Eidrees Nombor Satu Dalam Hidup Anzalna & Hanif

Share

Kehadiran Mohamad Eidrees Hanif pada akhir Mei 2019 lalu telah memberi kegembiraan kepada Anzalna Nasir dan suaminya, Hanif Zaki. Agak lama juga pasangan muda ini ‘berbulan madu’ sebelum kehadiran Eidrees sebagai pelengkap keluarga.

Sesungguhnya kelahiran Mohamad Eidrees ini menutup mulut masyarakat yang sentiasa bertanyakan bilakah Anzalna dan suaminya mahu menimang cahaya mata sejak mereka mendirikan rumah tangga pada tahun 2016.

Sesungguhnya Anzalna dan Hanif amat bersyukur dengan zuriat yang dikurniakan oleh Allah SWT ini. Akui Anzalna, sejak adanya Eidrees, hidupnya juga telah berubah 100 peratus.

“Eidrees sebenarnya banyak mengubah hidup saya. Sekarang ini saya sendiri yang menjaga Eidrees. Sebelum ini memang ada pengasuh tetapi saya tidak berpuas hati dengan cara pengasuh itu menjaga Eidrees.

“Saya beritahu pada Hanif yang saya mahu menjaga sendiri Eidrees dan saya telah menjaga Eidrees sejak usianya dua bulan sehinggalah sekarang. Cuma kalau saya perlu menghadiri sebarang majlis yang memerlukan penglibatan saya, Eidrees dihantar ke rumah emak saya atau rumah mak mentua. Kadang-kadang adik-beradik perempuan saya pun turut menjaga Eidrees.

“Saya tidak berapa percayakan orang lain kecuali keluarga sendiri untuk menjaga Eidrees. Penat sebenarnya menjaga Eidrees tetapi saya puas hati dapat menjaganya sendiri. Eidrees mengubah diri saya menjadi seorang yang terlebih rajin.

“Malah apabila saya bawa Eidrees berjumpa doktor, saya sering dinasihatkan untuk menjaga kebersihan ketika menjaga Eidrees. Saya bukannya OCD tetapi kadangkala apabila melihat habuk sikit pun dah tidak boleh tahan.

“Perangai saya yang sentiasa menjaga kebersihan Eidrees ini akhirnya turut diikuti oleh Hanif,” ujarnya.

Akui Manjakan Eidress

Cerita Anzalna lagi, dia dan suaminya amat memanjakan Eidrees.

“Tidak kisahlah orang hendak cakap apa. Memang Eidrees ini our number One. Segala-galanya hanya untuk dia.” Tambah ibu muda jelita ini.

Sebelum memiliki Eidrees, boleh dikatakan Anzalna belajar untuk menjaga dan membesarkan anak daripada kakaknya Diana Nasir. Bergelar ibu saudara kepada The Angguns telah memberikan pengalaman yang paling bermakna buat Anzalna.

“Saya masih ingat lagi yang saya pernah memberi cadangan kepada kakak agar mengambil pembantu rumah bagi membantunya menjaga tiga orang anaknya itu. Saya tengok dia macam penat sangat ketika menjaga anak-anaknya. Tetapi kakak tidak mahu kerana katanya dia masih mampu menjaga anak-anaknya sendiri.

“Hanya setelah ada anak, barulah saya tahu betapa bangganya untuk memberitahu orang lain yang kita mampu buat sendiri. Bahkan saya rasa bangga dengan diri sendiri. Walaupun saya berkerjaya tetapi masih lagi boleh menguruskan anak sendiri tanpa mengharapkan orang lain,” kongsi Anzalna bangga.

Jelas Anzalna lagi, suami dan mak mentua sentiasa menawarkan kepadanya untuk mengambil pembantu tetapi Anzalna keberatan.

“Saya nak Eidrees membesar dan makan hasil air tangan saya sendiri. Jika anak sakit sekali pun, biar kita sendiri yang menjaganya. Lagi berbaloi dan seronok perasaan itu,” tambahnya.

Guna IG @mohamadeidrees Untuk Kebajikan

Sejak Eidrees dilahirkan, Anzalna sering berkongsi perkembangan anak lelakinya itu di dalam Instagram @anzalnanasir88. Dengan cara ini, peminat-peminat Anzalna boleh mengikuti perkembangannya pada bila-bila masa. Namun begitu, sebagai ibu, Anzalna masih ada had dalam berkongsi mengenai hidupnya.

“Sebenarnya kadangkala saya terfikir, sama ada hendak kerap share tentang Eidrees atau tak. Dia masih kecil lagi. Kadang-kadang hendak share terlalu banyak pun, macam tak elok kerana saya tidak mahu terlalu exposed dia. Tetapi sekarang Eidrees sudah berusia 6 bulan. Terlalu banyak perangai dia sudah ‘keluar’. Kadang-kadang ada orang mesej bertanyakan video Eidrees.

“Memang banyak permintaan yang mahukan video dan gambar Eidrees di IG. Selain itu, Eidrees ada IG sendiri iaitu @mohamadeidrees tetapi saya tidak update pun. Tetapi sejak usia 6 bulan ini, rasa seronok tengok perangai dia dan sebab itu saya mula post di IG peribadi dia,” katanya.

“Mungkin sibuk menjaga Eidrees sehingga tidak ada masa untuk update IG sendiri. Malah saya hanya guna IG Eidrees ke arah charity (kerja-kerja kebajikan). Saya juga tidak mahu IG Eidress penuh dengan gambar ‘syok sendiri’. Biasanya baju-baju Eidrees yang sudah tidak boleh dipakai, saya akan bagi pada orang. Ada barang baru dan ada barang terpakai. Saya akan bagi kepada followers Eidrees.

“Dalam membantu orang, saya mahu tolong mereka yang betul-betul susah. Bukannya orang yang masih mampu tetapi sibuk hendakkan pertolongan. Saya betul-betul periksa dahulu latar belakang keluarga itu sebelum membantu mereka.

“Saya sedih lihat keadaan anak-anak yang susah ini. Eidrees dapat macam-macam tetapi anak orang lain tidak. Biasanya saya akan tanya apa yang mereka hendak agar barang yang diberikan itu akan digunakan sebaik mungkin. Biasanya saya akan beri lampin pakai buang dan susu formula,” ulas Anzalna lagi.

Kerja-kerja kebajikan yang dilakukan oleh Anzalna ini turut disertai oleh kakaknya Diana.

Berlakon, Semuanya Bergantung Pada Keadaan

Selepas Anzalna bergelar seorang ibu, dia masih lagi mendapat tawaran untuk berlakon. Malah katanya sebaik habis berpantang 44 hari, pada hari ke-45 dia telah mendapat tawaran berlakon.

Namun Anzalna terpaksa menolak tawaran berlakon kerana merasakan dirinya masih tidak lagi bersedia untuk meninggalkan Eidrees sendirian.

“Saya mahu menjaga Eidrees. Lama saya tunggu kehadiran Eidress. Takkanlah setelah mendapatnya saya mahu tinggalkan dia pula. Mungkin saya akan berlakon semula tetapi semuanya bergantung pada keadaan,” jelasnya.

Ternyata Anzalna teruja apabila bercerita mengenai anak yang comel ini. Ketika penggambaran dilakukan, Eidrees berusia 6 bulan.

“Sekarang ini Eidrees sudah pandai makan. Jadi setiap kali hendak masak, dia mulalah merengek. Saya beritahu suami, kalau hendak ambil pembantu, ambillah pembantu yang boleh tolong saya di dapur. Cepat sikit kerja memasak siap apabila ada orang tolong potong bahan-bahan dan mencuci dapur setelah saya selesai memasak.” Tambahnya.

Hanif Mahu Didik Anak Jadi Ketua

Umum mengenali Hanif Zaki sebagai suami Anzalna. Pada pandangan umum kehidupan pasangan suami isteri ini juga serba mewah. Tetapi siapakah Hanif Zaki itu?

“Saya hanyalah orang biasa yang sangat minat berkecimpung dalam dunia permotoran. Itulah saya daripada dulu sampailah sekarang. Sekarang ini pun saya menguruskan showroom Mitsubishi di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Saya sebagai Branch Manager di sana.

“Di sebalik kemewahan yang orang lihat itu, saya bersyukur semuanya seimbang. Keluarga saya membesarkan saya dalam keadaan cukup semuanya. Sama juga dengan Anzalna. Jadi itulah yang kami adapt dan bagi pada anak kami, Eidrees.” Ujarnya.

Semenjak mendirikan rumah tangga dengan Anzalna, tidak banyak perubahan yang berlaku dalam hidup Hanif. Cuma dia perlu berhati-hati dalam melakukan sebarang perkara. Tambahan pula isterinya itu seorang selebriti dikenali ramai.

“Jadi apa sahaja yang kita buat, orang akan tengok dan perhati. Tetapi saya tetap jadi diri saya. Cuma setiap apa yang saya buat itu saya kena fikir untuk isteri saya juga. Tetapi saya masih yang sama. Tidak ada perubahan untuk cuba menjadi orang lain. Begitu juga dengan Anzalna. Saya tidak mahu ubah dirinya. Saya gembira dengan siapa dirinya yang sebenar.”

Tambah bapa muda ini lagi.

Walaupun Anzalna seorang wanita cantik yang menjadi pujaan ramai, Hanif bersyukur kerana tidak mengalami sebarang dugaan dalam melayari bahtera perkahwinan mereka.

“Anzalna seorang yang tahu menghormati suami. Dia tahu menghormati keputusan suami dia dan tahu hendak menjaga hati suami dia. Jadi tidak pernah lagi saya susah hati kerana the trust is always there,” kata Hanif.

Sebagai seorang bapa pula, sudah pasti Hanif mahukan yang terbaik buat anaknya Eidrees. Sebagai seorang bapa, apa arah tujunya dalam mendidik anak?

“Sudah pastilah ke arah kebaikan. Dia seorang lelaki. Kalau boleh saya hendak mendidik anak saya ini menjadi seorang ketua sebab nanti dia harus mengetuai keluarganya sendiri. Saya mahu mendidiknya ke arah menjadi orang yang berguna dan orang yang sentiasa boleh memanfaatkan benda yang baik kepada orang lain,” akhirinya.

*******************************************************************

Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh pasangan bahagia ini. Ingin ketahui lebih lanjut, baca sambungannya di dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Januari, volume 2 yang kini telah pun berada di pasaran.

Oleh: Julie Roshana Akma Shafee
Foto: Ahmad Shahir Osman
Solekan & Styling Rambut: Ezad Ibrahim
Busana Anzalna: Shiatzy Chen
Busana Hanif & Eidress: Koleksi peribadi Hanif Zaki & Mohamad Eidrees
Lokasi Penggambaran: Studio @flores.kl, Shah Alam, Selangor.

Published by
Suhaidah Abd Wahab