Duit Belanja Tak Pernah Bagi, Nasib Isteri Yang Dapat Suami Culas Bab NAFKAH!

Share

Malangnya nasib isteri, selama hampir 10 tahun perkahwinan si suami tak pernah nak hulurkan duit belanja kecuali suami bayar sewa rumah, bil utiliti, duit kereta. Sesekali suami ikut isteri keluar beli barang dapur, suami akan keluarkan duit tapi kerap kali isteri pergi sendiri, maka guna duit isterilah.

Lagi teruk suami juga tak membantu kerja-kerja rumah. Isteri yang bekerja, balik ke rumah sibuk nak masak sambil urus dua anak yang sekarang telah bersekolah. Masa anak kecil dulu pun, suami langsung tak membantu.

Bila ditanya…

“Mintak tak duit daripada suami? Mintak suami tolong tak?” Jawapan diberikan: “Tak mintak lah Kak. Dia bukan tak tau. Saya pun malas nak mintak tolong, bukan dia tak nampak saya pun penat.” Pernah bincang perkara ni dengan suami? “Saya dah malas nak bersembang dengan dia Kak. Sekarang ni kami banyak buat hal masing-masing.”

Pilihan Yang Ada Nak Bercerai!

Menurut si isteri, dah lebih lima tahun dia kerap menolak dan kini, dia tekad untuk bercerai kerana suami berikan kata dua, kalau enggan layan kehendak batin suami seperti yang suami kehendaki, suami akan berkahwin lagi.

Segala apa yang dirasai, segala tidak kepuasan hati malahan perkara-perkara yang berkaitan dengan hubungan seksual, perlulah diluahkan kepada pasangan masing-masing. Jika sikap terus terang ini diamalkan, insya-Allah, tidak akan timbul masalah-masalah berbangkit malah takkan wujud isu suami atau isteri curang dan ‘makan luar’.

Berterus terang adalah salah satu prinsip komunikasi wajib dalam perkahwinan. Jika diamalkan sikap berterus terang, segala masalah boleh diatasi insya-Allah. Masalah berlaku bila ramai yang mengambil jalan mudah dan memberi alasan: “Bukan dia tak faham!”, “Malas nak cakap nanti bising.”, “Dari bercakap jadi gaduh, lebih baik diam.”

Diam Sebab Tak Nak Bergaduh

Betul! Daripada menjadi gaduh, lebih baik diam. Carilah masa yang sesuai untuk berterus terang, baru tak jadi gaduh. Tengok juga keadaan pasangan dan pastikan luahan terus terang anda itu dilakukan secara berhemah dan berhikmah, percayalah, takkan timbul pergaduhan. Pergaduhan berlaku bila anda salah teknik dalam berterus terang.

Contoh kesilapan yang kerap dilakukan ialah menyerbu pasangan yang kepenatan, meluah dalam nada suara yang tinggi dan keras malah ramai yang bertindak menyindir pasangan. Bila cara anda salah, memang keputusan selalunya negatif.

Sebaiknya, luahkan masa masing-masing bersedia untuk bersembang, tidak lagi kepenatan dan luahkan dengan nada suara yang lembut. Khusus untuk wanita, secara fitrahnya, anda dikurniakan kuasa menggoda dan merayu. Lantas, gunakan kelebihan ini dalam usaha mengubah sikap suami.

Andai bimbang tidak mampu meluah bicara disebabkan jiwa yang terlalu sensitif dan mudah mengalirkan air mata hingga sukar meluah rasa, karanglah surat cinta. Walau agak ketinggalan zaman sebab dunia hari ini menggunakan pelbagai teknologi seperti e-mel, SMS, WhatsApp dan sebagainya, tak salah jika anda kembali kepada cara tradisi, mungkin dapat mengungkit kenangan lama tika berkasih dan bercinta dulu kala.

Jangan pendam. Jangan simpan. Natijahnya akan lebih memburukkan hubungan. Bukan itu saja, fikiran anda juga tak tenang, serabut dan paling membimbangkan, mampu menukar sikap diri anda yang periang, berwajah tenang menjadi seorang yang pemurung dan boleh jadi panas baran. Paling ditakuti bila ketidakpuasan hati terhadap pasangan yang anda pendam, dilepaskan kepada anak-anak, nauzubillah min zalik!

Published by
Nadia