Orang cakap kalau ada duit, segalanya boleh buat. Tapi dengan duit yang banyak bolehkah ia beri bahagia dalam keluarga. Persoalannya, kalau tak ada duit pun susah, ada duit pun susah. Jadi apa yang harus buat?
Tn Khairul Fahmi Ramli, Peguam Syarie Penang, Kedah, Perlis dan Perak. telah berkongsi artikel tentang apa yang berlaku di kalangan pasangan suami isteri. Katanya:
Antara punca tertinggi kes perceraian di Mahkamah Syariah adalah kerana duit. Ya, yang paling spesifik adalah nafkah zahir. Sama ada duit tidak cukup untuk tanggung keperluan isi rumah ataupun terlebih duit sehingga lupa tanggungjawab sebagai suami dan mungkin sebagai seorang Islam.
Sebenarnya duit ini hanya alat sahaja. Cuma yang menjadi salah adalah orang yang urus duit itu sebenarnya. Kalau suami tahu pengurusan kewangan dengan betul ikut kemampuan, pasti tidak akan berlaku perceraian atau pergaduhan dalam rumahtangga berkaitan nafkah.
Tapi, yang paling banyak isu di Mahkamah Syariah kini adalah, kurangnya duit pendapatan sehingga nafkah isteri atau nafkah anak-anak terabai. Agak kurang isu perceraian yang berlaku di Mahkamah disebabkan terlebih duit.
Cari Duit
Di dalam Islam, telah diletakkan tanggungjawab bagi pihak lelaki untuk mencari nafkah bagi menampung keperluan diri dan tanggungan di bawahnya. Orang lelaki paling diletakkan tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada tanggungannya.
Namun, ada juga isteri yang bekerja dan mempunyai kerjaya yang lebih baik daripada suami. Tapi, bukan menjadi tanggungjawabnya dalam Islam untuk mencari nafkah kepada suami atau anak-anaknya. Hasil kerja atau pendapatannya hanya untuk dirinya sahaja. Kalau isteri nak bantu suaminya, itu adalah dikira sedekah. Bukan tanggungjawabnya.
Ads
Ada beberapa saluran duit yang perlu berada pada aliran yang betul dalam rumah tangga. Antaranya:
Rumah
Suami perlu membayar sewa rumah atau membayar bulanan rumah yang didiami oleh isteri dan anak-anak. Bukan isteri yang bayar. Suami juga perlu ada perbelanjaan khas untuk bayar bil-bil penting untuk isi rumah seperti bil elektrik dan bil air. Bil internet atau Astro bukan keperluan yer dan tak wajib dikira sebagai nafkah.
Keperluan Dapur
Sepatutnya bila kita menghadapi situasi ekonomi yang sukar, makan masakan di rumah adalah yang terbaik. Suami wajib beli beras, ikan, ayam, apa-apa barang ‘kering’ dan apa-apa barang ‘basah’. Kalau nak masak tu, gas memasak pun perlu suami sediakan melainkan semua peralatan adalah menggunakan elektrik.
Duit Makan
Kalau isteri bekerja, sebagai suami, kita perlu beri duit belanja untuk dia makan di tempat kerja. Ini tanggungjawab yang perlu suami pikul. Yang selalu terjadi, bila isteri bekerja, makan minumnya di tempat kerja ditanggung oleh isteri tu sendiri. Melainkan isteri redha perkara tersebut, tak jadi masalah.
Keperluan Peribadi
Setiap keperluan peribadi juga perlu suami sediakan seperti peralatan mandi, tuala wanita ketika isteri datang haid, bedak, deodoran dan lain-lain. Jangan cakap perkara ini tak penting sebab ini salah satu keperluan isteri yang penting setiap bulan. Takkan la nak gosok gigi guna sabut kelapa pulak kan?
Ads
Perubatan
Ini juga tanggungjawab wajib suami. Duit yang diperlolehi perlu disediakan bahagian untuk perubatan. Sekarang ini, kalau bekerja kerajaan, mungkin akan ada potongan gaji untuk perubatan seisi keluarga. Beberapa syarikat swasta juga sediakan klinik panel tertentu. Cuma, kalau kerja sendiri, cuba sediakan insuran perubatan untuk isteri dan anak-anak. Kita pun tak tahu bila nak sakit.
Salah Urus Wang
Ada beberapa perkara yang menjadikan kelemahan pengurusan duit ini sampai bergaduh suami isteri. Antaranya :
Rumah Yang Terlalu Mahal
Beli atau sewa rumah bukan ikut kemampuan, tapi ikut keperluan. Memang betul, bank akan cakap kita mampu beli rumah harga RM500k. Ada banyak bilik. Sangat selesa. Tapi, adalah itu perlu kalau yang tinggalnya 3 orang sahaja dalam satu rumah? Ataupun, nak sewa dekat kondo sahaja, tak mahu duduk di flat konon tak selesa. Kalau berkemampuan, apa salahnya. Tapi pastikan, kita mampu bayar setiap bulan.
Kereta Mahal
Ini masalah orang sekarang. Asal sahaja baru dapat kerja sebagai pegawai, terus beli kereta yang bayaran bulanan cecah RM1000 keatas. Ada juga yang kereta biasa, tapi banyak habiskan duit pada sport rim, aksesori ataupun berkonvoi kelab kereta setiap minggu. Kereta tu pakai minyak. Lagi besar kereta, lagi tinggi maintainance. Lain la kalau kereta tu pakai air yasin malam jumaat.
Rokok
Ini tabiat yang sekarang ini ramai orang payah nak buang. Kalau dari awal kahwin memang dah merokok, memang sukar kalau nak tengok suami berhenti melainkan datang penyakit. Ada juga keadaan yang suami cuba nak berubah kepada ‘vape’. Tapi, nampak macam tak ada beza sangat sebab cecair vape masih kena beli setiap bulan dan dah jadi macam tabiat baru pulak ganti rokok.
Ads
Beli Data Internet
Sekarang ini, semua orang nak internet laju dan tanpa had. Kalau yang bayar bulanan, amaunnya statik dan agak tinggi. Cuma bagi yang mampu tak ada masalah. Cuma ramai yang tak sedar kalau pakai Prepaid. Kadang-kadang banyak duit dihabiskan untuk internet. Ye lah, nak ber FB lah, Tik Tok lah, Bigo lah. Macam-macam. Belum kira lagi yang kaki main game atas talian.
Hiburan
Ada ramai juga orang yang habiskan duit untuk hiburan setiap minggu. Contohnya, setiap minggu tengok wayang. Atau, masa di tempat kerja, banyak keluar lepak makan diluar dengan kawan-kawan. Ada juga yang setiap malam keluar main futsal atau badminton dengan kawan-kawan. Itu semua duit yang terlebih keluar untuk hiburan.
Duit Nafkah Bocor
Terjadilah pergaduhan antara suami dan isteri kerana nafkah yang tak cukup atau nafkah yang langsung tak diterima oleh isteri. Sebab itu, banyak kes Fasakh di Mahkamah adalah melibatkan suami culas sediakan nafkah atau tak ada langsung nafkah disediakan lebih daripada 3 bulan lamanya.
Isteri berhak untuk tuntut Nafkah Diri di Mahkamah Syariah kalau dia tidak mendapat nafkah dan nak beri peluang supaya suami lebih bertanggungjawab. Kalau isteri dah tiada lagi hati, dia juga sangat berhak untuk tuntut Fasakh sekiranya tidak disediakan nafkah yang cukup selama 3 bulan. Ini dibenarkan dalam undang-undang.
Kesimpulan
Duit bukan punca suami isteri berperang. Tapi, sikap dan cara pengurusan duit yang lemah menyebabkan rumahtangga menjadi goyah. Lagi teruk kalau suami tu tak kerja langsung untuk cari duit bagi menanggung isteri dan anak-anak.
Siapa yang ada masalah dengan suami dia tentang duit atau dengar kawan dia ada masalah yang sebegini, cuba tanya, betul tak apa saya cakap ni?
Duit bukan segalanya, tapi banyak benda juga lah kena pakai duit.
Wanita ini, Marlia Ramli berkongsi simpanan betapa pentingnya isteri membina simpanan sendiri. Bukan soal wanita itu sendiri perlu jadi kaya atau miskin.
Tetapi apabila membicarakan soal berumahtangga, setiap wanita yang bergelar isteri pasti akan melalui dua keadaan ini. Iaitu bercerai hidup atau bercerai mati.
Membina simpanan ini bukan semata untuk diri sendiri. Kerana, setiap isteri yang bergelar ibu dia juga perlu punya ‘kuasa’ untuk melindungi anak-anaknya. Dan inilah penjelasan bagi mengulas persoalan yang diutarakan di bawah.
Srikandi Yang Melindungi
Macam ni… Cerai ni ada dua : 1) cerai hidup 2) cerai mati
Akak percaya suami akak arjuna kiriman syurga. Dah hampir 20 tahun kenal, tanyalah rakan sekerja dan saudara mara.
Merokok pun tidak pernah
Solat tak tinggal dan rajin mengaji
Bekerjasama dalam menguruskan hal anak dan rumahtangga
Tak de melebih-lebih dengan wanita lain
Balik rumah on time, abis hal kat office – balik rumah
Rajin bekerja menjana rezeki halal keluarga
Sentiasa tak penah lupa setiap hari penting hatta hari wanita dan hari Ibu pun ada sambutan.
Berbelas tahun berusaha melengkapi nafkah anak isteri mengikut kemampuannya.
Selama 17 tahun berumahtangga akak teringin nak makan apa, susah dan jauh camne pun dia pasti akan carikan.
T.E.T.A.P.I… Manusia tetap manusia.
Tak kira sebaik manapun suami, beliau bukan malaikat. Di dalam tubuh suami ada seketul daging yang bernama hati. Dan hati ini? Bukan milik isteri.
Apa Nak Buat Bila Suami Tak Lagi Cinta
Hati suami milik Tuhan…. Milik Allah yang mampu membalikkan hati suami sekelip mata. Tanpa kita sedar pun! Tiba-tiba suami yang kita cinta, tidak lagi cintakan kita. #apeni?
Waktu hati suami berhenti menyintai, apa yang kita nak buat?
Menangis dalam keadaan tanpa persediaan? Ianya jauh lebih menyakitkan berbanding menangis dengan adanya persediaan.
Sebagai wanita… Bila kita berusaha memiliki simpanan sendiri, rumah sendiri, emas sendiri dan kekayaan sendiri – ianya hanya ikhtiar supaya kita bersedia. Selebihnya? Berdoa… Dan berdoa.
Atau… Allah permudahkan suami kita menjaga hati. Beliau setia sampai mati. Tetapi kita tetap akan bercerai juga bukan? Cerai mati. Dan jika Allah ambil suami kita ketika anak-anak masih kecil bagaimana? Sekujur jasad tidak lagi mampu menjaga anak isteri?
Boleh… Nak minta suami sediakan hibah. Namun jumlah seketul wang tunai tanpa ilmu ianya akan habis. Lainlah jika kita yang meninggal dulu. Itu lainlah cerita
Plan for the worst, pray for the best.
Akak percaya, jika kita mampu menjana pendapatan sendiri, memiliki pelaburan dan simpanan sendiri – segalanya lebih mudah.
Ini bukan soal kaya miskin. Ini soal setiap isteri perlu mencari jalan membina simpanan.
Tak banyak? Sedikit.
Jika banyak? Lebih baik.
Selain bergelar isteri, kita juga bergelar ibu. Andai hilang tempat bergantung – kita masih mampu menjadi SRIKANDI YANG MELINDUNGI zuriat suami yang dicintai.
Bahasa mudahnya : miskin kaya tak penting. Yang penting, usaha perlu ada. Kerana setiap wanita pasti akan melalui proses penceraian. Samada cerai hidup? Ataupun cerai mati.
Jadi surirumah tak salah. Jadilah surirumah yang berilmu dan terbuka mindanya.
Salam sayang, jangan tunggu kaya baru nak bermula.
Mingguan Wanita :Orang tua-tua dulu pun selalu berkongsi pesanan yang sama. Walau apa pun kedudukan isteri, buatlah simpanan semampunya.
Mak-mak mula berleter ni biasanya sebab dah tak tahan anak ulang kesilapan yang sama. Tetapi yang menyakitkan hati, leteren itu seolah-olah tak ada kesan. Umpama masuk telinga kanan keluar telingan kiri. Agaknya apa yang silap dalam situasi ini sebenarnya?
Haaa… jawapannya ada dalam kupasan Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK), Noor Afidah Abu Bakar kali ini. Jom semak…
MASUK TELINGA KANAN KELUAR TELINGA KIRI.
SOALAN:
“Puan, orang cakap kalau kita mahu sesuatu itu melekat di hati dan ingatan anak, kita perlu ulang banyak kali, barulah anak ingat, barulah anak buat. Saya dah letih berleter, kadang-kadang sampai naik angin hilang sabar tetapi anak tidak buat juga. Tidak disuruh, tidak dibuat.”
KENAPA KITA BERLETER?
*Ada yang berleter kerana kita juga dileteri suatu masa dahulu. Itu sudah menjadi budaya dan amalan keibubapaan dalam keluarga.
*Ada yang berleter sebab tidak tahu cara lain untuk menyampaikan apa yang terbuku di hati.
*Ada yang berleter untuk memberi arahan kepada anak yang tidak mahu patuh.
*Ada yang ingin menunjukkan kuasa dan otoriti walaupun berleter itu seringkalinya masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
*Ada yang berleter sebab rasa panik, kaget dan bersalah dengan diri sendiri. Untuk menutup kegusaran itu maka leteran digunakan.
*Ada yang takut anak mengulangi kesilapan yang pernah kita dilakukan maka cara yang terbaik adalah berleter untuk menutup rasa tidak selamat yang dirasakan.
Kebanyakannya berleter kerana itu adalah cara yang paling cepat dan mudah untuk ‘memaksa’ anak menurut kata tanpa perlu banyak usaha dan perancangan.
Adakah leteran berkesan untuk jangkamasa panjang?
Seperti dalam soalan di atas, selalunya tidak. Ia hanya berkesan ketika saat itu saja.
Perangai yang sama akan diulangi. Anak akan menunggu leteran sekali lagi. Selagi tidak dileteri, selagi itulah perbuatan yang sama diulang.
Perbuatan diulang, berleter lagi. Berleter lagi, perbuatan diulang.
Ia menjadi satu kitaran yang tidak sudah, tidak efektif dan tidak produktif.
Leteran akhirnya menjadi irama dan lagu yang hanya membuai dan mendodoikan tanpa kesan pada anak.
KENAPAKAH LETERAN TIDAK BERKESAN?
Leteran adalah proses mencari silap bukannya proses memperbetulkan kesilapan.
Ia hanya memfokuskan pada apa yang buruk dan apa yang salah pada anak sahaja. Pernahkah dalam leteran itu kita selitkan perkara yang positif yang dilakukan anak?
Tidak bukan? Ataupun jarang-jarang sekali.
Selalunya kita hanya semburkan apa yang negatif sahaja seolah-olah tiada langsung yang baik pada anak. Selalunya kita guna istilah yang ekstrim.
“Kamu tidak pernah….” “Selalu macam ni…” ”Dah berapa kali dah…”
Semua yang ekstrim negatif sahaja dan langsung tidak ada yang positif.
Anak akan berhenti mencuba untuk berubah dan menjadi baik kerana usaha kecil mereka tidak ada nilainya di mata ibubapa di kala berleter.
Kaedah yang lebih efektif untuk membentuk tingkah laku yang baik adalah bukannya mencari silap tetapi mencari kebaikan. Semakin banyak kebaikan yang kita cari, semakin banyaklah kebaikan yang akan kita lihat dalam diri anak.
Ini adalah kitaran positif yang efektif.
Dalam leteran itu juga kita berkemungkinan membuat andaian yang tidak betul dan tuduhan yang melulu tanpa memeriksa terlebih dahulu apa sebenarnya yang menyebabkan sesuatu tingkah laku itu. Ini juga amat mengecewakan anak yang dileteri.
Mungkin harapan kita terlalu tinggi dan anak tidak dapat mencapainya dengan mudah.
Mungkin persekitaran tidak kondusif untuk fizikal anak melakukan apa yang diharapkan.
Mungkin anak tidak faham arahan yang disampaikan kerana cara komunikasi kita tidak kena dengan anak.
Jika inilah sebabnya, maka tidak hairanlah leteran kita masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tuduhan dan andaian tidak akan terkesan di hati. Ia hanya menyakitkan hati.
APA YANG PERLU DIBUAT SELAIN BERLETER?
Jika kita inginkan kerjasama yang berpanjangan, kita perlukan perancangan. Tidak ada penyelesaian segera dalam proses keibubapaan. Semuanya memerlukan usaha, pertimbangan yang teliti dan kesabaran yang tinggi.
Buat perancangan dengan anak. Jemput anak untuk sama-sama menyelesaikan masalah secara diplomasi. Anak-anak harus diajar kesan dan akibat perbuatan mereka ke atas dirinya, keluarga dan orang sekeliling. Tidak perlu tunggu sehingga anak remaja untuk membincangkannya. Anak kecil juga faham jika kita menggunakan bahasa yang mudah mereka fahami.
Adakan peraturan dalam rumah. Sentiasa berbincang tentang peraturan yang ada. Jika anak tidak ikut peraturan ada kesan dan akibatnya. Ini juga harus dibincangkan dari awal bersama-sama dengan anak bukannya dibuat secara rawak apabila anak melakukan kesilapan.
Kita harus berusaha menjadi ibubapa proaktif yang bersedia sebaik mungkin dengan segala kemungkinan dan bukannya menjadi reaktif dengan leteran dan hukuman yang tidak efektif untuk mendidik.
Pastikan sistem pendidikan di rumah adalah yang terbaik untuk anak menjadi seorang manusia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tak salah manjakan anak, tapi jangan keterlaluan! Bimbang bawa musibah bukan hanya pada mak, ayah malahan pada anak-anak juga. Sebaiknya bersederhanalah dalam menyayangi dan memanjakan anak.
Letakkan limit agar anak-anak tidak terbawa-bawa sikap manjanya. Sejak kecil biasakan anak-anak, jangan bila besar barulah mak, ayah menegur dan marahkan anak. Bimbang terlambat sudahnya anak bersikap manja hingga ke tua.
Kongsi Mohd Fhais Salim, ini adalah lima tanda anak yang terlampau manja!
5 Tanda Anak Manja
Pelik sungguh kalau nampak ibu ayah yang terlalu ikutkan mood dan kata anak. Sepatutnya kita yang control anak bukan anak control kita.
Ini tanda-tanda anak yang terlalu dimanjakan.
1. Demanding
Tak peduli kita ada duit ke tak ada duit, sekali dia sudah berkenan di kerahnya kita beli. Sama juga kalau nampak mainan orang lain, dia tak peduli itu siapa punya sekali sudah berkenan dia nak juga.
Kesannya anak tak belajar tentang sosial skill yang betul seperti hak privasi, berunding, minta izin dan juga adab.
Tak Salah Manjakan Anak
2. Entitled
Dia rasa semua orang kena ikut kehendak dia. Sangat self-centered, pujuk rayu semua tak jalan. Mesti kena ikut juga apa kehendak dia.
Inilah silapnya, sekali kita ikut kehendak anak sampai bila-bila anak akan guna trick yang sama berulang-ulang kali.
3. Lemah Rejection Handling
Anak manja ini biasanya dia alergi dengan perkataan tak boleh dan tidak. Memang otak dia tak dapat serap perkataan begini.
Asal dengar saja mesti dia akan membentak, mengamuk, menjerit, kadang ada juga yang sampai memukul-mukul ibunya.
Tapi Jangan Keterlaluan!
4. Malas usaha
Jiwa anak yang manja selalunya lemah, dia kurang motivasi dan terbiasa di spoonfeed oleh ibu ayahnya. Natijahnya anak jadi malas berusaha.
Semua benda dia hendak mudah saja, mahu disediakan dan sedikit mencabar memang dia lari. Sayangnya, anak yang malas berusaha ini akan sentiasa stuck dekat Fix Mindset.
5. Moody
Selalu jadi masalah bila nak keluar rumah atau bercuti. Mood anak jadi penentu keluar atau tidak, nak pergi mana-mana pun berkira-kira. Bukan kira duit tapi kira mood anak. Aduhai.
Gawat gini. Sampai besar anak lemah kawal emosinya. Kejap dia okey, kejap dia tak okey. Kasihan.
Bimbang Bawa Musibah
Sayang anak tak salah, manjakan anak pun tak salah. Itu kewajiban, buat anak rasa disayangi dan dimanjai.
Tetapi bila keterlaluan di manja sampai,
– tak boleh dimarah langsung
– tidak boleh ditegur langsung
– tak boleh disentuh langsung
– tidak boleh disuruh langsung
– tak boleh menangis langsung
Itulah bibit-bibit manja yang membawa musibah.
Didik Anak Dengan Had
Oleh itu sejak anak kecil lagi wajar bertegas dengan dia, didik dia dengan had, dan marahlah bila dia buat salah.
Marah tak salah, jika marah untuk mendidik.
Terlalu manja ni sebenarnya bukan sahaja beri masalah pada kita, tapi bakal mengundang masalah lebih besar pada dirinya sendiri.
Wallahu A’lam,
~ Mohd Fhais Salim
Mingguan Wanita : Manjakan anak itu subjektif. Namun beringatlah duhai mak ayah kerana kesan manja ini bukan hanya memberi impak kepada mak, ayah. Tetapi turut memberi kesan negatif pada anak setelah mereka makin dewasa kelak.
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...