Akhirnya penantian selama 11 tahun penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin untuk hamil dimakbulkan Allah SWT di usia 38 tahun. Tanggal 13 Oktober lalu, Siti Nurhaliza membuat pengumuman khas dalam sesi santai bersama rakan media. Anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini nyata begitu teruja berkongsi pengalamannya hamil anak sulung.
Berita ini disambut gembira semua tetamu yang berada di pekarangan rumahnya di Bukit Antarabangsa. Tentunya berita ini juga diraikan dengan penuh kesyukuran oleh peminat Siti Nurhaliza.
Tiada kata lain yang dapat diucapkan oleh Siti dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 58.
Mereka bersyukur dengan anugerah terindah ini dan memohon semua pihak mendoakan yang terbaik.
Akhirnya teka-teki ‘kehilangan’ penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza sejak empat bulan lalu daripada radar industri hiburan tanah air terjawab apabila Siti Nurhaliza sendiri memberitahu bahawa penyepiannya selama ini adalah kerana mahu memberi fokus pada kehamilan sulungnya.
“Tiada sebab lain selain mahu memberi fokus kepada kandungan ini. Jika mahu menyanyi, sampai bila-bila pun saya boleh menyanyi tetapi anak merupakan kurniaan Allah SWT yang sangat saya impikan.
“Alhamdulillah, saya percaya pada rezeki bahawa suatu hari nanti saya akan dikurniakan cahaya mata. Berkat kesabaran, akhirnya selepas 11 tahun menanti dan berusaha, saya diberikan rezeki yang teragung ini.
“Jika ada yang kata saya tidak berusaha sebenarnya ini adalah salah satu usaha saya dan suami mendapatkan cahaya mata iaitu melalui rawatan kesuburan. Kehamilan sebelum ini normal kerana saya dan suami tidak mempunyai sebarang masalah cuma mungkin ketika itu saya alami keguguran kerana kurang rehat. Justeru untuk mengejar masa kerana usia saya 38 tahun, saya jalani rawatan kesuburan. Selepas kali ketiga melakukan rawatan, barulah saya hamil,” jelasnya yang kelihatan cukup ceria.
Menceritakan lebih lanjut mengenai rawatan tersebut, Siti Nurhaliza memberitahu selama tiga bulan dia hanya duduk di dalam bilik sahaja.
“Selepas melalui rawatan tersebut, sampai sahaja di rumah saya dibawa naik ke atas rumah dengan menggunakan kerusi roda ke dalam bilik. Mula-mula bosan juga sebab saya dah biasa bekerja tapi demi mendapatkan zuriat, saya akur. Doktor nasihati saya supaya rehatkan emosi, jangan stres dan tidak boleh banyak bergerak.
“Inilah pengorbanan dan usaha saya untuk dapatkan cahaya mata. Oleh itu, saya terfikir untuk turut berkongsi dengan mereka di luar sana yang sukar untuk hamil tentang rawatan yang telah saya lalui ini. Mudah-mudahan lebih ramai lagi ibu-ibu yang akan peroleh cahaya mata,” katanya yang akan bekerjasama dengan pusat rawatan tersebut.
Setiap ibu hamil pasti akan yang mengalami pelbagai alahan mengikut kekuatan tubuh badan sendiri. Siti Nurhaliza juga tidak terkecuali dengan perkara tersebut. Jelasnya, selepas hamil dia merasakan kulit wajahnya berubah menjadi kasar sehinggakan dia tidak mahu untuk bertemu dengan orang lain kecuali keluarganya sendiri.
“Selain itu, saya kurang makan pedas dan saya tidak boleh sentuh langsung kuetiau. Saya juga tidak masuk dapur kerana alahan yang dialami. Di awal kehamilan, saya hilang selera makan sehingga berat saya turun. Tapi saya paksa diri untuk makan kerana saya ada gastrik. Kini berat saya semakin bertambah, sekarang sudah cecah 70 kg.
“Begitu juga dengan emosi, memang banyak perubahan yang berlaku. Kadang-kadang, saya tak ada mood,”ujarnya yang tidak lekang dengan senyuman di bibir.
Pun begitu, tambah Siti Nurhaliza, dia gembira kerana telah dapat lalui pengalaman sebagai ibu hamil yang disifatkannya cukup indah.
“Selepas hamil barulah saya dapat rasa sendiri betapa besarnya pengorbanan seorang ibu itu. Walaupun sukar tapi cukup indah. Saya kagum dengan ibu-ibu yang mempunyai ramai anak,” jelasnya.
Bercerita mengenai impian jantina anak, Siti Nurhaliza memberi bayangan inginkan anak perempuan.
“Jika anak perempuan, saya akan letak nama bermula dengan Siti, itu wajib,” katanya sambil ketawa.
Malah Datuk K juga telah menyediakan nama untuk anak mereka itu tetapi belum didedahkan lagi sehingga jantina anak itu betul-betul diketahui. Siti Nurhaliza turut berkata dia tidak akan merahsiakan jantina anak dalam kandungan.
“Selepas buat pengumuman ini barulah saya lega kerana dapat berkongsi cerita dan pengalaman dengan ibu-ibu hamil dan bakal-bakal ibu nanti. Setiap perkembangan saya akan kongsikan di media sosial jika perlu,”katanya.
Mengikut jangkaan doktor, Siti Nurhaliza akan melahirkan cahaya mata pada bulan Mac 2018. Pun begitu sehingga kini dia belum lagi memutuskan untuk bersalin di hospital mana.
Sementara itu, sebagai suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau mesra dengan panggilan Datuk K turut mengulas bahawa ini merupakan hajat yang sudah lama mereka impikan.
“Lebih kepada Siti, saya mahu dia rasa pengalaman menjadi wanita hamil. Setakat mengandung ini, dia tak banyak kerenah cuma tak boleh lama berpisah. Siti sering tanya jam berapa nak balik ke rumah. Doakan agar semuanya berjalan lancar, bayi sihat dan sempurna.
“Proses kehamilan akibat rawatan kesuburan memerlukan Siti banyak berehat dan menjaga kesihatan agar masalah keguguran seperti sebelum ini tidak berlaku. Siti juga terpaksa diangkat setiap kali mahu naik atau turun dari tingkat atas rumah.
“Nak turun bawah pun saya angkat Siti. Bila dia berjalan pun susah, terbongkok-bongkok dan terpaksa berjalan perlahan-lahan. Sampai begitu sekali. Alhamdulillah kini bila kandungan empat bulan, barulah dia boleh bergerak dengan sempurna,” jelasnya sambil tersenyum.