Gara-Gara meninggalkan anak-anak didalam kereta dengan keadaan enjin masih dihidupkan dan pintu tidak berkunci, seorang wanita berdepan detik cemas apabila dua anaknya dilarikan ketika berada dalam kereta diparkirnya di hadapan kedai serbaneka di Jalan Tembikai, Taman Kota Masai dekat Pasir Gudang, baru-baru ini.
Dalam kejadian 7.45 pagi itu, dua beradik itu ditinggalkan oleh wanita berkenaan dalam kereta dengan keadaan enjin hidup dan pintu tidak berkunci.Namun wanita ini dianggap masih bernasib baik kerana anak-anaknya dapat ditemui semula serta berada dalam keadaan selamat.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, bagaimanapun, kenderaan dilarikan itu dijumpai semula selepas ditinggalkan 600 meter dari tempat ia dilarikan.
“Kira-kira 20 minit selepas kereta itu dibawa lari, ia ditemui semula dengan dua kanak-kanak lelaki yang masing-masing berusia lima dan enam tahun berada dalam kenderaan dalam keadaan selamat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 363/379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 33 Akta Kanak–Kanak 2001,” katanya.
Jokhiri berkata, pihaknya sedang giat mengesan serta mengenal pasti suspek dalam kes berkenaan dan setakat ini, belum ada tangkapan dibuat.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan anak dalam kenderaan dengan enjin masih hidup dan kunci ditinggal dalam kenderaan.
“Kami memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini supaya tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat berkenaan ke balai polis berhampiran.
“Selain itu, saksi boleh menghubungi hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui hotline Polis Seri Alam di talian 07-3864222,” katanya.
Buat mak-mak semua, mohon jadikan kisah ini satu pengajaran. Walau macam mana nak cepat sekalipun untuk buat apa-apa urusan, tolong jangan sesekali tinggalkan anak-anak dalam kereta, baik kereta yang telah dimatikan enjin apatah lagi dengan keadaan enjin yang masih hidup iya. Situasi ini cukup membahayakan anak-anak. Mohon lebih prihatin dengan keselamatan mereka. Anak-anak adalah harta tak ternilai, harta hilang boleh dicari anak-anak hilang tak dapat diganti!.
Sumber: Hmetro