Orangnya happy go lucky dan kelihatan sentiasa ceria. Namun hakikatnya, dia tidak pernah sepi daripada ujian hidup termasuk terpaksa tanggung suami dan disahkan kanser usus.
Pelakon dan pelawak, Enot, yang merupakan salah seorang tetamu selebriti yang dijemput ke program Mingguan Wanita Talkshow telah berkongsi pengalaman berkenaan dengan topik yang diutarakan iaitu ‘Tanggung Biawak Hidup“. Topik ini berkaitan dengan isteri yang terpaksa menanggung suami yang tidak bekerja.
Menurut selebriti yang semakin langsing ini, dia mengakui, cukuplah pengalamannya bertahan selama lapan tahun dalam perkahwinan keduanya yang akhirnya turut terkubur.
Menurut Enot, pada awalnya, bekas suaminya itu seorang yang sangat baik, bertanggungjawab dan memahami. Namun pada tahun kelima segalanya berubah.
” Ketika itu, kami berdua berubah sebenarnya, ke arah lebih baik. Kami mula ke masjid berdua, saya pun mula berhijap. Kiranya, ke arah positif. Tapi, entah macam mana, suami saya ketika itu terlalu ekstrem hinggakan dia menolak banyak benda duniawi. Bayangkan, buka lampu pun tak boleh, saya nak shooting pun tak boleh, tak nak kerja dan macam-macam lagi.
” Saya masih cuba bertahan dan setahun saya tak shooting. Namun bila dia semakin teruk, hingga anak-anak saya pula yang jadi mangsa, saya tekad. Akhirnya saya pilih untuk bercerai, saya ingin cari bahagia bersama anak-anak. Saya yakin saya mampu hidup dengan anak-anak walau pun tanpa insan bergelar suami.
” Tak mudah sebenarnya, kerana dia merupakan cinta pertama saya, pada usia 30-an. Perkahwinan pertama dulu diatur keluarga. Jadi, boleh faham lah kan betapa susahnya saya nak melepaskan perkahwinan itu. Tapi saya kumpul keberanian dan kekuatan demi anak-anak. Waktu itu juga, saya diuji dengan satu lagi ujian, apabila saya disahkan mengidap kanser usus,” ujar Enot.
Menurut Enot lagi, dia mengakui, sudah serik untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya sebagai suami. Cukuplah pengalaman menanggung ‘biawak hidup’ selama lapan tahun dalam perkahwinan kedua dulu.
Tapi Enot mengakui, dirinya tak sunyi daripada jadi intipan ramai lelaki.
” Saya pernah tolak enam pinangan lelaki muda. Tak menyesal pun kerana saya dah bahagia hidup sendiri bersama anak-anak. Lapan tahun perkahwinan pertama dan lapan tahun juga dalam perkahwinan kedua. Cukuplah. Sekarang dah lapan tahun saya hidup solo,” tambahnya.
Nasihat Enot untuk wanita-wanita di luar sana yang mungkin sedang mengalami keadaan menanggung suami “biawak hidup”, kena berani buat keputusan.
“Biasanya kita akan letakkan 90% kebaikan pada pasangan dan 10% lagi keburukan. Jadi, kena tukar yang 90% itu pada keburukannya. Kalau ada anak, fikirkan tentang mereka. Jangan risau, Allah ada, Dia dah tentukan rezeki kita semua,” akhiri Enot.
Saksikan kupasan topik ‘Menanggung Biawak Hidup” ini dengan lebih terperinci dalam episod ulangan Mingguan Wanita Talkshow musim baharu di Astro Prima 105 dan Prima HD 121 pada pukul 5 petang ini bersama kaunselor, Mohd Shariman Che Deris dan peguam Syariah, Muhammad Syarafi Mohd Salleh.
#MingguanWanitaTV
#MingguanWanitaTalkShow
#MingguanWanita
#TemanSetiapWanita
#AstroPrima105
#PrimaHD121