Mana boleh salahkan orang lain kalau duit poket tak cukup. Jangan nak kata duit gaji kecil, anda tak mampu bagi nafkah pada anak bini, ya! Sebab istilah REZEKI itu bukan hanya pada duit tetapi boleh dilihat dari sudut lain seperti kesihatan dan kebahagiaan suami isteri.
Namun kalau anda ada buat 7 perkara ini, tak peliklah kenapa rezeki tak pernah nak singgah, jom semak!
1. Asyik bergaduh
Tak payahlah bergaduh sesama suami isteri, lagi-lagi perihal duit. Berbincang dan cari persefahaman. Bila pasangan tidak redha antara satu sama lain, di situlah rezeki akan disekat…
2. Merungut dan merasa anak-anak sebagai beban
Berikanlah kasih sayang kepada anak-anak kerana setiap anak adalah rezeki Allah swt. Namun ibu dan bapa juga perlu mengusahakan rezeki untuk anak-anak tanpa merungut dan rasa terbeban.
Ads
3. Selalu mengeluh sesama suami isteri dengan apa yang tidak dimiliki
Kurangkan mengeluh dan banyakkan bersyukur dengan apa yang dimiliki tidak kira banyak atau sedikit kerana syukur itu adalah kunci kepada rezeki yang melimpah ruah…
4. Kedekut dengan pasangan dan anak-anak
Jangan terlalu berkira-kira untuk mempermudahkan hal yang baik sekeluarga. Perlu ada tolak ansur dan dan faham sesama pasangan kerana rezeki yang Allah beri adalah untuk dikongsi bersama.
Ads
5. Gagal mengawal emosi dan amarah
Jangan meninggikan suara dan gunakan kata-kata yang baik sahaja bersama suami, isteri dan juga anak-anak. Buangkan cara menakut-nakutkan ahli keluarga dan tanamkan layanan yang penuh mesra.
Ads
6. Kurang sabar
Bersabarlah dalam menangani karenah suami, isteri dan anak-anak. Adakalanya sesuatu itu kita tidak suka. Tetapi, tetap perlu bersabar dan fahami keadaan pasangan dan anak. Nasihat dan cari penyelesaian secara baik. Banyakkan bersabar kerana sabar itu duit…
7. Kurang berdoa
Lepas solat terus bangun dan lipat sejadah. Allah… cubalah ambil masa berdoa pada Ilahi moga permulaan setiap hari lebih baik dari sebelumnya. Kena didik diri sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk suami, isteri dan anak-anak. Sentiasa ingatkan mereka dalam doa dan juga sepanjang hari kerana kuasa doa itu adalah luar biasa.
Haaa… macam mana? Agak-agak ada yang buat beberapa perkara ini tak nak penuhkan duit poket? Masih belum terlambat untuk berubah, moga rezeki anda dan pasangan semakin luas bila mampu betulkan mana yang patut. Semoga bermanfaat…k!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hubungan di tempat kerja yang pada mulanya dianggap biasa sebenarnya boleh menjadi punca kepada berlakunya kecurangan sehingga mencetuskan hubungan terlarang sesama rakan sekerja.
Kes-kes kecurangan ini bukan hanya melibatkan kaum lelaki daripada pasangan yang sudah berkahwin, malah wanita berstatus isteri orang turut terperangkap dalam situasi ‘bermain kayu tiga’.
Skandal Di Tempat Kerja
Kalau melibatkan lelaki bujang dan anak dara tidak menjadi masalah. Tapi, bila ia melibatkan isteri dan suami orang. Selalu jugalah kes-kes skandal tempat kerja ini yang hanya bermula dengan usikan manja, makan bersama dan lepas itu berkisar pula pada masalah rumah tangga. Bila sudah rapat, mulalah timbul pula gossip-gossip.
Mengaku hanya sekadar kawan kerja dan masing-masing sudah mempunyai keluarga, tidak mungkin akan berlaku ‘skandal’. Hakikatnya, boleh percayakan dengan kata-kata itu.
Apa yang boleh dikatakan, baik isteri orang mahu pun suami orang, tidak salah untuk berkawan tapi jangan sampai boleh membawa kepada skandal. Akhirnya, boleh membinasakan rumahtangga yang dibina.
Ingat, tidak salah berkawan tapi ada hadnya. Jangan biarkan pasangan hilang percaya dengan apa yang kita lakukan. Niat untuk mencari rezeki dan membantu pasangan. Antara nasihat dan kata-kata dari Salwa Mohd Saleh untuk dijadikan panduan dan ingatan.
‘Teman Tapi Mesra’ Bukan Alasan Bina Hubungan Terlarang
INGAT, bukan Semua Orang Di Tempat Kerja Kita Boleh Jadikan KAWAN!
Tentang Skandal Tempat Kerja:
1. Terbaca satu kisah tentang seorang isteri yang suaminya curang. Si isteri surirumah yang berniaga secara online. Perbelanjaan rumah separuh isteri tanggung. Percutian juga isteri sediakan. Selepas kes curang, perbelanjaan semua isteri suruh suami yang tanggung supaya suami tak rasa ‘duit banyak’ dan pasang yang lain.
2. Namun, bukan itu yang saya nak ceritakan. Saya nak kata, kisah skandal di tempat kerja ni berlaku di mana-mana. Malah di tempat saya bekerja dahulu pun ada beberapa yang terbongkar. Ada yang akhirnya jadi isteri kedua, ada juga bercerai berai.
3. Tahu tak, kebanyakannya bukan ada niat original nak menduakan pun. Biasanya bermula dengan ayat “ala, kawan kerja je pun”. Kadang akan keluar ayat biasa “dia tu dah isteri orang pun, beranak pinak dah” atau “eh dia tu suami orang lah. Tak hingin”. Tapi dari ayat-ayat yang beginilah, akhirnya membinasakan. Kenapa?
4. Bermula dengan usik-usik manja. Kemudian mula pula ceritakan masalah rumahtangga masing-masing. Yang suami rasa isteri di rumah tak hot. Sibuk dengan anak-anak sahaja dan dia tak boleh nak bermanja. Rasa isteri dah tak lagi bagi layanan mesra macam mula-mula kahwin dulu. Rasa isteri banyak membebel.
5. Yang perempuan pula pun buka cerita rumah dia juga. Rasa suami sibuk sangat kerja. Balik rumah, suami tak balik lagi. Rasa kesunyian. Rasa penat urus rumah seorang.
6. Macam itu lah mulanya. Bercerita. Kemudian sebab satu pejabat dan satu bidang pulak, akan mula rasa yang kawan ofis tu tadi lebih ‘memahami’. Cakap apa pun dia paham. Kalau engineer cakap bahasa jurutera sambal sulam dengan jenaka mesra. Kalau yang doktor cakap la pasal segala mak neka bahasa Operation theatre sambil rasa mudahnya buat conversation sebab ‘si dia’ terus dapat tangkap apa inti bicara.
7. Inilah yang membunuh sebenarnya. Dalam senyap setan setan bertoncet tu semua cucuk jarum. Rumahtangga yang sah dengan ikatan yang dah ada anak beranak pun bergoncang hebat. Kalau setan pangkat koperal, maybe boleh la ditarik balik dan taubat kembali ke pangkuan keluarga. Kalau setan pangkat sarjan, mungkin dah goyah. Kalau yang buat skandal tu sendiri perangai macam setan, tu yang start terlanjur bagai.
8. Jadi, saya nak ingatkan. Jangan mudah mesra. Berkawan dan bekerja lah seadanya. Tak payah lebih-lebih. Sederhana. Islam dah ajar, jangan hampiri zina.
9. Yang perempuan, jangan terhegeh nak cerita masalah kat jantina lelaki. Tak kisah la awak tu single ke isteri orang ke. Cerita kat group perempuan. Biarlah orang kata bawang sekalipun, asal tak ganggu rumahtangga orang.
10. Bagi yang lelaki, jangan nak melayan sangat orang perempuan yang sendu sendan sedih kononnya semua masalah dunia ni dia ada. Set your border ya. Ingat isteri dan anak-anak di rumah. Isteri tu penat, semua dia handle. Kalau nak isteri cantik, invest lah belikan set spa dan makeup. Kalau nak isteri nampak presentable, beli la baju ke perfume wangi ke. Nak isteri tak membebel, ringankan tulang tu bantu kerja rumah apa yang patut.
11. Kita sendiri sebenarnya bertanggungjawab dengan apa yang kita buat. Jangan bila dah jadi, tunding jari pihak sana pihak sini. Pun begitu, memang tak dinafikan, ini dinamakan UJIAN dalam hidup berumahtangga.
12. Saya ni pun beringat juga. Bukan kata kami ni pasangan perfect atau sempurna. Tidak. Ini purely nak bagi nasihat dan ingatan sahaja sambil menasihati diri sendiri dan suami dan keluarga kesemuanya, supaya beringat-ingat. Jadikan pengajaran.
Memang ada benarnya, ayah kena jalin hubungan rapat dengan anak-anak kerana ia mampu beri pengaruh besar dan kesan positif pada mereka. Berbanding hanya mengharapkan mak-mak yang menguruskan segalanya.
Baca pendedahan 10 fakta menarik yang dikongsiakan daripada Psikologis Klinikal, Akif Basri ini.
10 Fakta tentang Pengaruh Bapa terhadap Anak: Perspektif Psikologi
1. Kurang Tantrum
Kajian menunjukkan anak yang ada bapa yang lebih rapat dengannya sewaktu kecil menunjukkan kurang tantrum, kurang masalah disiplin dan lebih popular dan disukai di sekolah.
2. Perkembangan Bahasa
Bagi latihan anak bercakap, bapa lebih berpengaruh daripada ibu dalam membantu perkembangan bahasa anak sekiranya ayah lebih banyak menggunakan perkataan (vocabulary) ketika bermain dan membacakan buku.
3. Lebih Berani
Apabila bapa lebih banyak bermain secara kasar (rough and tumble play) dengan anak, ini akan mempengaruhi mereka supaya lebih berani mengambil risiko di masa hadapan.
4. Hubungan Lebih Baik Dengan Guru & Kawan
Anak yang mempunyai bapa yang menyokong transisi anak ke sekolah mempunyai hubungan yang lebih baik dengan guru dan rakan.
5. Kemahiran Sosial Lebih Baik
Mereka juga mempunyai skil sosial yang lebih baik.
6. Elak Anak Dapat Kemurungan
Satu fakta yang menarik juga ialah bapa yang sering bertanyakan perihal anak di sekolah boleh mengelakkan anak mendapat kemurungan.
7. Risiko Rendah Tingkah Laku Seksual
Remaja perempuan yang mempunyai ayah yang lebih rapat dengannya menunjukkan risiko tingkah laku seksual serta seks pra-perkahwinan yang lebih rendah.
8. Tingkat Keyakinan Diri
Sentuhan mesra seorang ayah terhadap anak perempuan mampu meningkatkan tahap keyakinan diri anak tersebut.
9. Hubungan Lebih Rapat
Ayah yang terlibat dalam tukar lampin, mandi & suap makan anak di samping selalu bermain dengan anak mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan anak berbanding bapa yang hanya bermain dengan anak tanpa melibatkan diri dengan tukar lampin, mandi & suap makan.
10. IQ Lebih Tinggi
Anak perempuan yang rapat dengan bapa menunjukkan IQ yang lebih tinggi daripada anak perempuan yang tidak rapat dengan bapa.
Kebanyakan fakta-fakta ini diterjemah daripada buku ini. Ada yang saya ambil terus daripada jurnal.
MW: Jadi pesanan buat ayah-ayah, jalinlah hubungan rapat dengan anak-anak.Banyak kesan positif yang bakal anak perolehi. Figura ayah beri peranan besar dalam membentuk sikap, tingkahlaku, emosi dan IQ anak-anak.
Macam mana sweet pun orang lelaki yang bernama suami, apabila dia ada satu-satu jenis hobi dalam hidup dia, maka hobi itulah ‘Me Time’ untuk dirinya. Sebab itu jangan halang ‘Me Time’ suami. Hobi itulah andai disekat-sekat oleh isteri akan melukakan hatinya. \\
Melemahkan emosi dan semangatnya untuk segala-galanya. Bunyinya pelik dan macam mengada-ngadakan? Tapi itulah dia lelaki. Kalau lelaki kata isteri itu sejenis makhluk ciptaan Tuhan yang pelik, dia pun tak kurang peliknya. Sama-sama pelik, jadi WIN kan.
Tapi yang lagi pelik bila tiba hujung minggu saja, suami mula bersiap-siap mahu keluar dari rumah. Pergi sendirian tanpa membawa isteri. Beza benar dari sikapnya di awal percintaan dulu. Pantang keluar, nak saja di bawanya bersama.
Isteri makin tak faham. Mulalah fikir suami dah berubah laku. Isteri nak luah pun nanti dia yang kena marah semula. Dikatanya cemburu tak bertempat. Mulalah isteri diam-diam memendam rasa-makan hati.
Silap-silap bila dah tak tahan sangat, mengungkit. Sikit-sikit lama-lama jadi berbukit. Akhirnya terjadilah perang dunia ketiga.
Selalunya pasangan baru, lebih kurang inilah dilema mereka. Sebabnya, masing-masing masih dalam fasa saling mengenal. Isteri mencari kesempurnaan a.k.a suami sempurna di pandangan matanya. Lalu mengharapkan suami jadi seperti yang diharapkan.
Sedangkan suami masih lagi dalam proses menerima dirinya sudah hidup berdua. Lelaki memang lambat matangnya. Tindakan waktu bujang; berjalan sendirian, layan hobi dengan kawan-kawan tak dapat lagi dipisahkan.
Dan isteri sekalipun jangan halang ‘me time’ atau hobi suami anda. Jika dia mahu mengisi ruang kesukaannya itu. Benarkanlah.
Ada suami yang hujung minggunya digunakan untuk mencari koleksi hobinya misalnya mengumpul gajet, permainan gundam, koleksi kereta hot wheels. Yang kadang kala anda pun tak berapa nak faham dengan kesukaan suami. Kalau anda sama minat, ia jadi kelebihan sebabnya mungkin suami ajak keluar bersama.
Jika anda masih tercari-cari maksud tersirat hobinya itu. Tak mungkin anda sanggup berjam-jam melayan, menunggu, menerawang suami membeli, membelek, berangan menikmati apa yang dia gemari.
Kesudahannya bila anda penat meneman, anda merungut, mempertikai hobinya itu. Dan lelaki tidak gemar dengan kritikan.
Terutama kritikan itu datangnya dari orang yang dia cintai. Lebih baiklah anda biarkan saja dia layan hobinya itu. Anda boleh kemas rumah dan memasak makanan kegemarannya.
Bila dia sudah selesai, dia akan pulang ke rumah. Anda hidangkan apa yang suami suka. Wah.. bukankah berbunga-bunga hatinya. Seminggu sekali dia dapat berbuat demikian, sudah membahagiakannya.
Kredit foto : loveandrelationshipclinic.wordpress.com
Isteri Perlu Meletakkan Batasan
Suami ini pun sifatnya macam budak-budak. Makin dilayan makin naik tocang. Tapi kalau tak dilayan mulalah masam mencuka. Jadi letakkan syarat. Dia boleh ada ‘me time’ tapi seminggu sekali saja. Selebih 6 hari itu, isilah ruang cinta di dalam hatinya. Berikan padat-padat.
Percayalah, sampai satu masa suami akan dapat menerima hakikat yang dia sudah berumah tangga. Dan ketika ini hobinya tidak lagi dilakukan sendirian, sebaliknya dia akan melibatkan anda juga.
Sebabnya anda tidak pernah sekali mengongkongnya. Menggalak pun tidak, menghalang jauh sekali.
Apabila dia merasakan cinta dan kasih sayang isteri wujud dalam hatinya, ‘me time’ untuknya bukan lagi hobi yang perlu dilakukan sendirian, tetapi disuburkan bersama isteri tercinta.
Jalinan persefahaman ini takkan terjadi sekelip mata. Ia perlu melalui banyak fasa; rindu, bertingkah, merajuk, terluka dan kesemua ujian cinta ini memerlukan masa untuk anda fahami.
Benar, mengenal hobi suami ada kalanya membuatkan kita jadi seakan jatuh nombor dua. Tapi membiarkan suami melayan hobinya akan mengangkat darjat anda di mata suami dan meletakkan sifat saling memahami dalam diri anda pada kedudukan yang paling tinggi di hati suami.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.