Duit Moratorium Jadikan Barang Kemas, Demi Simpanan Dan Gembirakan Isteri

Share

Lelaki ini, Bro Ohsem, Akhtar Syamir berkongsi kisah, duit moratorium yang tidak digunakan untuk membayar hutang bank setiap bulan. Ke mana perginya? Tentunya tidak digunakan untuk hal-hal yang merugikan. Sebaliknya dijadikan barang kemas.

Selain menambah aset sedia ada, dia ada sebab berbuat demikian. Tentunya, semua pelaburan itu, adalah untuk membahagiakan isteri. Sweet kisahnya.

Apa Yang Saya Buat Dengan Duit Moratorium?

Selain membayar lebih bil-bil bulanan rumah, menyimpan untuk masa depan anak-anak dan melunaskan hutang jahat, saya laburkan duit saya di dalam emas. Bukan gold bar, tetapi barang kemas.

Idea itu datang dari isteri saya sendiri Nora Azni, sudah tentunya. Tetapi ia lebih kepada satu peluang bagi saya untuk membalas kembali pengorbanan dia untuk membantu saya sebelum ini.

Kami pernah lalui saat di mana habis tiada satu gram emas pun di badan isteri. Semuanya dijual.

Pada waktu kesusahan melanda dan tidak mempunyai ilmu mengenai emas, hanya wang ringgit yang sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup. Tak pandang dah Ar Rahnu ke apa ke, habis dijual semuanya. Bila difikirkan semula memang rugi sangat.

Jadi, saya gunakan peluang ini untuk menggembirakan dia di samping menyimpan. Jika simpanan itu dalam bentuk duit di dalam bank, saya jamin 100% yang duit itu akan habis.

Baca sini : Moratorium dah 3 bulan, duit pinjaman tak potong, tapi ke mana duitnya?

Tambah Ilmu Emas Dan Barang Kemas

Sejak moratorium bulan kedua, saya mula membaca dan menambah ilmu mengenai emas dan barang kemas. Saya mula faham konsep pengiraan barang kemas, pembelian, jualan, harga semasa, upah atau tanpa upah dan lain-lain lagi.

Jika ditanya kepada saya hari ini, apakah nama-nama rekaan (design) barang kemas, hampir pasti saya boleh jawab kesemuanya.

Apabila saya sudah mempunyai cukup maklumat, saya cakap dengan isteri. “Sayang, I akan belikan emas untuk you ni, tapi katakanlah satu hari nanti keadaan memaksa untuk kita gadai emas ini, I harap you tak bersedih”.

Isteri saya sedikit marah kerana saya bertanya soalan yang sepatutnya saya sudah tahu jawapannya. Dia sememangnya sentiasa bersedia untuk membantu saya dan saya tahu itu. Cuma dia tidak tahu yang saya sebenarnya hanya menambah alasan “menyimpan untuk masa depan” di dalam tujuan asal untuk menggembirakan dia.

Pulut Dakap Anak-anak Selamat Di Tangan Isteri

Memang, dia sedaya upaya menahan kesedihannya dahulu. Tetapi saya tahu dalam hatinya sangat sedih.

Selepas Pulut Dakap anak beranak selamat di tangannya, saya tahu yang kami tidak akan berhenti di situ.

Kami beralih kepada emas ala Pandora dengan gelang dan charms untuk menambah lagi “tabungan” emas. Di sini datangnya kebijaksanaan isteri kerana dia sudah bersedia dengan pelan.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10158204341270490&id=633435489

Jika kami sekeluarga memerlukan duit satu hari nanti, kami tidak perlu menjual kesemua emas yang ada tetapi kami boleh mulakan dengan menjual charms dahulu. Ini kerana charms datang dalam berat 1 gram hingga 3-4 gram.

Pada waktu yang sama, saya wujudkan tabung emas di dalam akaun Maybank dengan “GOAL” dan isteri menambah tabung RM5 dan RM20 yang sedia ada. Ini semua kami akan gunakan untuk membeli emas sebagai satu simpanan dan kegembiraan buat isteri.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10158135561045490&id=633435489

Fokus saya pada baki 2 bulan lagi moratorium yang ada akan saya gunakan untuk melunaskan habis hutang jahat yang ada dan bersedia untuk menghadapi kembali komitmen bulanan pembiayaan rumah dan kereta.

Mujurlah kesedaran itu datang pada waktu ini. Jika tidak, kemungkinan besar duit moratorium akan habis begitu sahaja dengan membeli benda yang tidak memegang nilai yang sama.

Bila Isteri Gembira, Hidup Jadi Bahagia

Kenapa saya fokus sangat pada isteri? Kenapa hanya kegembiraan dia dan bukannya kegembiraan saya?

Kerana ada pepatah orang putih menyatakan “Happy Wife, Happy Life”. Isteri yang gembira akan menjadikan kehidupan yang gembira. Saya pegang dan saya alami sendiri sejak dahulu lagi.

Setiap orang ada cara masing-masing untuk melabur, teruskan. Saya tidak kata cara anda tak betul dan cara saya yang betul. Setiap orang ada cara masing-masing dan saya memilih untuk melabur pada isteri saya yang saya tahu 100% akan mendatangkan hasil yang tak ternilai. In Shaa Allah.

Yang kelakarnya, lama kelamaan, saya yang lebih seronok pergi kedai emas.

Di samping itu, saya mengajak semua friends dan followers saya dalam #CabaranRM3 iaitu menyimpan sendiri RM3 sehari selama 180 hari. Apabila sasaran dicapai, duit simpanan ini akan digunakan untuk membeli emas. Ramai yang masih bersama saya sehingga ke hari ini (9 Julai 2020), hari yang ke 35 dari 180 hari dan jumlah terkumpul minima ialah RM105.

Jika nak bersama kami mengumpul untuk emas, sediakan satu tabung dengan RM105 dan tambah RM3 setiap hari mulai esok.

Semoga mendetikkan sesuatu. Kongsikan jika anda rasa penulisan ini bermanfaat.

Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa.
Jom join Supergroup Telegram BroOhsem Fans di mana kita boleh berinteraksi dengan lebih rapat lagi.

Published by
NETTY AH HIYER