Gadis Cekal Berperahu Rentas Sungai Rajang Ke Sekolah Kini Berjaya Bergelar Peguam! Hasil kesungguhan dan kecekalan dalam menuntut ilmu, menghasilkan kejayaan yang cemerlang. Meskipun terpaksa bersusah payah dan melipatgandakan usaha dalam menimba ilmu.
‘Basak Budouk Basak Tenguk’. Itu pepatah dalam dialek Melanau Dalat yang membawa maksud asalkan rajin berusaha akan memperoleh hasil yang lumayan.
Pepatah itu juga mengambarkan usaha kental Jacquelyn Juliet Suching, 25, wanita asal Kampung Kebuaw, di sini, sebuah perkampungan pendalaman di Sarawak mengejar impian ke menara gading sehingga berjaya bergelar peguam.
Ubah Nasib Keluarga
Wanita Melanau Iban yang berasal daripada keluarga petani itu bersemangat mahu mengubah nasib keluarganya dengan pendidikan biarpun perlu merentas Sungai Rajang dengan menaiki perahu dihantar ibu setiap hari untuk ke sekolah.
Kisah Jacquelyn Juliet mendapat perhatian di TikTok selepas peguam muda itu berkongsi video yang dimulai dengan dirinya ketika berusia 11 tahun pulang dari sekolah ditunggu ibu di perahu, bergraduasi dan ditauliahkan sebagai peguam.
Berkongsi kisahnya, Jacquelyn Juliet berkata, kampungnya terletak di bahagian hilir Sungai Rajang dan selama enam tahun dia menjadikan perahu sebagai pengangkutan utama ke sekolah di persisiran Sungai Rajang, Batang Igan.
Ads
Ibu Bapa Utamakan Pendidikan
Menurutnya, setiap hari dia akan dihantar dan diambil ibu, Catherine Stin, 48, yang mengemudi perahu sendirian, sementara bapa, Suching Jugei, 58, mengambil upah berkerja di kebun rumbia milik orang.
“Sebagai anak pedalaman saya sudah biasa merentasi Sungai Rajang, malah tak berasa takut menyeberanginya biarpun ada buaya kerana perahu satu-satunya kenderaan kami di kampung untuk ke sekolah. Lagipun saya tahu hanya dengan pendidikan dapat mengubah nasib kita.
“Malah saya beruntung mempunyai ibu bapa yang sangat mengutamakan pendidikan, malah pendapatan tidak menentu sebagai petani dan mengambil upah mengerjakan kebun rumbia tetap diutamakan untuk persekolahan kami,” katanya.
Cuti Sekolah Bantu Mak Ayah Di Kebun Rumbia
Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, ketika berusia 13 tahun dia belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Miri dan setiap kali cuti sekolah dia akan membantu ibu bapa di kebun rumbia untuk mencari pendapatan lebih, manakala waktu makan dimanfaatkan untuk mengulangkaji pelajaran.
“Kehidupan sederhana tanpa kemewahan di kampung yang tiada kemudahan Internet yang baik, jalan raya dan air bersih mendidik saya untuk tekad mengejar impian sekali gus membuktikan anak pendalaman juga boleh mencapai cita-cita.
Ads
“Sehingga belajar di universiti saya dan adik-beradik masih membantu mak dan ayah di kebun rumbia. Itu juga menaikkan semangat saya untuk memberi kesenangan kepada mereka yang banyak mengorbankan masa serta tenaga untuk kami,” katanya yang berkerja di sebuah firma guaman di Bintulu.
Kerja Keras Ibu Bapa
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah itu berkata, kejayaan yang diperolehinya disifatkan bukan usahanya semata-mata sebaliknya ia adalah kerja keras ibu bapanya yang membanting tulang empat kerat.
“Saya masih baru dalam bidang perundangan kira-kira setahun tujuh bulan termasuk tempoh chambering dan apabila sudah tamat belajar saya melihat apa diperolehi ini hasil usaha pahit manis sejak kecil menjadikan saya sebak.
“Walaupun mak ayah hanya petani tetapi mampu membentuk masa depan kami dengan pendidikan. Tiga adik saya juga masing-masing bergraduasi dan masih belajar di universiti tempatan dan seorang di Australia, manakala dua abang saya sudah berkeluarga dan berkerja,” katanya yang masih bujang.
Berhubung video TikToknya, Jacquelyn Juliet berkata, video itu dirakam guru matematiknya, Cikgu Ermi pada 2009 dan ketika itu dia adalah pelajar terakhir yang pulang selepas mengikuti kelas tambahan di sekolahnya.
Katanya, Cikgu Ermi memberikan video itu kepadanya pada 2018, namun dia tidak pernah berkongsi video berkenaan di media sosialnya sebelum tergerak hati untuk memuat naik di TikTok, baru-baru ini sebagai kenangan selain penghargaan buat ibu bapa dan guru serta pensyarahnya.
Mingguan Wanita: Tahniah atas kejayan mencapai cita-cita bergelar peguam. Meskipun laluannya tak mudah, terpaksa meredah sungai yang ada buaya dengan perahu ketika pergi ke sekolah, namun tetap cekal untuk rajin belajar. Semoga menjadi inspirasi buat anak-anak yang lain.
Bukan semua orang mempunyai kelebihan dalam seni melukis. Ia merupakan anugerah yang tidak ternilai jika memilikinya.Bertuah menjadi pelakon dan model Anzalna Nasir, 30 yang bukan sahaja cantik jelita, malah cukup berbakat dalam bidang lukisan.
Bagi pengikut instagram teraju utama drama bersiri ‘Memori Cinta Suraya’ini, Anzalna sering memuat naik, hasil lukisannya untuk dikongsikan bersama para peminatnya.Pelbagai jenis lukisan telah dihasilkan antaranya berbentuk abstrak, bunga-bungaan, merak, permandangan, bangunan kaabah dan yang terkini potret Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed.
Hasil Jualan Untuk Kebajikan
Menariknya, hobi baru melukis Anzalna ini, mula berputik sejak sejak bulan Ramadan lalu dan berterusan sehingga kini.Lebih istimewa, bermula daripada hobi suka-suka, setiap lukisan yang dihasilkan tersebut kemudiannya dijual dan duit hasil jualan tersebut diberikan untuk tujuan kebajikan bagi golongan yang memerlukan. Murni sungguh hati Anzalna ini.
Hasil lukisan Anzalna juga mendapat permintaan yang cukup menggalakkan daripada pengikut dan peminatnya di Instagram. Kekerapan Anzalna melukis, sehinggakan ada yang bertanya sama ada, Anzalna telah bertukar profesyen daripada seorang pelakon kepada seorang pelukis.
Sebaliknya pelakon cantik dan berbakat besar ini menjelaskan bahawa bidang lakonan merupakan minatnya dan masih menerima tawaran berlakon sehingga sekarang. Syarikat Global Station dan Suhan antaranya yang sering menawarkan drama 100 episod dan telemovie.
Menurut pelakon ini, dia tidak bersedia untuk berada di set untuk melakukan penggambaran kerana terpaksa menghabiskan semua lukisan yang telah ditempah. Secara jujurnya, Anzalna mencintai apa yang dia sedang lakukan dan mengucapkan terima kasih kepada yang setia memberi sokongan pada dirinya. Insya Allah, beliau akan kembali berlakon semula segera.
Tambah beliau lagi, melukis memerlukan masa yang banyak. Lukisan yang dibuat untuk Tun Mahathir, Perdana Menteri kita ini memerlukan masa yang amat panjang untuk memastikan ia siap. Sambil berseloroh, Anzalna berharap mendapat tanda tangan daripada Tun M untuk dia dapat melakukan lebih banyak lagi kerja kebajikan selepas ini.
Tahniah buat Anzalna atas hobi baru ini.Dah lah cantik jelita, pandai melukis pulak tu. Bukan sahaja hobi suka-suka tapi siap boleh beramal dan buat kebajikan. Semoga Anzalna tetap terus melukis menghasilkan lukisan yang cantik-cantik.
Antara lukisan yang dihasilkan oleh Anzalna, sangat cantik dan sungguh berbakat!
Sudah ajalnya, penuntut lelaki jurusan Sains Univeriti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil, Selangor maut selepas jatuh dari tingkat empat bangunan asramanya ketika berbual menerusi telefon bimbit.
Namun sebelum belaku kejadian ini, ayahnya ada rasa sesuatu yang pelik pada arwah anaknya. Ini seperti yang diceritakan olehnya sendiri apabila anaknya meluahkan rasa nak belanja kawan-kawannya makan rambutan.
“Ayah, bawa buah rambutan banyak-banyak, Addin nak belanja kawan-kawan satu blok.”
Pesanan itu masih terngiang di telinga Azmi Alias, 54, bapa kepada Allahyarham Nik Muhammad Addin, 18, yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan asramanya, malam tadi.
Cerita Dari Si Ayah
Azmi ketika berkongsi saat akhir bertemu anaknya berkata, Addin baru tiga minggu berada di Universiti Teknologi Mara, Dengkil mengikuti kursus Sains Asasi.
“Semalam, saya bersama isteri (Nik Azizon Nik Tauran) dan abangnya (Nik Muhammad Aliff) mengajak Addin ke rumah pakciknya di Port Dickson untuk makan durian namun Addin memaklumkan tidak dapat ikut kerana banyak tugasan dan kertas kerja yang perlu disiapkan.
“Dia berpesan meminta kami singgah apabila dalam perjalanan pulang dan meminta agar saya membawa buah rambutan sebanyak yang mungkin.
“Saya berikan satu plastik penuh rambutan, tetapi Addin beritahu tidak cukup kerana dia ingin belanja semua kawan-kawannya. Saya pelik kerana dia baharu sahaja berada di situ selama tiga minggu tetapi sudah mempunyai ramai kawan.
“Kami berempat kemudian ke kompleks beli belah untuk membeli baju untuk arwah anak saya. Sebelum kami pulang, ibunya sempat berpesan kepadanya supaya belajar rajin-rajin, dan dia hanya tersenyum kepada isteri saya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan PJS4, Petaling Jaya, hari ini.
Ibunya Sendiri Memeriksa Nadi
Mengimbas kembali ketika menerima berita sedih kejadian menimpa anak bongsunya, Pakar Teknikal di syarikat swasta itu berkata, isterinya menerima panggilan kira-kira 11 malam.
“Saya kemudian memandu kereta selaju yang mungkin. “Sebaik tiba, saya lihat anak saya terbaring dan ditutup dengan kain, saya meminta isteri saya yang juga seorang doktor untuk memeriksa nadinya. Isteri saya mengesahkan Addin sudah meninggal dunia.
“Arwah seorang budak yang sangat baik, bila saya memberikan khabar sedih ini kepada jiran dan sesiapa yang mengenali, semua sedih. Dia tidak pernah cerita buruk mengenai orang lain, dan dia seorang anak yang boleh diharap.
“Hati saya rasa berat dan sedih sangat. Saya menjaganya daripada dia masih kecil, setiap hari saya hantar dia daripada mula masuk tadika hinggalah ke sekolah menengah. Bila dia masuk ke UiTM, tidak sampai sebulan, kami kehilangannya,” katanya.
Berbual Menerusi Telefon Bimbit
Allahyarham Nik Muhammad Addin disembahyangkan di Surau Al Husna, Taman Medan Baru sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan PJS4.
Menurut keterangan rakannya yang juga saksi kejadian, mangsa sedang berbual menerusi telefon bimbit sambil duduk di atas palang besi balkoni menghadap ke luar bangunan.
Mangsa tergelincir daripada besi itu sebelum terjatuh dari ketinggian tingkat empat bangunan berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Abdul Aziz berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Info: Harian Metro Dan Astro Awani
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pakaian seragam pramugari bagi sesetengah syarikat penerbangan lazimnya mempunyai potongan baju ketat mengikut bentuk badan, terdedah pada bahagian tertentu malah memerlukan memakai kasut bertumit tinggi untuk ‘kelihatan anggun’ ketika menjalankan tugas.
Gaya Lebih Selesa & Sopan
Bagaimanapun, syarikat penerbangan tambang murah Ukraine, SkyUp Airlines berani membuat kelainan dengan melakukan perubahan dalam pakaian seragam rasmi pramugarinya kepada gaya yang lebih selesa dan sopan.
Ia dilakukan susulan hasil tinjauan yang dilakukan syarikat itu yang mendapati kebanyakan krunya meluahkan rasa tidak selesa serta bosan dengan gaya kasut tumit tinggi, skirt dan blaus ketat.
Keselesaan Maksimum Ketika Bertugas
Justeru, syarikat penerbangan berkenaan memberi pilihan kepada pramugarinya untuk mengenakan pantsuit berona jingga yang merangkumi blazer longgar, baju T putih, seluar panjang beserta kasut sneaker Nike Air untuk mendapatkan keselesaan maksimum ketika bertugas. Malah gaya penataan rambut juga ditukar daripada sanggul kepada gaya ‘braid.’
Pramugari senior SkyUp Airlines, Alexandrina Denysenko berkata bahawa adakalanya dia tidak memiliki masa terluang untuk duduk ketika penerbangan untuk merehatkan kakinya yang bengkak setelah menghabiskan masa berjam-jam dengan memakai kasut tumit tinggi.
Menurut Denysenko, tidak dinafikan bahawa memakai kasut tumit tinggi membuatkan penampilan menarik tetapi pramugari terpaksa menahan derita kesakitan pada kaki.
Malah katanya, jika kru kapal perlu melakukan pendaratan di atas permukaan air atau pemindahan kecemasan, ia amat tidak selesa.
Pelancaran Rasmi 22 Oktober
Pembaharuan pakaian seragam baru itu akan dilancarkan secara rasmi pada 22 Oktober ini. Dalam pada itu, syarikat penerbangan terbabit turut melancarkan pakaian seragam baharu untuk pramugara.
Benarlah keselesaan adalah kunci utama dalam menggayakan apa jua pakaian. Bila selesa, secara automatik tugas menjadi lebih lancar. Semoga pembaharuan yang dilakukan oleh SkyUp Airlines ini menjadi inspirasi kepada syarikat penerbangan lain.
Baca Lagi Di Sini:
Minta Nombor Telefon Tak Dilayan, Beri Kad Nama Hilangkan! Akhirnya “Pramugari” Disatukan Dengan “Penumpang”
3 Tahun Jadi Pramugari, Hilang Kerja Kini Jual Tong Gas
Mulianya Hati Pramugari, Sanggup Menyusukan Bayi Menangis Kehabisan Susu Formula Dalam Pesawat!
Mingguan Wanita: Wah memang terbaik, inisitif dan perubahan yang dilakukan oleh syarikat penerbangan tambang murah Ukraine, SkyUp Airlines. Lebih menghormati wanita dengan berpakaian sopan dan pastinya kru yang bertugas juga dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih selesa. Semoga menjadi ikutan syarikat penerbangan lain diseluruh dunia juga.