Sebagai manusia biasa, kita tidak lepas daripada membuat tanggapan dan persepsi (bersangka). Jika persepsi itu adalah sebuah persepsi yang baik, ia amat digalakkan dalam Islam. Malah dalam sebuah hadis Qudsi,yang maksudnya: Sesungguhnya Allah itu sepertimana yang ditanggapi oleh hamba-Nya.
Maka hadis ini memberikan kefahaman bahawa persepsi yang baik akan menatijahkan kebaikan kepada kita. Begitu juga dengan persepsi yang negatif atau tidak baik pasti juga akan mendatangkan musibah kepada diri kita sendiri, Nauzubillah.
Hal berkaitan persepsi ini juga telah diperingatkan oleh Allah SWT dengan kalamnya yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”
Begitu jugalah halnya dalam mendidik anak-anak. Pelbagai persepsi akan menerjah fikiran kita setiap kali berhadapan dengan mereka. Ada kalanya ianya sangkaan yang baik malah tidak lepas juga persepsi atau sangkaan yang tidak baik.
Persepsi yang tidak baik inilah yang wajar kita hindari ketika bersama dengan anak-anak. Jika persepsi yang ini hanya bermain di benak pemikiran kita sahaja mungkin kurang mudaratnya, namun persepsi akan mempengaruhi tingkah laku kita terhadap anak-anak.
Contohnya, jika kita mempunyai persepsi bahawa anak yang sulung rajin, maka kita akan kerap dan senang untuk meminta bantuan dan pertolongan daripadanya. Hal yang berlainan dengan anak yang tengah kerana pada tanggapan kita, anak yang tengah ini malas dan pasti mengecewakan jika meminta bantuan daripadanya.
Dua keadaan ini adalah hasil daripada tanggapan yang ada dalam pemikiran kita. Ia mungkin betul dan mungkin juga tidak betul. Namun, anak-anak telah pun menerima hukumannya iaitu melalui layanan berbeza yang kita berikan kepada keduanya.
Rakan penjaga yang saya hormati, inilah hakikat kehidupan yang harus ada titik perubahannya. Kita tidak mungkin keluar 100% daripada norma ini namun kita mampu untuk mengurusnya dengan mengubah persepsi, tanggapan, sangkaan atau yang lebih buruk lagi label kita terhadap anak-anak dengan doa.
Sungguh Allah tidak pernah salah dalam memberikan janjinya, Rasul juga tidak pernah silap memilih kata-katanya. Allah berjanji dalam kalam-Nya: “Wahai hamba-Ku mintalah daripada-Ku, pasti akan Ku kabulkan permintaanmu”.
Rasulullah s.a.w juga berpesan: “Doa itu adalah senjata umat Islam. Maka gunakanlah senjata yang kita ada dalam usaha mendidik dan membentuk peribadi anak-anak yang baik, soleh dan solehah.”
Setiap kali kita mula mempunyai sebuah tanggapan dan persepsi yang negatif kepada anak-anak kita, kita cepat-cepat gantikannya dengan mendoakan yang baik-baik untuknya.
Allah Maha Mendengar, Allah Maha Mengetahui.
Dalam setiap masa ketahuilah bahawa apa sahaja yang anak-anak kita tunjukkan daripada perilaku mereka, ada sesuatu yang Allah ingin ajarkan kepada kita yang bertanggungjawab menjaga dan mendidik mereka. Ia juga merupakan teguran manja daripada-Nya.
Anak-anak ini fitrahnya amat suci. Malah bagi anak-anak yang belum mencapai akil baligh mereka belum mempunyai dosa. Tidakkah sebenarnya kita yang banyak dosa ini yang lebih layak diberikan peringatan daripada diri mereka yang suci?
Oleh yang demikian, doakanlah mereka dengan doa yang baik-baik. Doa ibu adalah penawar kepada segala kesakitan anak-anak.
Doa ibu didengar Allah dan doa ibu punca keberkatan dalam kehidupan anak. Justeru, gunakan senjata itu untuk harta kita yang paling berharga di dunia, moga dia juga bisa mendoakan kita sewaktu tiada lagi talian hayat yang dapat membantu kita melainkan doa daripada anak-anak yang soleh kelak.
Rakan penjaga yang saya hormati, jika persepsi boleh mempengaruhi tindakan maka doa yang ikhlas juga boleh menatijahkan tingkah laku yang positif ketika melayani anak-anak kita. Hasilnya nanti, anak-anak akan juga memiliki persepsi dan tanggapan yang sentiasa positif untuk dirinya serta keluarganya, insya-Allah..wallahualam.
Penulis : Dr. Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad (Usim) merupakan kolumnis majalah Mingguan Wanita ruangan Permata Hati