Gadis lemaskan anak sendiri dalam mangkuk tandas, banduan akhir menangis dibebaskan.
Setiap manusia tidak terlepas dari membuat kesilapan. Sama ada ia besar atau kecil kerana tiada siapa yang maksum. Sama ada ia melanggar undang-undang atau tidak. Namun tidak semua kesilapan itu mesti berakhir dengan hukuman kerana aturan Allah itu sudah tertulis buat hamba-Nya yang menyatakan penyesalan.
Satu perkongsian dari aktivis masyarakat Natipah Abu di facebooknya menarik perhatian ramai. Ini kerana sewaktu melawat Penjara Pokok Sena, Kedah, dirinya telah bertemu dengan seorang banduan akhir (dinamakan Zati) yang menghadapi tuduhan membunuh anak sendiri di dalam mangkuk tandas, hasil hubungan tanpa nikah ketika di kolej.
Hanya dirinya dijatuhkan hukuman sementara lelaki yang menghamilinya masih bebas.
Gadis Lemaskan Anak Sendiri Dalam Mangkuk Tandas
Satu perkongsian dari aktivis, Natipah Abu mengenai kisah gadis ini membuatkan ramai ingin tahu perjalanan hidupnya. Sama ada menjalani hukuman mati atau bagaimana.
Dan semalam, semasa perbicaraan kesnya di Mahkamah Rayuan, panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan membebaskan gadis ini serta merta.
Dari hukuman mati kepada dibebaskan serta merta selepas dimaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi Nur Izzati Adi, 26, yang memohon pertuduhan lebih ringan iaitu daripada membunuh kepada menyebabkan kematian.
Ternyata sebaik kes dibacakan, Nur Izzati menangis kerana dilepaskan serta merta dari pertuduhan membunuh kepada menyebabkan kematian bayinya sendiri.
“Perayu dibebaskan serta-merta hari ini (Selasa) dan saya arahkan warden penjara untuk membuka gari perayu dan perayu boleh berjalan keluar dari mahkamah dengan lapang dada,” kata Hadhariah yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Mohamed Zaini Mazlan.
Pada 10 April 2017, Nur Izzati didakwa membunuh mangsa di tandas asrama perempuan aras tiga Kolej Pertanian Malaysia Bukit Kayu Hitam, Kedah pada pukul 5.20 petang 30 Mac 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Banduan Akhir Menangis Dibebaskan
Baca rentetan cerita awalnya sebelum sinar perjuangan itu berhasil..
SURAT CINTA DARI PENJARA
Membaca kisah Allahyarhamah Nur Anisah ( 21 thn ), seorang gadis yatim piatu yang mati dibunuh dengan kejam oleh kekasihnya sendiri dalam keadaan hamil empat bulan … mengingatkan Kak Pah tentang seorang lagi gadis yang Kak Pah temui ketika majlis berbuka puasa di Penjara Pokok Sena tempohari.
Zati .. dia telah dijatuhi hukuman mati setelah melahirkan anak sendirian di dalam tandas dan anak itu ditemui mati di dalam mangkuk tandas kolejnya. Ketika kejadian .. dia baru berusia 19 tahun.
Bayangkan .. apa perasaan gadis semuda itu saat melihat bayi yg dilahirkan meluncur laju lalu jatuh ke dalam mangkuk tandas.
Dalam keadaan sakit dan ketakutan yang amat sangat, apalah yang mampu dia fikirkan lagi.
Kronologi perjalanan kisah mereka berdua seakan hampir sama. Menjadi korban akibat cinta dalam usia yang masih terlalu muda.
Kedua wanita malang ini, hakikatnya punya jiwa yang penuh dgn kasih sayang dan sangat naif kerana tetap meneruskan kehamilan mereka tanpa ada niat atau usaha untuk menggugurkan kandungan lebih awal.
Namun ternyata, keduanya akhirnya tewas apabila seorang mati dibunuh dengan kejamnya oleh kekasih sendiri dan seorang lagi pula sudah dijatuhi hukuman mati.
Cuma bezanya, teman lelaki Allahyarhamah Nur Anisah sudah diseret ke muka pengadilan manakala teman lelaki Zati yang telah bergelar banduan akhir itu, masih bebas tanpa sebarang pertuduhan.
Wahai ibu ayah di luar sana, jaga dan didiklah anak kita baik-baik. Kehidupan hari ini sangatlah keras.
Bukan hanya anak perempuan saja yang perlu dilindungi tapi anak lelaki juga harus diajar tentang betapa pentingnya melindungi.
Baru-baru ini .. Kak Pah berpeluang menziarahi keluarga Zati di kampung.
Ads
Hanya Allah saja yang tahu betapa sebak hati tatkala menyambut salam dan berbalas pelukan dengan seorang ibu yang tak pernah berputus harap agar si anak dapat kembali semula ke pangkuannya.
Menatap wajah si ayah, jiwa lelaki itu sarat dengan rindu dan harapan agar anak tersayang terselamat dari hukuman mati.
Yaaa … mereka akui memang Zati bersalah di atas segalanya. Zati meniti alam remaja di dalam penjara dan kini sudah 7 tahun lamanya Zati di dalam sana.
Entah berapa lama lagi Zati akan terus berada sana, tiada jawapannya.
Harapan Zati kini hanya dengan mengemukakan rayuan ke mahkamah dan proses itu bukanlah mudah.
Selain memakan masa yang panjang, ia juga memerlukan wang yang banyak untuk kos guaman.
Terakhir … ialah mengharapkan kepada pengampunan Di Raja.
Kata ibu Zati, mereka sekeluarga kuat dan tabah untuk menghadapi apa saja cemuhan atau ujian yang datang sejak Zati ditahan kecuali satu …
Yang satu itu cukup untuk menghancur luluhkan perasaan mereka. Satu itu ialah, bila mana melihat Zati dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan dalam keadaan bukan hanya tangan saja yang bergari tapi kaki juga bergari.
Saat itu …air mata mereka tumpah tidak tertahan lagi. Hanya Allah saja yang tahu betapa dalamnya kasih mereka kepada anak itu.
Sedihnya hati bila mengenangkan bagaimana anak yang dididik dgn penuh kasih sayang, seorang yang manja dan sangat menghormati kedua ibu ayah itu, akhirnya terpaksa menempuh jalan hidup yang penuh tragis.
Ads
Sungguh sukar utk mereka jelaskan alasannya. Yang mampu mereka katakan .. inilah takdir hidup yang harus mereka jalani dgn tabah.
Mereka tidak pernah putus berdoa agar Allah S.W.T mengampuni segala dosa Zati.
Membaca nukilan hati yang Zati titipkan buat ayah dan ibu tercinta, ternyata dia sudah benar-benar insaf atas apa yang terjadi.
Semoga Allah ampunkan segala dosa dan terimalah taubatnya.
Jun nanti .. kes Zati akan didengar di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
Doakanlah agar Zati dibebaskan dan dpt kembali semula ke pangkuan keluarga.
Sungguh Allah tidak pernah memandang kepada bermulanya hidup seseorang. Yang dipandang dan dinilai kelak ialah bagaimana pengakhirannya.
Justeru itu, untuk suatu apa pun … kita jangan pernah jemu berdoa dan mengejar pengampunan Allah …
Sisi lain Tok Ram mengikut isterinya, Datin Alyah. Siapa yang macam Tok Ram? Kalau sekali dah suka kat tempat tu, tempat tu je lah kita pergi setiap kali
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Operasi mencari dan menyelamat Mohammad Ashraf Hassan, 29 atau lebih dikenali dengan nama Acap terus digerakkan oleh pihak Bomba. Malah Sabtu ini seramai 160 anggota PDRM akan melakukan misi pencarian Acap secara besar-besaran.
Hari ini, sudah 21 hari Acap tidak dapat dikesan jejaknya. Beberapa sukarelawan ada yang masih meneruskan misi mencari Acap dengan biaya kos mereka sendiri. Ada juga yang sudah kembali meneruskan tugas hakiki.
Malah pemuda Broga, Mohd Azarul Mukhriz Abd Rahman, 22 yang pernah hilang disorok bunian turut mendaki Bukit Batu Putih bersama Bomba. Meninjau lokasi terakhir Acap sebelum dilaporkan hilang.
“Bukan depa (bunian) yang ambik dia (Acap), malah saya dan ibu tidak merasai kehadiran dia (Acap) di bukit itu dan di Gua Kandu.” maklumnya yang turut ditemani ibunya, Rohana Saad, 51.
Sesungguhnya ujian kehilangan anak ini amat berat untuk ditanggung. Begitu juga tak mudah untuk seorang isteri dan anak, melupakan perasaan rindu pada suami dan ayah yang cukup dinanti.
Ada Kes Orang Hilang Lebih Setahun Baru Jumpa
Sebenarnya beberapa tahun lalu, ada juga kes orang hilang yang melibatkan rakyat Malaysia. Kehilangan itu mengambil masa, hingga 46 hari malah lebih setahun untuk ditemui. MW imbas kembali kes-kes terdahulu yang pernah berlaku :
Kes 1 : 46 Hari, 7 Anak Orang Asli Sesat Di Hutan
Sayu sebenarnya kisah anak-anak orang asli yang hilang di Pos tohoi, Gua Musang ini. Selama 46 hari mereka tidak pulang ke asrama Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi.
Kejadian ini berlaku pada 23 Ogos 2015, yang mana murid-murid ini tidak pulang ke asrama kerana takut dihukum. Selepas mereka mandi sungai berhampiran sekolah tanpa kebenaran.
Operasi mencari anak-anak ini melibatkan PDRM, Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia, RELA, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), penduduk kampung dan ibu bapa mangsa.
Sehinggalah pada 7 Oktober 2015, seorang mayat kanak-kanak Orang Asli Pos Tohoi ini dtemui dalam keadaan reput oleh penduduk kampung di Sungai Perias, iaitu kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi.
Dua hari kemudian, dua daripada tujuh kanak-kanak itu dijumpai selamat dekat Sungai Perias. Mereka adalah Norieen Yaakob, 10 dan Miksudiari Alij, 11.
Pencarian empat lagi kanak-kanak orang asli diteruskan sehinggalah hari ke-51.
Kes 2 : Setahun Hilang Di Madinah, Dijumpai Di Makkah
Jemaah umrah Malaysia bernama Nor Azimah Ibrahim, 32 ini pernah dilaporkan hilang pada 19 Disember 2015 di Madinah. Ibu kepada seorang anak perempuan ini berlepas ke Tanah Suci dengan ibu dan bapanya pada 11 Disember 2015.
Pada hari kehilangan Azimah, ibu dan bapanya ke Masjid Nabawi untuk solat subuh. Tetapi anaknya tak mahu ikut dan pulang ke hotel. Ketika dalam perjalanan pulang itulah dia pengsan lalu dihantar ke hospital.
Apabila mendapat perkhabaran ibu bapanya bergegas ke wad kecemasan hospital. Setibanya di sana, dikatakan Azimah sudah keluar. Sejak itu mereka tak lagi bertemu anaknya.
Bagaimana pun, setahun selepas kehilangan anaknya, iaitu pada 13 Disember 2016 Azimah ditemui semula. Pihak berkuasa Arab Saudi menghubungi pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah.
Dimaklumkan wanita ini ditahan di pusat tahanan imigresen di Makkah. Awal Januari 2017, Azimah kembali ke pangkuan keluarganya yang menetap di Shah Alam.
Namun, sampai hari ini kisah sebenar kehilangan Azimah selama setahun lamanya masih menjadi tanda tanya.
MW : Semoga kehilangan Mohammad Ashraf ini dapat dirungkaikan oleh pihak pencari. Sama-samalah kita wahai rakyat Malaysia, jangan berhenti berdoa yang baik-baik untuk Acap dan mereka yang terlibat dalam misi mencarinya.
Sumber/Foto : Sinar Harian, Astro Awani, Mstar, Berita Harian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Apabila suaminya dihantar bertugas di Republik Namibia, kerisauan melanda di hati. Bagaimana agaknya keadaan di negara yang cukup asing bagi dirinya itu. Begitulah yang dialami oleh Puan Ida Alina Salleh, 46, yang menetap di Namibia sejak Januari 2016 kerana mengikut suami yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke negara tersebut.
“Mungkin ada banyak salah faham di kalangan kita tentang negara-negara di Afrika. Benua Afrika amat besar. Namibia terletak di selatan benua, berjiran dengan negara Afrika Selatan. Penduduknya hanya 2.5 juta orang dan kawasan Savannah yang luas menjadi tempat permainan berbagai-bagai haiwan liar yang amat cantik.
“Alhamdulillah, tidak banyak masalah bagi kami untuk menyesuaikan diri di sini. Rakan-rakan kami sekeluarga tidak terhad daripada kalangan kumpulan diplomatik saja. Kami gembira kerana dapat bergaul dengan masyarakat Namibia tanpa mengira pekerjaan atau taraf hidup mereka,” ujar Ida Alina memulakan bicara.
Aktif Aktiviti Kebajikan
Menurut Ida Alina, di sana dia banyak terlibat dengan aktiviti-aktiviti NGO dengan penduduk setempat. “Sebagai isteri seorang Pesuruhjaya Tinggi dan ibu kepada anak yang masih bersekolah, aktiviti harian saya amat padat. Selain membantu dalam penyelenggaraan kerja-kerja keraian di Rumah Malaysia, dan mengambil bahagian dalam kerja-kerja kebajikan bersama Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan) bersama-sama dengan warga Malaysia di Namibia, saya juga terlibat dengan aktiviti-aktiviti persatuan pasangan diplomat di Namibia (Association of Diplomatic Spouses in Namibia).
“Sejak kami tiba di Namibia, nasib anak-anak dan wanita miskin menjadi fokus aktiviti kebajikan kami di sini. Saya bersyukur kerana Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini juga amat prihatin dan telah memilih untuk membantu pusat anak-anak yatim dan miskin Mammadu di Otjomuise. Bersama Perwakilan, kami mengadakan program makanan sihat di mana kami menyediakan makan tengahari dan sumbangan barang makanan ruji bagi anak-anak di pusat ini sebulan sekali. Pada bulan Ramadan, kami menjalankan program ini seminggu sekali,” jelas Ida Alina.
Program Bantu Kanak-Kanak Celik Huruf
Buat masa ini, Ida Alina juga meluangkan banyak masa menjalankan aktiviti-aktiviti dengan program “Read Namibia”.
“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membaca pada umumnya, serta menyediakan bahan bacaan dan aktiviti membaca bagi anak-anak miskin dan terpinggir. Program ini disokong oleh Kementerian Pendidikan,
Kesenian dan Kebudayaan Namibia, dan turut disertai oleh Wanita Pertama Namibia, Madame Monica Geingos.”Tahap pendidikan di Namibia, sama seperti di Malaysia. Sistem persekolahannya juga berasaskan sekolah rendah, menengah dan pendidikan tinggi. Memandangkan usia negara yang masih muda, masih terdapat cabaran bagi setengah-setengah anak muda untuk mencapai impian ke menara gading, sebagaimana keadaan negara kita pada satu masa dahulu.
“Buat masa ini, saya merupakan Pengerusi bagi Perwakilan Namibia dan Presiden bagi Persatuan Pasangan Diplomatik (ADS). Saya juga merupakan salah seorang daripada kumpulan pengasas bagi program Read Namibia. Saya juga sukarelawan yang menjalankan kelas membaca bagi anak-anak yang memerlukan di sekolah Combretum Trust.
“Sebagai Presiden Persatuan Pasangan Diplomatik, tugas-tugas menyelenggarakan aktiviti-aktiviti amal mengambil masa kerana ianya perlu dijalankan dengan teliti dan sempurna. Alhamdulillah, kami berkerjasama seperti adik- beradik dan pada tahun 2017, persatuan ADS berjaya menjalankan dua aktiviti kutipan amal iaitu Bazaar Antarabangsa ADS dan ADS Gala Dinner. Aktiviti-aktiviti ini berjaya mengisi tabungan untuk projek bangunan bagi anak-anak yang memerlukan di Mammadu Trust.
“Bagi Read Namibia, tugas saya banyak berkisar dalam membantu menyelenggarakan program-program membaca. Saya juga terlibat dalam melatih guru-guru di sekolah melalui bengkel-bengkel metodologi membaca dan penyediaan bahan alatan mengajar. Satu lagi tugas saya adalah membantu melatih sukarelawan-sukarelawan baru dari Namibia yang akan meneruskan usaha Read Namibia menganjurkan aktiviti-aktiviti membaca di dalam komuniti masing-masing, dan jugasebagai barisan pelapis yang akan meneruskan program Read Namibia sepeninggalan kami dari negara ini,” jelasnya lagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Baru nak lena, tetiba terganggu dengan orang sebelah yang tidur berdengkur. Mungkin ada sesetengah orang dah biasa tidur berdengkur dan anggap itu perkara biasa. Namun macam mana pula kalau tidur berdengkur itu sampai mengganggu orang lain?
Haaa… jaga-jaga ya, itu menandakan individu berkenaan memerlukan rawatan bagi mengatasi atau setidak-tidaknya mengurangkan dengkurannya.
Realitinya ramai yang masih tak tahu yang berdengkur mengakibatkan seseorang itu tak dapat kualiti tidur yang diinginkan. Ketika berdengkur badan sebenarnya tak mendapat rehat secukupnya. Akibatnya mereka mudah mengantuk pada siang hari, kerap tidur, kelihatan tidak bermaya dan tidak boleh fokus pada kerja.
Sebenarnya jika seseorang itu berdengkur, itu menandakan saluran pernafasannya terhalang. Ini disebabkan halangan dalam saluran pernafasan. Getaran tisu pada bahagian kerongkong menyebabkan bunyi dengkuran itu muncul.
Buat mak-mak yang nak tahu lebih tentang punca berdengkur, baca pengisian Dr Ezairy M.Sallih ini…
Punca Berdengkur
Kenapa kita tidur berdengkur?
Cuba lihat perkara ini
1. Terlalu penat letih
Tisu dan otot yang lemah akibat keletihan di bahagian dalam mulut dan belakang tekak akan mengakibatkan pesakit mudah mengalami berdengkur. Anda, saya dan kita semua boleh menghadapi masalah ini
2. Berat badan berlebihan
Pengumpulan lemak akibat berat badan berlebihan di sekitar salur pernafasan mengakibatkan masalah berdengkur. Turunkan berat badan ke tahap ideal!
3. Masalah hidung
Nasal polyp salah satu puncanya. Buat pemeriksaan doktor jika anda ada masalah pada hidung.
4. Masalah tekak
Ramai ada masalah tonsil yang besar, tapi mereka tak sedar. Selain boleh menyebabkan serangan berulang kali, pesakit turut boleh mengalami masalah berdengkur.
5. Lain-lain
Ini termasuk ubat tidur, meningkat usia, merokok, alkohol, saiz anak tekak dan lidah yang besar dan berbagai-bagai lagi.
Periksa doktor jika anda ada masalah ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!