Elakkan mengata orang yang bersalah! Tapi doakan mereka agar berubah, hidupkan macam roda. Hari ini mungkin hari mereka, esok pula akan tiba masanya hari mak dan ayah.
Kebiasaaannya kita alpa dan lupa diri apabila melihat sesuatu yang tidak kena di mata, lancar saja mulut mengata itu dan ini tanpa kita sedar esok, lusa mungkin terkena atas batang hidung sendiri.
Elakkan Mengata Orang Yang Bersalah
Kongsi Ustaz Firdaus Mokhtar, kalau nampak satu kesalahan di depan mata, ingatlah kita, anak-anak dan cucu-cicit kita boleh jadi terlibat kesalahan yang sama.
Kalau nampak satu kesusahan di depan mata, ingatlah kita pun boleh berada dalam keadaan itu nanti.
Kalau nampak satu kesenangan di depan mata yang bukan kita punya, ingatlah nanti Tuhan boleh beri yang sama buat kita.
Setiap yang kita nampak, semuanya boleh berlaku pada kita juga. Hidupkan macam roda. Kadang yang berlaku pada orang lain, berpusing dan berlaku pada kita pula.
Ads
Hidupkan Macam Roda
Maka,
1. Elakkan mengata atau menghina mereka yang bersalah tetapi doakan. Doakan juga kita dan keluarga tidak terlibat dosa yang sama akan datang. Ketenangan akan hadir dalam doa kita.
2. Bantulah sekali pun kita dalam keadaan tak cukup. Bahagia itu datang setiap kali kita membantu orang lain.
3. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Kerana apa yang ada ini lah yang sangat sesuai untuk kita buat masa ini. Berbahagialah.
Begitulah hidup ini. Kena sentiasa bersederhana.
Selamat pagi kawan-kawan semua.
Mingguan Wanita : Dalam apa perkara sekalipun, beringatlah dalam setiap nikmat atau ujian yang Allah SWT pasti ada hikmahnya. Bersyukurlah dengan setiap kurniaan-Nya.
Aidil Adha baru sahaja berlalu, terkenang Rania mengenai kisah yang berlaku di pejabat lamanya. Kisah bagaimana ibadah korban yang dilakukan bersama rakan sejawat, meriahnya bukan kepalang. Sudah menjadi amalan apabila adanya hari istimewa sebegitu, awal-awal lagi memo telah pun dikeluarkan oleh pihak pengurusan mengarahkan staf supaya melapangkan masa bagi menyertai sesi rewang yang berlangsung di ruang parkir berbumbung.
Hari yang dirancang pun menjelang tiba, masing-masing hadir dengan kelengkapan memotong daging dan sebagainya. Usai sesi fotografi, upacara menyembelih empat ekor lembu pun bermula. Tak sampai dua jam empat ekor lembu yang semalamnya enak meragut rumput di tepi padang letaknya dihadapan ruang lapang pejabat, telah selamat disembelih untuk ibadah korban.
Tibalah masa untuk melapah dan memotong daging lembu mengikut bahagian sepatutnya. Baik si lelaki mahupun perempuan, masing-masing kusyuk melaksanakan tugas yang diamanahkan. Walau tak ramai yang dapat menghadirkan diri, kerja pantas dapat disempurnakan. Sesekali ada yang menjamah kudapan ringan seperti mee goreng dan air kopi sebagai alas perut.
Rancangnya seperiuk sup bagi memasak daging bakal menjadi juadah seterusnya usai sesi agihan daging kepada yang terlibat serta agihan kepada rumah anak yatim di uruskan. Khabarnya kali ini pihak pengurusan memilih sebuah rumah anak yatim yang juga merupakan pusat tahfiz sebagai rumah pilihan perkongsian ibadah korban pada tahun itu.
Mana perginya daging?
Ketika sesi pembungkusan daging korban bermula, hampir 200 beg plastik mengikut berat sepatutnya telah dikumpulkan. Menurut Pak Wan, antara salah seorang pekerja senior yang masih setia berkhidmat di pejabat Rania ada tetamu pelik yang datang ketika sesi pembungkusan itu. Nun dari hujung padang, dimata Pak Wan dia terlihat sekumpulan manusia berpakaian persis orang Melayu dahulu kala berjalan ke arah tempat pembungkusan.
Peliknya kata Pak Wan, hanya dia sahaja yang perasan kedatangan tetamu tak diduga itu, manakala teman-teman lain pula asyik meneruskan kerja-kerja pembungkusan daging. Bak di pukau, tidak semena-mena seorang lelaki yang tindak tanduknya seperti ketua dalam kumpulan datang menyapanya dengan penuh santun. Bahasa yang digunakan pula, macam penggunaan bahasa daam filem Melayu klasik. Penuh santun dan sarat bunga.
Dipendekkan cerita, mereka datang dengan tujuan. Menurut Pak Wan, kejadian itu berlaku dalam keadaaan dia separa sedar. Katanya, menurut lelaki itu, dia berhajat mahukan daging itu barang sebungkus dua. Walau tak banyak mana pun permintaaannya… Pak Wan menerangkan yang tiap satu bungkusan
Itu sudah ada yang punya. Mungkin ada lagi beberapa bungkusan sengaja diketepikan dibimbangi ada pula yang tak mencukupi nanti. Bak kata orang sekarang, kita standby.
Tak semena-mena kumpulan itu kemudiannya berjalan pulang ke arah hujung padang, dan hilang dari pandangan. Puas Pak Wan bertanya kepada teman-teman sepejabat sama ada mereka kenal atau tidak tetamu yang datang sebentar tadi. Walau bagaimanapun, masing-masing menafikan adanya tetamu yang datang seperti mana yang Pak Wan gambarkan. Lebih-lebih lagi bila Pak Wan menekankan mengenai penampilan ahli kumpulan itu yang berpakaian seperti masyarakat Melayu zaman purba kala.
Hanya selepas selesai sesi pengagihan daging selesai, satu kegemparan berlaku. Beberapa bungkusan daging yang disimpan untuk ‘standby’ hilang tanpa dikesan. Masing-masing yakin memang ada lebihan daging dalam bungkusan yang disimpan. Kisah pertemuan Pak Wan dengan tetamu aneh itu dipercayai ada kaitan dengan kisah kehilangan daging yang ghaib tanpa kesan. Benarlah kewujudan makhluk ghaib itu ada…siapa mereka dan dari mana asal usulnya. Mungkin sukar untuk kita kaji dan gali.
Peristiwa gempar ini bukanlah rekaan semata-mata. Kisah benar ini telah berlaku dan kekal menjadi tanda tanya sehingga hari ini. Tingginya budaya pekerti budaya Melayu, kedatangan mereka bukan niat mencuri. Sebaliknya telah dimaklumkan terlebih dahulu niat mereka melalui Pak Wan. Insiden daging korban ghaib itu kekal menjadi misteri hingga ke hari ini. Tiap kali kisah ini diulang siar, Pak Wan masih terkenang pertemuannya dengan sekumpulan manusia misteri yang sehingga ke hari ini kekal dalam ingatannya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Selalu hati sendiri akan memberontak bila diri mula berasa dianiaya oleh orang yang sangat kita percayai. Sakitnya hati bila bertemu dengan orang yang salah. Kesannya, sehingga mahu membalas perbuatan yang dilakukan itu.
Nasihat pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun ini bagus untuk anda hadamkan baik-baik. Ada hikmah dalam setiap ujian getir bertemu dengan orang yang salah ini.
Tuhan bukan saja-saja menguji, tentunya ujian ini adalah untuk kita kembali kepadaNya. Hadamkan.
Ada Sebab Tuhan Temukan Dengan Orang Yang Salah
Allah menemukan kita dengan manusia yang mengecewakan, kerana Dia ingin kita faham bahawa hanya Dia tempat berharap. Allah menemukan kita dengan manusia yang menyakitkan hati, kerana Dia ingin kita faham bahawa hanya Dia yang menyembuhkan. Allah menemukan kita dengan manusia yang mengambil haq kita, kerana Dia ingin kita faham bahawa tiada apapun milik kita. Allah menemukan kita dengan manusia yang menzalimi, kerana Dia ingin kita faham bahawa hanya Dia yang Maha Adil. Allah menemukan kita dengan manusia yang tidak menghargai, kerana Dia ingin kita faham bahawa hanya Dia yang memberi ganjaran. Belajarlah mengikuti sebagaimana perkataan para Nabi dan orang yang ikhlas:
ﻭَﻣَﺎ ﺃَﺳْﺄَﻟُﻜُﻢْ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻣِﻦْ ﺃَﺟْﺮٍ ۖ ﺇِﻥْ ﺃَﺟْﺮِﻱَ ﺇِﻟَّﺎ ﻋَﻠَﻰٰ ﺭَﺏِّ ﺍﻟْﻌَﺎﻟَﻤِﻴﻦَ “Dan aku sekali-kali tidak minta upah/balasan kepadamu atas ajakan itu; upahku tidak lain hanyalah dari Rabb semesta alam.” [asy-Syu’ara’:164] Muhasabah jauh ke dalam diri, boleh jadi kitalah orang yang menzalimi, menyakiti, mengkhianati dan mengecewakan ?
Allahu Akbar. Teruskan jadi baik, jangan merasa sudah baik, lebih baik rasa masih kurang baik, lalu sentiasalah buat baik. Moga hidup dan mati baik dan Syurgalah sebaik-baik tempat kembali.
MW : Ringkas pesanan ustazah Asma, namun setiap baik katanya menusuk hingga ke dasar hati. Wahai hati yang sedang berduka, bangkitlah dan ingatlah bahawa setiap ujian itu, Allah beri kerana dia sayang. Mahu hambanya dekat dan ingat padaNya.
Bulan Ramadan, kehadirannya bulan merupakan satu rahmat daripada Allah SWT dan pintu keampunan terbuka seluasnya. Ramadan merupakan bulan yang Allah melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hamba-Nya.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya golongan yang benar-benar beriman dan bertakwa sentiasa menantikan kehadiran bulan Ramadan ini seraya menyambut kedatangannya dengan penuh kegembiraan dan menanggung perasaan yang amat sedih apabila berakhirnya bulan yang penuh berkat ini. Ikuti perkongsian daripada Mohd Yaakub bin Mohd Yunus, Pendakwah Bebas.https://www.facebook.com/yaakub73
Selain itu, antara keistimewaan yang terdapat pada bulan Ramadan ialah
Disyariatkan Ibadah Puasa
Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan yang mana pada bulan ini disyariatkan ibadah yang amat mulia di sisi Allah, iaitu puasa. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan, iaitu bulan yang penuh keberkatan. ALLAH telah mewajibkan ke atas kamu agar berpuasa pada bulan itu.” - Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya , hadis no: 9133.
Bulan Diturunkan Al-Quran
Kalamullah al-Quran telah diturunkan pada bulan ini. Seluruh umat Islam beriman bahawa al-Quran merupakan kitab yang menjadi petunjuk bagi sekalian hamba Allah untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Firman Allah SWT:
“(Kamu diwajibkan berpuasa) pada bulan Ramadan yang mana diturunkan al-Quran pada bulan itu. (Al-Quran itu) menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan juga membawa keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” – Surah al-Baqarah: 185.
Pintu Syurga Terbuka Luas
Pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini juga dibuka seluas-luasnya pintu syurga bagi mereka yang beriman dan taat kepada perintah Allah. Bahkan, di bulan yang mulia ini jugalah ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang menjadi penyebab memudahkan mereka masuk ke syurga.
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga akan dibuka.” – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1898.
Pintu Rahmat (Belas Kasihan Terhadap Hamba-NYA) Terbuka Luas
Pada bulan Ramadan pintu-pintu Rahmat dibuka. ALLAH meluaskan rahmat-NYA agar menaungi seluruh hamba-hamba-NYA yang tekun beribadah dan taat kepada-NYA dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sabda Rasulullah s.a.w :
“Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1079.
Pintu Langit Terbuka Luas
ALLAH membuka pintu langit seluas-luasnya pada bulan Ramadan yang mulia ini untuk menurunkan limpahan rahmat-NYA kepada sekalian hamba-hamba-NYA serta segala amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada-NYA akan naik secara terus kepada-NYA. Sabda Rasulullah s.a.w :
“Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka.” – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1899.
Pintu-Pintu Neraka Tertutup Rapat
Pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya pada bulan Ramadan. Ia menunjukkan bahawa pada bulan Ramadan yang mulia ini hamba-hamba Allah yang tekun beribadah dan menurut segala perintah-NYA terlindung daripada dorongan untuk melakukan perbuatan-perbuatan terlarang yang boleh menjadi penyebab untuk mereka dicampakkan ke dalam api neraka. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup.” – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1899.
Isteri ditinggalkan suami selepas derita kanser payudara, tak mampu bekerja sara dua anak. Berat ujian seorang isteri apabila dia ditinggalkan suami selepas mengambil keputusan...