Mana-mana ibu pun berdoa agar setiap anaknya cemerlang akademik dari sekolah rendah. Namun, tak semua anak dapat penuhi harapan ibu. Sebab kemampuan mereka berbeza-beza.
Dan ibu, usah terlalu memberi tekanan kepada anak. Lagi-lagi anak yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR dalam minggu terakhir persekolahan ini. Biar apa pun keputusan mereka, ibu peluklah, kekal dalam mood positif demi si anak.
Perkongsian Ezatul Marini yang sebelumnya begitu tegas dengan si anak. Begitu kecewa apabila anak tak dapat capai apa yang ibu harapkan. Sampai satu tahap, ibu ini mengalah. Yakin bahawa yang penting adalah akhlak dan pegangan agama anak itulah sebenar-benar erti bahagia
Minggu ini minggu terakhir sesi persekolahan bagi tahun 2018. Minggu ini juga anak-anak Tahun 6 akan menerima keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya percaya bukan hanya guru, ibu bapa lebih merasakan debaran menjelang pengumuman keputusan peperiksaan ini.
Saya pernah melalui keadaan ini. Kedua- dua pengalaman membawa cerita yang berbeza. Sebagai alumni sekolah berasrama penuh, saya menekan anak sulung agar cerdas dalam pelajaran. Saya menyimpan cita- cita andai tidak ke sekolah yang pernah menjadi “alma mater” saya, mungkin anak layak untuk dimasukkan ke sekolah kawalan.
Yang menjadi kerisauan saya adalah seandainya anak tidak dapat mencapai keputusan sasaran saya. Beliau saya gesa agar berusaha sehabis daya. Berbeza pula dengan Abahnya, anak saya langsung tidak mendapat sebarang tekanan untuk selalu cemerlang dalam peperiksaan.
Di hari keputusan UPSR diumumkan, saya tidak sanggup menjengah ke sekolah. Suami yang kebetulan mengajar di sekolah yang sama dengan anak, menawarkan diri untuk menemankan beliau semasa menerima keputusan.
“Bagaimana kalau keputusannya teruk? Pasti kaum keluarga akan sibuk bertanya!” Libang- libu perasaan saya sepanjang menanti keputusan diumumkan.
Akhirnya keputusan diterima dan nyata harapan saya bakal berkubur. Saya jemput mereka dari sekolah dengan linangan airmata. Tidak ada sepatah kata pun yang mampu saya keluarkan.
“Ummi, saya minta maaf ye. Saya tidak dapat keputusan yang baik” saya hanya bungkam. Malas hendak berkata apa- apa.
Malamnya, saya seperti tidak mampu memandang wajah sang anak. Airmata laju menuruni pipi. Saya mogok. Makanan pun tidak mahu saya jamah.
Dalam hati perasaan kecewa, terkilan, sedih, kasihan dan marah bercampur-baur. Hilang sudah semua nasihat-nasihat dan kata-kata semangat yang pernah saya berikan kepada anak-anak saudara yang pernah juga diuji dengan keadaan yang sama.
Esoknya saya hamburkan rasa kepada seorang kawan. “Mahal rupanya redha itu kan? Mudahnya kita minta orang lain bersabar dan redha saat mereka teruji dan malangnya bila diri sendiri yang terkena, redha itu hilang entah ke mana” nasihat lembut yang diberikan sahabat itu seolah jentikan pertama yang saya terima pasca penerimaan keputusan peperiksaan sang anak.
Akhirnya, selepas beberapa hari suami bersuara. Beberapa soalan dilontarkan kepada saya, yang di antaranya:
i. Apa sebenarnya perasaan saya?
ii. Perasaan itu sebenarnya berkenaan siapa? Anak? Diri sendiri? Keputusan yang diperolehinya?
iii. Mengapa ada perasaan- perasaan berkenaan
Suami minta saya duduk dan fikirkan adakah adil bila saya mengambil keputusan untuk menghukum anak atas keputusan yang diterimanya.
Sungguh, saya tersedar betapa kejam saya terhadap sang anak dek kerana tidak dapat menerima keputusan yang dibawanya pulang. Seperti yang saya terangkan berbagai perasaan bercampur- baur, marah dan terkilan kerana pada saya andai dia berusaha lebih gigih pasti keputusannya tidak sedemikian.
Malu kepada rakan- rakan dan kaum keluarga serta pandangan orang yang merasakan seharusnya sang anak cemerlang. Kecewa kerana harapan dan cita- cita yang saya angan- angankan terkubur di permulaan penjelajahan ilmunya.
Saya lupa bahawa seharusnya saya memberikan jaminan kepada beliau bahawa apa yang diperolehinya bukan penamat segala, ada banyak lagi peluang dan ruang untuk beliau betulkan apa sahaja kekurangan. Saya teralpa tentang qada dan qadar Tuhan serta konsep menerima apa sahaja ketentuan Allah dengan lapang dada.
Yang paling mengesankan bila suami menyudah perbincangan dengan lontaran kata, “atau awak ni sebenarnya bukanlah marah sangat dengan keputusan anak. Yang menjadi masalah awak sekarang, pandangan dan penilaian orang”
Itu cerita tahun 2009. Tahun 2016 kami sekali lagi mengadap situasi serupa. Tetapi kali ini, saya lebih bersedia dan lapang dada. Biarpun pencapaian anak kedua sangat sederhana, saya lebih positif dan tidak lagi seperti sebelumnya.
Sekadar ingatan untuk kita bersama,
i. Di pagi hari keputusan diumumkan, cubalah terus- terusan tanamkan dalam hati untuk berlapang dada dengan apa sahaja yang bakal jadi keputusannya
. Baik disyukuri, andai tidak begitu memberansangkan juga wajar dipanjatkan kesyukuran. Semuanya cerita dan perancangan Allah. ii. Peluk anak, raikan mereka biar apa pun keputusan yang mereka terima. Mereka telah berusaha sehabis daya. Mereka telah mencuba dan pastinya tiada seorang anak pun yang tidak mahu gembirakan hati ibu bapa.
iii. Berikan mereka kata- kata semangat. Elakkan soalan kenapa? Mengapa? Dan jangan sekali- kali terhambur kata- kata yang boleh membunuh motivasi dan emosi mereka.
iv. Duduk dan rangkakan perancangan seterusnya. Andai cemerlang, halakan mereka ke institusi yang sesuai. Andai kurang, rangkakan juga pelan jangka panjang dan pendek untuk perbaiki keadaan.
qqv. Paling utama, itu anak kita, yang setiap masa kita doakan, kita asuh dan didik. Tidak cemerlang akademik tidak bermakna anak bakal corot akhlak dan agamanya. Jangan putus- putus doa.
MW : Ingat ya mak ayah, anak gagal akademik tak bermakna anak itu gagal untuk segalanya. Mak terus berikan sokongan positif. Siapa tahu, anak inilah nanti yang akan jaga mak ayah apabila sampai usia senjanya.
Sumber/Foto : Ezatul Marini