Dugaan Hebat Raja Sehari, Pagi Uruskan Pengebumian Jenazah Mak, Petang Halalkan Isteri Tercinta. Sungguh hebat ujian yang dilalui oleh raja sehari ini apabila kehilangan ibu tercinta menjelang hari bahagia, sehari sebelum majlis pernikahan berlangsung. Lebih menyayat hati apabila menguruskan pengebumian jenazah ibu dan meneruskan majlis pernikahan pada hari yang sama.
Uruskan Pengebumian & Pernikahan Hari Sama
Keterujaan Muhamad Ikmal Abd Rashid untuk bergelar raja sehari bertukar menjadi episod duka apabila ibunya, Nor Liza Shaari, 57, dijemput Ilahi sehari sebelum majlis pernikahannya dengan isteri, Siti Nur Diana Baharin.
Lebih menyedihkan apabila Muhamad Ikmal, 26, perlu menguruskan pengebumian jenazah ibunya dan meneruskan pernikahan pada sebelah petang hari yang sama.
Mak Tiada Sakit Kronik
Berkongsi kisahnya, Muhamad Ikmal dari Kampung Sungai Semambu, di sini, berkata, hanya Allah sahaja tahu perasaannya apabila diuji dengan pemergian ibu menjelang hari bahagianya, Sabtu lalu.
“Emak tiada sakit kronik, cuma sebelum ini mengadu sakit dada dan kepala.
“Pagi Jumaat lalu, emak sempat sembang dengan saya dan sudah buat tempahan pembelian tanah untuk tambak bagi luaskan halaman rumah menjelang majlis kenduri perkahwinan saya, 17 Jun depan.
“Dalam perbualan itu, emak titipkan beberapa pesanan dan tak sangka emak meninggal dunia jam 6 petang hari sama.
Ads
“Saya tahu pun selepas kakak panggil beritahu emak sudah tak bernyawa ketika baring di ruang tamu dan macam tak percaya rasanya,” katanya.
Teruskan Pernikahan Atas Nasihat Keluarga
Ikutkan hati, Muhamad Ikmal mahu menangguhkan majlis pernikahan bersama Siti Nur Diana, 26, kerana masih dalam kesedihan susulan pemergian ibunya.
Bagaimanapun dia meneruskan pernikahan selepas dinasihatkan keluarga.
“Kakak nasihat jangan batalkan dan saya ikut kerana mengenangkan semua persediaan sudah dibuat, jadi tak nak malukan keluarga isteri.
Ads
“Sepatutnya nikah jam 11 pagi (Sabtu lalu), tetapi kami anjak ke jam 3 petang kerana perlu uruskan pengebumian jenazah ibu yang selesai jam 10.30 pagi.
“Ketika majlis (akad nikah), fikiran saya kosong dan tak boleh fokus dengan apa tok kadi kata, malah tak henti menangis namun bersyukur dapat sempurnakan akad nikah dengan sekali lafaz,” katanya.
Ibu Tak Sabar Menanti Hari Pernikahan
Menurutnya, apa membuatkannya sedih apabila mengenangkan arwah ibu yang tidak sabar menanti hari pernikahannya.
“Saya anak bongsu dalam keluarga dan satu-satunya anak lelaki, jadi emak paling semangat buat persediaan.
Ads
“Macam-macam dirancangnya untuk pastikan majlis perkahwinan saya meriah namun hasratnya tak kesampaian kerana Allah lebih menyayanginya.
“Sedih kenangkan hari perkahwinan saya tanpa orang tua kerana ayah (Abd Rashid Arshad) baru meninggal dunia Januari lalu dan baru-baru ini emak pula, namun itulah ketentuan-Nya,” katanya.
Mingguan Wanita: Salam takziah buat pengantin baru ini atas ujian kehilangan ibu tersayang. Bukan mudah untuk menerima ketentuan sebegini, namun bersabarlah dan redhalah dengan takdir yang tertulis.
Cikgu Ameer Firdaus Bin Onn, 27 ini cuma perlukan masa 8 minit untuk membuatkan anda kagum. Video 8 minit ini bukti cantiknya lukisan doodle pada dinding kelas 6 Pintar di SK Lenjang Pedalaman Orang Asli Kuala Lipis, Pahang.
Guru Major Sains yang mengejar subjek sains di sekolah pedalaman ini mengambil masa 6 hari untuk mencipta sebuah bilik darjah yang selesa untuk pelajarnya. Semua itu termasuklah menyiapkan langsir dan wallpaper untuk meja murid.
Antara cabaran yang Cikgu Ameer Firdaus terpaksa tempuh sepanjang mendidik anak-anak Orang Asli di SK Lenjang Pedalaman Orang Asli Kuala Lipis, Pahang.
Kekurangan Adalah Peluang
Graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) Sultan Mizan, Terengganu tak sesekali mengalah dengan persekitaran sekolah yang serba kekurangan. Sekolah SK Lenjang terletak jauh kira-kira 90 kilometer dari bandar Lipis.
“Kami serba kekurangan. Namun, kekurangan adalah peluang untuk kita improve dan cari kepuasan dengan cara sendiri.” Inilah tuturnya ketika ditanya mengapa bersungguh-sungguh menghasilkan kelas sedemikian cantik.
Tambah beliau lagi, kos keseluruhan untuk mencantikkan kelas sebanyak RM500. Ini merupakan projek keduanya.
Projek pertamanya, buku doodle
Selepas Projek Doodle Pertama
Kepakarannya membuat lukisan doodle juga pernah membuatkan guru muda ini viral tak lama dulu. Menerusi projek pertamanya itu, Cikgu Ameer menghasilkan sebuah buku nota sains doodle dengan judul ‘Hey Jom Bijak Sains’.
“Kali ini saya berlawan dengan masa. Mahu siapkan hasil kerja saya dengan cepat. Penat memang penat, kadangkala sakit badan. Tapi semua itu tak menghalang keterujaan saya nak sudahkan hasil karya ini.”
Sepanjang menyiapkan projek doodle keduanya itu, Cikgu Ameer mendapat sokongan daripada ramai rakan-rakan gurunya. Anda akan nampak guru-guru yang menemankannya ketika dia melukis.
Antara sahabat dan rakan guru yang ada dalam video tersebut adalah Cikgu Aliff Syafiq, Cikgu Pahimi Hassan, Cikgu Syauqi Mustafa dan Cikgu Ariff Mazland.
Video 8 Minit, Wow! Hebatnya Cikgu Ameer Buat Sorang-sorang Dia Je
Sumber/Foto/Video : Facebook Ameer Firdaus
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sherry Ibrahim telah menambah baik perjalanan hidupnya dengan berhijab dan paling terkini adalah sibuk dengan bisnesnya Sherry Scarves by Sherry Ibrahim dan Deeja Cosmetic by Sherry Ibrahim. Pada bulan Ramadan ini, dia akan sibuk melakukan promosi dan jualan tudungnya di Malaysia, Singapura dan Brunei. Selain itu pelakon, pengacara dan penyanyi ini tidak lupa mengutip pahala sepanjang bulan Ramadan apabila meneruskan aktiviti amal kebajikan dan projek CSR yang dijalankan.
Ikuti temu bual bersama Sherry Ibrahim yang telah dikeluarkan dalam ruangan Soalan Panas di majalah Mingguan Wanita Volume 1 Jun 2018.
MW: Kenapa Sherry melibatkan diri dalam kerja amal kebajikan dan projek CSR?
Sherry: Saya ada buat CSR projek dengan gelandangan termasuklah orang susah atau tidak berkemampuan di kawasan luar bandar dengan membantu mengecat rumah mereka. Insya-Allah, tahun ini mungkin ada banyak lagi. Malah, pada bulan puasa ini, Sherry Scarf bersama pemilik butik vendor, Butik Wardia yang terletak di Melawati Mall akan memberi makanan kepada mereka yang memerlukan.
Saya melibatkan diri dalam aktiviti amal kebajikan ini bukan sebab imej. Malah sebelum berhijab lagi saya sudah melibatkan diri dalam aktiviti sebegini. Saya hendak beritahu kadang-kadang ramai orang hendak melibatkan diri dalam projek CSR. Tetapi mereka tidak tahu bagaimana hendak pergi ke arah itu.
MW: Apa yang menyebabkan Sherry mengambil keputusan berhijrah sekaligus bertudung?
Sherry: Benda ini berlaku sebelum Gempak Superstar. Saya pernah berkata ingin mengenakan tudung selepas berkahwin tetapi suatu hari saya rasa macam saya banyak buat salah dan buat dosa. Saya imbas semula kisah lalu. Saya suka bertanya pada Allah. Kenapa saya? Saya tidak sedar apabila kita bertanya pada Allah, ada hikmah di sebaliknya. Saya minta nasihat seorang kawan dan pada malam itu saya telah ambil keputusan maafkan semua orang. Setelah buat benda itu saya rasa lega. Seiring dengan masa, saya berdoa agar diminta petunjuk dari Allah. Akhirnya, membuka hati saya untuk bertudung.
MW: Kenapa selebriti atau artis apabila bertudung mereka keluarkan tudung sendiri. Adakah nama mereka itu boleh melariskan tudung yang dikeluarkan itu?
Sherry: Apabila saya mula berhijab semua orang mahu ambil saya jadi duta. Masa itu saya tidak rasa hendak buat tudung sendiri sebab saya belum bersedia untuk berkongsi dengan orang ramai. Tetapi apabila orang ramai memberi dana untuk menjadi rakan bisnes, semuanya telah berubah. Kenapa pilih tudung? Ia adalah bisnes tetapi pada masa yang sama banyak aspek yang perlu difikirkan. Saya mahu pemakai tudung itu ada keselesaan. Rekaan tudung juga memainkan peranan. Selain itu saya mahu memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang mahu bekerja sendiri dengan menjadi stokis dan sebagainya. Saya bersyukur dengan sambutan yang diberikan oleh pengguna dan mereka yang mahu jadi stokis.
MW: Apa pandangan Sherry berkaitan jual tudung untuk fesyen dan jadi ikutan bukannya untuk menutup aurat?
Sherry: Itu hak individu. Sebenarnya seperti saya sebelum ini tidak berhijab. Benda itu datang secara tiba-tiba. Ia amat subjektif. Tetapi, jika kita buat kerana inginkan populariti, itu bermakna kita tidak ikhlas. Kalau tidak ikhlas akan banyak kesilapan sepanjang perubahan bertudung itu. Apabila kita berhijrah Allah menguji kita dengan cara lain pula. . Saya pun masih baru dan masih belajar. Kadang-kadang saya pun pakai seluar ketat. Saya masih dalam proses pembelajaran.
Apa cabaran bertudung? Sepanjang saya pakai saya tidak pernah rasa rambut gugur atau sakit kepala. Saya juga tidak percaya jika kita buat kerana Allah kita akan kekurangan perkara lain. Daripada segi penggambaran saya pernah dapat watak utama tetapi watak itu ada perubahan imej sebab itu saya tidak dapat watak itu. Tetapi tidak mengapa sebab selepas itu saya ditawarkan watak lain watak berhijab yang lebih kuat.
MW: Bagaimana dengan hidup Sherry sekarang? Sudah ada teman istimewa?
MW: Saya ada teman tapi mesra. Saya tidak mahu bercakap banyak pasal perhubungan. Kalau ada jodoh, Insya-Allah. Saya bukannya serik tetapi setiap apa yang terjadi itu mengajar kita lebih kuat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Menjadi suri rumah pengorbanannya sangat besar. Ada wanita yang sanggup memilih untuk menjadi suri rumah walaupun mempunyai pendidikan tinggi dan meninggalkan kerja bergaji lumayan, hanya demi keluarga tersayang.
Namun lumrah dalam rumahtangga, adakalanya pengorbanan begini tak dihargai oleh si suami. Lebih menyedihkan diceraikan suami ketika memasuki usia warga emas. Pembelaan dan pampasan sewajarnya patut diberikan buat nasib wanita sebegini.
Terbaru, Mahkamah di Argentina mengarahkan seorang lelaki berusia 70 tahun membayar sebanyak 8 juta peso (RM718,815) kepada bekas isterinya sebagai pampasan selama 27 tahun melakukan kerja-kerja rumah.
Hakim mahkamah tempatan di Argentina, Victoria Famá membuat ketetapan itu setelah mempertimbangkan bahawa wanita warga emas itu telah melakukan tugasnya dengan baik sepanjang perkahwinan mereka selama 30 tahun.Wanita tersebut, yang hanya dikenal sebagai M.L. menjaga keharmonian rumahtangga, sementara suaminya pergi bekerja.
Ada Ijazah Ekonomi
Walaupun memegang ijazah dalam bidang ekonomi, wanita itu mengetepikan kerjaya profesionalnya untuk membesarkan anak-anak dan memastikan rumah tangga berada dalam keadaan baik.
Ketika suami M.L. meninggalkannya, wanita itu sudah berusia 60 tahun, terlalu tua untuk dipertimbangkan di pasaran pekerjaan.
“Selepas 27 tahun berkahwin, tertuduh meninggalkan isterinya ketika dia berumur 60 tahun, peringkat usia di mana wanita memperoleh manfaat pencen, dikecualikan dari pasaran buruh,” kata Hakim Famá.
Masalah Kewangan
Pasangan Argentina ini tidak hidup bersama pada 2009 dan bercerai dua tahun kemudian.Sejak itu, wanita itu mengalami masalah kewangan kerana ketidakupayaannya mencari kerja dan mendapat manfaat persaraan yang sedikit, sementara suaminya dilaporkan ‘hidup dengan baik’.
“Keputusan ini adalah sangat baharu kerana ia menunjukkan bahawa apa yang kita lakukan di rumah adalah satu pekerjaan, tugas penjagaan adalah pekerjaan kerana ia melibatkan masa, usaha dan kemahiran,” kata Timbalan Pengarah eksekutif Pasukan Jantina dan Keadilan Amerika Latin Lucia Martelotte.
“Tetapi ini tidak dilihat dan wanita tidak mendapat gaji untuk itu.”
Hakim Famá menggambarkan jumlah pampasan itu sebagai ‘munasabah untuk mengimbangi situasi ekonomi yang berbeza pasangan ini’.Beliau menambah, ijazah ekonomi dan umur wanita itu ketika suaminya memutuskan untuk meninggalkannya juga dipertimbangkan.
Peguam di Argentina telah menyifatkan keputusan itu ‘sangat baharu dan jumlah yang diberikan kepada plaintif’ belum pernah terjadi sebelumnya.
Data OECD menunjukkan bahawa wanita melakukan lebih banyak pekerjaan yang tidak dibayar di rumah berbanding lelaki di semua 10 negara yang paling maju di dunia.
MW: Memang terbaik keputusan yang dibuat oleh mahkamah. Sewajarnya begitu, wanita yang ‘berkhidmat’ demi keluarga sewajarnya mendapat pembelaan dan pampasan sekiranya berlaku perceraian.