Duit raya jangan biar ada riba, jadi duit haram. Berhati-hati! Aktiviti menukar wang kertas untuk dijadikan duit raya mungkin mengandungi unsur riba tanpa disedari.
Meskipun menukar not kertas untuk duit raya menjadi amalan biasa, terdapat situasi tertentu yang boleh membawa kepada riba jika tidak dilakukan dengan betul.
Ketua Pegawai Eksekutif Lariba Consulting, Abd Aziz Mohd Nor, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Lariba, menjelaskan bahawa menukar duit raya merujuk kepada penyerahan sejumlah wang lama, seperti RM500, dan menerima jumlah yang sama dalam bentuk wang baharu dengan pecahan tertentu seperti RM5, RM10, atau RM20. Proses ini tertakluk kepada hukum al-sarf dalam Islam.
“Penukaran wang raya perlu memenuhi dua syarat utama, iaitu penyerahan wang lama dan wang baharu mesti berlaku dalam satu sesi tanpa sebarang penangguhan. Jika terdapat kelewatan dalam serahan, ini dikategorikan sebagai Riba al-Nasi’ah.
“Selain itu, pertukaran tersebut mesti dilakukan dengan jumlah yang sama tanpa sebarang lebihan. Jika terdapat lebihan dalam pertukaran, maka ia dianggap sebagai Riba al-Fadl.
“Oleh itu, sekiranya terdapat unsur riba al-Nasi’ah atau riba al-Fadl dalam pertukaran duit raya, maka ia menjadi haram,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut berkongsi beberapa keadaan yang boleh menyebabkan pertukaran duit raya mengandungi unsur riba.
“Sebagai contoh, individu A ingin menukar RM1,000 dengan individu B yang dikenali kerana memiliki banyak wang baharu. Individu A menyerahkan wangnya hari ini, tetapi individu B hanya memberikan wang baharu keesokan harinya.
“Situasi ini haram kerana melibatkan riba al-Nasi’ah akibat penangguhan dalam serahan wang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan satu lagi senario di mana individu A ingin menukar RM1,000 dengan individu B, tetapi individu B mengenakan caj tambahan sebanyak RM10.
“Individu A akhirnya memberikan RM1,010 dan menerima RM1,000 dalam wang baharu. Ini juga haram kerana berlaku riba al-Fadl akibat pertukaran jumlah yang tidak sama,” tambahnya.
Dalam situasi lain, Farid ingin menukar RM1,000 dengan Bank XYZ melalui rakannya, Ahmad, yang bekerja di bank tersebut.
“Farid menyerahkan wang kepada Ahmad sebelum Ahnad memulakan tugas. Ahmad kemudian menukarkan wang tersebut di kaunter bank dan menyerahkannya kembali kepada Farid pada waktu petang.
“Dalam kes ini, pertukaran wang raya adalah harus kerana ia berlaku secara tunai di kaunter bank tanpa sebarang lebihan atau penangguhan. Ketika Farid menyerahkan wang kepada Ahmad, ia dilakukan sebagai akad wakalah (akad perwakilan), bukan atas kapasiti Ahmad sebagai pegawai bank,” jelasnya.
Ustaz Lariba menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam urusan pertukaran duit raya untuk mengelakkan terjerumus dalam dosa besar riba, yang dianggap sebagai satu bentuk peperangan dengan Allah SWT dan Rasul-Nya.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Duit Raya, Lebih Besar Pahalanya Pada Syawal Atau Ramadan