Enam Tahun Kokpit Jadi Pejabat, Kekok  Mula Berniaga Burger Tapi Perlu Teruskan Hidup

Share

Manusia hanya merancang, Allah yang menentukan segalanya. Siapa sangka sejak memang minat bidang penerbangan, namun kerjaya yang diidamkan terpaksa dilepaskan kerana pendemik Covid 19.

Bukan seorang, malah ramai lagi yang terkesan dengan pendemik ini. Sudah enam tahun kokpit jadi pejabat, kekok mula berniaga burger di jalanan tapi perlu teruskan hidup.

Enam Tahun Kokpit Jadi Pejabat

Kokpit pesawat komersil Boeing 737 pernah menjadi ‘pejabat’ pemuda ini sejak lebih enam tahun lalu.

Namun, pandemik Covid-19 menukar norma kehidupan Mohammed Naeem Md Nassir, 30, yang kini bergelar usahawan burger.

Menceritakan kisah kehidupannya, anak muda dari Shah Alam ini mengakui kekok untuk memulakan perniagaan jenama ‘Smashed Burger’ namun tetap komited mencuba sesuatu yang baharu dalam hidupnya.

Baca Juga Di sini:

Hebatnya! Ibu & Anak Perempuan Lakar Sejarah Terbangkan Pesawat Komersial Bersama-Sama

Pesawat Terpaksa Berpatah Balik, Wanita Panik Terlupa Anak Tertinggal Di Lapangan Terbang!

Menurutnya, dia bergelar juruterbang dengan jawatan terakhir sebagai Pegawai Pertama Kanan di Oman Air sebelum ‘dilepaskan’ syarikat penerbangan negara berkenaan pada April lalu kerana pengecilan operasi.

“Ketika menerima perkhabaran saya ditamatkan perkhidmatan, sudah pasti perasaan sedih mengenangkan kehidupan selepas ini kerana penerbangan adalah minat saya sejak kecil.

“Tidak sangka Covid-19 memberi tamparan begitu hebat kepada dunia sehingga saya sendiri terkena tempias wabak ini sehingga hilang mata pencarian,” katanya.

Kekok Berniaga Burger Tapi Perlu Teruskan Hidup

Namun, enggan terus berduka, anak muda yang mesra disapa Naeem itu bangkit untuk memulakan kehidupan baharu dengan sokongan daripada isteri Intan Shazia Abdul Hariz Leong, 25, keluarga dan mentua untuk menjual burger di Bukit Jelutong sejak dua bulan lalu.

“Saya minat memasak dan mahu mencuba bidang baharu ini sebagai punca rezeki dengan menggunakan resipi sendiri selain mendalami ilmu memanggang daging burger dari Youtube dan Google.

“Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat menggalakkan daripada pelanggan sekitar Shah Alam terutama sejak kisah saya tular baru-baru ini.

“Saya juga bersyukur kerana memiliki sistem sokongan yang sangat padu daripada isteri, keluarga dan mentua kerana mereka turut membantu bukan sekadar sokongan malah memastikan operasi harian perniagaan lancar,” katanya yang memulakan kerjaya sebagai juruterbang pada 2014 dengan syarikat penerbangan negara.

Menaruh Harapan Industri Penerbangan Pulih

Naeem berkata, dia masih menaruh harapan industri penerbangan akan kembali pulih segera namun dalam masa sama tetap akan meneruskan perniagaan burger.

Katanya, walaupun melalui dua dunia pekerjaan berbeza, satu persamaan kedua-dua bidang ini adalah ketelitian dan kualiti kepada pelanggan.

“Saya mahu terus berjaya dalam bidang perniagaan namun dalam masa sama tetap berhasrat untuk kembali ‘terbang’ sekiranya keadaan kembali pulih.

“Terima kasih kepada pelanggan yang menyokong perniagaan saya dan diharap kisah ini menjadi inspirasi untuk masyarakat bangkit meneruskan kehidupan dan berjuang melawan Covid-19,” katanya.

MW: Harapnya mereka yang terkena tempias pendemik Covid-19 akan segera bangkit untuk meneruskan hidup. Memang tak mudah namun kisah juriterbang mungkin dapat dijadikan inspirasi untuk kita berjaya sebelum berserah. Insyallah.

Sumber: myMetro

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Published by
Nur Syazwani Mehat