Setelah tamat Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), pasti anak-anak cuba memilih kursus atau haluan masing-masing untuk melanjutkan pelajaran. Namun segalanya bergantung kepada keputusan masing-masing. Bidang vokasional sebenarnya mempunyai kelebihan yang tersendiri dan bukan hanya anak-anak yang sederhana akademiknya memilih untuk ke aliran vokasional.

Sebaliknya sekarang, anak-anak yang cemerlang keputusan PT3 juga turut teruja kursus yang ditawarkan di aliran vokasional. Segalanya bergantung kepada minat dan cita-cita anak sedari kecil. Sebagai mak, ayah sokonglah minat dan kecenderungan anak. Sebaiknya galakkan apa yang anak suka dan percayalah dalam usia 20 tahun, skil anak-anak mampu kalahkah orang dewasa.

Ikuti perkongsian, Puan Nordiana Din :

Allahumma Ya Baari’ Maha Mengatur
Beribu yang memohon online
Beratus yang temuduga
Hanya belasan sahaja terpilih

Alhamdulillah anak ketiga, Ayra Erina diterima masuk dalam bidang yang beliau minati iaitu Seni Kulinari.
Meskipun akademik bagus masuk aliran sains seperti kakaknya tetapi atas dasar bakat dan minat, kami dorong mereka terus fokus pada apa diniatkan dalam matlamat jangka panjang kehidupan mereka.
Segalanya dipermudahkan aturan Allah swt. Satu sekolah walaupun berbeza aliran. Seorang Seni Fesyen, seorang lagi Seni Kulinari… yang penting mereka bertanggungjawab dan gembira dengan pilihan sendiri dengan sokongan keluarga.

IKLAN

Zaman Berubah

Dahulu mungkin bagi kebanyakan orang, kolej vokasional adalah untuk anak-anak akademik sederhana. Zaman berubah aliran ini sekarang turut melibatkan anak-anak yang akademik bagus dan berkemahiran tinggi.

Bagaimana kami melihat kecenderungan anak-anak? Sedari kecil kami akan berbual dengan mereka tentang masa depan. Apa yang mereka mahu untuk kehidupan 10 tahun lagi… 20 tahun lagi…. Kehidupan bagaimana yang mereka mahu?

IKLAN

Ketika mereka sudah berumahtangga bagaimana mereka hendak uruskan kerjaya dan keluarga secara seimbang dan kekalkan kecemerlangan dunia akhirat?
Persoalan-persoalan itu akan dijawab oleh anak-anak dengan minda terbuka kerana melihat sisi lain ibunya yang bekerja sendiri mengurus masa fleksibel.

Sebelum menjalani temuduga, setahun awal kami sudah dedahkan beliau dengan persediaan di dapur. Selain itu, akademik juga wajib lulus cemerlang terutama Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik. Jangan ingat sebab nak masuk Kolej Vokasional, akademik buat main-main semasa PT3. Mamanya memang tegas bab hala tuju anak-anak.

Minda Terbuka

IKLAN

Minda kami terbuka tentang seni kemahiran ini setelah melihat bagaimana di luar negara anak-anak sejak kecil didedahkan dengan minat mereka dan fokus sehingga berjaya. Umur baru 20 tahun skil kemahiran mengalahkan orang dewasa. Puncanya mereka dapat pendedahan sejak kecil lagi. Tak buang masa… Umur 30-an dah master dengan apa yang dilakukan.

Semoga pilihan dibuat sejak usia muda ini membawa kematangan dan kepakaran dalam bidang Seni Kulinari dari awal dan mencipta kerjaya perniagaan sendiri yang cemerlang. InsyaAllah.

Sumber: Nordiana Din

MW: Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan inspirasi kepada mak, ayah yang tengah buntu mencari aliran terbaik untuk anak-anak. Aliran vokasional sekarang bukanlah semata untuk anak-anak yang sederhana akedemik, sebaliknya ia terbuka buat semua anak-anak. Paling penting cungkil minat dan kecenderungan mereka.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI