Dengar saja gelaran usahawan, pastinya ramai yang beranggapan kehidupan seseorang itu begitu berjaya. Namun di sebalik apa yang dimiliki pada hari ini pastinya banyak pengalaman pahit dan manis yang terpaksa diharungi. Begitu juga dengan ahli perniagaan wanita yang memenuhi ruangan Wanita Bisnes kali ini. Feirouz Azalia Muhamad Noor, 44 yang terlibat dengan bisnes atas kemahuan diri sendiri demi untuk mengubah taraf hidup keluarga.
Ibu kepada enam orang anak yang kini menetap di Shah Alam hanya memulakan perniagaan dengan modal sebanyak RM1000. Akuinya pada peringkat awal sememangnya agak sukar untuk dirinya bertahan kerana dengan modal yang sedikit.
“Saya sangat bersyukur kerana atas dorongan dari emak dan ayah dan mereka yang sanggup susah dan senang bersama menjadikan saya berjaya pada hari ini. Untuk mengembangkan perniagaan bukan mudah. Banyak kesilapan demi kesilapan telah dibuat termasuklah bekerjasama dengan orang yang salah dan silap dalam membuat keputusan. Apabila pengurusan lemah, ia adalah satu ciri-ciri perniagaan itu bakal ada masalah. Kerana itu bermula hujung tahun 2012, saya mendapat bantuan suami untuk menguruskan dan stukturkan semula syarikat. Semua kelemahan dan kesilapan dikaji dengan teliti. Pengurusan jadi lebih tersusun bila kita mengambil setiap pengalaman dan kesilapan itu sebagai ilmu.
“Dugaan dan cabaran yang saya lalui sangat banyak. Usah disebut tentang manusia yang tentunya ada yang mempergunakan kita, fitnah merata. Tetapi cabaran diri sendiri pun sangat banyak. Pendek kata, ilmu lah yang paling penting. Cari mentor yang betul. Laburkan sejumlah wang untuk tambah baik pengetahuan yang saya ada dan paling penting, cabaran itulah sebenarnya menjadikan saya pada hari ini. Dugaan itulah yang membuatkan saya berada di sini,” ujar Feirouz Azalia yang begitu ramah.
Bantu Jana Pendapatan
Feirouz Azalia yang juga pemilik Syarikat Laara Beauty ditubuhkan pada tahun 2006 dengan memulakan perniagaan membuat produk di sebuah kilang GMP. Pada tahun 2013, Laara menubuhkan sebuah akademi yang mengkhususkan modul handmade/homemade produk kecantikan di dalam pembelajaran. Lengkap dengan modul seperti pemasaran, kos, jualan dan penjenamaan.
Selain itu, Laara sendiri merupakan pembekal bahan mentah untuk beberapa produk kecantikan. Akademi Laara membantu individu yang ingin menjana pendapatan tambahan dengan mengajar mereka membuat produk kecantikan seperti sabun, skrub mandian, balm, minyak urut dan lain-lain.
Pada tahun 2015, Laara menubuhkan sebuah kilang untuk membekal bahan mentah kepada pelanggan dan juga membekalkan produk kecantikan dengan kelulusan dari KKM. Untuk produk Laara sendiri, di bawah jenama Naifa. Naifa diuruskan oleh tim yang berbeza tapi di bawah bumbung yang sama dengan Laara.
“Banyak produk yang kami hasilkan. Kesemuanya menggunakan bahan yang selamat dan sukatan yang betul. Untuk kekal diterima ramai, kami konsisten dengan bidang kecantikan. Kami sentiasa menghasilkan modul baru kepada usahawan dan individu yang mahu belajar di akademi contohnya, tahun ini kami mula memperkenalkan modul pembuatan losyen dan juga serum. Secara tidak langsung, ramai mengenali Akademi Laara sebagai sebuah tempat untuk belajar dengan menggunakan formula dan bahan selamat.
“Akademi Laara memang fokus kepada mengajar mana-mana individu yang berminat untuk hasilkan produk kecantikan di rumah. Ia bukan produk yang hardcore sebaliknya hanya menggunakan bahan mudah dan senang diproses,” ungkap Feirouz Azalia yang turut menjelaskan cabaran terbesarnya sebagai tenaga pengajar apabila tahu mereka yang hadir ke kelas adalah pesaing. Dimana sebagai pengajar Feirouz Azalia perlu mengajar mereka seperti biasa. Walaupun agak sukar namun lama kelamaan ia menjadi perkara biasa.
RALAT
*Kami ingin memohon maaf atas kesilapan yang berlaku pada majalah Mingguan Wanita keluaran Nov 208 / Volume 1 menerusi kolum Wanita Bisnes.
Terdapat kesilapan pada perenggan 10 , dimana
“Akademi Laara memang fokus kepada mengajar mana-mana individu yang berminat untuk hasilkan produk kecantikan di rumah. Ia bukan produk menggunakan bahan yang selamat dan sukatan yang betul…”
Sebaliknya kami mahu membuat pembetulan ayat yang sebenar yang dinyatakan oleh personaliti ini ialah:
“Akademi Laara memang fokus kepada mengajar mana-mana individu yang berminat untuk hasilkan produk kecantikan di rumah. Ia bukan produk yang hardcore sebaliknya hanya menggunakan bahan mudah dan senang diproses,” ungkap Feirouz Azalia.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI