Duit yang diberikan suami selalunya isteri akan gunakan untuk beli keperluan diri. Lebih-lebih bila dirinya tak bekerja. Duti poket yang diberikan suami itulah diharapkan.
Selain itu, duit itu juga akan diketepikan dalam diam untuk tujuan kecemasan. Tapi, apakah duit poket itu dikira nafkah? Topik yang saya pilih kali ini adalah persoalan biasa dah pernah bincang tapi tetap terus dipersoalkan.
Nafkah Zahir Bukan Sekadar Duit
Sebelum saya berikan jawapan, saya nak ingatkan para pembaca tentang konsep nafkah zahir yang ditetapkan oleh syarak sebagai amanah dan tanggungjawab suami kepada isteri atau isteri-isterinya dan anak-anaknya.
Syarak menetapkan, tanggungjawab suami untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan yang munasabah dan tidak bercanggah dengan syarak.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
Beri Duit Ikut Kemampuan Suami
Kadar pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami tidak wajar membebankan dirinya melebihi dari kemampuannya yang sebenar. Maksud membebankan diri di sini ialah melakukan sesuatu yang melebihi kemampuan atau di luar upaya suami.
Sebagai contoh berhutang dengan mana-mana pihak bagi merealisasikan kehendak isteri yang melampau.
Ads
Diceritakan, seorang sahabat bernama Hakim bin Muawiyyah bin Hidah al-Qusyairi r.a pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah s.a.w bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” – hadis riwayat Abu Daud.
Dalil yang saya kemukakan merupakan antara dalil-dalil kukuh berkaitan nafkah. Jelasnya, tiada ayat atau hadis yang menjelaskan seorang suami wajib memberikan wang poket kepada isteri.
Yang Wajib Ditunaikan
Kewajipan yang perlu ditunaikan ialah memberikan makan minum yang cukup, pakaian yang menutup aurat, tempat tinggal yang selesa dan pelbagai keperluan asas lain yang sesuai dengan keadaan isteri dan anak-anak dan paling penting, tidak melanggar tuntutan syarak.
Jelasnya, jika suami telah menjalankan segala kewajipan memberi nafkah yang patut dan wajar seperti yang diterangkan sebelum ini, maka si suami tidak perlu memberikan wang poket kepada isterinya lagi. Ya lah! Segala telah tersedia, kenapa masih perlukan wang poket lagi?
Oppss! Nanti dulu, itu hukum asal. Sesuai dengan persekitaran dunia kini, menepati maksud hadis riwayat Imam Ahmad: “Kamu lebih tahu tentang dunia kamu.”, (Ingat ya! Kewajaran menggunakan hadis ini bukan bererti Islam tidak syumul atau sempurna tetapi sebagai satu tanggungjawab kepada Mukmin kini untuk terus mendaulatkan agama Islam), maka terdapat ketetapan yang memperuntukkan, dalam keadaan tertentu, suami yang tidak memberikan wang poket kepada isterinya boleh disabitkan sebagai telah melakukan keganasan terhadap isterinya.
Keganasan ini termasuk di bawah keganasan kewangan yang boleh berlaku dalam tiga keadaan:
1. Melibatkan seseorang wanita yang dihalang dari mencari pekerjaan atau tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri. 2. Menyebabkan wanita bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk mendapatkan wang walaupun untuk keperluan asas sendiri. 3. Tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk kes-kes kecemasan
Berdasarkan ketetapan tersebut, mana-mana suri rumah sepenuh masa yang tidak melakukan apa-apa pekerjaan sampingan yang boleh memberikan sumber pendapatan; tidak berniaga kecil-kecilan, tidak menjalankan perniagaan MLM, tidak mengasuh anak-anak jiran atau secara mudahnya, wanita suri rumah ini tidak akan mempunyai wang jika tidak diberikan oleh suaminya; maka wanita sebegini merupakan mereka yang perlu menerima wang poket daripada suaminya. Wang yang perlu diberikan bukan untuk dibelanjakan sewenangnya tetapi untuk simpanan bagi menghadapi kes-kes kecemasan.
Sebaliknya, jika anda berdepan dengan suami yang kedekut, bakhil atau terlalu berkira, bukan saja susah nak dapatkan wang poket tetapi keperluan pun selalu sesak sedangkan suami anda mampu, Islam membenarkan isteri mengambil harta suami tanpa pengetahuan suami tetapi hanya sekadar untuk memenuhi keperluan kehidupan seluruh ahli keluarga.
Diriwayatkan, Hindun bin Utbah bin Rabiah pernah menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Abu Sufyan adalah seorang suami yang kedekut. Bolehkah apabila aku mengambil sebahagian hartanya untuk keperluan keluarga kami? Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak mengapa apabila engkau mengambil sesuai keperluanmu dengan cara yang makruf.” – hadis riwayat al-Bukhari. Ulama berpendapat, ‘dengan cara yang makruf’ bermaksud pengambilan harta tersebut tidak berlebih-lebihan dan tidak merosakkan harta si suami.
Bagi wanita yang bekerja pula, anda tak perlu dapat wang poket kerana anda punya pendapatan sendiri dan boleh digunakan dahulu tika waktu kecemasan, kemudian tuntutlah semula daripada suami.
Sumber: Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jangan bersedih bila hajat dan impian tak sampai, mungkin anda kena gali konsep doa sampai nampak jalan yang boleh keluar daripada segala masalah.
Ok, pernah tak hidup anda dianiaya orang yang paling anda percayai. Rasanya bagaimana, sakit sekali sampai tak nampak dah yang lain-lain melainkan mahu balas kembali perbuatannya. Betulkan?
Ketika jiwa lemah tak berdaya, kepada Allah jualah anda memohon pertolongan. Tanpa jemu anda memohon moga Allah berikan pembalasan yang setimpal pada mereka yang menganiaya itu. Biar mereka sama merasai apa yang anda alami. Baru puas hati, kosong-kosong.
Hakikatnya, nak capai hati bahagia bukan itu caranya. Master Coordinator ar iReach, Puan Lyna Noh yang dikenali sebagai Akacan berkongsi cara mencapai hati bahagia dengan mendoakan orang lain.
Hati Bahagia & Hajat Tercapai
Salah satu cara hati bahagia & tercapai hajat ialah dengan mendoakan orang lain.
Dulu saya kalau nak marah orang, saya geram, doakan yang bukan-bukan. Biar mati kena langgar lori!
Tapi sejak saya faham tentang konsep doa yang diaminkan malaikat, saya tukar.
Kepada yang melukakan hati saya, saya doakan dosa-dosanya diampunkan, hajatnya tercapai, diberi hidayah, hidupnya bahagia dan sejahtera dunia akhirat.
Kenapa?
(1) Kita akan lebih bahagia bila mendoakan orang lain. Walaupun orang tu mencederakan hati kita. Ia lebih baik daripada menanggung sakit hati mengenangkan mereka.
(2) Apa yang kita doakan pada orang, malaikat aminkan dan berdoa pula agar kita pun dapat doa yang sama yang kita pinta buat mereka. Kalau kita minta doa agar orang tu mati dilanggar lori entah-entah kita dulu yang kena langgar lori.. naudzubillahi min zalik.
(3) Syaitan suka bila kita bermusuh tapi sengsara bila kita bersilaturrahim.
(4) Bila kita doakan kebahagiaan orang yang melukakan kita, mudah-mudahan doa kita makbul, dia sibuk dengan kebahagiaannya & tak kacau kita lagi dah.
(5) Kerana kita pun bukannya tak buat salah dengan orang lain.. Mungkin banyak benda yang kita tak perasan tapi melukakan dan menggores hati orang lain. Jangan ingat kita baik/mulia sangat.
Kawan-kawan, cubalah. Doakan orang-orang yang pernah melukakan hati kita (termasuk saya la kalau ada). Doakan kebahagian mereka, diberi hidayah, kejayaan, makbul hajat… mula-mula mungkin kita rasa sukar. So unfairkan? Tapi yang pasti kita akan rasa betapa manisnya perasaan itu.
Saya doakan kawan-kawan semua tercapai segala yang dihajati. Mudah-mudahan Allah redha & suka dengan apa yang kita kerjakan.
Terjatuh dari kursi atau digigit serangga itu biasa tetapi kalau anak-anak memasukkan segala macam benda asing seperti kacang atau biji-bijian ke dalam hidung dan telinga, itu bahaya!
Percayalah… ada masa anak-anak suka ‘buat kerja’ pelik-pelik dengan mainan atau barang-barang yang dia jumpa, kalau tak masuk hidung mungkin akan disumbat dalam hidung.
Nak marah pun tak guna, jadi mak ayah kena hati-hati dengan barang yang ada depan anak-anak. Kadang ada tanda-tandanya, contoh sampai anak demam dan nafas bunyi lain. Tetapi yang dirisau bila benda asing itu jadi punca kematian mendadak sebab tersumbat di anggota badan. Nauzubillah…
Untuk mencegah peringkat awal, mak ayah kena selalu tengok keadaan dalam rumah dan sebagai langkah berjaga-jaga boleh rujuk perkongsian Doktor telinga, hidung dan tekak, Ezairy M.Sallih…
Bateri masuk lubang hidung!
Ini bukan cerita rekaan. Bukan juga suatu bahan gurauan yang kita boleh ambil sambil lewa.
Apa-apa objek yang masuk ke dalam hidung anak-anak kita perlu diambil perhatian serius. Kes seperti ini amat penting sebab risiko objek tersebut untuk tersedut dan seterusnya masuk ke kawasan saluran pernafasan. Ia boleh masuk ke paru-paru pesakit!
Mak Ayah Patut Buat
Sebagai ibu bapa yang prihatin, perhatikan keadaan ini :
1. Anak mengadu sukar bernafas pada sebelah hidung sahaja.
2. Gejala dan simptom seperti resdung. Pesakit mengadu mengalami hidung tersumbat dan berair pada sebelah bahagian hidung sahaja.
3. Ada lendir atau cecair busuk yang mengalir keluar daripada salah satu rongga hidung anak. Ia mungkin berwarna kekuningan.
4. Pembengkakan pada kawasan kulit luar hidung disertai dengan rasa sakit apabila disentuh.
5. Pembengkakan mata anak secara tiba-tiba. Ia biasa berlaku beberapa hari selepas anak mengadu mengalami gejala pada hidung.
6. Hasil pemeriksaan anda sendiri dengan bantuan sumber cahaya dan mata kasar, anda mengesyaki sesuatu objek di dalam rongga hidung.
Apabila anak-anak anda mengalami salah satu daripada perkara yang saya sebut di atas, apa yang bermain di fikiran anda?
Ya, ada sesuatu objek yang telah masuk ke rongga hidung. Jangkitan kuman telah menyebabkan lendir busuk keluar daripada hidung terlibat. Apabila ia dibiar dengan lebih lama, jangkitan boleh merebak kawasan sekitar sinus dan boleh merebak ke mata juga!
Keadaan ini akan menjadi lebih kritikal dan berbahaya sekiranya objek mengandungi bahan kimia bersifat mengakis seperti bateri masuk ke rongga hidung anak-anak. Lapisan mukosa rongga hidung boleh terhakis dan bocor!
Sebab itu saya selalu berpesan kepada ibu bapa untuk ambil perhatian beberapa gejala yang saya sebut di atas. Ia penting supaya kita tahu bila dan apa perlu kita lakukan sekiranya perkara seperti ini berlaku.
Jumpa doktor, anda akan dibantu.
Sekiranya anda rasa perkongsian ini amat bermakna, kongsikan dan #share kepada mereka yang anda sayang sebagai tanda prihatin. Saya doa kita semua diberi kesihatan yang berterusan.
Ya, menjaga anak bukanlah pekerjaan yang mudah sebab boleh jadi anak-anak akan melukai dirinya sendiri secara tidak sedar.
Nota:
Hati-hati juga dengan tisu atau kertas. Apabila ia masuk ke rongga hidung anak, ia amat-amat sukar untuk dikeluarkan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bagi mak-mak pastinya risau bila anak ada batuk, selsema mahupun berkahak.Selain menggunakan perubatan moden, sebenarnya mak-mak juga boleh cuba petua tradisional semula jadi untuk atasi penyakit ini, iaitu dengan menggunakan Minyak Bawang Putih.
Bergelar ibu muda, Jihan atau nama sebenarnya Nuur Jihan Musa, 35,tidak terkecuali mencuba petua tradisional ini bagi merawat batuk, selsema dan kahak yang dihidapi anaknya, Ungku Arsalan Haq Ungku Hariz Faizal, 4 bulan yang juga digelar sebagai ‘babyninja’.
Menurut pengacara Gegar Vaganza ini, rawatan petua tradisional ini khusus untuk bayi, diperolehi daripada kawan-kawannya dan dikongsikan didalam laman instagramnya baru-baru ini.Jihan turut berkongi cara serta kaedah rawatan yang dilakukan untuk anaknya.
Berikut antara perkongsian oleh Jihan;
Untuk bayi sahaja. Sebab saya dah jadi mak jadi hidup saya lebih teruja bincang pasal anak. So hari ini dapat ilmu baru dari kawan-kawan.
Petua hilang batuk, selsema, kahak.
Kaedahnya :
Bakar 2 ulas bawang putih. Campur 2 sudu minyak zaitun. Ganyang bawang putih sehingga sebati. Selepas itu sapu dekat dada, belakang badan dan tapak kaki bayi. Boleh simpan 2 hingga 3hari.
Kongsi apa petua & cara korang pula. Mungkin boleh cuba dan lebih mujarab. Lain orang lain caranya. Kita bawak berbincang, kongsi pengalaman & ilmu memasing.
Terdahulu, Jihan mendirikan rumahtangga dengan pelakon Ungku Hariz Faizal, 32, pada 20 Mac 2016 dan pasangan selebriti ini menimang cahaya mata lelaki pertama pada 25 Januari lalu.
Jadi buat mak-mak yang anak mengalami masalah batuk, selsema dan berkahak bolehlah cuba petua tradisional yang diamalkan oleh Jihan ini buat anaknya. Semoga bayi cepat sembuh dan sihat seperti sedia kala.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...