Penghijrahan dari Kota Marudu, Sabah ke Kota Kinabalu kerana ingin menemani ibu saudara yang baru berkahwin akhirnya membawa Nurul Aimah Dudung, 27 ke satu gerbang kehidupan yang baru. Dari situlah dia mula mengenali dan mempelajari tentang agama Allah yang suci dan diberkati.
Dijadikan anak angkat oleh ibu saudara yang berkahwin dengan seorang muslim dan berpindah ke ibu kota merupakan titik mula wanita ini mengenali Islam. Asalnya hanya untuk menemani ibu saudara di rumah ketika suami bekerja, akhirnya hidayah menjengah tiba buat gadis yang lebih dikenali dengan nama Aimah ini.
Tertarik Dengan Pakaian Sopan Kawan
Ketika bersekolah di Kota Kinabalu, Aimah berkawan dengan rakan-rakan muslim. Melihat penampilan rakan-rakan perempuan yang cukup sopan dan mengenakan tudung membuatkan pintu hati Aimah diketuk dengan hidayah dari Allah untuk mengenali lebih dekat tentang agama Islam. Sementelah lagi di rumah, ibu saudaranya juga kini seorang Muslim banyak mengamalkan cara hidup Islam.
Dorongan dan tunjuk ajar daripada ibu saudaranya tentang Islam dan cara hidup baru membuatkan Aimah berasa cukup selesa dan lebih tenang daripada sebelumnya.
“Ketika zaman persekolahan, saya berpindah ke Kota Kinabalu kerana mengikut ibu saudara. Saya dijadikan anak angkat oleh makcik saya. Pada asalnya saya berpindah kerana hendak menemani makcik di rumah ketika pakcik saya keluar bekerja. kebetulan pula ketika itu dia belum mempunyai anak, jadi saya dijadikan anak angkat mereka. Makcik saya berkahwin dengan seorang muslim, dari situ sedikit demi sedikit saya belajar tentang Islam daripadanya. Malah makciklah yang menjadi pendorong utama saya dalam mengenali Islam dengan lebih dekat.
“Setelah berpindah ke Kota Kinabalu dan belajar di sana, saya lebih ramai kawan muslim. Melihatkan pemakaian mereka berbaju kurung dan bertudung membuatkan saya berasa tenang. Sedikit sebanyak membuatkan saya tertarik untuk mengenali Islam dengan lebih dekat lagi,” ceritanya tentang permulaan dia mengenali Islam.
Dikenali sebagai Juanah Dudung ketika usia mudanya, Aimah mula memeluk Islam pada Mei 2012 di Pejabat Agama Klang, Selangor dan menukar namanya kepada Nurul Aimah berbintikan nama ayah kandungnya kerana bimbang ayahnya itu berkecil hati.
“Alhamdullilah setelah mengucapkan dua kalimah syahadah pada tahun 2012 di Pejabat Agama, Klang saya berasa lebih tenang dan sangat bersyukur,” ujarnya penuh kesyukuran kerana berpeluang mendapat hidayah Allah.
Mendapat Tentangan Keluarga
Meskipun ketika memeluk Islam, Aimah sudah boleh berfikir dengan rasional dan berhak untuk membuat keputusan atau menentukan hala tuju kehidupannya sendiri, tetapi ternyata keputusan untuk menukar agama mendapat tentangan daripada keluarga terutama ibunya sendiri.
“Ketika saya mula-mula memeluk Islam, saya memang sangat tertekan terutama dengan ibu. Dia sangat marah apabila mendapat tahu saya telah memeluk Islam tanpa pengetahuannya. Sebenarnya apa yang membuat saya tertekan ialah emak akan marah-marah dengan tidak semena-mena apabila saya pulang ke kampung melawat keluarga. Lebih memburukkan keadaan adik-adik yang lain juga turut mengejek saya kerana memeluk Islam. Mereka lontarkan kata-kata yang tidak sepatutnya hingga membuatkan hati saya betul-betul berasa sakit.
“Mengenangkan ejekan adik-beradik dan marah ibu kepada saya, membuatkan saya jarang balik ke kampung apabila pulang bercuti daripada belajar. Saya biasanya balik ke rumah makcik di Kota Kinabalu dan hanya pulang ke kampung apabila ibu ayah datang menjemput saya di rumah makcik,” ujar Aimah yang mempunyai 11 orang adik beradik.
Berkat doa yang tidak putus-putus, Aimah bersyukur kini keluarganya sudah dapat menerima dirinya sebagai seorang Muslim, malah lima orang adik-adiknya juga sudah mengikut jejak langkah Aimah kembali ke agama fitrah dan menjadi seorang Muslim.
Kehidupan Berbeza
Demi menjadi seorang muslimah yang sempurna, Aimah tidak pernah jemu dalam mengejar ilmu agama. Bermula dengan mendalami Islam di Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Kelantan, dia menyambung pula pengajian di Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Selangor (KUIS).
“Selepas saya memeluk Islam, saya disarankan oleh seorang ustaz untuk mendalami lebih ilmu tentang Islam di IDIP. Ustaz tersebut memang aktif berdakwah di kampung saya di Kota Marudu, Sabah. Selepas di Kelantan, saya teruskan pengajian tentang Islam di KUIS sehingga kini. Alhamdullilah semakin saya banyak belajar, semakin saya sedar agama Allah ini indah dan dalam menjadi seorang Muslim yang sempurna, masih banyak lagi yang perlu saya belajar kerana ilmu Allah itu luas,” katanya lagi.
Bagi Aimah dapat mendapat hidayah dari Allah SWT adalah satu anugerah terindah yang berlaku dalam hidupnya. Setelah memeluk Islam ternyata kehidupannya kini jauh berbeza dari yang dulu. Dia lebih mengenali apa itu halal dan haram, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita serta banyak lagi.
“Islam itu mengajarkan tentang semua kebaikan, saya antara yang terpilih mendapat hidayah dari Allah. Dahulu ketika belajar di tingkatan enam saya memang bercita-cita nak masuk Universiti, tapi memandangkan CGPA tak cukup akhirnya saya belajar di Kolej Islam. Bagi saya aturan Allah itu ada hikmah dan sebabnya tersendiri, mungkin kalau saya lulus dengan cemerlang saya tak akan kenal dan jadi seorang Muslim seperti hari ini,” akhirinya penuh kesyukuran.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI