Tempoh pertunangan merupakan satu langkah lagi sebelum menempuhi alam perkahwinan.Namun perlu diingatkan buat para gadis tempoh bertunang bukanlah lesen untuk menjalin asmara dengan pasangan masing-masing. Bukan jaminan pun bakal menjadi pasangan suami isteri.
Gara-gara patah hati,seorang gadis nekad ‘membunuh’ janin yang berusia 20 minggu selepas kecewa bekas tunang tidak mahu bertanggungjawab ke atas diri dan bayi dikandungkannya di Kuala Nerus, Jumaat lalu.
Gadis berusia 22 tahun itu dipercayai sanggup membeli 10 biji ubat keguguran jenis kapsul yang berharga RM600 bagi memastikan janin hasil hubungan seks bersama bekas tunangnya sebelum itu mati.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, suspek mengaku menelan dua biji kapsul dan lapan biji lagi dimasukkan ke dalam kemaluannya kira-kira jam 1 pagi di rumah sewanya di Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, di sini.
“Dalam masa sama, demi memastikan janin lelaki dikandunginya itu mati sepenuhnya, suspek bertindak minum minuman bergas dan sejam kemudian suspek mengalami sakit perut yang teruk.
“Kira-kira jam 11 malam hari sama, suspek melahirkan bayi lelaki yang cukup sifat seberat 304 gram dan sudah tidak bernyawa sebelum bertindak membersihkan bayi tersebut lalu membalutnya dengan tuala,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, semalam.
Menurutnya, suspek yang ketakutan dan dalam keadaan terlalu lemah mengambil keputusan ke klinik swasta berhampiran bersama janinnya itu sebelum memaklumkan mengenai kegugurannya.
“Pekerja di klinik terbabit memberikan nombor telefon individu untuk dihubungi bagi urusan pengebumian janinnya namun diminta membuat laporan polis terlebih dahulu sekiranya mahu menguruskan urusan pengebumian itu.
“Dalam keadaan terpaksa, suspek reda dan masih ingin bertanggungjawab dengan janinnya, dia pergi sendiri ke Balai Polis Gong Badak untuk melaporkan kejadian dengan membawa janinnya sekali yang ketika itu diletakkan di dalam bakul motosikalnya,” katanya.
Jelas Suffian lagi, suspek yang berada dalam keadaan terlalu lemah kini dihantar bagi mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan bedah siasat ke atas janin itu tidak dijalankan berikutan berat janin tidak sampai 500 gram.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana menggugurkan kandungan yang boleh dihukum penjara 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Mingguan Wanita mengharapkan agar para wanita, khususnya golongan gadis jagalah kehormatan diri walau sayang macam mana pun, hatta dengan tunang sendiri.Buat mak ayah, walaupun anak-anak dah bertunang, janganlah diberi lesen kebebasan mutlak buat mereka. Tetaplah pantau perhubungan dan perlakuan anak-anak.
Sumber: Sinar Harian