Elak Rumah Runtuh Hujan Lebat, Bina Benteng Sementara Guna 20,000 Baju Terpakai!

Share

Elak Rumah Runtuh Hujan Lebat, Bina Benteng Sementara Guna 20,000 Baju Terpakai! Pelbagai cara kreatif dan persiapan awal boleh dilakukan sebagai persediaan untuk menghadapi banjir, musim tengkujuh yang diramalkan bermula pertengahan November ini.

20,000 Baju Terpakai Dijadikan Benteng

Seorang petani menggunakan kira-kira 20,000 helai pakaian terpakai atau bundle untuk dijadikan benteng sementara bagi menahan hakisan tebing di kawasan binaan konkrit di belakang rumahnya di Kampung Kok Keli 2, di sini sejak empat bulan lalu.

Ismail Ibrahim, 38, mengambil inisiatif itu selepas sebuah bangsal yang dibinanya pada tahun lalu untuk penduduk kampung belajar mengaji al-Quran runtuh apabila berlaku kejadian hakisan tanah Jun lalu.

Penahan Hakisan Tanah

Menurutnya, idea untuk menggunakan pakaian itu sebagai penahan hakisan tercetus selepas mendapati, tekstur kain akan mampat ke dalam tanah apabila terkena limpahan air Sungai Selehong sekiranya berlaku hujan lebat.

“Saya memperoleh baju-baju terpakai itu dari dua buah kedai bundle di Kampung Morak dan Wakaf Bharu di sini secara percuma. Saya hanya membayar kos penghantaran untuk membawanya ke rumah.

“Dua buah kedai itu sudah tidak mahu menjual pakaian-pakaian tersebut. Jadi, saya mengambil peluang itu dan menggunakannya sebagai benteng penahan tanah yang terhakis di belakang rumah agar runtuhannya tidak bertambah teruk buat sementara waktu,” katanya ketika ditemui di rumahnya kelmarin.

Menurut Ismail, dia sebelum itu membuat tebing konkrit untuk menyokong kawasan tanah bagi membina bangsal mengaji al-Quran menggunakan wang simpanan hasil jualan padi dan haiwan ternakan sebanyak RM30,000.

Bagaimanapun, katanya, tebing tersebut runtuh apabila kawasan tanah terhakis semasa hujan lebat beberapa bulan lalu.

Kejadian Hakisan Tanah Kali Kedua

Ujarnya, ia merupakan kejadian hakisan tanah kali kedua yang berlaku di kawasan itu sejak 14 tahun tinggal di situ selepas bah besar pada 2014.

“Saya pernah menggunakan tayar kenderaan terbuang sebagai benteng sebelum mengambil keputusan untuk menjadikan pakaian bundle sebagai penahan yang mampu memampatkan tanah.

“Benteng penahan ini digunakan buat sementara waktu sebelum musim tengkujuh melanda.

“Saya bersyukur apabila kerajaan melalui JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) telah meluluskan projek pembinaan benteng sejauh 60 meter di belakang rumah baru-baru ini,” katanya.

Katanya, kerja-kerja pembinaan benteng sudah bermula sejak Ahad lalu dan dijangka siap dalam masa terdekat.

Ujarnya, pembinaan benteng itu dapat mengelakkan rumahnya daripada runtuh jika berlaku limpahan air sungai akibat hujan lebat selepas ini.

Mesti Baca:Warga Emas Bina Rumah Terapung Guna Tong Plastik, Persediaan Banjir Musim Tengkujuh!
Baca Lagi Di Sini:Lumur Minyak Pakai Stokin, PETUA Elak Kulat Air & Kaki Kecut Terendam Banjir!


Artikel Menarik:Seawal Usia 4 Tahun Anak Ini Sudah Terdedah Misi Bantuan Banjir

Mingguan Wanita: Menarik idea bina benteng hakisan sementara ini guna baju terpakai. Apa pun ia sebagai ikhtiar persediaan dalam mengurangkan kerosakan yang mungkin dialami setiap tahun. Semoga dipermudahkan urusan buat mereka yang bakal menghadapi musim banjir nanti.

Sumber: Kosmo

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

 

 

Published by
Suhaidah Abd Wahab