Gajet sudah satu keperluan dalam kehidupan masa kini. Peredaran zaman yang pesat kini membentuk sebuah cara hidup yang berbeza dengan zaman yang lepas. Arus teknologi yang kian deras mengubah cara hidup kita. Jika dahulunya tatapan kita adalah material berbentuk kertas dan buku namun sekarang peralihan kepada tatapan skrin. Segala maklumat berada di hujung jari tanpa batasan masa.
Hakikat ini jika tidak dapat dikawal, secara individu dikhuatiri membentuk sebuah gaya hidup yang kurang sihat dari sudut emosi. Oleh sebab, kehidupan dengan gajet ini sudah membentuk gaya hidup seseorang malah masyarakat, maka ia juga turut menjadi perkara yang lumrah di kalangan kanak-kanak.
Gajet dan kanak-kanak adalah perkara yang sinonim kini kerana ini adalah zaman mereka. Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhamad, pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), juga salah seorang kolumnis di dalam Majalah MINGGUAN WANITA.
FB:https://www.facebook.com/naznur.muhamadIbu bapa yang dihormati, oleh sebab itu pemisahan kanak-kanak dengan gajet sememangnya agak sukar tak kira anak remaja atau yang kecil. Ini kerana mereka hidup di dalam persekitaran yang menjadikan gajet sebagai salah satu daripada rutin kehidupan.
Bahkan, di rumah dan di mana-mana sahaja mereka berada, masyarakat sekeliling menggunakannya. Adalah menjadi lumrah jika mereka juga turut menunjukkan minat untuk memegang dan berinteraksi dengannya. Walau bagaimana pun, kanak-kanak terutamanya masih belum dapat membezakan antara perkara yang baik dan perkara yang perlu dielakkan. Jadi di sini peranan kita selaku ibu bapa perlu menjelaskannya kepada mereka.
Ini merupakan antara cabaran ibu bapa di abad 21 yang perlu dihadapi bukan dihindarkan, kerana anak-anak kita perlu juga didedahkan dengan gajet dan cara yang betul untuk berinteraksi dengannya.
Bagi saya, adalah lebih bahaya jika dia berkenalan dengan gajet secara sembunyi, tanpa pengawasan kita. Ini kerana, di dalamnya terdapat seribu satu kemudaratan jika tidak digunakan dengan tujuan dan cara yang baik. Jadi, anak-anak kita perlu tahu akibat dan implikasi negatif yang mungkin diperoleh sewaktu menggunakannya. Apatah lagi cara yang betul untuk berinteraksi dengannya.
Apa laman web yang boleh dilihat, maklumat apa yang patut dihindarkan dan tidak perlu dilayari. Semua ini harus dipantau dan diberitahu secara jelas kerana anak-anak kita sangat baik persepsinya, dia mungkin sahaja akan percaya dan terpengaruh dengan segala maklumat yang dibaca atau ditonton.
Pembacaan, tontonan yang mempengaruhi emosinya akan juga mempengaruhi persepsinya terhadap diri dan kehidupan. Kepercayaan ini akan mempengaruhi tingkah lakunya. Lebih dikhuatiri, dia tidak dapat menceritakan hal tersebut kepada kita kerana takut akan dimarahi. Jadinya, kita tidak dapat memberitahunya apa yang betul dan apa yang seharusnya dihindarkan.
Oleh yang demikian, tidak salah untuk memperkenalkan anak-anak dengan gajet kerana mereka hidup di dalam zaman yang sememangnya dipenuhi dengan gajet. Mereka harus tahu cara yang betul untuk berinteraksi dengannya.
Mungkin pada waktu ini, iaitu pada usia anak-anak kita yang masih kecil tumpuannya hanya pada permainan atas talian dan cerita kanak-kanak. Jadi, berikan dia panduan untuk memilih cerita yang baik dan permainan yang wajar. Kemudian berikan limit waktu. Setelah limit waktu tamat, ambil gajet tersebut daripada tangan anak dan komited dalam melakukannya.
Alihkan perhatiannya. Apabila perkara ini terbiasa dengannya. Dia akan faham bahawa dia hanya boleh menggunakannya pada had masa tertentu. Apabila dia makin dewasa, berikan panduan lebih jelas bagaimana berinteraksi dengan maklumat yang berada di dalamnya dan penggunaan media sosial yang baik. Insya-Allah panduan yang diberikan ini akan membantu mereka berinteraksi dengan dunia baru dengan baik.