Menjelang hujung tahun kebiasaannya mak ayah akan sibuk menghadiri jemputan Majlis Graduasi Prasekolah bagi meraikan anak-anak yang tamat belajar. Namun demikian, isunya akhir-akhir ini seakan menjadi trend kebanyakkan majlis graduasi anak-anak prasekolah diadakan secara bermewah-mewah, malah kosnya pula memang agak ‘membebankan’ bagi kebanyakan mak ayah.
Bukan kata ‘berkira’ dengan anak-anak, tetapi sesuatu yang perlu direnungkan daripada budaya majlis sebegini.
Baru dapat jemputan ke Majlis Graduasi Maryam yang sudah tamat prasekolah hujung tahun ini. Melihatkan jumlah bayaran yang perlu dibayar untuk majlis graduasi selama beberapa jam itu, urut dadalah juga ibu dan ayah.
Jumlah bayaran majlis graduasinya kurang sedikit daripada jumlah yang kami bayar untuk yuran bulanan! Aduh.Manakan tidak, majlis dibuat di hotel besar. Makanan yang dijamu paling tidak perlu ditempah dengan pihak hotel. Pasti bukan murah harganya berbanding jika hanya menempah nasi bungkus.
Itu belum kira menyediakan pakaian anak untuk persembahan. Perlu pakai baju lengan panjang putih, skirt panjang hitam. Terpaksalah pergi beli sebab Maryam tak ada pakaian yang disebutkan. Kalau tidak nanti tak seragam pula. Majlis graduasi tahun lepas perlu pakai baju hitam dan berseluar hitam. Melilau juga ibu mencarinya. Ditambah pula dengan bayaran fotografi ala-ala studio professional. Tolak tambah hampir RM300 juga kos menamatkan prasekolahnya.
Cikgunya tulis kehadiran adalah wajib. Tambah pula pelajar kelas 6 tahun yang mahu bergraduasi. Jadi, ibu bapa ada pilihankah? Tambah anak dah bertungkus-lumus berlatih buat persembahan berminggu-minggu sebelum majlis. Alangkah kecewa kalau ibu beritahu kita tak dapat hadir kerana ibu ayah tak mampu bayar kehadiran ke majlis tersebut.
Teringat majlis graduasi tadika sendiri dahulu. Emak Abah hantar kami adik beradik ke tadika KEMAS, yurannya seingat saya hanya RM15 sahaja sebulan. Majlis graduasi? Hanya di tanah lapang di belakang kedai runcit berdekatan sekolah. Ada sebuah pentas kecil tempat membuat persembahan. Saya jadi solo kumpulan nasyid dan persembahan ‘read aloud’. Tiada lampu limpah, tiada hiasan mahal, apatah lagi berpenghawa dingin. Mak, ayah, datuk, nenek, adik-beradik semua boleh datang duduk di atas lapangan semacam berkelah. Tiada bayaran lebih dikenakan pastinya. Seronoknya seingat saya, tetaplah sama.
Entah dari manalah datangnya budaya majlis graduasi bermewah-mewah seperti ini. Mungkin sejak wujudnya trend tadika swasta berjenama. Masing-masing bertanding mahu tunjuk majlis siap yang lebih gah. Mangsanya siapa? Ibu bapa yang membayar segala kosnya. Dan kos-kos ini tidak disebutkan dengan jelas semasa mendaftar. Not on paper. Tahu-tahu tiba masa dikirim surat minta bayaran. Kalau tak bayar serba salah juga dibuatnya. Mungkin pihak sekolah fikir ibu bapa yang menghantar anak ke prasekolah swasta ini mampu belaka agaknya. Tapi tak kurang yang bercatu belanjanya hanya semata-mata mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak.
It will not stop here. Budaya berlebih-lebihan ini akan terus menjalar. Semakin lama semakin tinggi biayanya. Hanya untuk memuaskan hati orang dewasa yang semakin materialis. Sedangkan nilai yang anak-anak belajar daripada penganjuran majlis seumpama ini hanyalah sedikit. Cuba perhatikan satu-satu wajah comel yang membuat persembahan di atas pentas itu nanti. Tersenyumkah semuanya? Atau ada yang masam mencuka bimbang terlupa skrip atau langkah tarian.
Hanya sesuatu untuk difikirkan.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sangat terkesan dengan coretan ini, bukan kata ‘berkira’ dengan anak, tapi budaya majlis graduasi secara bermewah-mewah amatlah tidak wajar dan tidak bersesuaian dengan peringkat umur anak. Banyak lagi perkara yang perlu dipertimbangkan untuk persekolahan anak, apatah lagi untuk kegunaan masuk sekolah rendah nanti.