Isteri, bila dah tawar hati walau dipujuk dan dirayu macam mana sekali pun jiwa nekad buat keputusan tak kan mahu rujuk kembali. Namun sungguh tak sangka nyawa yang menjadi taruhan diri.
Enggan rujuk semula dipercayai menjadi punca seorang wanita yang juga merupakan ibu tunggal dibunuh dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Prima Damansara di sini, kelmarin.
Mayat mangsa Nor Hidayah Ahmad, 30, yang bekerja sebagai kerani di syarikat pengiklanan ditemui dibungkus dengan selimut dan ditutup dengan timbunan bantal oleh bapanya berusia 61 tahun ketika berkunjung ke rumah sewa anaknya kira-kira jam 6 petang.
Sumber berkata, sebelum ini bekas suami mangsa didakwa sudah beberapa kali datang memujuk wanita itu untuk merujuk kembali hubungan mereka.
“Namun, mangsa enggan rujuk semula sebelum berlaku pergaduhan dan mangsa dibunuh. Suspek kemudian melarikan diri dan kini sedang giat dikesan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, hasil bedah siasat di Hospital Sungai Buloh, semalam mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul.
“Pemeriksaan luaran mendapati mangsa cedera di kepala akibat hentakan objek tumpul namun tidak serius dan terdapat beberapa kesan lebam pada jari tangan kanannya.
“Punca kematian mangsa adalah lemas akibat ditutup saluran pernafasan atau asphyxiation due to smothering,” katanya.
Menurutnya, pihaknya masih mengesan bekas suami mangsa, Zulkifli Joned, 40, berasal dari Johol, Negeri Sembilan yang bekerja sebagai operator sebuah kilang bagi membantu siasatan. Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Difahamkan mangsa sudah bercerai dengan lelaki berkenaan sejak beberapa bulan lalu.Berdasarkan keadaan mayat mangsa ketika ditemui, dia dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam. Ketika kejadian, anak lelaki mangsa berusia enam tahun berada di tadika berhampiran sebelum dijemput datuknya (bapa mangsa).
Menurut jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum ini, dia sering melihat mangsa bersama bekas suaminya dan tidak mengesyaki hubungan mereka bermasalah.
Katanya, sebelum ini ada jiran mengadu mendengar bunyi pergaduhan dari rumah sewa mangsa hingga ada laporan polis dibuat berhubung perkara itu.
“Beberapa hari sebelum kejadian, saya nampak ada anggota polis datang ke rumah wanita itu selepas menerima aduan, namun tiada apa yang berlaku.”
“Pagi semalam (kelmarin), saya terserempak dengan beberapa individu memperkenalkan diri sebagai rakan wanita itu.
“Mereka memaklumkan mahu menjemput anaknya (anak mangsa) selepas menerima panggilan telefon daripada wanita itu yang minta berbuat demikian pada malam sebelumnya.
“Bagaimanapun, rakan mangsa memaklumkan bekas suaminya enggan membenarkan mereka masuk ke rumah sewa itu untuk menjemput anaknya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
MW: Salam takziah buat keluarga mangsa. Buat pasangan suami isteri yang telah bercerai, belajarlah untuk redha dalam perpisahan. Ini kerana ajal, maut, jodoh semuanya ketentuan tuhan.
Sumber: Hmetro