Farrah Adeeba Kongsi Kisah Tragis Wanita Terpaksa Kahwin Perogol Yang Merupakan Abang Ipar Sendiri

Share

Kes wanita dirogol dan dipaksa berkawin dengan perogol sebagai mengambil ‘tanggungjawab’ dan menutup tindakan yang lakukan adalah amat tidak wajar. Trauma dan derita kisah hitam yang dihadapi pasti dapat dirasakan seumur hidup. Selebriti dan aktivis masyarakat Farrah Adeeba Mohamed Ashraf, 40 ada kongsikan posting didalam laman instagram beliau kisah tragis wanita yang terpaksa berkahwin dengan perogolnya sendiri.

Semoga menjadi panduan terutama buat mak-mak, agar simpan sedikit perasaan ‘curiga’ pada walaupun pada ahli keluarga sendiri. Kena percaya dengan apa yang diluahkan oleh anak-anak sendiri dan jangan pandang remeh dengan luahan mereka.

Berikut merupakan posting yang dikongsikan Farrah Adeeba;

Ini salah satu kisah #stopperogoldalamrumah #stoprapistinthehouse yang paling tragis. Kisahnya lebih panjang tapi saya kongsikan ringkasannya.

Apa yang saya pelajari ialah, ibu-ibu harus akrab dan sentiasa percaya kepada anak sekiranya mereka meluahkan yang mereka dianiaya, didera atau dirogol.

Wanita ini lalui apa yang dia lalui kerana tidak dipercayai. Hampir kesemua kisah yang DM Farrah mengatakan mereka berdiam diri kerana takut tidak dipercayai. Anak anak harus tahu yang kita sebagai ibu akan percaya dan mempertakankan hak mereka.

Akhir sekali saya yakin dengan maklumat kita mampu memberdayakan anak anak kita untuk berani. Ini antara usaha kempen ini.

Kepada sesiapa yang setuju dengan cadangan kahwinkan mangsa dengan perogol, sila hadamkan kisah ini.

#ibubangundanbersuara
#timesup
#stopperogoldalamrumah
#stoprapistinthehouse
#shecouldhavebeensavedifsomeonehadbelieved

Berikut antara perkongsian kisah wanita tersebut;

Salam Farrah, saya ada cerita dirogol abang ipar semasa saya di Tingkatan 3. Tapi saya tak berani beritahu keluarga sebab dia abang ipar kesayangan dan keluarga saya sangat percayakan dia.

Saya trauma sampai sekarang umur 46 tahun.Kisah saya agak rumit Farrah. Saya kena tinggalkan rumah dan sekolah sebab macam-macam fitnah.

Kakak saya bercerai dengan abang ipar. Saya terpaksa berkahwin dengan abang ipar sendiri sebab dia dah rosakkan saya.Semua orang termasuk keluarga sendiri fikir saya yang goda abang ipar. Mereka fikir saya yang jahat.

Sekarang walaupun dah ada anak dengan abang ipar, saya masih rasa sakit hati dengan perbuatan dia sebab dia tak pernah rasa bersalah apa dia buat pada saya dan keluarga.Lebih lagi dia abaikan tanggungjawab pada saya.Semua waktu muda saya habis disebabkan kejahatan seorang abang ipar.

Adakah awak masih berkahwin dengan dia?

Ya. Dan saya benci dia sepenuh hati.

Subhanna Allah. Awak mesti beritahu keluarga.

Tak boleh.

Saya ingin beritahu anak-anak ada perkara yang mereka perlu tahu mengenai ayah mereka. Tapi anak-anak tak nak dengar apa-apa perkara yang buruk mengenai ayah mereka.

Saya minta tolong farrah untuk sampaikan pesanan ini kepada ibu bapa.

Tolong nasihatkan ibu-ibu supaya jalinkan hubungan yang rapat dengan anak-anak terutama anak-anak perempuan.Jangan jadi macam saya. Bila benda ini jadi pada saya, Saya takut nak cakap dengan mak saya dan ahli keluarga yang lain.Sebab abang ipar orang yang sangat mereka sayang dan percaya.

Saya minta sangat supaya ibu-ibu lain nasihatkan anak-anak baik-baik dan berlemah lembut supaya anak-anak percaya pada kita.Jangan terlalu berkeras dan suka membebel marah-marah.

Dekatkan diri kita dan rasa hormat pada anak-anak.Untuk diri saya sendiri saya serahkan nasib pada Allah SWT.

Anak-anak saya sedang remaja.Jiwa mereka yang sangat sensitif.Ada yang nak SPM tahun ni.

Saya mengadu pada tuhan.Kalau tak hak saya dapat di dunia Insya Allah akan ada diakhirat nanti.

Nasihatkan juga ibu-ibu supaya ajar anak-anak hal-hal agama dari usia kecil.Baik anak lelaki mahupun perempuan. Supaya anak-anak tahu dosa, pahala dan aurat mereka antara ahli keluarga sendiri.

Jadi buat mak-mak, mohon sangat jadikan kisah ini sebagai satu iktibar dan pengajaran. Dengarlah luahan anak-anak dan bina hubungan rapat dengan mereka. Tanamkan rasa kepercayaan pada mereka dan terbitkan sedikit rasa tidak mudah percaya dengan orang sekeliling walaupun ahli keluarga sendiri.

Sumber: Instagram Farrahadeeba

Published by
Suhaidah Abd Wahab