Proses untuk bergelar wanita inspirasi bukanlah satu yang mudah. Namun, tidak mustahil jika anda memiliki tekad dan niat yang baik untuk membentuk peribadi yang positif bagi orang-orang di sekitar anda.
Malah sikap positif itu juga akan membuat orang-orang di sekitarnya tenang dan nyaman. Secara tidak langsung, anda telah maju selangkah untuk menjadi wanita hebat.
Begitu jugalah dengan figura hebat yang juga pemilik nama sebenar Norhaili Ahmad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Elly Billionaire. Wanita hebat ini mempunyai pengalaman perjalanan bisnes yang luar biasa.
Mana tidaknya bukan calang-calang insan yang mampu bergelumang dalam bidang unit amanah di mana pendapatan hanya diraih secara komisyen.
Bak kata, Elly, “Kalau ada jualan, adalah komisyen dan gaji. Jadi, keberanian adalah sesuatu yang penting untuk melangkah ke bidang ini”.
Sara Ibu & Persekolahan Adik-Beradik
Anak kedua daripada empat adik beradik yang berasal dari Pahang ini merupakan graduan UiTM dan memiliki Ijazah Perakaunan.
Membongkar kisah hidupnya, Elly bukanlah berasal dari keluarga yang senang. Dia terpaksa berhempas pulas menyara kehidupan keluarga selepas ayahnya meninggal dunia.
“Selepas tamat belajar di universiti, kerjaya pertama saya sebagai Juruaudit. Ketika itu saya berkhidmat dengan salah satu syarikat audit terbesar dunia dengan gaji bulanan hanya sebanyak RM1750.
“Disebabkan saya mempunyai impian yang cukup besar dan keperluan ketika itu adalah untuk menyara ibu serta adik-adik saya yang masih bersekolah setelah kematian ayah saya.
“Jadi saya berhenti selepas bekerja selama tiga tahun setengah. Saya tekad untuk menceburi bidang kewangan sebagai Perunding Unit Amanah demi meraih pendapatan yang jauh lebih baik,” akui Elly yang mula menceburkan diri dalam bidang unit amanah sekitar tahun 2003.
18 Tahun Ceburi Unit Amanah
Pejam celik, pejam celik rupanya sudah 18 tahun wanita cekal ini terlibat dalam unit amanah. Dirinya kini memiliki syarikat Sendirian Berhad.
“Syarikat saya, 1EBC Sdn Bhd adalah sebuah agensi yang memberikan khidmat dalam bidang kewangan iaitu Unit Amanah bersama Kenanga Investors Berhad dan juga Perlindungan Takaful Bersama Hong Leong MSIG Takaful.
“Kepakaran agensi yang saya tubuhkan adalah bertujuan untuk membantu dan mendidik individu, serta badan korporat mengenai perancangan kewangan, selain memberikan kesedaran tentang keperluan perlindungan kewangan dan juga kesihatan diri,” sambung Elly.
Ads
Akui bidang ini begitu sesuai dengan jiwanya, Elly juga berasa berbesar hati bukan sahaja boleh membantu para pelabur untuk mengembangkan serta melindungi simpanan mereka, bahkan dirinya juga secara peribadi berpeluang untuk mendidik ramai anak Melayu terutamanya, untuk mencari pendapatan yang jauh lebih baik.
Ditebak mengenai cabaran dalam kerjayanya ini, Elly akui semua pekerjaan pasti mempunyai cabaran yang tersendiri.
“Cabaran yang paling utama adalah pengurusan insan. Ini kerana setiap mereka mempunyai latarbelakang, kepercayaan, pendidikan, serta semangat yang berbeza. Mendidik serta memberi keyakinan kepada mereka agar memahami selok belok perniagaan, memerlukan kesabaran yang sangat tinggi,” jawabnya.
‘Buku Impian’ Rahsia Kejayaan
Menyentuh tentang erti putus asa, dirinya juga tidak terkecuali.
“Semestinya. Sebagai manusia biasa, kita takkan lari daripada perasaan putus asa itu. Tetapi apabila kita memiliki impian yang sangat besar untuk diri dan keluarga, serta tanggungjawab ke atas impian setiap anak didik saya, menjadikan saya tidak mudah mengalah.
“Namun begitu, impian yang besar sahaja tidak cukup. Impian yang dimiliki harus mempunyai sebuah tujuan supaya kita terus maju dalam mencapai impian. It must be clear in front of your eyes. Sebab itu saya akan pastikan impian saya dicatat di dalam sebuah buku yang saya namakan, ‘Buku Impian’. Inilah salah satu rahsia kejayaan saya di dalam bidang unit amanah.
“Perasaan putus asa itu selalu terbit di ‘waktu sunyi’ saya, terutamanya pada waktu tengah malam atau waktu awal pagi. Saya akan recognize perasaan ini dan saya katakan ini adalah signal hasutan syaitan terhadap impian saya. Dia datang untuk binasakan impian saya.
“Jadi apa yang saya buat? Saya buka balik Buku Impian saya. Saya tengok dalam-dalam image tersebut, sampai menusuk ke hati.
“Bila hati berbolak balik saya akan terus sembahyang dua rakaat, berdoa kepada Allah. Dan dengan cara inilah saya bangkit kembali demi impian saya,” luah Elly tentang petua-petua yang diamalkan untuk terus istiqamah dalam perniagaan.
Ads
Carilah Mentor Yang Hebat
Dalam perniagaan pasti ada turun naiknya, bukan itu saja malah mereka juga perlu bijak dalam menghadapi persaingan.
“Dalam apa jua bidang yang kita ceburi, persaingan merupakan perkara yang tidak dapat kita hindari. Prinsip utama yang saya pegang dalam menghadapi persaingan adalah, kenal produk yang kita jual dan pasarkan. Apabila kita mengetahui produk yang kita jual dengan menyeluruh, secara tidak langsung kita dapat meyakinkan pelanggan dengan baik.
“Selepas mengenali produk yang kita pasarkan, adalah penting untuk kita mengetahui dan menguasai cara-cara mengendali produk tersebut. Macam stereng kereta, kereta tak akan bergerak dengan betul sekiranya pemandu tidak tahu cara mengendali kenderaan tersebut.
“Kekuatan sesuatu produk terletak pada penjualnya. Belajar bekerja keras pada diri sendiri, perbaiki diri dengan ilmu jualan dan cari mentor yang hebat. Bak kata seorang mentor terkenal yang saya pegang hingga ke hari ini, “Sekiranya anda bekerja keras dalam pekerjaan yang anda ceburi, anda boleh menjana pendapatan. Sekiranya anda bekerja keras pada diri sendiri, anda boleh memperoleh lebih banyak keuntungan”. Segalanya bermula dari anda,” ceritanya.
Sentiasa Belajar & Tambah Ilmu
Elly juga menegaskan dalam menarik pelanggan, seseorang itu perlu sentiasa menimba ilmu.
“Niat utama haruslah untuk membantu pelanggan dan kita kena sentiasa belajar dan menambah ilmu dalam diri. Seperti dalam bidang unit amanah, latihan dan kursus kemahiran tentang produk adalah sangat penting dalam memberikan khidmat nasihat kepada pelanggan dengan lebih baik.
“Seperti pasukan saya, rutin kami adalah mengendalikan sesi latihan atau kursus secara fizikal atau maya, pada setiap minggu bagi mengasah ilmu yang diperlukan. Kita secara automatik akan menjadi lebih yakin dalam mengendali pelanggan apabila kita mempunyai persediaan yang secukupnya,” terang Elly yang turut mengamalkan agar memahami siapa pelanggan anda dan produk yang anda pasarkan. Komponen ini memainkan peranan yang penting kerana kepentingan produk mempengaruhi kebaikkan yang pelanggan akan perolehi.
Disebalik kejayaan wanita ini, dia turut mendapat sokongan padu dari ahli keluarga tersayang.
Ads
“Saya sangat bertuah kerana mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong usaha yang saya beri selama ini. Semenjak hari pertama dalam bidang ni, ibu saya Sadariah Jaafar tak pernah berhenti mendoakan kejayaan saya. Begitu juga dengan adik saya Norazlin Ahmad Mokhtar yang sentiasa setia bersama saya.
“Di samping itu, kepercayaan dan toleransi suami tercinta, Farezul Jali ke atas saya dalam mengemudi empayar yang besar ini amat saya hargai. Yang jelas, saya tak akan bisa berada di kedudukan sekarang tanpa mereka semua,” katanya.
Jadikan 1EBC Agensi Perancang Kewangan Terbesar
Wanita berjiwa besar ini juga mempunyai target tersendiri dalam dunia perniagaan.
“Saya ingin menjadikan 1EBC agensi perancang kewangan yang terbesar di bawah naungan Kenanga Investors Berhad . Di mana mereka yang berada di bawah saya mempunyai kehebatan membimbing bukan sahaja di dalam bidang perancangan kewangan, malah mereka juga pakar didalam Perlindungan Risiko dan agihan harta pusaka.
“Saya ingin melatih, khasnya anak-anak muda masa kini dengan memberi kesedaran awal tentang mereka mampu untuk menjadi jutawan sekiranya mereka mempelajari dan mendalami ilmu perancangan kewangan sebaiknya,” ungkapnya.
Elly juga turut menasihatkan pelabur baru agar tetapkan pendirian dalam mengejar target yang diimpikan.
“Nasihat saya adalah, pelabur harus jelas tentang objektif dalam pelaburan mereka. Sebagai contoh, unit amanah memerlukan masa minimum tiga hingga lima tahun untuk mencapai pulangan yang baik. Sekiranya objektif anda setara dengan konsep unit amanah, pelaburan anda akan mencapai target yang diimpikan.
“Kerana itu saya memilih untuk berkhidmat dengan Kenanga Investors Berhad kerana Kenanga Investors Berhad mempunyai lebih daripada 300 dana unit amanah daripada 19 syarikat pengurusan dana yang berbeza dan ini dapat memberi pilihan yang lebih banyak kepada mereka yang ingin membuat pelaburan. Kenanga Investors Berhad juga ada menyediakan khidmat perancangan kewangan serta menggalakkan penyertaan ahli agensi untuk memberi khidmat yang terbaik kepada pelanggan ,” ujarnya lagi.
Elly juga tidak lokek ilmu dan berkongsi tip mengenai bimbingan ‘leaders’.
“Antara tip yang saya boleh kongsikan adalah mewajibkan latihan/kursus kepada pasukan masing-masing. Saya mahu ketua atau leaders yang berilmu dan berkongsi ilmu yang mereka perolehi.
“Ketua-ketua pasukan saya juga wajib capai target yang saya atau syarikat berikan kepada mereka dan setiap daripada mereka saya didik secara menyeluruh agar mereka menyerlah dengan lebih cemerlang,” akhiri Elly.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Usahawan berpangkat Crown Diamond Manager (CDM) iaitu kedudukan tertinggi dalam Shajidah Hai O Marketing di bawab team Smart Tycoon Group (STG) memulakan kerjaya sekadar sambilan. Fauwati Abdul Rahman, 55 tak sangka dalam masa 8 tahun dia direzekikan status sedemikian.
“Tiada istilah penat dalam setiap perjuangan. Tiada kejayaan yang datang bergolek dan setiap kejayaan yang dicapai bukanlah semudah dengan ucapan semata-mata.
“Jika kita lakukan sesuatu perniagaan dengan cara yang betul, ia mampu membentuk diri, kekuatan dan kelemahan kita.” Itulah kata-kata semangat dan kekuatan dirinya.
Tak Sangka Dapat Bantuan Ilmu Dari Crown Diamond Manager Lainnya
Menceritakan tentang penglibatan dalam Sahajidah Hai-O, Fauwati tidak sangka pada awalnya dia hanya membeli pakaian dalam wanita dengan tujuan untuk menjaga atas sebab masalah sakit belakang dan krim kecantikan.
Memang tidak dinafikan dengan hanya memakai produk itu, Fauwati terlibat secara langsung dan sudah tentulah dia tidak tahu cabaran yang harus dihadapi dalam perniagaan ini.
“Permulaan, saya sangat ‘blur’, kosong dan tidak tahu apa yang patut dilakukan. Saya mengikut apa sahaja ilmu yang mentor berikan. Apa pun saya sangat beruntung kerana dalam perniagaan ini saya sentiasa diberikan ilmu dunia akhirat, sistem yang memudahkan dan sudah pasti ada mentor yang telah berjaya di depan mata saya,” katanya yang cukup berterima kasih kepada Mentor CDM Dr ELMY Johanna Mohamad dan Mentor CDM Dr Omar serta Founder #ProjekSTG Mentor HAJJAH Norazlin NORDIN dan Mentor Haji Arifin Shah yang banyak memberi tunjuk ajar.
Percutian bersama tim
Berniaga Tanpa Sewa Kedai
Memilih perniagaan MLM, tentunya tidak dapat lari daripada persaingan yang ada terutamanya dalam memperkenalkan produk yang lebih kurang sama. Namun, semua ini dapat ditangkis oleh Fauwati dan mengatakan persaingan itu adalah sesuatu yang sihat.
“Walaupun tim kami menjual produk yang sama tetapi kami bersaing secara sihat dan percaya rezeki masing-masing. Kami turut berkongsi idea, maklumat, cara memudahkan berniaga tanpa perlu menyewa kedai, tanpa perlu mengupah pekerja dan sebagainya.
“Malahan, dalam memberikan keyakinan kepada pengguna, saya akan maklumkan produk selamat digunakan, melepasi KPDKNK, syarikat kukuh sudah berpuluh tahun di Bursa Saham, produk yang halal dan telah mendapat kelulusan JAKIM.,” katanya dengan penuh yakin.
Awalnya Suami Tak Sokong..
Kejayaan yang dicapai oleh Fauwati hari ini cukup membanggakan, apatah lagi dia sendiri kena membahagikan masa antara kerjaya tetap dan sambilan ini.
“Pada awalnya, ahli keluarga terutamanya suami tidak menyokong dengan apa yang telah saya lakukan. Alasannya, saya ada kerjaya dan berada dalam zon selesa. Apa pun, saya nampak perniagaan ini boleh pergi jauh, boleh memberi nilai pada diri saya, keluarga saya dan memberi manfaat pada orang lain.
“Saya juga berpegang dengan konsep, nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Saya melihat kejayaan mentor saya yang juga ‘part time’, sudah tentu saya juga boleh melakukan.
“Jadi, ketika waktu kerja, saya fokus dengan kerja manakala perniagaan MLM saya terapkan selepas waktu kerja dan hari yang tidak bekerja,” katanya yang beruntung kerana perniagaan yang dijalankan lebih kepada atas talian (online) tanpa menganggu tugas hakiki.
Melalui usaha dan tekad yang ada pada Fauwati, dia berjaya mecapai pangkat Crown Diamond Manager. Malah, sepanjang tempoh lapan tahun dalam perniagaan ini, dia berjaya memiliki rumah idaman untuk didiami bersama suami, Abdul Halim Abdul Rahman, 56 tahun dan anak-anaknya, Abdul Afiq, 31 tahun, Abdul Hakim, 27 tahun dan Azizah Batrisyia, 20 tahun.
Niat Lahirkan Lebih Ramai Usahawan
Pada masa yang sama, Fauwati turut memberi nasihat kepada orang di luar sana yang ingin menceburi bidang perniangaan MLM ini.
“Bagi mereka yang ingin ceburi perniagaan ini, pastikan diri kita percaya dengan apa yang kita nak ingin lakukan, bersihkan hati, jaga ukuwah, elakkan menyalahkan orang lain atau menjatuhkan orang lain. Sentiasa istiqamah dalam berniaga, perlu saling membantu dan sentiasa pastikan berada dalam ‘circle’ yang positive.
“Target saya di dalam perniagaan ini adalah ingin melahirkan lebih ramai usahawan Sahajidah dengan memastikan mereka mendapat bonus setiap bulan. Saya juga merancang untuk mengadakan Tabung Amal dengan harapan dapat membantu mendirikan masjid, membantu orang susah, sekolah tahfiz, rumah anak-anak yatim serta yang memerlukan bantuan,” itulah antara impian Fauwati sebelum mengakhiri perbualan.
Siapa sangka, asalnya hanya menjadikan bisnes ini sebagai kerja sambilan saja, sementelah masing-masing sudah mempunyai pekerjaan tetap. Namun, ‘niat bantu keluarga’ inilah mendorong adik beradik ini untuk terus berusaha dan mengecapi kejayaan yang tidak disangka-sangka.
Dalam tempoh 8 tahun ini, kejayaan demi kejayaan di tempa oleh pasangan adik beradik ini dalam perniagaan. Langsung tidak terfikir oleh mereka dan merasakan ia umpama mimpi buat mereka.
Anggun Cotton Collection semakin meniti di bibir golongan wanita yang sukakan dengan koleksi pakaian rekaan mereka. Tidak hairanlah, selama tiga tahun berturut-turut dari tahun 2018 – 2020, mereka mendapat pengikhtirafan daripada JNT untul parcel dan jualan terbanyak yang diterima dan beberapa anugerah lain.
Bermula sebagai ‘reseller’ dan akhirnya berjaya membina empayar sendiri sehingga mempunyai ratusan ribu pelanggan. Inilah yang ingin Mingguan Wanita cungkilkan rahsia di sebalik kejayaan pasangan adik beradik ini.
Niat Bantu Keluarga, Berniaga Kecil-Kecilan
Anggun Cotton Collection, satu nama yang tidak asing lagi buat peminat baju kurung, baik kurung moden, mini kurung, kurung kedah dan sebagainya. Pelbagai pilihan yang menarik sentiasa menjadi perhatian dan tarikan pelanggan.
Noraini Hanipah, 38 tahun dan Norafizah Hanipah, 35 tahun adalah pengasas Anggun Cotton Collection ini. Kejayaan yang dicapai oleh adik beradik ini dalam menaikkan butik mereka tidak semudah yang disangka.
Sewa lot kedai pertama di bangunan MARA Negeri Sembilan tahun 2016
Bercerita lebih lanjut tentang permulaan dalam perniagaan ini hanyalah sekadar ‘part time’ dan kecil-kecilan di rumah.
“Kami bermula pada tahun 2014, waktu itu, saya dan kakak masih lagi bekerja dan pada masa sama berniaga secara kecil-kecilan. Pada hari biasa kami bekerja dan hujung minggu kami akan ‘full time’ untuk bisnes ini. Asalnya, kami hanya ‘reseller’ menjual kain pasang dan produk orang lain,” kata Norafizah atau dikenali sebagai Fizah memulakan cerita.
Masa jual kain pasang
Tiada Ilmu Dalam Perniagaan
Di awal penglibatan ini tentulah ada cabaran buat adik beradik yang berasal dari Mersing, Johor ini. Manakan tidak, untuk membahagian masa antara perniagaan dan kerja hakiki.
“Bayangkan pada waktu itu, kami sendiri yang menguruskan tempahan pelangagan, berulang alik seminggu sekali dari Seremban ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan stok. Ini belum lagi dalam menyelesaikan masalah ketiadaan stok yang dikehendaki oleh pelanggan,” kata Fizah lagi.
Apa yang boleh Fizah katakan, pada saat itu mereka masih tiada ilmu dalam perniagaan dan banyak ‘roadblock’ yang terpaksa mereka tempuhi dan kesilapan yang dilalui dalam perniagaan ini.
“Bayangkan, waktu itu, kami belum ada staf, segalanya dilakukan sendiri oleh kami, ambil tempahan, buat penghantaran parcel dan layan pelbagai karenah pelanggan,” katanya mengimbau kembali di awal perniagaan.
Susahnya Nak Dapat Jual Satu Pasang
Dalam tempoh 8 tahun dalam perniagaan inilah pelbagai kenangan manis dan pahit yang mereka lalui. Inilah pengalaman yang wajib mereka tempuh dan mungkin kepada sesiapa saja yang terlibat dalam dunia perniagaan. Bagi mereka, pengalaman yang tak mungkin dilupakan tentulah semasa awal-awal bisnes.
“Kami memulakan bisnes dengan hanya mengambil stok 100 pasang sahaja. Kami yang baru nak menapak, tentulah rasa terlalu banyak dengan jumlah ini. Nak habiskan stok ini ambil masa sampai berbulan-bulan.
“Bila jual secara online, hanya kawan-kawan yang membeli, cuba buka booth di hadapan sebuah bank, tiada siapa yang nak beli sampaikan pernah dihalau oleh peniaga lain. Nak dapat jualan satu pasang pun cukup susah.
“Semuanya sebab kami tiada ilmu dalam bisnes. Jadi, apa yang kami buat, kami belajar dan ambil ilmu daripada guru online, belajar untuk kembangkan perniagaan. Hasilnya kami ‘upgrade’ dan berjaya kembangkan perniagaan. Rupanya nak berjaya dalam bisnes ini senang saja, kena ada ilmu,” katanya yang dapat menjual sebanyak 600 pasang dalam tempoh sebulan daripada ilmu yang dipelajari. Dari titik tolak itulah Fizah dan kakaknya yakin untuk menjual produk sendiri.
Pencapaian Demi Pencapaian
Tidak pernah terjangka untuk memperoleh kejayaan sampai ke tahap ini, Fizah dan kakaknya merasakan seperti bermimpi dan keajaiban yang Allah berikan atas usaha mereka.
“Kejayaan dan kekayaan bukan kita minta tapi ‘magic’ untuk diri kita. Sesiapa yang berusaha pasti akan dapat. Kami tiada impian untuk kaya dan berjaya sehinggalah nama Anggun Cotton Colection di sebut dan langsung tidak terfikir usaha yang kami lakukan sampai ke tahap ini.
“Apa yang boleh kami katakan, setiap hari kami akan usaha untuk memajukan diri, upgrade diri, dari negatif jadi positif, sentiasa belajar dan tidak boleh selesa dengan apa yang ada,” kata Fizah lagi.
Dalam tempoh ini, Anggun Cotton Collection telah menerima banyak anugerah dan pencapaian. Antaranya, Best Brands E-Branding Award 2020 dalam Fashion Cotton Baju Kurung, Awarded Superbrands Malaysia’s Choice 2021, pengikhtirafan dari JNT dari tahun 2018-2020 dan sebagainya. Malah, sesiapa saja pasti akan terpandang billboard Anggun Cotton Collection di lebuhraya selatan dengan duta pakaian, Yana Samsuddin.
Dekatkan Diri Dengan Orang Berjaya
Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha. Begitu juga bagi Fizah dan kakaknya, Anie, setiap cabaran datang, itulah yang mereka belajar. Kena ada ilmu dalam berniaga.
“Jika tiada ilmu, banyak halangan dan kesilapan yang kitabuat. Belajar, jangan putus asa dan bangkit semula. Kita usaha dan buat sehabis baik. Selebihnya kita berdoa dan bertawakal kepadaNya,” katanya yang banyak belajar dari kejayaan orang lain an sentiasa dekatkan diri dengan orang-orang berjaya.
Apa yang ditekankan oleh Fizah adalah niat pertama kena letak dalam hati, ingin bantu keluarga, diri sendiri, bantu suami. Insya Allah, akan dilorongkan.
“Kami dari anak orang kampung, tahu macam mana susahnya. Nak dapatkan sesuatu kena cari sendiri. Mak ayah kami hanya bagi ilmu dan selebihnya kami usahakan,” katanya yang menjadikan mak ayah idola dan orang-orang yang kaya serta berjaya sebagai inspirasi untuk kejayaan mereka hari ini.
Nak tahu lebih lanjut lagi kisah kejayaan adik beradik ini, jangan lupa sertai di program Webinar Eksklusif CEO BIsnes Viral anjuran Mingguan Wanita pada 25 September 2021 secara virtual. Dangarkan sendiri perkongsian jujur mereka. Eksklusif!
Menangi hadiah-hadiah cabutan bertuah serta wang tunai bernila RM100.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
“Saya bukan seorang pendidik, tetapi sejak kecil, ibu bapa saya mendidik saya tentang pentingnya pendidikan yang baik. Hanya melalui pendidikan, kita mampu menjadi apa sahaja yang kita mahu. Walaupun kita lahir dari keluarga berada, bagaimana kita mahu mengekalkan kejayaan atau meneraju sesuatu tanpa ilmu?”.
Itu ungkapan Madam Ieka atau Nurul Atieka Mohamad Zahari penuh keyakinan.
Madam Ieka mencipta platform tuisyen dalam talian Stara yang memfokuskan kepada pelajar sekolah rendah. Dengan visi besar dan hati yang tulus, beliau percaya bahawa pendidikan mampu mengubah kehidupan sesiapa sahaja.
“Saya bukan seorang pendidik, tetapi sejak kecil, ibu bapa saya mendidik saya tentang pentingnya pendidikan yang baik. Hanya melalui pendidikan, kita mampu menjadi apa sahaja yang kita mahu. Walaupun kita lahir dari keluarga berada, bagaimana kita mahu mengekalkan kejayaan atau meneraju sesuatu tanpa ilmu?” kata Madam Ieka penuh keyakinan.
Menurutnya, platform Stara diwujudkan kerana keterbatasan dirinya untuk berkongsi manfaat secara meluas.
“Tenaga saya ada hadnya. Jadi saya kumpulkan guru-guru yang terbaik untuk sama-sama menyebarkan ilmu. Fokus saya pada pelajar sekolah rendah kerana asas pendidikan itu sangat penting. Jika asasnya kukuh, barulah mudah untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Stara lahir daripada impian saya, mahu setiap kanak-kanak di Malaysia mendapat pendidikan yang berkualiti,” tambah beliau.
Menggilap Potensi Bukan Sekadar Akademik
Matlamat Stara bukan hanya melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik, tetapi turut menanam benih keyakinan diri dan keberanian untuk bermimpi lebih besar. “Ramai kanak-kanak sebenarnya bijak, tetapi keyakinan mereka terlalu rendah. Mereka takut bermimpi besar dan tidak berani menonjolkan potensi diri.
Di Stara, kami bukan sahaja membantu mereka memahami subjek, tetapi turut menggilap potensi mereka. Kami mahu lahirkan generasi muda yang bijak, yakin, dan mampu bersaing pada masa hadapan,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, sokongan daripada ibu bapa dan guru adalah kunci kepada perkembangan kanak-kanak sekolah rendah. Oleh itu, menjelang tahun 2025, Stara akan memperkenalkan siri kem khas yang bertujuan membina keyakinan diri dan kemahiran penting seperti public speaking, intonasi, komunikasi, serta kem untuk menguasai subjek Matematik dan Sains.
Kurikulum Unik dan Menarik
Stara hanya memberi fokus kepada lima subjek teras: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, dan Pendidikan Islam. Teknik pengajaran mereka bukan sahaja efektif tetapi juga menarik minat pelajar. “Kanak-kanak sekolah rendah sukar fokus, jadi kami gunakan material visual seperti gambar dan video supaya mereka lebih memahami konsep asas terlebih dahulu sebelum mendalami topik tersebut,” kata Madam Ieka.
Menariknya, tutor di Stara dipilih dengan teliti dan merupakan pakar dalam subjek masing-masing. “Kami percaya, mentor yang hebat mampu melahirkan pelajar yang hebat. Sebab itu saya pastikan tutor di Stara adalah mereka yang benar-benar mahir dan mampu menyampaikan ilmu dengan berkesan,” tambahnya lagi.
Madam Ieka percaya pengiktirafan memainkan peranan penting dalam memotivasikan pelajar untuk terus cemerlang. Oleh itu, Stara turut mengadakan Majlis Anugerah Cemerlang setiap tahun untuk meraikan kejayaan para pelajar. Penghargaan bukan sahaja diberikan untuk pencapaian akademik, tetapi juga untuk sahsiah terpuji.
“Setiap usaha perlu dihargai. Kami mahu pelajar tahu bahawa setiap pencapaian mereka dihargai, walaupun sekecil mana pun. Tahun ini, dua pelajar cemerlang Uwais Ashraf Abdul Rahman, 11, dan Qaseh Raudhah Mohd Azhar, 10, telah diangkat sebagai penerima Anugerah Bintang Stara atas semangat serta kecemerlangan mereka sepanjang sesi pembelajaran,” jelasnya dengan bangga.
Untuk memenuhi keperluan pelbagai pelajar, Stara menawarkan tiga pakej iaitu Pakej Elite, Pakej VIP, dan Pakej Premier. Setiap pakej menyediakan 20 sesi kelas sebulan dengan harga bermula daripada RM149 sehingga RM299.
Gabungan teknologi dan kaedah pengajaran yang inovatif tidak hanya memberikan alternatif kepada pembelajaran tradisional tetapi juga membuka peluang yang lebih luas untuk generasi masa depan.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.