Emas adalah perhiasan bagi wanita dan rata-rata wanita menyukai emas. Ramai yang membeli barang kemas sama ada untuk dipakai seharian atau disimpan sebagai pelaburan. Ada yang memajaknya untuk mendapatkan duit bagi tujuan pelaburan. Apakah barang kemas itu masih perlu dibayar zakat?
Soalan: Baru-baru ini saya ada terdengar daripada satu ceramah, bahawa orang yang menggadaikan emas perhiasan mereka di ar-rahnu atau pajak gadai Islam juga wajib membayar zakatnya. Benarkah begitu? Bukankah apabila digadai, maka seseorang itu sudah tiada hak milik atas emas perhiasan berkenaan. Mohon penjelasan ustaz.
Sucikan Harta Dengan Zakat
Jawapan: Semoga Allah SWT memberikan rahmat dan keampunan dan maghfirah-Nya ke atas kita semua, disebabkan kesungguhan kita untuk mendalami ilmu Allah SWT khususnya dalam bab mensucikan harta kita daripada milikan orang lain dengan menunaikan zakat ke atasnya.
Mudah-mudahan, jawapan yang diberikan ini mampu memberikan pencerahan terhadap isu emas perhiasan yang digadaikan di pajak gadai Islam, yang hari ini sudah menjadi suatu yang popular dalam kalangan umat Islam.
Allah SWT menjelaskan di dalam surah al-Ma’arij (70) ayat 24 dan 25: “Dan orang-orang (yang menentukan bahagian) pada hartanya menjadi hak yang termaklum (bagi golongan tertentu); (iaitu) bagi orang-orang miskin yang meminta-minta dan yang menahan dirinya (daripada meminta-minta).”
Masih Ada Hak Golongan Asnaf
Maka, umumnya di dalam harta kekayaan kita walau di manapun ia berada, di dalamnya masih ada hak bagi kalangan asnaf yang memerlukan.
Namun begitu, sebelum kita melanjutkan perbincangan ini, maka ada baiknya bagi kita menelusuri dahulu beberapa definisi perkataan yang berkait rapat dengan pergadaian dalam Islam, yang mungkin sebelum ini difahami secara tidak tepat oleh sebahagian orang awam.
Emas Dipajak
Pertama, apakah makna ar-rahnu? Ar-Rahnu bermaksud, suatu kontrak yang menjadikan sesuatu barang atau harta sebagai cagaran untuk menjamin pelunasan sesuatu hutang. Dalam kontrak ini, penggadai menyediakan cagaran untuk mendapatkan pinjaman daripada pegadai (pihak yang memberikan hutang).
Mengikut syarak, cagaran hendaklah diserahkan oleh penggadai kepada pegadai. Cagaran akan dijual oleh pegadai untuk melunaskan hutang sekiranya hutang itu gagal dibayar oleh penggadai setelah tamat tempoh. Kemudahan ini membolehkan penggadai memperoleh pinjaman kecemasan, pinjaman perniagaan dan pinjaman untuk pembelian input. Perkataan yang sinonim bagi rahnu ialah gadaian. (Rujuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, http://prpm.dbp.gov.my)
Ads
Emas Tanpa Caj Bayaran Tinggi
Keduanya, apakah tujuan ar-rahnu ini diwujudkan? Ya, institusi pajak gadai Islam atau ar-rahnu ini ditubuhkan dengan konsep rahnu dan qardul hasan, iaitu untuk memberikan pinjaman secara yang baik di sisi syarak dan tidak menindas.
Fungsi awal penubuhannya adalah untuk mengatasi masalah caj kadar bunga tinggi yang dikenakan oleh pajak gadai konvensional di samping mengelakkan riba (yang menjadikan keseluruhan transaksi adalah haram dan berdosa). (Ibid)
Emas Sebagai Cagaran
Oleh itu, dalam bahasa orang awam yang lebih mudah difahami oleh kita, ar-rahnu adalah suatu kaedah baki kita untuk meminjam wang dari sesebuah institusi yang menawarkan pinjaman yang halal, dengan cara kita mestilah meletakkan suatu cagaran (biasanya emas perhiasan) demi membolehkan kita mendapat pinjaman berkenaan.
Apabila kita gagal atau tidak mahu membayar kembali wang yang dipinjam daripada institusi berkenaan, maka mereka akan mencairkan (menjual) barangan yang kita cagarkan, dan mereka akan mengambil jumlah yang dihutangkan kepada kita berserta dengan upah simpanan barangan (atau apa-apa servis perkhidmatan yang sesuai) dan lebihan daripadanya, akan diserahkan kembali kepada orang yang meminjam (penggadai).
Jadi, perbezaan ar-rahnu dengan pembiayaan peribadi di bank ialah, dalam pembiayaan peribadi tiada cagaran; dan dalam ar-rahnu, ada cagarannya. Baiklah, saya juga ingin menarik perhatian di sini, bahawa dalam konteks membuat hutang di ar-rahnu, ada dua kondisi yang perlu diperhatikan.
Pertama, orang yang memang terdesak atas sesuatu keperluan, maka dia pun membuat pinjaman di ar-rahnu, emas perhiasannya dicagarkan dan sepanjang tempoh emas itu di dalam simpanan ar-rahnu, dia tidak mampu mengambilnya kembali kerana memang dia tidak mempunyai wang, maka di sini dia tidak mempunyai satu syarat wajib zakat, iaitu sempurna milik. Maka, tidak wajiblah dia berzakat atas emas yang disimpan di ar-rahnu itu.
Begitu juga, wang yang didapati hasil pinjaman itu juga, tidaklah wajib dikeluarkan zakat pendapatan ke atasnya, kerana wang itu memang diperlukannya untuk tujuan kehidupannya yang terdesak. Ini kerana, mengikut fatwa zakat pendapatan di Selangor (tahun 2010), wang hasil pinjaman juga wajib dizakatkan, kecuali ia sudah mempunyai keperluan khusus, misalnya untuk tujuan perubatan dan sebagainya.
Ads
Wajib Jika Untuk Disimpan Saja
Kedua, orang yang membuat hutang di ar-rahnu dalam kondisi dia sebenarnya kaya dan tidak memerlukan wang atau bukan dalam keadaan kecemasan, sebaliknya dia menggunakan ar-rahnu sebagai tempat untuk menyimpan emas perhiasannya dengan selamat dan sengaja membiarkannya tanpa ditebus, agar apabila genap setahun disimpan, maka semasa itu harga emas mungkin sudah naik dan dia pun mendapat untung atas emas perhiasannya yang digadaikannya.
Maka, dalam konteks ini, dia sebenarnya mempunyai kemampuan untuk menebus, tetapi sengaja enggan menebus, maka hakikatnya dia mempunyai syarat sempurna milik, maka wajiblah ke atasnya mengeluarkan zakat ke atas emas perhiasan yang disimpan di pihak pegadai (ar-rahnu). Andai dia membiarkan hingga setahun, dan selepas itu dicairkan, dan pihak pegadai memberikan untung kepadanya, maka dia juga wajib mengeluarkan zakat ke atas keuntungan berkenaan. Begitu juga, wang pinjaman yang dia perolehi dari pihak ar-rahnu itu juga, hendaklah dikeluarkan zakat ke atasnya sebanyak 2.5 peratus (sebagai zakat pendapatan), kerana dia mendapatkannya bukan untuk tujuan tertentu yang terdesak seperti dalam kes yang pertama.
Lihat Tujuan Cagaran
Maka, apa yang penting adalah, kita perlu melihat kepada dua kondisi di atas, iaitu adakah orang yang melakukan hutang di ar-rahnu itu adalah mereka yang dalam kesempitan kewangan, yakni mereka terpaksa berhutang demi mendapatkan wang dengan kadar segera dan dengan itu, mereka pun dapat segera melunasi keperluan-keperluan yang berbangkit dengan segera juga; ataupun mereka yang bergadai dengan maksud menjadikan ar-rahnu sebagai satu tempat melabur demi mencari keuntungan berganda di masa hadapan? Sudah pastilah natijahnya adalah berbeza.
Kesimpulannya, wajib zakat jika digadai demi pelaburan semata-mata (mencari keuntungan) dan tidak wajib zakat jika digadai atas keperluan terdesak dan kecemasan.Wallahuallam.
Nota: Walau bagaimanapun, pandangan di atas (yakni tidak dikenakan zakat jika digadai atas keadaan terdesak) adalah suatu yang dikhilafkan oleh kalangan fuqaha. Menurut ketetapan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor tahun 2013, emas perhiasan yang digadaikan (walaupun atas alasan terdesak), masih wajib dizakatkan, yakni dikenakan zakat ke atas baki emas perhiasan yang masih menjadi milik sempurna pengadai.
Ini kerana, pihak ar-rahnu hanya akan memberikan hutang sekadar 70 peratus dari nilai emas perhiasan, maka baki 30 peratus itu masih milik sempurna pegadai dan wajib dizakatkan (setelah mengambil kira kos upah simpan dan sebagainya) dan hal ini boleh dirujuk dalam Kitab Majmu’ Syarh al-Muhazzab karya Imam Abu Zakariyya bin Syaraf al-Nawawi , Jilid 5/316.
FORMULANYA:
Baki emas di ar-Rahnu X Harga emas semasa – Upah simpan di ar-Rahnu = Nilai emas yang dimiliki .
Di Selangor, mulai 2017 difatwakan gabungan harta nisab emas dengan syarat haul, maka hasilnya = nilai emas dimiliki di ar-Rahnu + emas perhiasan melebihi uruf + emas bukan perhiasan + wang simpanan + pelaburan = Baki jika mencapai nisab x 2.5% = zakat. Wallahuallam.
Sumber:: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS), juga kolumnis di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tukar duit raya. Ini salah satu perkara wajib yang kita akan buat bila tiba ahari raya. Nak beri duit raya bukan pada mak ayah tapi anak saudara, ahli keluarga dan tetamu kecil yang datang ke rumah.
Biasanya dua minggu atau seminggu sebelum raya, inilah masa untuk tukar duit raya. Kalau boleh mestilah nak duit baru yang biasa bank-bank akan keluarkan khas untuk hari raya.
Memikirkan nak beratur panjang semata-mata nak tukar duit raya, ada daripada kita lebih rela minta kenalan tolong tukarkan. Tak kurang juga yang ada mengambil kesempatan dengan mengenakan caj sebagai upah.
Ada beberapa senario yang perlu kita tahu bila tukar duit raya. Mungkin cara kita itu boleh membawa kepada isu riba, jatuh haram kalau ikut hukumnya.
Macam mana nak tahu ada isu riba dalam tukar duit raya ini, ikuti perkongsian daripada Ustaz Lariba ini.
Tukar duit raya, dengan maksud kita bagi RM500 duit terpakai kepada seseorang, dan kita dapat duit baharu RM500 dalam denominasi tertentu seperti RM10, atau RM20, adalah tertakluk kepada hukum hakam al-sarf.
Oleh sebab tukar duit raya melibatkan item ribawi iaitu wang kertas, dan melibatkan dua item yang sama iaitu ringgit ditukar dengan ringgit, maka WAJIB menepati dua syarat:
1. Penyerahan duit terpakai dengan duit baharu berlaku dalam satu sesi/majlis tanpa penangguhan. Jika ada penangguhan maka berlaku RIBA NASA’;
2. Pertukaran hendaklah dengan kadar yang sama, tanpa ada lebihan. Jika ada lebihan maka berlaku RIBA FADHL.
Mari kita aplikasikan dua syarat di atas pada senario-senario di bawah:
Senario 1:
A mahu menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada B.
A serahkan duit terpakai kepada B pada hari ini, kemudian B serahkan duit baharu pada keesokan harinya.
Hukum: Haram kerana berlaku riba nasa’ sebab ada penanggguhan (melainkan guna Senario 4).
Senario 2:
A mahu menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada B.
B bersetuju dan mengenakan caj RM10 ke atas A.
Lalu A membayar RM1010 duit terpakai, dan B menyerahkan RM1000 duit baharu.
Hukum: Haram kerana berlaku riba fadhl sebab pertukaran dengan jumlah yang tak sama.
.
Senario 3:
A mahu menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada B.
A mewakilkan C untuk menukarkan duit dengan B.
C sebagai wakil mengenakan caj sebanyak RM10 ke atas A.
A menyerahkan RM1010 kepada C, dan keesokannya C membayar RM1000 kepada B, dan B membayar RM1000 duit baharu kepada C.
C kemudian menyerahkan RM1000 duit baharu itu kepada A.
Hukum: Harus, kerana tidak berlaku riba. Kelewatan antara A dan C adalah kelewatan dalam bab wakalah (jadi wakil).
Manakala transaksi al-sarf berlaku antara B dan C tanpa penangguhan.
Lebihan RM10 juga adalah berlaku dalam bab wakalah sebagai upah wakil atas sebab A mengetahu dan bersetuju dengannya. Manakala dalam akad al-sarf tidak berlaku sebarang lebihan.
Senario 4:
Maslan ingin menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada Bank XYZ.
Maslan mempunyai seorang kawan, bermama Awang yang bekerja di Bank XYZ tersebut.
Maslan menyerahkan duit RM1000 kepada Awang pada waktu pagi sebelum Awang pergi kerja.
Di Bank XYZ, Awang menukarkan duit Maslan di kaunter tukar duit raya.
Pada sebelah petang, Awang menyerahkan duit raya kepada kawannya Maslan.
Hukum: Tidak ada masalah sekiranya pertukaran duit raya oleh Awang di Bank XYZ berlaku secara tunai.
Ini kerana ketika Maslan menyerahkan duit kepada Awang, Awang bukan di atas kapasiti pegawai Bank, kerana tukaran duit raya di bank hanya berlaku di kaunter. Jadi ketika Maslan serah duit kepada Awang, ia adalah wakalah.
.
Senario 5:
A ingin menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada B.
A meminta B datang ke tempatnya untuk membuat pertukaran.
B bersetuju dan meminta A membayar kos dia datang ke tempat A.
B lalu menaiki Grab dengan caj RM5.50 dan sampai ke tempat A, lalu berlaku pertukaran RM1000 duit terpakai dengan RM1000 duit baharu.
A membayar caj Grab sebanyak RM5.50 kepada B.
Hukum: Diharuskan, kerana bayaran caj Grab adalah kos sebenar yang dibayar oleh B untuk datang ke tempat A atas permintaan A.
Semoga bermanafaat.
Jauhi dosa besar riba. Jauhi daripada berperang dengan Allah SWT dan RasulNya. Insya Allah…
Nota Lariba: tak tau tak pa, dah tau buat cara yang betul ya…
Dipetik drp FB Ustaz Lokmanulhakim Hussain
Mingguan Wanita : Jangan ambil mudah. Nampak perkara ini biasa saja tapi kena tahu hukum hakamnya terutamanya yang kenakan caj lebih sebab tolong tukarkan.
Solat Tahajud sangat dituntut dalam meningkatkan keimanan kepada Allah. Namun, dalam asyik melakukan amal ibadah untuk mencari redha dan rahmat Allah,jangan sesekali ada lintasan hati perasaan bangga dalam melaksanakannya.
Apatah lagi terbitnya perasaan rasa diri kita lebih baik dan yakin semua amalan kita diterima Nya.Ia bukan hanya sekadar beribadah semata-mata namun perlu juga seimbang dengan berbuat baik dan mengambil peduli keperluan orang-orang disekililing kita.
Hadam perkongsian daripada Puan Shakirah Hasman yang diambil daripada Kitab Mukasyafatul Qulub, karya Imam Al Ghazali sebagai rujukan;
Seorang ahli ibadah yang bernama Abu bin Hasyim, seorang yang sentiasa solat sunat tahajud. Hampir bertahun-tahun dia tidak pernah tinggal melakukan solat tahajud.
Pada suatu malam saat dia hendak mengambil wuduk untuk solat tahajud, Abu bin Hasyim terkejut oleh kehadiran makhluk yang duduk di tepi periginya. Abu bin Hayim bertanya, “Wahai hamba Allah, siapakah engkau?”
Sambil tersenyum, makhluk itu berkata, “Aku malaikat utusan Allah,” Abu Bin Hasyim hairan sekaligus bangga kerana kedatangan malaikat mulia itu. Abu bin Hasyim lalu bertanya, “Apa yang kamu lakukan di sini?” Malaikat itu menjawab, “Aku disuruh mencari hamba pencinta Allah.”
Abu bin Hasyim melihat malaikat itu memegang kitab yang tebal, lalu bertanya lagi, “Wahai malaikat, buku apakah yang kau bawa itu?” Malaikat itu menjawab, “Ini adalah kumpulan nama hamba-hamba pencinta Allah swt.”
Tiada Dalam Senarai Hamba Pencinta Allah
Mendengar jawapan malaikat itu, Abu bin Hasyim berharap dalam hati namanya pasti ada tertulis. Maka ditanyalah malaikat itu lagi, “Wahai malaikat, adakah namaku tertulis disitu?” Abu bin Hasyim yakin bahawa namanya pasti tertulis di dalam buku itu, mengingati amalan ibadahnya yang tidak pernah lelah dan putusnya. Dia selalu mengerjakan solat tahajud setiap malam, berdoa dan bermunajat kepada Allah swt di sepertiga malam.
“Baiklah, aku periksa,” kata malaikat itu sambil membuka kitab besarnya. Dan ternyata malaikat itu tidak menemukan nama Abu bin Hasyim di dalamnya.
Dengan tidak percaya, Abu bin Hasyim meminta malaikat itu memeriksanya sekali lagi. “Sesungguhnya namamu tidak ada didalam buku ini,” kata malaikat itu.
Abu bin Hasyim menjadi gementar dan jatuh tersungkur di depan malaikat itu. Dia menangis teresak-esak. “Rugi sekali diriku yang selalu tegak berdiri di setiap malam dalam tahajud dan bermunajat tetapi namaku tidak termasuk dalam golongan para hamba pecinta Allah swt,” ratapnya.
Malaikat itu berkata, “Wahai Abu bin Hasyim ! Bukan aku tidak tahu yang engkau bangun tahajud setiap malam ketika yang lain sedang tidur, mengambil air wuduk pada saat orang lain terlelap dalam buaian malam.Sesungguhnya tanganku dilarang oleh Allah swt daripada menulis namamu.
Bangga Dalam Beribadah
“Apakah yang menjadi penyebabnya,” tanya Abu bin Hasyim.
“Engkau memang rajin bermunajat kepada Allah swt, tetapi engkau tunjukkan ibadah mu itu dengan rasa bangga dan asyik beribadah hanya memikirkan untuk diri kamu sendiri.
Sedangkan di kanan dan kirimu ada orang yang sakit atau lapar, tidak engkau hiraukan, ziarah dan memberi makan. Bagaimana mungkin engkau dapat menjadi hamba pecinta Allah swt jikalau engkau sendiri tidak pernah mencintai hamba-hamba yang diciptakan Allah swt?” kata malaikat itu.
Abu bin Hasyim rasa seperti disambar petir. Dia menyedari bahawa hubungan ibadah manusia itu tidaklah hanya kepada Allah swt semata-mata (hablummina Allah), tetapi juga sesama manusia atau makhluk Allah swt (hablum minannas) dan sekalian alam.
Kisah Perbualan Nabi Musa & Allah
Sementara itu, antara kisah lain turut dikongsikan dalam Kitab Mukasyafatul Qulub, karya Imam Al Ghazali ini adalah perbualan antara Nabi Musa dan Allah SWT dalam mencari redaNya.
Nabi Musa: Wahai Allah, aku sudah melaksanakan ibadah. Lalu manakah ibadahku yang membuat Engkau reda?
Allah: Solat mu itu untuk dirimu sendiri, kerana dengan mengerjakan solat, engkau terpelihara daripada perbuatan keji dan munkar. Zikirmu itu hanya untukmu sendiri, membuat hatimu menjadi tenang. Puasamu itu untuk dirimu sendiri, melatih dirimu untuk memerangi hawa nafsumu sendiri.
Nabi Musa: Lalu apa yang membuat Mu reda Ya Allah?
Allah: Sedekah, infaq, mengeluarkan zakat serta perbuatan baikmu.Itulah yang membuatkan Aku senang, kerana tatkala engkau membahagiakan orang yang sedang susah, Aku hadir disampingnya.Dan Aku akan mengganti mu dengan ganjaran 700 kali (Al-Baqarah 261-262).
Oleh itu, apabila seseorang hanya sibuk dengan ibadah kerohanian semata-mata dan merasa bangga dengannya maka itu tandanya kamu hanya mencintai dirimu sendiri, bukan Allah swt.
Tetapi apabila engkau berbuat baik dan berkorban untuk orang lain maka itu tandanya engkau mencintai Allah swt dan tentu Allah swt senang kerananya.Lakukanlah apa yang Allah swt reda kepadamu maka Allah swt akan limpahkan rahmat-Nya dengan membuat hidupmu lapang dan bahagia.
Sumber: Kitab Mukasyafatul Qulub, karya Imam Al Ghazali
MW:Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan buat kita. Penting tidak berbangga-bangga dalam melakukan ibadah, malah tidak hanya memikrkan untuk diri sendiri. Menjadi keperluan turut mengambil berat orang sekeliling kita, membantu didalam kesusahan, mengeratkan silahturahim sesama manusia untuk mendapat rahmat dan redhaNya.
Mungkin kita rasa dah cuci daging, ikan atau ayam yang kita beli itu sudah bersih. Dah tak ada darah dan bersih. Begitu juga bila makan di restoran, tentu penjual pun dah membersih sebaiknya.
Tapi, kita tak sedar dalam cuci daging, ayam dan ikan itu, masih ada saki baki darahdan tidak ada bilasan terakhir. Akhirnya, kita ambil makanan bernajis dan jadi darah daging.
Itulah yang membimbangkan kita tanpa sedar. Kena tahu hukumnya kalau cuci daging, ikan atau ayam tak bersih. Faham betul-betul apa yang dikongsikan oleh Muharrik Daie untuk panduan kita bersama.
Kak, saya nak tegur sikit.” ujarku pada pembantu warung makanan di sebuah restoran setelah dia habis mencuci ikan daging dan ayam untuk masakan tengaharinya.
“Kenapa encik?” Soalnya pada aku dalam keadaan wajah yang sedikit terkejut.
“Begini kak. Tadi waktu saya ke tandas tadi, saya nampak akak cuci daging.”
Belum sempat aku habis terangkan, dia terus memotong cakap aku. “Kotor ke encik?”
“Taklah kak. Makanan akak basuh tu cantik, cumanya akak cuci dan bilas daging dan ayam tu tak betul. Bersih memang nampak bersih tapi tak sucilah kak dari sudut hukumnya. Najis.” Ujar ku.
“Maksud encik?” Tanyanya pada aku dengan wajah sikit berubah.
“Akak cuci daging, ayam dan ikan tu tak ikut hukum. Sepatutnya bilasan terakhir tu akak kena lalukan air dari paip atau akak cucurkan air dari atas daging tu tadi. Tak boleh kocak kocak bilas dalam besen macam tu saja sebabnya air yang bercampur darah itu tadi jadi najis dan dikira air mutannajis dalam besen itu sebab tak cukup dua kolah.”
“Tauke ajar macam tulah encik. Akak ikut jerlah.” Ujar akak itu lagi.
“Salah tu kak. Lain kali akak jangan buat macam tu. Memanglah nampak macam bersih tapi hakikatnya najislah kak. Naya pelanggan makan najis.” Ujar ku sambil berlalu.
Akak itu angguk angguk saja.
Sebab itu aku ni jarang nak makan kat kedai, takut termakan najis. Geli lagi. Kalau kita tahu cara cucui yang tak betul itu, haram kita makan makanan tersebut sebab dihukum najis.
Haram Makan Makanan Bernajis
Kalau aku makan kat kedai pun aku tengok tengok juga. Kalau aku yakin tuan kedai tu pandai orang yang mengaji dan pandai ikut hukum, aku makan lah. Jika tidak memang aku tak makan.
Sebab itu ulama kata, kalau nak berniaga pun kena mengaji ilmu fardhu ain. Kena ajar pembantu kedai dan pekerja kedai akan fardhu ain .Kalau tidak sampai mati kita bagi orang makan najis. Sikit punya dosa ke?
Pekedai satu hal. Kita pun yang nak makan ni pun kena jaga jaga juga. Kalau kita pun jahil ilmu dan main belasah jerlah. Jawabnya berdosa sajalah kita sepanjang hayat .Sebab itu kita lemah nak buat ibadah sebab banyak makan makanan kotor yang bernajis.
Bayangkan kalau kamu pun tak mengaji fardhu ain. Isteri kamu pun tak mengaji fardhu ain apa lagi bab beesuci ni, sampai matilah isteri kamu basuh makanan tak ikut hukum syarak sehingga makanan kamu pun kotor najis dari air mutannajis. Apa akan jadi? Itu baru bab najis, belum lagi bab bersuci yang lain.
Sebab itu jangan pandai nak kahwin dan poligami saja tapi ilmu agama fardhu ain pun ke laut.
Hati hati lah.
Mingguan Wanita : Jangan ambil mudah, itu di di kedai makan dan kita tak tahu kebersihannya. Tapi kalau kat rumah, kena buat betul-betul sebab nak bagi makan kat keluarga kita.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...