Setiap kali Roszuati Zahari  atau Nadia (nama panggilan mereka yang mengenalinya) keluar rumah, sudah pasti ada yang bertanya mengenai parut pada dahinya. Tidak pernah sekali pun dia rasa marah dengan pertanyaan tersebut. Sebaliknya Nadia tidak segan bercerita mengenai tragedi yang telah mengubah kehidupannya lebih kurang 15 tahun lalu.

 

“ Saya tidak pernah lupa kemalangan yang telah menimpa saya ketika berusia 20 tahun itu. Kisahnya begini. Saya mendirikan rumahtangga sebelum saya habis belajar. Selepas sahaja saya bernikah dengan suami Mohamed Hisham, keesokan harinya saya perlu kembali semula ke Johor kerana ada peperiksaan di tempat saya belajar, Politeknik Johor Bahru.

 

Boleh dikatakan saya dalam keadaan tergesa-gesa ketika itu. Pada mulanya saya bercadang hendak naik bas dari Puduraya ke Johor Bahru. Senang kerja. Tetapi suami tidak membenarkannya.

 

Suami mahu menghantar sendiri saya ke sana. Disebabkan mahu mengejar waktu, kami tergesa-gesa ke sana. Suami memandu dan saya hanya duduk di sebelahnya. Kami bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 12.00 malam.

 

Disebabkan rasa mengantuk, saya tidur. Suami terus memandu. Apabila suami rasa mengantuk dia akan berhenti seketika untuk berehat. Selepas berehat dia akan menyambung semula pemanduan. Hendak dijadikan cerita, suami yang sedang memandu tiba-tiba terlelap seketika.

 

Kemudian apabila dia tersedar, buka sahaja mata dia nampak trailer di hadapan mata. Ketika itu kami berada di Simpang Renggam. Suami terkejut dan dia cuba mengelak daripada berlanggar dengan trailer itu.

 

Kereta yang dipandu suami terseret dan terbalik dan berpusing beberapa kali. Saya sebenarnya tidak sedar apa yang berlaku ketika kemalangan berlaku. Sebaik saya buka mata, saya berada dalam keadaan mamai atau separuh sedar.

 

Suami panggil nama saya. Dia kata, Nadia, kita kemalangan. Saya tanya pada suami. Siapa Nadia? Suami saya hairan dan fikir mesti tidak ingat siapa diri saya ketika itu. Risau juga dia.

 

Tanpa berlengah, suami telah memecahkan tingkap kereta dan mengangkat saya keluar daripada kereta. Saya tidak mampu berbuat apa-apa. Suami saya cedera dan patah tangan kiri tetapi dia mampu membawa saya keluar daripada kereta yang telah remuk.

 

Kereta remuk dengan teruk. Bumbung kereta itu telah menekan tempat duduk saya. Sebab itu saya terperosok ke dalam. Suami berusaha mengangkat saya walaupun dalam keadaan dirinya yang cedera.

 

Suami telah mengangkat saya dan kemudian meletak saya di tepi jalan. Tidak beberapa lama kemudian, ada sebuah kereta berhenti. Pemandu itu membantu kami dan suami telah mengangkat saya dan meletak saya dalam kereta tersebut.

 

Kami kemudiannya telah dibawa ke hospital berdekatan iaitu Hospital Kluang. Tidak lama saya di sana kerana kelengkapan untuk merawat saya tidak cukup. Saya kemudiannya dihantar ke Hospital Johor Bahru.

 

IKLAN

Disebabkan saya jauh daripada keluarga, saya kemudian telah dipindahkan dari Hospital Johor Bahru ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Petaling Jaya, Selangor.  Nasib baik saya ada kawan-kawan yang berkerja di sana. Mereka telah memudahkan urusan perpindahan tersebut.

 

Apa yang boleh saya katakan sepanjang proses bertukar hospital  itu saya tidak tahu keadaan diri saya. Kemalangan itu menyebabkan tiga jari kanan saya telah putus. Manakala dahi saya telah berlubang sehingga nampak tengkorak.”

Elak Trailer, Kereta Remuk, Akibatnya Tiga Jari Putus Dan Dahi Berlubang

Gembira Dikelilingi Mereka Yang Bersikap Positif

 

Cerita Nadia  lagi, selama dua bulan dia dirawat di hospital. Sepanjang dua bulan itu juga dia telah melakukan lima kali pembedahan untuk memperbaik anggota badan yang cedera.

 

“ Saya tidak tengok cermin sepanjang berada di hospital. Saya juga tidak tahu bagaimana wajah saya ketika itu. Muka saya berbalut dan ini membuatkan saya takut untuk melihat wajah sendiri. Saya juga sedih sebab jari tidak ada.

 

Namun ketika saya bersedih itu, bapa banyak memberi semangat dan kata-kata nasihat. Dia kata selama 20 tahun Allah bagi pinjam jari kelingking, jari manis dan jari hantu pada saya. Saya perlu redha apabila Allah tarik semua itu.

 

IKLAN

Suami saya juga memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi. Begitu juga keluarga kandung dan juga keluarga mentua. Sepanjang dua bulan saya menjalani fisioterapi.  Saya dan suami  tidak sempat berbulan madu. Kami ibaratkan kami ini berbulan madu di hospital. Suami akan sentiasa menemani saya menjalani rawatan di hospital.

 

Setiap hari sepanjang menjalani rawatan, saya rasa gembira sebab saya dikelilingi oleh mereka yang positif. Orang yang datang melawat selalu bagi sokongan. Malah doktor yang merawat saya pula kalau dia datang jumpa saya dia akan panggil saya pesakit yang comel. Pandai betul doktor itu menjaga hati saya. Dia takut saya sedih.

 

Disebabkan itu jugalah saya mengambil sikap positif. Saya bina keyakinan diri agar tidak malu berdepan dengan orang ramai sebaik keluar dari hospital.”

 

Selepas dua bulan, Nadia telah dibenarkan keluar daripada hospital. Dia bersyukur kemalangan tersebut tidak menyebabkan kerosakan anggota dalaman tubuh.

 

“ Keluar hospital kami terus mengadakan majlis resepsi perkahwinan yang tidak sempat dibuat selepas saya bernikah. Semasa majlis tersebut muka saya masih berbalut. Kalau orang tanya kenapa muka saya berbalut saya beritahu mereka saya kemalangan.”

Elak Trailer, Kereta Remuk, Akibatnya Tiga Jari Putus Dan Dahi Berlubang

Walaupun telah keluar hospital, Nadia sentiasa berulang-alik ke sana untuk menjalani rawatan susulan.  Sepatutnya dia perlu menjalani pembedahan plastik untuk memperbaik dahi yang berlubang. Tetapi Roszuati mengambil keputusan tidak melakukannya.

IKLAN

 

“ Sebabnya beberapa bulan selepas keluar hospital saya hamil.  Ini membantutkan hasrat untuk pembedahan dibuat. Saya tidak buat pembedahan apabila saya hamil lagi selepas itu.

Suami memberitahu saya yang dia tidak kisah dengan parut pada muka saya itu. Bagi suami saya tetap cantik di matanya.

 

Mendengarkan penjelasan suami itu, saya ambil keputusan tidak melakukan pembedahan plastik. Saya tidak malu dengan wajah saya ini. Boleh dikatakan dengan parut pada dahi ini orang mudah kenal saya.”

 

Ibu kepada lima orang anak ini tidak menyambung pengajian selepas kemalangan tersebut. Malah dia juga tidak sempat mengambil peperiksaan yang sepatutnya diambil. Suami memberitahunya bahawa dia mampu menanggung kehidupan mereka sekeluarga.

 

“ Saya ambil keputusan duduk rumah menjaga anak dan menguruskan rumahtangga. Selepas saya melahirkan anak keempat, saya ambil keputusan pula untuk mencari cari duit lebih. Saya suka membeli beg dan jam tangan. Saya terfikir mengapa tidak saya menjual beg dan jam tangan kepada mereka yang suka.

 

Pada tahun 2009, saya mula jual melalui Facebook di bawah nama Nursabrina Zahari.  Saya ‘gamble’ sahaja. Daripada situ ramai pembeli mula follow saya. Kini saya mempunyai pelanggan tetap. Saya bersyukur dapat mencari duit lebih untuk kegunaan saya dan keluarga.”

Elak Trailer, Kereta Remuk, Akibatnya Tiga Jari Putus Dan Dahi Berlubang

Mahu Beri Inspirasi

 

Nadia sentiasa bersikap positif. Disebabkan itu apabila ada sahaja yang bertanya pasal parut pada dahi, dia akan bercerita apa penyebab parut tersebut.

 

Saya akan cerita pengalaman saya mengharungi hidup selepas kemalangan tidak kira kepada sesiapa sahaja. Setiap kali saya bercerita saya mahu beri inspirasi kepada mereka yang mendengar.

 

Pernah juga salah seorang anak saya bertanya pada saya. Mama, tidak rasa malukah apabila orang tengok muka Mama?   Saya akan jawab, Apa yang hendak dimalukan.  Saya kata dengan parut pada dahi Mama ini buat orang kenal Mama.

 

Nasihat saya kepada mereka yang pernah mengalami tragedi hitam dalam diri agar sentiasa positif. Kita perlu lihat apa yang ada di sekeliling kita. Jangan lihat apa yang kita tidak ada. Ramai lagi orang sayang pada kita.

 

Kita perlu tunjukkan kepada orang sekeliling yang kita ini bersikap positif. Kita perlu sedar setiap ujian yang diberikan oleh Allah ini sebenarnya mungkin disebabkan ada kesalahan yang kita lakukan pada masa lalu. Kita perlu redha apa yang berlaku. Saya bersyukur masih diberi peluang untuk menjalani kehidupan bersama keluarga tersayang.”

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI