Fakir Dunia Tak Apa, Jangan Fakir Di Sisi Allah SWT

Share

Fakir di dunia dan hidup dalam serba kekurangan, tak apa. Namun di sisi Allah SWT, kita kaya raya. Apa maksud fakir di sisi Tuhan?

Saat ramai di kalangan umat akhir zaman kini sedang berlumba-lumba mengejar kekayaan harta-benda, saranan supaya hidup dalam ‘kefakiran’  tentunya agak janggal serta bakal dipandang sinis.

Namun begitu, tentu ada insan yang bakal berubah hati apabila memahami jalan hidup ‘kefakiran’ yang dimaksudkan dalam perbincangan ini.

Fakir Harta

Perkataan “kefakiran” biasanya dikaitkan dengan keadaan individu atau keluarga yang tidak memiliki kekayaan harta-benda. Jika memiliki harta-benda pun jumlahnya sedikit dan tidak mampu menampung keperluan hidup yang sepatutnya. Kehidupan mereka diibaratkan kosong daripada pemilikan harta-benda lantas mereka bergantung harap dengan bantuan orang lain yang lebih berkemampuan.

Bukan kefakiran sebegini yang dimaksudkan dalam perbahasan ringkas ini. Kefakiran yang dimaksudkan adalah kefakiran seseorang di sisi Allah SWT. Maksudnya, bagaimana seseorang meletakkan dirinya sebagai hamba yang fakir di sisi Tuhan dan dia menjalani kehidupan duniawi ini dalam serba kefakiran di sisi Ilahi serta sentiasa bergantung harap dengan kekayaan-Nya.

Lagi artikel di sini:

Untung Mak Mak Yang Selalu Baca Surah Al Waqiah, Rezeki Melimpah & Segala Urusan Pun Jadi Mudah!

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Fakir Di Sisi Tuhan

Bagi individu yang memilih jalan hidup kefakiran di sisi Tuhan, dia perlu belajar untuk merasai bahawa dirinya ‘kosong’. Dia belajar merasai bahawa dirinya tidak memiliki apa-apa. Segala yang ada pada dirinya adalah milik Allah SWT.

Jika individu memiliki ilmu maka ilmu itu kepunyaan Tuhan dan dirinya tidak berilmu. Jika individu memiliki harta maka harta itu kepunyaan Tuhan dan dia tidak berharta. Jika individu memiliki pangkat, kuasa atau pengaruh maka semua itu milik Tuhan dan dia tidak berkedudukan apa-apa. Jika individu memiliki pasangan dan anak-anak maka keluarganya itu milik Tuhan semuanya.

Sentiasa Rasa Diri ‘Kosong’ Dan Tak Punya Apa

Sebenarnya tidak salah memiliki segala kesenangan dan kemewahan dunia asalkan hati individu dapat merasai bahawa dirinya sentiasa ‘kosong’ di sisi Tuhannya, tidak memiliki apa-apa dan dia sentiasa fakir di sisi Allah SWT sebagai pemilik yang hakiki. Segala yang dimiliki kepunyaan Tuhan yang boleh diambil atau dihilangkan dalam sekelip mata.

Perasaan serta keyakinan inilah yang menjadi cabaran besar kepada individu yang ingin merasai dirinya kosong serta meletakkan Tuhan sebagai pemilik segala yang ada di langit dan di bumi, termasuk apa yang dimiliki oleh dirinya. Lebih-lebih lagi bila diri individu sudah dikuasai oleh oleh penyakit ‘cintakan dunia dan bencikan kematian’ dan mereka sanggup melakukan apa sahaja demi kesenangan duniawi.

Walau apa bentuk cabarannya, hati perlu dididik untuk merasai kefakiran atau kekosongan diri dengan sekosong-kosongnya di sisi Tuhan. Bila diri sudah benar-benar berada dalam kefakiran atau kekosongan yang maksima maka janji-janji Tuhan akan hadir dalam kehidupan insan berkenaan. Tuhan berjanji akan memenuhi kekosongan itu dengan limpahan nikmat kurniaan daripada-Nya.

Meyakini janji Tuhan

Antara janji Tuhan kepada hamba-hamba-Nya yang benar-benar pasrah menyerah diri kepada-Nya adalah limpahan rezeki yang tidak disangka-sangka. Salah satu cara kepasrahan diri seorang hamba terhadap Tuhan ialah melalui jalan kefakiran diri ini. Insan menyerahkan segala pemilikan yang dimilikinya kepada pemiliknya yang sebenar iaitulah Allah SWT.

Insan mengembalikan dirinya kepada hakikat sebenar keinsanan yang tidak memiliki apa-apa di alam kehidupan ini. Hati insan meyakini bahawa dirinya kekal ‘kosong’ dan dia sangat fakir di sisi Tuhan.

Limpahan Rezeki

Dengan memilih jalan kefakiran ini maka individu bakal beroleh limpahan rezeki daripada Allah SWT dalam pelbagai kurniaan rezeki Tuhan yang amat luas. Bila dikaji sirah kehidupan para nabi dan rasul terdahulu, saat mereka benar-benar kosong di sisi Tuhan maka pertolongan Tuhan hadir dalam bentuk mukjizat dan seumpamanya.

Kehidupan moden masa kini juga masih membenarkan janji-janji Tuhan kepada insan-insan yang ikhlas menyerahkan diri kepada Allah SWT dalam seluruh aspek kehidupan yang dilaluinya.

Oleh itu belajarlah merasai diri ini benar-benar kosong serta sangat fakir di sisi Tuhan. Pilihlah jalan kefakiran ini mudah-mudahan keperluan duniawi dan ukhrawi kita dipercukupkan. Belajarlah memahami hakikat kehidupan ini bahawa segala yang ada di alam ini adalah milik Allah SWT. Yakinlah, bila insan kosongkan, Tuhan akan penuhkan.

Sumber: Dr. Muhamad Jantan, Perunding Motivasi Dan Psikologi, RMJ Holistic Solution 

Published by
Nurul Azwa