Baru-baru ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Fuziah Salleh ada menyarankan golongan transgender menggunakan tandas OKU bagi mengelakkan kebimbangan dan perasaan tidak selamat di kalangan orang awam.
Katanya, saranan itu adalah suatu langkah yang difikirkan sesuai ketika ini, kerana kerajaan turut mengambil kira keresahan dan pendapat yang telah diutarakan ramai pihak yang bimbang berkenaan isu terbabit.
Ternyata, isu ini menarik perhatian ramai, serta ramai yang tidak bersetuju dengan saranan tersebut. Personaliti televisyen yang juga penyampai berita NTV 7, Ras Adiba Radzi,50 salah seorang golongan OKU yang terkesan dengan cadangan tersebut.Ras Adiba ada meluahkan rasa kesal dan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut didalam posting Instagram dan Facebooknya baru-baru ini.
Didalam posting tersebut, Ras Adiba yang juga merupakan Pengerusi dan Pengasas Persatuan OKU Sentral, ada menulis surat terbuka kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Fuziah Salleh membantah saranan membenarkan golongan transgender menggunakan tandas orang kurang upaya (OKU).
Assalamualaikum YB.
Saya sebagai Pengerusi dan Pengasas Persatuan OKU Sentral ingin menyampaikan bantahan kami di atas saranan YB untuk membenarkan LGBT menggunakan tandas kami.
Maaf kami sebulat suara tidak setuju. Ini adalah hak kami, kenapa perlu kami kongsi dengan mereka yang berupaya?
Tahukah YB bahawa tandas kami sering disalah gunakan Orang bukan OKU, juga untuk merokok, dijadikan bilik stor atau tempat rehat pekerja pembersihan.
Kami sudah sekian lama melalui keadaan sebegini, mengapalah YB ingin mencadangkan sebegitu?
Apa YB tidak membuat penyelidikan sebelum memberi cadangan ini dan apa YB tidak prihatin dengan keadaan kami ini?
Saya pohon YB sebagai seorang Menteri meminta maaf kepada komuniti OKU di Malaysia, kerana tindakan YB ini membuat saya dan sahabat-sahabat OKU semua marah.
Pohon berfikir dahulu dan hormati perasaan kami sebelum melulu memberikan cadangan tanpa tahu menahu akan hak kami.
Assalamualaikum
Ras Adiba Radzi
Pengerusi dan Pengasas
Persatuan OKU Sentral.
Terdahulu, Ras Adiba pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya pada tahun 1996, sehingga terpaksa menjalani pembedahan tulang belakang dan kemudiannya disahkan lumpuh separuh badan pada Julai 2002. Meskipun disahkan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dan bergantung pada kerusi roda ia tidak menghalang wanita cekal ini untuk kekal aktif dalam meneruskan kehidupan seharian.
Mingguan Wanita mengharapkan agar pihak kementerian, mempertimbangkan cadangan yang lebih baik demi kebaikan buat semua golongan.
Sumber: Ras Adiba Radzi