itu mendakwa anak mereka hanya diberikan susu badan dan menolak ia menjadi punca kepada masalah berkenaan.
Baca Juga Di sini:
Ibu Bancuh Susu, Bayi 50 Hari Cedera Digigit Kera Ketika Tidur
‘Tak Boleh Bayangkan Kalau Anak Yang Kena…’, Hati-Hati Guna Sudip Kayu
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Pipi Bayi Kembung, Ditumbuhi Rambut
Tidak berpuas hati dengan kejadian menimpa anak mereka menyebabkan ibu bayi itu membuat ujian susu badan di hospital dan keputusan mendapati, susunya normal.
Hospital kemudian menasihatkan supaya ibu bayi itu mengurangkan kandungan susu, namun sebulan kemudian keadaan semakin meruncing.
Bayi malang itu kemudian segera dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut kerana terdapat ramai bayi mengalami masalah sama.

Punca Masalah Disebabkan Krim Pelembab
Selepas pemeriksaan lanjut, doktor mengesahkan punca masalah itu disebabkan krim pelembap mengandungi steroid yang digunakan pada wajah bayi terbabit.
Doktor menasihatkan supaya krim berkenaan hanya disapu untuk jangka masa pendek bagi mengurangkan risiko pada kulit bayi.
Sebaik menghentikan penggunaan krim itu, keadaan wajah bayi berkenaan semakin pulih, sebelum dibenarkan pulang.
MW: Sesetengah krim pelembab tidak boleh digunakan dalam tempoh yang panjang kerana bimbang kesan sampingannya. Sebaiknya dapatkan nasihat doktor sebelum mencuba apa jua jenis produk untuk bayi atau anak-anak mak,ayah ya.
Sumber: myMetro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Melawat Bayi, Jangan Bebankan Tuan Rumah & ‘Pandai-Pandai’ Beri Khidmat Nasihat

Bila lama dah tak jumpa, terus dengar kawan baik dah ada anak baru. Jadi, tentu tak sabar nak melawat bayi dan tengok ahli keluarga baru. Ini belum lagi hati pun tiba-tiba teringan nak anak pula.
Bagi sesetengah mak ayah mungkin agak cerewet bila menyentuh tentang anak kecil, lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang ini. Itu satu hal, satu lagi bila nak melawat bayi, kita sebagai tetamu kena tahu apa dan ‘jangan’ buat masa berjumpa anak kecil ini.
Inilah saranan dan nasihat oleh Dr Rashdan Mohamed yang perlu kita ambil tahu bila melawat bayi.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Bila Bertandang Biar Kita Nampak ‘Bodoh’ Bukan Memandai, ‘Kaki Sembang’, Hormatilah Tuan Rumah
Ayah Ini Kongsi 8 Tip Bawa Anak Bertandang Rumah Orang, Khas Untuk Geng Anak Ramai
Info Lebih Menarik DI SINI
‘Jangan’ Semasa Melawat Bayi
(dan terguna-pakai untuk kanak-kanak juga)
1. Jangan cium (kiss) bayi
Ini kerana anda boleh menyebarkan jangkitan kuman tertentu kepada bayi ini yang boleh membawa kepada jangkitan kuman serius! (Terutamanya pandemik COVID-19 ini)
– yes, baby bau special dan comel, tetap, jangan kiss tau
2. Jangan goncang (shaken) atau lambung bayi
Otak bayi dan salur darah dalam otak amat “fragile”. Perbuatan ini boleh membawa kepada pendarahan dalam otak dan mata dikenali “shaken baby syndrome”
3. Jangan sentuh bayi sebelum mencuci tangan (sanitize)
Ya, sama macam no 1, bahaya penularan penyakit termasuk jangan “cubit” pipi bayi yang gebu itu.
4. Jangan suap makanan/minuman sembarangan kepada bayi
Tidak semua bayi sesuai untuk makan dan minum sembarangan
Bayi dimulai makanan pelengkap tertentu selepas 6 bulan penyusuan susu (susu ibu yang
Terbaik) dan bergantung “perkembangan” bayi
5. Jangan hisap rokok / vape / e-cigarette sebelum / ketika melawat / berjumpa bayi
Rongga pernafasan bayi amat sensitif
Pendedahan kepada bauan nikotin dan asap rokok membahayakan bayi termasuk mudah mendapat jangkitan kuman, banyak lendir, dan saluran pernafasan sensitif
Ya, termasuk jangan merokok “di luar rumah” juga dan buat ayah (dan ibu) yang merokok – tolong berhenti.
6. Jangan “pandai-pandai” beri khidmat nasihat kesihatan yang tidak betul atau tidak wajar
Contohnya, menyuruh ibu “menjemur bayi di luar rumah” kerana kuning (jaundice) (ada kes sampai kena gigit binatang liar)
Jangan beri ubatan / herba / rawatan alternatif tanpa nasihat doktor / pakar / ilmu perubatan
Nasihat tidak betul / wajar boleh menyebabkan kelewatan ibu bapa mendapatkan rawatan malah boleh membahayakan
Ada ibu bapa dinasihatkan untuk memberi “susu kambing segar tanpa di pastur” pada bayi baru lahir sehingga menyebabkan jangkitan kuman, kurang darah (anemia) dan kegagalan buah pinggang (renal solute load)
7. Jangan datang bertandang / berjumpa bayi jika tidak sihat
Jika tidak sihat seperti demam, batuk, selsema, syaki dijangkiti virus tertentu termasuk COVID-29 – jangan datang!
Musim pandemik ini, nasihat ini tergunapakai untuk semua situasi termasuk jangan balik kampung masa tak sihat, jangan pergi surau masa tak sihat, jangan pergi kenduri masa tak sihat dan sebagainya.
8. Jangan ambil foto dan post gambar bayi di sosial media tanpa kebenaran ibu bapa
Ada mak ayah yang sensitif hal ini
Ada kepercayaan, fahaman tertentu
Ada masa ia boleh membahayakan keluarga seperti risiko di culik dan sebagainya

9. Jangan komen fizikal atau “keistimewaan” bayi
Ada masa bayi dilahirkan dengan keistimewaan tertentu
Ada masa dengan tona kulit tertentu
Jangan komen. Jangan banding
10. Buat mak ayah : Jangan membebankan ibu bapa bayi @ “tuan” rumah
Adatlah, pasti ibu bapa bayi ini dalam situasi “sibuk”, kita tak nak lah membebankan lagi mereka dengan bertandang pada masa dan situasi kurang sesuai.
Kalau boleh, atur “temujanji” untuk bertandang dan pesan kepada tuan rumah untuk tidak “susah-susah” (baiknya, bawa “buah tangan” yang sesuai)
Adik-beradik: Jangan lupakan adik beradik (abang, kakak) bayi
Ya, adik beradik bayi juga perlu “disantuni” juga
Terkadang dengan kelahiran bayi baru, anak lain rasa “sedikit tersisih”
Mingguan Wanita : Untuk ingatan kita sebagai tetamu dan mungkin juga mak ayah kepada bayi.
Sumber: Rashdan Mohamed
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Didiklah Anak Cara Yang Betul, Kawal Emosi Kita, Tegurlah & Perbaikilah Sikap Mereka Mengikut Usianya

Isi Kandungan
ToggleBuat mak ayah,didiklah anak sebaiknya dengan cara yang betul. Kawallah emosi tatkala berhadapan dengan anak-anak. Tegurlah dan perbaikilah sikap anak-anak mengikut peringkat usia mereka.Seharusnya ketegasan mak ayah itu perlu, namun hendaklah bertempat.
Tidak dapat dinafikan sebagai mak ayah, adakalanya kelakuan anak-anak memang mampu menguji kesabaran yang maksima.Ketika ini, pertimbangan dan kewarasan fikiran harus didahulukan berbanding mainan emosi.Anak-anak perlukan teguran melalui kasih sayang, secara baik, bukannya melalui herdikan mahupun tengkingan yang mampu mencalar emosi dan perkembangan mereka.
Semoga secebis perkongsian oleh Ustaz Ws Adli W Muhammad ini mampu dijadikan pengajaran dan iktibar buat kita.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini.
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Kata Kasar Dengan Anak Usia 4 Tahun
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun. Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Ego Dengan Anak
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul.
Katanya:
1. Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
2. Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
3. Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
4. Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
5. Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
6. Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
7. Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Tegas Tidak Bertempat
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.

Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Kawal Emosi Dengan Anak
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
WS Adli,
Belajar dari kesalahan dan kesilapan diri.
Sumber: Ws Adli W Muhammad
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Agar Bayi Tak Keliru Puting, ‘Cup Feeding’ Salah Satu Teknik Yang Mak Mak Boleh Cuba

Isi Kandungan
ToggleMak-mak yang kental jiwa nak usahakan beri penyusuan ekskusif buat bayinya, artikel ini amat-amat membantu anda. Pakar Laktasi dan pengasas Eve Love, Dr Shahirah Hassan berkongsi mengapa ‘cup feeding’ ini amat penting untuk elakkan bayi keliru puting.
Penting sebenarnya penggunaan ‘cup feeding’ ini. Salah satunya dapat elakkan penggunaan botol. Yang mana ia boleh membuatkan bayi jadi keliru puting. Dan akhirnya ibu gagal memberikan susu eksklusif kepada bayinya sampailah usianya 2 tahun.
Eh.. Kenapa Nak Leceh-Leceh ‘Cup Feeding’, Botolkan Ada
Mak ayah semua pernah dengar tentang ‘Cup Feeding’?
Agar mak ayah lebih faham, Dr Shahirah berkongsi video ‘cup feeding’ yang diambil semasa home visit di rumah kliennya.
“Video kami share dengan izin ibu bapa bayi.”
Antara perkara yang dibincang & praktik kan adalah posisi & teknik pelekapan, pengendalian susu perahan & juga CUP FEEDING.
Cup feeding ini adalah salah satu teknik untuk beri susu perahan selain menggunakan botol, picagari atau sudu.
Ya, memang proses CUP FEEDING ini lebih perlahan dan memerlukan kesabaran berbanding dengan penggunaan botol atau cara lain. TETAPI, yang istimewa tentang CUP FEEDING adalah:

1. Baby kurang risiko keliru puting kerana sewaktu CUP FEED, cara yang selamat adalah posisi bayi almost UPRIGHT, beri perlahan-lahan dan elok pause sekali- sekala. Lebih kurang seperti breastfeeding, baby kena usaha sendiri untuk dapatkan susu.
2. Ini berbeza dari pemberian menggunakan botol di mana flow agak laju , no pause, dan agak mudah kita “overfeed” dengan cara ini.
3. Melalui cup feeding, kita tidak tuangkan susu ke mulut bayi, malah BAYI MENCARI DAN menjilat susu ibu sendiri. In other words, baby have to work for it.
Cuba Ibu Perhatikan..
So, lepas I cerita panjang lebar, rasanya teknik mana yang lebih similar to breastfeeding (penyusuan ibu)? CUP FEED or Bottle Feed?
Ingat ya Mummies, jika boleh elakkan bottles the first few weeks of life, please do so. Nanti Mummies yang susah kalau baby reject breast!
P/S: Sweet je kan Mak Ayah dalam video ni, sambil practise cup feed, they TALK TO BABY. Interacting with your baby pun penting tau for baby’s development!
Sumber/Foto/Video : Shahirah Hassan
.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI