Tahukah kalian, para gadis dan wanita di luar sana, apa itu endometriosis dan kenapa ramai wanita derita dalam diam? Apakah pilihan rawatan yang ada?
Setiap kali datang bulan atau datang haid, tidak dapat dinafikan ada wanita yang sering mengadu rasa sakit semasa haid atau dalam bahasa yang senang faham, senggugut.
Ramai yang ambil mudah mengenai sakit semasa haid ini. Namun sedarkah kalian sebenarnya jika sering sakit setiap kali tibanya masa haid itu petunjuk berkemungkinan besar diri menghidap endometriosis.
Endometriosis adalah radang yang berlaku bila endometrium – lapisan tisu yang biasanya menyelaputi bahagian dalam uterus – tumbuh di luar rahim dalam tisu atau organ lain.
-Rasa sakit yang luar biasa semasa haid dan sakit pelvis kronik
-Sakit semasa melakukan hubungan seks
-Ketidaksuburan atau kesukaran untuk hamil
-Sakit ketika membuang air kecil atau buang air besar
-Sakit sebelum haid, semasa haid dan kadang-kadang selepas haid
-Pendarahan atau spotting semasa haid
-Tidak rasa lebih baik walaupun selepas mengambil ubat sakit
-Keletihan yang melampau, cirit-birit, sembelit, kembung dan loya
Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Hospital KPJ, Dr Imelda Balchin menjelaskan bahawa endometriosis dialami oleh seorang dari 10 wanita pada tahun-tahun reproduktif mereka. Namun, tidak ramai yang sedar akan ciri-cirinya dan cara penyakit ini boleh diuruskan.
Endometriosis ialah penyakit kronik dan menyakitkan. Ia boleh memberi kesan buruk ke atas kesuburan dan kualiti hidup pesakit pada tahun-tahun puncak dan paling produktif dalam hidup mereka.
Sungguhpun gejalanya mungkin berbeza, khususnya dari segi jenis dan keterukan, namun kesakitan boleh menyebabkan kelemahan fizikal dan mental. Ia sekaligus membuatkan pesakit rasa tidak bermaya dan tiada harapan.
Jelas Dr Imelda lagi, hasil kajian menunjukkan bahawa seseorang yang menderita sakit pelvis boleh mengambil masa hingga sebelas tahun untuk disahkan menerusi diagnosis menghidap endometriosis
Justeru itu, wanita yang mengalami gejala yang disyaki endometriosis hendaklah bertindak dengan segera agar tidak menderita dalam diam. Rawatan perubatan secepat mungkin juga adalah disyorkan.
Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi Hospital Pakar KPJ Tawakal KL, Dr Patricia Lim Su-Lyn menekankan kepentingan pengurusan endometriosis pada peringkat awal untuk memastikan penyakit tidak menjadi teruk.
Jelasnya, buat masa ini tidak ada rawatan yang betul-betul boleh menyembuhkan endometriosis. Dan tidak ada terapi yang boleh mencegah penyakit daripada menjadi bertambah teruk.
Namun begitu terdapat pilihan rawatan yang boleh melegakan gejala, melambatkan penularan penyakit dan mencegah endometriosis daripada berulang.
Tujuan rawatan endometriosis adalah untuk melegakan kesakitan, melambatkan pertumbuhan tisu seperti endometrium, menambah baik atau melindungi kesuburan, dan mencegah penyakit daripada berulang.
Malah terdapat pilihan rawatan yang berkesan untuk endometriosis. Rawatan-rawatannya terdiri daripada terapi hormon yang bertujuan untuk mengawal pembentukan tisu endometrium kepada histerektomi atau pembuangan uterus menerusi pembedahan.
Dr Patricia juga menjelaskan disebabkan tiada penawar bagi endometriosis, pesakit hendaklah membincangkan rancangan pengurusan jangka panjang dengan Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi mereka supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk dan berulang, serta untuk mencegah lebih banyak pembedahan.
Pembedahan berulang kali bukan cara untuk merawat endometriosis kerana ia boleh menjejaskan kesuburan pada masa hadapan. 50 peratus masalah ketidaksuburan adalah disebabkan endometriosis.
Artikel Berkaitan:
Rupanya Ini Punca Sakit Belakang Semasa Haid, Wanita Kena Ambil Tahu!
Wanita yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai endometriosis boleh melawati laman web MyEndosis.org yang diusahakan oleh Persatuan Endometriosis Malaysia (MyEndosis). Laman web ini mendapat sokongan Bayer.Co (Malaysia) Sdn Bhd.
Pengasas dan Presiden MyEndosis, Surita Mogan, yang juga seorang penghidap endometriosis, telah menubuhkan persatuan ini pada tahun 2014.
Penubuhannya bertujuan untuk menangani kekurangan maklumat mengenai endometriosis dan juga untuk memberi sokongan kepada wanita yang menghidap endometriosis.