Kehidupan berumahtangga perlu ada sikap tolak ansur. Zaman ekonomi sekarang kebanyakan suami dan isteri perlu bekerja untuk menampung ekonomi keluarga. Namun seringkali masalah timbul apabila gaji isteri lebih besar daripada gaji suami. Isteri akan cenderung untuk menanggung keluarga serba serbi hingga suami culas dengan tanggungjawabnya sebagai suami.
Apabila berada dalam situasi sebegini sebenarnya perlu cari penyelesaian yang wajar. Suami isteri kedua-duanya perlu sedar diri dan mainkan peranan masing-masing.
Isteri perlu ingat setinggi mana pangkat di tempat kerja dan sebesar mana pun gaji yang diperolehi, apabila di rumah dia masih seorang isteri. Begitu juga suami, walaupun bergaji kecil namun tetap perlu memberi nafkah dan pikul tanggungjawab sebagai suami iaitu ketua rumahtangga.
Hadamkan nasihat daripada Kaunselor, Puan Normaliza Mahadi ini sebagai panduan.
Saya selalu jumpa pasangan yang isteri mempunyai gaji lebih tinggi daripada suami.
Di sini ada 2 masalah:
1. Isteri terdorong untuk menanggung semua perbelanjaan keluarga.
2. Suami rendah diri tak sudah.
Dua-dua ni akan menimbulkan masalah.
Saya bagi cadangan percuma aje di sini;
1. Suami mesti menanggung semua perbelanjaan yang sepatutnya ditanggung seperti rumah, makanan, pakaian dan lain-lain yang berkaitan.
Hanya begini.
Ads
A. Rumah yang suami mampu bayar RM750 sebulan. Tapi isteri fikir dengan pendapatan yang dia ada, patutnya dapat tinggal rumah harga RM2000.
Tak apa. Suami akan membayar RM750 sebulan dan isteri bayar selebihnya. Isteri kena redhalah. Kalau tak kenalah tinggal rumah yang harganya RM750.
Tak apa jika tak jadi kahwin dari awal. Elok dari dah kahwin asyik bertengkar sebab rumah. Bising, nanti jiran komplain dan anak pun pening.
B. Kemampuan suami beli vacum corvan masa tengah sales. Isteri pulak memang kepingin nak beli dyson.
Suami bagi peruntukan yang dia mampu, isteri tambah.
Ini contoh kelengkapan rumah.
C. Bab makan.
Makanlah seadanya mengikut kemampuan suami. Jika kekurangan, isteri boleh tambah sebagai sedekah kepada keluarga.
Ads
D. Pakaian
Suami boleh bagi isteri budget ikut gajinya, isteri pula tambah ikut jenama handbagnya.
Suami pulak janganlah sikit-sikit Yelah abang ni tak sekolah tinggi. Abang sedar diri abang ni sapa. Mentanglah abang ni tak mampu. Abang tahu abang ni melukut tepi gantang.
Hari tu kedua pihak dah setuju nak kahwin. Dari dating dah tahu bakal isteri pakai kasut Prada dan bakal suami pakai Bata!
Jadi carilah penyelesaian yang siuman.
Masing-masing kena sedar diri.
Ada gaji besar masih pangkat isteri.
Ada gaji kecil perlu pikul tanggungjawab suami.
Doa anak istimewa Puan Ainizal Abdul Latif ini awalnya mengundang rasa geram di hati ibunya. Bila mana anak ini memohon pertolongan Allah agar diberi kemenangan untuk dia melepasi game level 7.
Boleh urut dada ibu yang mendengar. Namun, ibu yang baik takkan cepat melatah. Berfikir dengan tenang itu kunci kekuatannya. Pengarah Akademi Genius Wold Solution ini akhirnya tersedar dan bersyukur dengan peristiwa itu.
Kerana dia percaya, anak autismenya itu dilahirkan, dibesarkan dan dididik untuk syurga bukan untuk dunia. Hayati perkongsian Puan Ainizal.
Semoga April ini lebih ramai lagi sedar dengan pentingnya untuk mengasihi dan menyayangi anak-anak autisme yang ada di sekeliling kita.
Kau Untuk Syurga, Bukan Dunia
“Ya Allah, tolonglah abang. Abang nak main game xxx ni, level 7. Tolong bagi bantuan supaya abang menang ya Allah. Allah kan baik, tolonglah abang. Abang mesti menang game ni. Kalau tidak habis semua senjata dan duit yang abang dah beli dan kumpul..Amin..”
Mama curi dengar bait-bait doa mu dari belakang. Mula-mula dengar rasa geram. Geram kerana mama rasa, kau menggunakan doa mu untuk memohon sesuatu yang tidak datangkan manfaat untuk mu.
Tapi bila fikir semula, mama rasa insaf dan kurang bersyukur pula. Bukan kah untuk 7 tahun belakangan ini, inilah perjuangan yang selalu mama minta pada Allah supaya di perkenan dan dipermudahkan?
Ya, mama berjuang sungguh mengajarkan anak autisme mama ini, agar pandai berdoa kepada Allah. Agar kau pandai mengangkat tangan merayu dan mengadukan walau sekecil masalah mu pada Allah.
Agar kau tahu, tiada kuasa lain dapat membantu mu kecuali Allah. Kau sudah mampu buktikannya apabila kau sudah pandai mengangkat tangan sendirian memohon doa diperkenankan walaupun hanya untuk kemenangan mu bermain game.
Sepuluh Tahun Lagi, Kau Akan Tahu Sayang
Hari ini mungkin keterujaan untuk memenangi level game itu menjadi cabaran utama mu. 10 tahun lagi, kau akan tahu sayang, ada terlalu banyak cabaran, ujian dan kekejaman dalam dunia sebenar yang kau akan hadapi di luar sana.
Mama hanya mahu kau percaya, dengan manusia kau akan sering kecewa. Tetapi untuk setiap satu kesukaranmu, kau perlu yakin dan tahu, kau bakal mendapat pertolongan Allah melalui doa mu.
Seperti bait-bait lagu Arjuna Beta, berdoalah sayang, kerana mama tak kan ada sentiasa. Satu masa jodoh kita di dunia pastinya sampai ke garis terakhir jua. Hari itu, mama mahu kau sedar bahawa kau hidup bukan kerana adanya mama.
Sebaliknya kau hidup atas rahmat dan kasih sayang tuhan mu. Percayalah, selama kau merasa tuhan mu ada, selama itu kau tidak akan pernah merasa hidup mu terkesan dengan celaan manusia.
Kau, yang sering di lihat kurang oleh manusia, namun sudah tentu syurga buat mu sudah siap ada. Jika perlu di hisab atas sedikit kesedaran yang Allah kurniakan, mungkin tidak akan di hisab seteruk kami yang nampak sempurna, tetapi hakikatnya penuh dengan cela dan dosa.
Hadir Mu Untuk Menghilangkan Sifat Keakuan Dalam Diri
Kau dikurniakan untuk mengajar kami menghilangkan sifat ke ‘aku’ an dalam diri. Yang mengatakan anak-anak itu dari kami, ibu bapa mu sendiri. Nasib mu boleh dibeli dengan ego dan nafsu kami.
Sebaliknya kau menyuburkan sifat ke ‘hamba’ an kami. Supaya kami sedar kau adalah amanah yang Allah titipkan bagi menguji samada nikmat ini kami lalui dengan sabar dan syukur, atau ingkar dan kufur.
Bagi menguji kami cukupkah sandaran kami pada tuhan saat tiada satu makhluk pun dapat menjadi jaminan dalam menentukan nasib dan perubahan. Kerana tuhan bukan melihat pada keputusan, sebaliknya usaha dan ketakwaan kami ketika mendepani ujian.
Mungkin di dunia ini penuh pedih, kerana kau bukan di hadirkan untuk menikmati dunia, sebaliknya tempat mu adalah syurga. Dunia ini di lihat orang sebagai ujian bagi mu.
Amanah Untuk Kami Santuni
Namun hakikatnya ia adalah menjadi ujian bagi kami yang di amanahkan untuk menyantuni mu. Bagi semua masyarakat yang mampu atau tidak memahami perbezaan mu.
Untukmu dan semua kawan-kawan syurga mu yang dipilih Allah, samada kalian sudah mampu mengangkat doa, atau yang masih Allah simpan suara-suara kalian di syurga, bertahan lah untuk segala kesusahan dan ketidakfahaman yang kau terima sementara di dunia ini.
Kerana kau untuk syurga..bukan untuk dunia yang penuh prejudis dan segala macam ketidak adilan yang menyesakkan deria.
Selamat Hari Kesedaran Autisme untuk semua bunga-bunga syurga pilihan Allah.
Wanita dan anak, ibarat isi dan kuku. Anak adalah sebahagian daripada diri wanita setelah dirinya bergelar seorang ibu. Kadang kala kemahuan dan keinginannya diketepikan demi anak yang tersayang. Bukan sahaja kemahuan sendiri, kadang-kadang kemahuan suami pun agak terabai kerana menguruskan anak-anak.
Sikap ini lama-kelamaan tanpa isteri sedar membuatkan sang suami mula berjauh hati dan seterusnya rasa terpinggir. Tetapi tolong fahami lah keadaan isteri wahai suami, anak-anak perlukan isteri anda melebihi kalian. Ikuti pandangan Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat tentang isu ini.
“Saya melihat dari sudut fitrah, sememangnya naluri seorang ibu akan lebih dekat dan cenderung menghabiskan waktu untuk anak-anak. Ini terutamanya selepas melahirkan anak pertama, ibu pastinya sangat teruja dan kadangkala boleh menyebabkan terabai peranan seorang isteri terhadap suami, tanpa sedar.
“Ia bukanlah suatu kesalahan tetapi perlulah diurus dengan ilmu dan kemahiran yang sebaiknya,” ujarnya memulakan perbualan.
Malahan, situasi begini perlu difahami secara bersama. Secara umumnya, seorang suami perlulah faham perubahan yang berlaku, kerana sebelum ini masa digunakan untuk mereka berdua, tetapi ia berbeza apabila jumlah masa yang sama perlu dibahagikan untuk tiga orang.
Selain itu, isteri yang bijak juga perlu menumpukan perhatian kepada anak-anak tanpa menyebabkan suami terasa terpinggir. Keterujaan bersama anak-anak perlu dikawal agar tidak keterlaluan, kadangkala tanpa sedar kita melayan suami dengan cara melayan anak-anak menyebabkan suami rasa tidak dihormati dan kadangkala kita tidak mendisiplinkan masa yang sesuai untuk melayan anak dan untuk suami.
Perkara ini berlaku kadang kala dengan pelbagai alasan seperti anak perlukan kita tanpa mengira waktu, anak-anak masih kecil perlu diberi layanan yang lebih atau alasan suami sudah pandai menjaga diri dan dewasa untuk berfikir menguruskan diri sendiri.
Ini adalah antara alasan yang akhirnya menjadikan kita berterusan tanpa ada motivasi untuk berubah dan akhirnya menjejaskan hubungan serta pastinya mengganggu keharmonian keluarga yang dibina. Seharusnya rumah tangga yang dibina menjadi indah dengan lahirnya anak-anak.
Hadkan waktu untuk anak & Suami
Di samping, jelas Dr Mohd Noor, tidak salah dan sewajarnya ibu memberikan perhatian kepada anak-anak. Apatah lagi sewaktu anak-anak masih kecil dan bergantung sepenuhnya kepada ibu. Namun kita perlu bijak untuk menghadkan waktu-waktu tertentu melayan suami:
Bermainlah dengan anak bersama-sama suami agar masa tersebut dapat dirasai oleh kedua-dua anak dan suami.
Kadang-kadang kita rasakan tidak adil jika suami marahkan kita bercakap tentang anak-anak, sedangkan anak adalah milik bersama yang perlu diberi perhatian. Namun, rancang supaya ada waktu kita bercakap tentang anak, ada waktu bercakap tentang hubungan kita dengan suami juga, ada waktu untuk membelai anak-anak dan ada waktu untuk bermanja dengan suami. Layanlah juga suami bercakap tentang hobinya, malah berilah sokongan tentang kerjayanya.
Menjadi ibu yang selekeh dengan baju lusuh mungkin tidak salah, malah memudahkan kita menyusukan anak-anak tetapi suami kita adalah lelaki yang fitrahnya sukakan wanita yang cantik, bergaya pakaian dan menarik.
Elakkan daripada ketiadaan masa untuk bersama suami, apatah lagi suami telah pun begitu lama bersabar sepanjang waktu pantang kita. Memang diyakini suami akan memahami dan boleh bertoleransi, tetapi jangan sampai dia terasa kehilangan langsung.
Ada benarnya juga sesetengah suami yang mengadu, seolah-olah kehidupan isteri seharian hanya untuk anak semata-mata. Untuk tidak terasa kekosongan sebegitu, bahagikan masa kita bersama anak, wujudkan juga masa suami bersama anak dan masa kita bersama suami. Jangan sesekali kita gunakan alasan anak untuk tidak bersama suami.
Jangan biarkan sesuatu permintaan suami diulang lebih dua kali. Ini kerana permintaan yang diulang bermaksud serius dan penting untuk diberi perhatian, sekiranya diulang lebih tiga kali atau suami mulai berdiam selepas mengulang beberapa kali, mungkin bermakna dia berjauh hati atau terasa tidak diendahkan.
Sayangilah anak, tetapi hormatilah suamI. Uruskan anak, tetapi jangan lupa jaga penampilan cantik untuk suami. Elakkan tidur bersama anak, kerana suami juga memerlukan kita sebagai temannya. Hormati fitrah suami, mudah-mudahan suami juga mudah bertoleransi untuk kebahagiaan kita.
Kesan Buruk
Kesimpulannya, menurut Dr Mohd Noor, situasi sebegini akan menimbulkan beberapa implikasi seperti kes suami mulai curang selepas isteri melahirkan anak. Malah ada satu kajian yang dibuat di Amerika Syarikat mendedahkan antara punca perceraian yang berlaku adalah disebabkan isteri yang terlalu keibuan dan suami yang terlalu kebapaan.
“Suami memerlukan kita sebagai isteri, dengan sifat ke”isteri’an, bukannya keibuan. Akibat terlalu mengutamakan anak, isteri yang menumpukan perhatian terlalu banyak kepada anak-anak menjadikan tanpa sedar, lebih terbawa-bawa bersifat keibuan, walaupun ketika bersama suami. Begitu juga sebaliknya, isteri juga mengharapkan suami yang bersifat ke’suami’an, bukannya kebapaan.
“Malah mudah sebenarnya untuk difahami, fitrah suami sebagai lelaki sentiasa memerlukan seorang isteri yang menghormati dan mentaatinya. Disebabkan persoalan kali ini menjurus kepada peranan isteri, untuk kita sebagai isteri, saya yakin kita telahpun menjalankan tugas yang betul apabila menumpukan keperluan anak-anak dalam keluarga,”katanya lagi.
Namun, dengan kaedah dan pendekatan yang bijak, insyaallah tidak menyebabkan suami rasa terpinggir. Contohnya, kita elakkan kesan negatif yang mungkin berlaku kepada suami seperti rasa tidak dihormati, rasa sunyi lantaran tiada teman untuk bermanja dan dibelai, malah mungkin terasa kehilangan isteri yang cantik, seksi dan menggoda disebabkan karakter kita sebagai ibu biasanya tidak menampilkan sifat-sifat sebegitu.
Akhirnya, kita bimbang lama-kelamaan tanpa kita mengendahkannya, kehilangan yang dirasai oleh suami tadi diisi oleh orang lain. Bukan sahaja hubungan kita yang terganggu, malah hubungan suami dengan anak kita juga mungkin tidak menjadi baik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Anak tidak sah taraf alami pelbagai impak emosi dan psikologi terutama selepas mengetahui tentang status diri mereka. Anak tidak sah taraf, atau anak yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan, sering menghadapi pelbagai cabaran psikologi yang boleh memberi impak jangka panjang terhadap perkembangan emosi dan sosial mereka.
Memetik artikel dari Sinar Harian, Pegawai Psikologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Norezzati Md Hanafiah berkata, kesan itu bergantung kepada pengalaman individu, dinamik keluarga dan sistem sokongan di sekeliling mereka.
Menurutnya, anak tidak sah taraf mungkin bergelut dengan krisis identiti dan mereka berisiko mengalami kesukaran memahami perasaan sendiri di samping mengadaptasinya dengan norma dan tanggapan masyarakat.
“Ada ketika, mereka dibelenggu dengan perasaan malu atau keliru tentang latar belakang keluarga. Selain itu, stigma yang dikaitkan dengan tidak sah taraf memberi kesan kepada rasa yakin dan harga diri. Mereka turut berasakan diri tidak diterima atau dihakimi akibat dibelenggu dengan tanggapan masyarakat.
“Situasi sebegini secara tidak langsung menyebabkan anak tersebut berasa tidak layak berada dalam masyarakat atau kurang rasa dihargai berbanding rakan-rakan lain,” katanya.
Sebelum ini pelakon dan pengacara, Myra Natasya mendedahkan bahawa dia sebenarnya merupakan anak luar nikah kepada personaliti radio popular, Halim Othman.
Mengulas lanjut, Norezzati berkata, ramai anak tidak sah taraf lebih memilih untuk merahsiakan kebenaran daripada diketahui umum.
“Kesan daripada itu, anak tersebut akan berlawan dengan diri sendiri sekali gus mengalami tekanan, kebimbangan atau kemurungan. Lebih memburukkan lagi apabila mereka berasa malu atau rendah diri seterusnya menjadi penghalang integrasi sosial.
“Dalam bidang pendidikan dan kerjaya pula, mereka mungkin menghadapi halangan disebabkan tanggapan serong tersebut. Kesan jangka panjang, mereka bergelut untuk mengakses sumber atau peluang yang tersedia,” katanya.
Jelas beliau, walaupun anak tidak sah taraf diasak dengan cabaran yang mendatang, jika dilihat daripada satu sudut berbeza, perkara itu memberikan ruang kepada mereka untuk membina daya tahan yang lebih bagus bagi menghadapi alam dewasa.
Ujarnya, dengan sokongan dan sumber yang betul, mereka boleh mengatasi kesukaran dan berkembang maju walaupun dibelenggu oleh stigma serta tanggapan serong masyarakat.
Kesan Psikologi pada Anak Tak Sah Taraf
Berikut adalah beberapa kesan psikologi yang biasa dialami oleh anak tak sah taraf:
1. Rasa Rendah Diri dan Tidak Berharga
Anak tak sah taraf mungkin mengalami rasa rendah diri dan tidak berharga kerana stigma sosial yang dikaitkan dengan status kelahiran mereka. Mereka mungkin merasakan diri mereka tidak setanding dengan rakan sebaya yang lahir dalam ikatan perkahwinan yang sah.
2. Masalah Identiti
Masalah identiti adalah isu utama yang sering dihadapi oleh anak tak sah taraf. Mereka mungkin keliru mengenai identiti mereka, terutama jika mereka tidak mengetahui atau tidak rapat dengan bapa kandung mereka. Ketidakpastian mengenai asal-usul boleh menimbulkan kebimbangan dan rasa tidak stabil dalam pembentukan identiti diri.
3. Isu Emosi dan Kelakuan
Anak tak sah taraf mungkin lebih terdedah kepada masalah emosi seperti kemurungan dan kebimbangan. Mereka juga mungkin menunjukkan kelakuan yang bermasalah seperti pemberontakan, kesukaran dalam mengawal emosi, dan masalah disiplin di sekolah. Ini adalah akibat daripada tekanan emosi yang mereka alami.
4. Ketidakstabilan Sosial
Anak tak sah taraf mungkin menghadapi kesukaran dalam membina hubungan sosial yang sihat. Mereka mungkin merasa sukar untuk mempercayai orang lain dan membina hubungan yang akrab. Rasa malu atau takut diejek oleh rakan sebaya juga boleh menghalang mereka daripada bergaul dengan bebas.
5. Cabaran dalam Pendidikan
Prestasi akademik anak tak sah taraf mungkin terjejas akibat daripada masalah emosi dan kelakuan yang mereka alami. Kurangnya sokongan emosi dan sosial boleh menyebabkan mereka kurang bermotivasi dan berprestasi rendah di sekolah.
6. Stigma Sosial
Stigma sosial terhadap anak tak sah taraf masih wujud dalam masyarakat kita. Mereka mungkin menghadapi diskriminasi dan ejekan daripada rakan sebaya dan juga masyarakat. Stigma ini boleh menyebabkan mereka merasa terasing dan tidak diterima dalam komuniti.
Langkah Membantu Anak Tak Sah Taraf
1. Sokongan Emosi
Penting untuk anak tak sah taraf mendapat sokongan emosi yang kukuh dari keluarga dan rakan-rakan. Keluarga terdekat perlu memberikan kasih sayang, perhatian, dan memahami perasaan mereka.
2. Pendidikan dan Kesedaran
Meningkatkan kesedaran dalam masyarakat mengenai hak-hak dan kebajikan anak tak sah taraf adalah penting untuk mengurangkan stigma dan diskriminasi. Pendidikan kepada ibu bapa dan guru mengenai cara mengendalikan isu ini juga boleh membantu.
3. Kaunseling dan Terapi
Menyediakan akses kepada kaunseling dan terapi boleh membantu anak tak sah taraf menangani isu emosi dan psikologi mereka. Terapi individu atau kumpulan boleh memberikan ruang untuk mereka meluahkan perasaan dan mendapatkan sokongan.
4. Pembangunan Diri
Membantu anak tak sah taraf untuk membina keyakinan diri melalui aktiviti pembangunan diri seperti sukan, seni, dan kemahiran hidup boleh memberikan mereka rasa pencapaian dan meningkatkan harga diri.
Anak tak sah taraf memerlukan perhatian dan sokongan yang khusus untuk memastikan mereka dapat berkembang dengan baik dan menjadi individu yang sihat dari segi emosi dan sosial. Masyarakat perlu memainkan peranan dalam menyediakan persekitaran yang positif dan inklusif untuk mereka.
“Tudung is my hair. Kalau tak ada tudung, rasa macam botak. Masak pun pakai tudung, tidur pun dengan tudung…inilah perkongsian dari artis legenda, Bonda Noor Kumalasari.
Dalam pertemuan Mingguan Wanita bersamanya, bintang kesayangan ramai ini turut sebak dan mengalirkan air mata tatkala bercerita tentang hijrah 30 tahun lalu mengenai pemakaian tudung yang dilakukannya seterusnya memilih untuk tidak lagi bergelar anak seni walau menerima banyak tawaran.
Mengimbau kenangan lalu, kata Bonda Noor, dahulu balik dari Makkah, dirinya masih tidak menutup aurat dengan sempurna biar ada dinasihati oleh suaminya kerana mati itu akan berlaku tanpa kita tahu.
“Ketika itu Kak Noor cakap, Kak Noor nak pakai ikut kata hati. Kak Noor minta pada Allah dan itulah yang berlaku hingga ke hari ini. Tak pernah tanggal langsung dah. Dah macam rambut.
Lagi satu bila kita memilih bertudung, kena tanya pada hati kita. Kita pakai untuk siapa? Pakai untuk diri sendiri? Untuk suami? Atau kerana Allah? The best thing pakailah kerana Allah kerana itu adalah syariat dan tuntutan menutup aurat bagi wanita. Ya itulah kita kena lakukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...