Dalam dunia perkahwinan yang sering dianggap sebagai lambang kebahagiaan, First Wives mendedahkan sisi gelap yang jarang diperkatakan – pengkhianatan, penderitaan, dan keberanian luar biasa dua wanita yang sudah terlalu lama memendam derita.
Mengangkat kisah dua sahabat baik sejak, Diyana dan Michelle, drama ini membawa penonton menyelami ranjau hidup rumah tangga yang retak seribu. Diyana, seorang isteri yang kelihatan tenang dan sempurna di mata masyarakat, dikejutkan dengan berita bahawa suaminya, Azzim, telah bernikah secara rahsia dengan wanita lain.
Pengkhianatan itu bukan sahaja menghancurkan kepercayaan Diyana, malah menggugat semangatnya sebagai seorang wanita.
Dalam masa yang sama, Michelle pula berdepan mimpi ngeri apabila suaminya, Roshan, menjerumuskan mereka ke dalam krisis kewangan akibat ketagihan judi. Ancaman Ah Long mula menghantui kehidupan mereka, menjerat Michelle dalam ketakutan dan tekanan yang tak berpenghujung.
Namun, dalam keputusasaan itulah terbit semangat luar biasa dua wanita ini. Demi menyelamatkan nyawa sahabatnya, Diyana mencadangkan satu rancangan gila – mencuri wang dari pasar raya milik Azzim, Azzimart, untuk melunaskan hutang Michelle.
Ia bukan keputusan mudah, tetapi persahabatan dan keinginan untuk membebaskan diri daripada cengkaman lelaki yang menghancurkan hidup mereka mengatasi segalanya.
Malangnya, rancangan mereka gagal apabila tertangkap dalam cubaan rompakan tersebut. Namun, kegagalan itu membuka jalan kepada pembongkaran yang lebih besar – kegiatan pengubahan wang haram yang dilakukan Azzim di sebalik perniagaan sahnya.
Kini, bukan sahaja mereka terperangkap dalam masalah undang-undang, malah nyawa mereka turut menjadi taruhan!
First Wives bukan sekadar sebuah drama tentang perkahwinan yang gagal, tetapi kisah keberanian wanita yang berani melawan sistem dan lelaki yang menyalahgunakan kuasa. Ia mengangkat nilai persahabatan sejati, keberanian melawan ketidakadilan, dan perjuangan untuk kembali bangkit dari kejatuhan.
Drama ini menjanjikan debaran, air mata dan inspirasi – satu naskhah yang pasti membuat penonton merenung semula makna cinta, setia, dan harga diri seorang wanita.
Seri pengantin baru jelas terserlah di wajah Mimi Lana yang menzahirkan rasa teruja apabila berpeluang membintangi drama bersiri terbaharu, First Wives.
Menurut Mimi, karya arahan Imri Nasution itu disifatkan sebagai istimewa kerana ia mengangkat tema dan memberi sokongan kepada wanita, khususnya yang berdepan dengan konflik rumah tangga.
“Sejak kebelakangan ini, kita sering disajikan dengan drama wanita menindas wanita lain seperti penyondol dan sebagainya . Namun, drama ini kerana mengetengahkan sisi berbeza wanita yang memerlukan sokongan di antara satu sama lain.
“Wanita jika mereka bergabung, kita akan jadi lebih kuat. Bila saya membawakan watak Diyana ini, saya harap para wanita yang mengalami nasib sama, suara mereka akan didengari. “-Mimi Lana.
Tambah Mimi lagi, drama ini juga merupakan drama pertama lakonannya yang membawakan watak komedi selain berpeluang merasai pengalaman wanita yang berjuang untuk mendapatkan zuriat melalui proses persenyawaan in vitro.
“Saya selalu dengar dari orang disekeliling mengenai proses yang perlu wanita lalui sepanjang rawatan IVF ini. Proses IVF ini bukanlah sesuatu yang mudah, menggembirakan kerana ia penuh dengan cabaran emosi. Setiap wanita yang melalui proses ini adalah wanita yang kuat untuk mencuba kaedah ini untuk mendapatkan zuriat.
Ia merupakan pengorbanan yang besar untuk seorang isteri melalui setiap proses tersebut kerana ia melibatkan emosi yang sukar untuk digambarkan,”ujar Mimi yang melihat kekuatan wanita banyak ditonjolkan di dalam drama First Wives ini.
Selain teruja memegang watak sebagai Diyana dalam First Wives, drama ini juga merupakan drama pertama lakonannya dalam genre komedi. Meskipun tidak menyangka kemampuan dirinya diuji dalam genre komedi, Mimi sebenarnya teruja apabila dirinya mampu membuat orang ketawa dan tidak menolak sekiranya ditawarkan watak seperti ini di masa akan datang.
“Walaupun ini drama komedi, tapi saya rasa agak sedih. Wanita ini hatinya lembut dan sanggup berikan segalanya kepada pasangan. Bila suami pula buat hal, saya jadi sedih,” katanya lagi yang banyak menggunakan emosi seorang isteri yang tertindas namun bangkit dengan cara tersendiri, hasil sokongan dan dorongan sahabat baik, Michelle yang turut sama melancarkan segala misi dan visi bersama.
Selain Mimi, First Wives turut dibintangi oleh Malek Mccrone, Melissa Campbell, Charles Roberts, Zeera Azizi dan Andy Teh.
Ia bakal ditayangkan bermula 11 April ini secara On Demand dan penstriman melalui platform Astro Go dan sooka.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE