Permulaan tahun baharu menyaksikan Samsung memperkenalkan peranti pintar kelas perdana baharu mereka iaitu generasi Galaxy S24 yang dilengkapi dengan keupayaan Kecerdasan Buatan (AI).
Pengenalan kefungsian AI berkenaan menjadikan Samsung S24 adalah peranti pintar pertama yang melakukan integrasi penuh untuk AI serta ia memudahkan pengguna sama ada untuk melakukan carian gambar atau terjemahan masa nyata. Menerusi pengenalan generasi baharu berkenaan, siri Galaxy S24 didatangkan dengan tiga variasi iaitu Galaxy S24, S24+ dan S24 Ultra.
Presiden dan Ketua Perniagaan Mobile eXperience di Samsung Electronics, TM Roh berkata, AI memperkasa hampir setiap pengalaman dalam siri Galaxy S24, daripada membolehkan komunikasi tanpa batasan menerusi terjemahan teks dan panggilan secara pintar kepada memaksimumkan kebebasan kreatif dengan kefungsian ProVisual Engine Galaxy dan menetapkan standard baharu untuk carian di atas talian yang akan mengubah cara pengguna Galaxy menjelajahi dunia di sekeliling mereka.
“Siri Galaxy S24 mengubah cara kami berhubung dengan dunia dan menyemarakkan inovasi mudah alih untuk dekad seterusnya.
“Galaxy AI dibina atas warisan inovasi dan pemahaman kami yang mendalam terhadap cara orang menggunakan telefon mereka. Kami bersemangat untuk melihat bagaimana pengguna kami di seluruh dunia memperkasakan kehidupan seharian mereka dengan Galaxy AI untuk mengorak kemungkinan baharu,” katanya.
Menyentuh soal spesifikasi untuk Galaxy S24 Ultra, skrin peranti ini didatangkan dengan saiz skrin 6.8 inci dengan skrin paparan Dynamic LTPO AMOLED 2X bersama kadar segar semula 120Hz serta kecerahan 2600 nits.
Peranti Galaxy S24 Ultra ini masih mengekalkan tetapan empat lensa dengan keupayaan sensor 200 megapiksel (MP) sebagai lensa utama untuk merakam gambar jelas serta terperinci.
Antara ciri-ciri lain Peranti Galaxy S24 Ultra termasuklah:
Tanda harga untuk Galaxy S24 Ultra dengan storan 256GB bermula RM6,299, Galaxy S24+ (RM4,899) dan Galaxy S24 berharga RM4,099.