Gagal Kawal Kesedihan, Luluh Hati Ayah Berkali-Kali Kucup Jenazah 3 Beradik

Share

Sungguh, bukan mudah menerima kehilangan anak-anak tersayang apatah lagi ‘pemergian’ mereka secara serentak. Gagal mengawal kesedihan, bapa kepada tiga beradik yang maut akibat renjatan elektrik di Kampung Bendang Surau, Morak, di sini, Mohd Nadzir Mohamad, menangis di sisi jenazah.

Mohd Nadzir, 67, dilihat berkali-kali mengucup tiga anak perempuannya, Nurul Syazwani, 33, Sakinah, 29 dan Noor Fathiah, 27, sebaik semua jenazah tiba di Masjid Al Ismaili, Kampung Morak, jam 11 malam tadi, selepas proses bedah siasat selesai dibuat di Hospital Tumpat.

Kira-kira 200 yang hadir mengiringi jenazah tiga beradik itu sebaik tiba dengan menaiki tiga van jenazah dan disolatkan di masjid berkenaan.

Reda Pemergian Anak-Anak

Dalam keadaan mengalirkan air mata, Mohd Nadzir reda dengan pemergian anak ketiga, lima dan enam dari lapan beradik itu dalam keadaan menyayat hati.

Dia berkata, tiada perubahan ketara ditunjukkan tiga beradik itu kecuali layanan yang mesra diberikan oleh Nurul Syazwani dan Noor Fathiah, terhadap dirinya kebelakangan ini.

“Sebelum ini, ketiga-tiga mereka memang sudah baik budi pekerti tapi kebelakangan ini melayan saya dengan sangat baik terutama Syazwani dan Fathiah yang sering bertanyakan makan minum saya.

“Jika saya beritahu nak makan apa-apa, mereka segera menyediakannya dan saya tidak mengesyaki apa-apa sebaliknya apabila berlaku tragedi ini, baru saya sedar akan perubahan itu,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Jenazah tiga beradik itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Morak di sini, jam 11.45 malam tadi.

Tak Mampu Lupakan Kejadian Hitam

Mohd Nadzir berkata, masih terbayang di ingatannya mengenai kejadian yang menimpa tiga anaknya itu pagi tadi dan memberitahu tidak pasti mampu atau tidak untuknya melupakan detik itu.

“Luluh hati saya melihat tiga anak dalam keadaan bergelimpangan dalam air dan sebaik bekalan elektrik diputuskan, saya segera menerpa ke arah mereka bertiga sambil gagal menahan air mata meratapi pemergian mereka dengan cara itu.

“Tidak dapat dinafikan naluri sebagai ayah menyebabkan saya sebak mengenangkan takdir ini namun dalam masa yang sama menerimanya dengan reda,” katanya.

3 Beradik Terkena Renjatan Elektrik

Dalam kejadian 11.45 pagi semalam, tiga beradik itu terkena renjatan elektrik sebaik seorang daripada mereka berpegang pada sebatang tiang di rumah jiran yang mengalirkan elektrik apabila ingin bermain air banjir.

Tindakan itu menyebabkan ketiga mereka jatuh ke dalam air sebelum tubuh menjadi seakan kejang dan meninggal dunia serta-merta.

Baca Lagi Di Sini: Ibu Kongsi 3 Beradik Sangat Rapat, Anak Mengadu Sakit Dada & Menyebut Soal Kematian Sebelum Tragedi

Mesti Baca: Terpaksa Harungi Banjir Guna Bot, Bawa Keluar Jenazah Nenek Untuk Dikebumikan

Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.

Mingguan Wanita: Salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga diberi kekuatan dan ketabahan hati dalam menghadapi ujian berat ini. Al fatihah.

Sumber: Hmetro

Published by
Suhaidah Abd Wahab