Sejak beberapa hari lalu sehingga sekarang, kisah poligami Da’i Nik Ahmad Farhan yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan menjadi buah mulut netizen. Da’i Farhan merupakan pendakwah yang mula dikenali umum selepas diangkat sebagai juara program realiti Da’i Pendakwah Milenia di TV3 pada tahun 2014.
Sememangnya dia seorang yang aktif sebagai pakar motivasi dan pendakwah di sekitar Semenanjung Malaysia. Dirinya yang berkelulusan dalam bidang Pendidikan Islam dan Pengajian Al-Quran mula mendapat perhatian umum apabila dia mengambil keputusan untuk menikahi isteri keduanya yang merupakan seorang janda beranak lapan di Tanah Suci Mekah.
Lebih kontroversi apabila Farhan mendedahkan sudah dipelawa oleh 18 orang wanita yang berhasrat menjadi isteri keduanya sebelum ini. Namun sebelum ini dia mengambil keputusan untuk menolak kesemua hajat wanita itu atas dasar tiada keperluan.
Bagaimana pun sebagai manusia biasa dan telah tertulis takdirnya barangkali, dia menerima wanita ke-19 dan isteri pertamanya, Fatin berfikiran terbuka akan konsep berpologami kerana wanita tersebut pernah meminta Farhan menikahi rakannya sendiri.
Isteri kedua Farhan merupakan seorang doktor perubatan yang kini bergelar usahawan. Hari ini Da’i Farhan dijemput menjadi salah seorang tetamu jemputan di MWTalkshow dengan topik Janda Rebutan.
“Kita di dunia ini hanyalah pelakon sahaja, sebaliknya segalanya bergantung pada arahan Allah kerana dialah director. Seperti mana saya tegaskan sebelum ini, saya tidak pernah pilih siapa-siapa. Sebaliknya Allah yang pilih untuk saya iaitu seorang wanita iaitu janda anak 8. Segalanya dari Allah.
Ditanya mengapa wanita kali ini tidak mampu ditolak Da’i Farhan seperti mana menolak wanita-wanita lain. Dirinya mempunyai alasan yang tersendiri.
“Memang telah menjadi rutin, setiap bulan saya akan bawa jemaah umrah ke Tanah Suci. Orang yang kerap ke sana akan tahulah aura tanah suci tu macam mana, lain sungguh rasanya.
“Tidak dinafikan setiap kali ke sana, saya akan selalu berdoa apa yang saya inginkan. Minta apa sahaja pasti dapat dengan izin Allah, maklumlah di sana. Begitu juga soal saya nak nikah, saya boleh nikah kalau saya nak tetapi mungkin pada masa itu memang bukan jodoh saya iaitu 18 wanita sebelum itu.
“Tetapi wanita ke-19 ini lain auranya, saya tak boleh ceritakan lebih-lebih, nanti akan jadi menjadi fitnah pada saya. Semuanya aturan Allah, saya tidak mengharap pandangan orang lain, hanya pandangan dari Allah saya mahukan,” terang Farhan.
Seperti orang lain, keluarga Farhan juga seperti keluarga normal yang lain. Semuanya berbalik pada diri sendiri menurut Farhan. Perkara pertama yang kita tekankan dalam menikahi isteri kedua ialah ibadat kerana perkahwinan itu adalah ibadat.
Kedua terpenting kejujuran, sedari awal Farhan telah maklumkan hasratnya pada isteri pertama dan ahli keluarga. Tidak dinafikan di kalangan ahli keluarganya ada yang berbelah bahagi, ada setuju dan ada tak setuju. Oleh itu, Farhan ambil keputusan untuk ambil masa dan lakukan solat istikharah.
“Seterusnya, bila di Tanah Suci, saya rasa tekad untuk bernikah jadi kenapa kita nak takut. Saya tak buat semua ini di belakang tabir, maklumkan pada isteri. Dia awalnya memang tak boleh terima dan sedih. Selepas dua hari dia mula bertanya dan beransur positif.
“Tetapi tiba-tiba bertukar negatif bila dia berkongsi dengan orang lain. Namun perkara tersebut tidak patahkan semangat saya untuk mendirikan rumah tangga dengan isteri kedua,” ujarnya lagi.
Tambah Farhan, dirinya mengambil keputusan menikahi janda adalah kerana merujuk kepada sirah Nabi Muhammad s.a.w sendiri. Rasulullah sendiri isteri-isterinya terdiri daripada janda kecuali Aisyah r.a. Menurut Farhan lagi, Nabi memilih janda kerana ingin berikan kebahagiaan pada wanita yang telah kehilngan suami dan juga pada anak-anak yang kehilangan ayah.
“Bila kita selalu ke mekah, kita ada guru untuk merujuk atau tempat bertanya apa-apa tentang agama dan sendiri amalkan. Malah bagi yang tidak tahu, kalau di Tanah Arab,
kebiasaan lelaki di sana bernikah lebih dari satu dan lelaki yang beristeri satu adalah low class. Kalau kita di Malaysia orang akan tanya anak berapa. Di sana pula berbeza, mereka akan tanya berapa orang isteri. Oleh itu bila saya bertanya pada guru saya di sana, mereka akan galakkan untuk berpoligami.
“Alhamdulilah kehidupan saya dengan lapan anak dengan isteri kedua yang sangat caring amat bahagia. Anak-anak memang welcome dengan papa mereka.
“Buat masa sekarang apa yang saya ingin nasihatkan agar jangan ada pihak di luar sana mengambil kesempatan. Jangan api-apikan dan menuang minyak atas keadaan yang berlaku.
Sebenarnya segalanya nampak mudah di peringkat permulaan, tetapi mungkin ini takdirnya, jadi saya redha. Fitnah ini ibarat angin ribut yang menerbangkan dosa saya,” katanya di akhir perbualan.
Bagi mereka yang ketinggalan menonton MWTalkshow tengahari tadi, jangan lupa saksikan siaran ulangan pada jam 8 malam nanti di Astro Prima 105 dan Prima HD 121.