Menyedari hakikat peminat menunggu sambungan filem hebat ini, Iflix bakal merealisasikan dengan membawa mini siri Ombak Rindu The Series sebagai melengkapi kisah daripada novel adaptasi ‘Cinta Tiada Akhirnya’ (Ombak Rindu 2) dan ‘Rindu Cintaku’ (Ombak Rindu 3) yang menampilkan pelakon seperti Remy Ishak, Izara Aishah, Diana Danielle, Hanna Aqeela, Fahrin Ahmad dan Uqasha Senrose. Drama adaptasi dari novel trilogi terlaris Fauziah Ashari dengan arahan Osman Ali, bakal ditayangkan pada 5 Disember 2019 di TV Iflix.

Mingguan Wanita berpeluang menggandingkan tiga pelakon hebat drama ini iaitu Izara Aishah, Diana Danielle dan Hana Aqeela sebagai penghias muka hadapan. Ikuti perbualan dengan artis hebat ini.

Masa Untuk Fokus Pada Keluarga – Izara Aishah

Izara Aishah Hisham, 27 tahun, dipilih untuk memegang watak utama sebagai Izzah, berpasangan dengan Remy Ishak. Menurut Izara, dia tidak menyangka dipilih sebagai watak utama dan perkara pertama yang membuatkan dia menerima tawaran ini kerana karakter dan jalan cerita.

“Sebenarnya, saya tidak pernah ‘study’ apa yang pernah dibawa oleh Maya Karin dalam filem ini kerana saya hanya belajar dan fahami tentang watak yang diberikan untuk drama ini sahaja.

“Apabila ditawarkan untuk watak ini, tentu sekali saya gembira dan teruja memandangkan Maya Karin adalah idola saya dan pihak penerbit juga memilih watak dan karakter baru, berlainan dengan filem sebelumnya.

“Tidak dinafikan, saya terima tawaran ini juga kerana jalan cerita yang sangat mencabar dan pada mulanya, saya risau jika pembawaan watak ini sama dengan yang dilakonkan oleh Maya Karin.

“Namun, setelah diteliti, saya terima kerana ingin mencabar diri sendiri kerana rasanya belum pernah bawa karakter seperti ini lagi,” katanya mengulas lebih lanjut.

Selain watak, gandingan dengan Remy Ishak tidak mengecewakan kerana dia sudah beberapa kali bekerjasama dengannya. Cuma, mungkin agak lama tidak berlakon bersama, ia memgambil masa juga untuk wujudkan keserasian.

Ditanya tentang watak itu, apakah ada persamaan dengan dirinya, Izara terus menangkis dan mengatakan watak itu sangat berbeza dengan dirinya.

Bukan Untuk Populariti

Mengulas dakwaan yang mengatakan dia sengaja memperlahankan kariernya selepas berkahwin, Izara menafikan perkara itu.

“Saya masih lagi aktif berlakon dan tidak akan berhenti selagi diterima peminat. Cuma, saya lebih selektif dengan watak yang ditawarkan, tambahan pula selepas mendirikan rumah tangga, keutamaan tentulah pada tanggungjawab sebagai seorang isteri.

“Apa yang boleh saya katakan, sekarang ini sesiapa sahaja boleh menjadi aktres dan ada juga yang tidak serius dalam lakonan. Sesetengah mereka yang masuk dalam industri ini semata-mata untuk populariti dan lakonan mereka ke ‘laut’.

“Bidang lakonan sekarang ini, seolah-olah tidak ada eksklusif berbanding saya dulu yang perlu pergi ‘audition’ sana sini. Malah, saya sendiri sanggup sambung belajar untuk mendalami dan menghayati tentang dunia lakonan ini,” luahnya.

Sedia Jadi ibu

Bercerita tentang perkembangan terbaru, selain drama terbaru ini, isteri kepada Muhammad Adib Khalid ini turut mengatakan, dirinya mahu berehat seketika dalam dunia lakonan dan fokuskan kepada rumah tangga.

“Hampir dua tahun saya penuhi komitmen kerja dan ini adalah masa untuk saya berehat. Buat masa ini, saya ingin berehat bersama keluarga sehingga pertengahan tahun hadapan,” jelasnya.

Adakah Izara sedang berbadan dua? Ini jawapan Izara.

“Sebenarnya, saya sudah bersedia untuk menjadi seorang ibu. Memandangkan sebelum ini saya dan suami merancang kerana sibuk dengan kerjaya, Alhamdulillah, kini, saya sudah bersedia untuk dikurniakan cahaya mata,” katanya.

Doakan Kejayaan Suami – Diana Danielle

Agak jarang melihat lakonan Diana Danielle Danny Beeson, 28 tahun, memegang watak pembantu kerana kebanyakan drama, dia banyak melakonkan watak utama sahaja. Berlainan dengan Ombak Rindu The Series, dia membawakan watak Mila Amylia yang pernah dilakonkan Lisa Surihani.

“Dalam cerita ini, watak saya digambarkan sebagai seorang yang antagonis dan cabaran ini berbeza. Dipotretkan seorang yang sombong dan keras hati tetapi dalam penceritaan, dia antara yang banyak menyelamatkan orang,” katanya yang mengakui banyak mendapat karakter seperti ini.

Kali terakhir dia muncul dalam filem ialah menerusi filem Gol & Gincu 2, sebaliknya dia banyak berlakon drama. Namun, kelainan yang ada dalam drama ini adalah penceritaan dalam novel dikembangkan ke dalam bentuk layar perak.

“Saya tahu peminat rindukan filem ini dan ramai yang tidak tahu, kesinambungannya yang akan lebih menarik dengan wajah-wajah pelakon baru. Saya pasti, penonton tidak akan nampak saya meniru watak pelakon sebelum ini.

“Pastinya, penonton tidak akan kecewa kerana siri ini penuh drama, tidak skema dan banyak plot yang mengejutkan. Mungkin dalam drama ini, akan terjawab kesudahannya,” ulasnya serba sedikit tentang drama ini.

Tidak mengambil masa yang lama untuk mewujudkan keserasian dalam drama ini memandangkan, Diana Danielle sudah beberapa kali bergandingan dengan Remy Ishak. Begitu juga dengan Izara Aishah, kawan lama yang cukup rapat. Masing-masing saling membantu dalam menjayakan drama ini.

Bergilir Jaga Anak

Langsung tidak menyentuh tentang kemelut yang dilaluinya sebelum ini, Diana Danielle yang pernah mendapat Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Hanyut pada Festival Filem Malaysia ke 29, tetap tegar dan kuat, malah rezeki dalam dunia lakonan semakin bertambah.

“Kehidupan kami sekeluarga seperti biasa, kami tinggal bersama-sama ibu saya dan dia banyak membantu dalam menguruskan anak bila saya dan suami bekerja. Jadi, semua itu tidak menjadi masalah kepada saya.

“Oleh kerana jadual kerja saya agak padat, jadi saya akan membawa salah seorang anak. Itu pun bila suami ada kerja lain. Saya tidak boleh membawa kedua-duanya, maklum sahaja anak tengah membesar dan macam-macam ragam. Takut menganggu jadual penggambaran,” katanya yang seronok bila menceritakan tentang Muhammad, 6 tahun dan Aurora, 4 tahun.

Menyerlah Kembali

Sebulan lagi untuk menyambut tahun 2020, Diana Danielle menyimpan harapan agar filem terbitannya, Rempit II bersama Farid Kamil akan mendapat sambutan dan membuahkan hasil.

“Saya mendoakan tahun 2020 menyerlahkan kembali sinar suami saya dalam bidang perfileman. Kebetulan pula, Muhammad turut ‘terjebak’ dalam filem ini. Saya pula mengharapkan agar album solo dilancarkan pada tahun hadapan,” katanya penuh pengharapan.

Mahu Dikenali Kerana Bakat – Hanna Aqeela

Hanna Aqeela Mohd. Rosni, 29 tahun, bukanlah nama baru dalam dunia lakonan. Sebenarnya dia sudah lima tahun terlibat dalam bidang ini. Selain drama dan telemovie, filem pertama lakonannya ialah Dubai My Love dan Operai X yang ditayangkan tahun lepas.

Menurut gadis kacukan Melayu – Pakistan ini, penglibatan dalam dunia lakonan agak lambat kerana dia menghabiskan pelajarannya dalam Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Pemakanan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Selepas tamat belajar, saya memulakan kerjaya hiburan sebagai model untuk iklan televisyen. Dari situlah, saya mula dapat tawaran untuk berlakon pula.,” kata Hanna tentang penglibatannya.

Tawaran Watak Jahat

Sinonim dengan watak yang baik-baik tetapi sekali dia melakonkan watak jahat, terus pengarah drama mengakui keberkesanannya menjiwai watak itu. Dia sendiri tidak menyangka banyak menerima tawaran untuk watak jahat dan antagonis pula.

“Bagi Ombak Rindu The Series, saya perlu menjalani audition dengan pengarah, Osman Ali untuk beberapa scene sebelum mendapat tawaran ini. Malahan, untuk drama ini, saya turut mengikuti kelas dengan Ellie Suriati sebelum memasuki set penggambaran,” katanya yang langsung tidak terfikir akan terjerumus dalam dunia seni.

Mengakui agak struggle untuk dikenali kerana Hanna langsung tidak ada asas dalam lakonan. Namun, dia beruntung kerana tawaran yang diperolehi sebelum ini adalah daripada pengarah yang hebat.

“Saya hanya belajar di set penggambaran dan di situlah saya menggorek sedikit demi sedikit ilmu lakonan ini,” katanya yang baru sahaja selepai penggambaran drama Cik Propa Vs Cik Perampas.

Bukan Cari Populariti

Anak sulung daripada empat adik beradik ini, mengakui walaupun lambat dan bertatih dalam industri ini, tetapi rezekinya semakin bertambah dan banyak produksi membuka mata melihat bakatnya.

“Tidak terfikir untuk muncul dalam dunia lakonan tetapi apabila saya mula berlakon, terus rasa minat. Tidak ada jalan singkat untuk saya meraih populariti kerana paling penting bagi saya adalah bakat,” katanya yang bersih daripada sebarang kontroversi.

Baginya, banyak lagi yang dia perlu belajar untuk berjaya dalam bidang ini. Jadi, untuk berjaya, kita tidak perlu cari kontroversi yang akhirnya akan menjatuhkan reputasi kita sendiri.

Pegang Watak Daring

Mengulas tentang Ombak Rindu The Series, Hanna memegang watak Elin sebagai gadis antagonis dan adik tiri kepada Mila Amylia (Diana Danielle).

Baginya, watak ini sangat mencabar, daring dan bermain dengan emosi. Apatah lagi ketika melakonkan babak-babak bersama Remy Ishak.

“Drama ini banyak konflik dan ia tidak sama dengan filem sebelum ini. Ada penambahan watak dan yang paling mecabar kerana saya perlu berpura-pura baik. Saya lakukan ini kerana ingin menjayakan watak yang diberi,” katanya mengakhiri perbualan.

*******************************************************************

Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh 3 selebriti ini. Ingin ketahui lebih lanjut, baca sambungannya di dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Disember, volume 1 yang kini telah berada di pasaran.

Penyelaras: Norhayati Othman
Foto: Tuan Azman Tuan Muda
Solekan: Izara(Nad Ismail), & Dian Daniella (Azmier Hisyamuqris)
Pakaian: Koleksi Peribadi