Dadah membinasakan diri, negara dan keluarga. Usaha pihak berkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan bertungkus lumus membanteras penyalahgunaan najis dadah ini seharusnya dipuji. Meskipun risiko diri menanti sewaktu bertugas melakukan serbuan operasi ini.
Mengikuti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi “Benteras Dadah” nyata bukan satu kerja yang mudah. Ia satu cabaran yang harus dilakukan dengan sempurna. Tugasan ini diberikan kepada salah seorang Finalis Top 9 Pencarian Hos Mingguan Wanita, Farah Diana Anuar, 34, tahun yang berasal dari Bangi, Selangor.
Berkongsi pengalaman dalam serbuan sarang penagih dadah bersama penguatkuasa AADK, ternyata ia satu pengalaman yang sangat ‘mahal’ dan tidak boleh dijual beli buat dirinya. Ia pengalaman pertama kali Farah dalam melakukan serbuan ini dari rumah ke rumah bersama penguatkuasa AADK dalam Operasi Cegah 12 yang diketuai Puan Azura dan juga Tuan Shahril.
“Saya rasa nak berhadapan dengan benda tu memang sebenarnya kita tak boleh nak gambarkan di kotak fikiran kita. Sebab bila sampai di lokasi, tempat kejadian, rumah yang pertama tu, anda bayangkan bila penghuni tidak memberikan kerjasama, jadi penguatkuasa telah pun memecahkan pintu tu”
“Saya pula jenis yang Ya Allah , Ya tuhanku, tak boleh tengok benda-benda situasi macam orang bergaduh ke, atau situasi yang sebegitu. Saya akan rasa macam saya nak pengsan, saya nak pitam. Jadi bayangkan bagaimana saya cuba untuk mengawal diri saya, mengatakan dalam hati saya “Ya Allah Ya tuhanku Aku boleh buat”! Walaupun ‘muka ni dah kecil 10 inci’ tapi alhamdulillah saya dapat melakukannya,”
jelas Farah.Menurut Farah lagi, pengalaman ketika melakukan tugasan ini bukan sahaja eksklusif buat Mingguan Wanita, tapi untuk dirinya juga. Farah merasakan ia menjadi tanggungjawabnya untuk menceritakan pula pada anak-anakya nanti, generasi baru bahawa bahayanya melibatkan diri dengan najis dadah. Malah, Farah juga menghargai semangat kental dan menekankan betapa pentingnya Penguatkuasa AADK wanita.
“Paling penting saya bersama pegawai-pegawai atau penguatkuasa AADK yang kebanyakkannya adalah wanita pada malam itu. Jadi kita dapat melihat semangat mereka yang luarbiasa, begitu kental dan gigih berhadapan dengan situasi pada malam itu.Dan baru kita tahu bagaimana prosedurnya kalau melakukan serbuan dari rumah ke rumah, perlunya dan pentingnya ada penguatkuasa wanita untuk memantau kalau ada penagih-penagih wanita dan sebagainya.”
“Pengalaman yang cukup mahal yang tidak boleh dijual beli, saya belajar sangat banyak berkenaan dengan serbuan ini. Jutaan Terima Kasih kepada Mingguan Wanita,” jelas Farah.
Adakah FARAH ANUAR memenuhi ciri-ciri hos Mingguan Wanita yang anda suka? Saksikan secara langsung pengumuman pemenang di Mingguan Wanita Talkshow, 28 Mac 2019, 12 tengahari.