Elfira Loy

Tidak dinafikan, ramai yang mempercayai bahawa dugaan bertunang adalah satu fasa yang cukup getir dalam sesebuah perhubungan. Manakala bagi Elfira Loy dirinya menganggap ia sebagai salah satu ujian.

Dia percaya apabila ramai di luar sana mengatakan tempoh pertunangan akan terselit dengan dugaan bertunang  tetapi segalanya berbalik kepada soal jangkaan.

Kunci Dalam Hubungan

Hakikatnya paling asas dalam sesebuah hubungan, kunci asasnya adalah berbalik kepada kepercayaan terhadap pasangan. Sebagai tunang, Elfira meletakkan dirinya dalam keadaan bersedia.

Dirinya dan Sufian sedari awal telah mempersiapkan diri sebelum menghadapi dugaan yang mendatang. Setiap ujian yang mendatang juga menjadi kayu pengukur bagi kesabaran mereka berdua. Sejak tempoh mereka rapat lagi pasangan ini diuji dengan pelbagai perkara, namun sikap matang pasangan ini membuat mereka bijak mengawal emosi.

“Walaupun pendek jangka masa kami berkenalan, tetapi kami tetap diuji. Ada dugaan yang datang, malah saya pernah dilabel menjadi perampas. Hakikatnya bukan begitu. Begitu juga dengan kontroversi Sufian dituduh kononnya mengganggu isteri orang melalui aplikasi Bigo pada Jun lalu.

IKLAN

“Namun setiap apa yang berlaku kami hadapi dengan tenang, paling penting kami cuba berkomunikasi dengan baik. Komunikasi memang penting dan kita perlu jujur. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak kena, kita cuba jelaskan secara berdepan.

“Sebenarnya dalam hubungan ini, kita juga tidak boleh terburu-buru membuat andaian dan mungkin ujian yang datang itu adalah tanda Tuhan ingin menguji sejauh mana kesabaran kita. Malah dalam hubungan juga, jika kita boleh menerima seseorang itu dalam keadaan baik dan buruk, maka insya-Allah ikatan yang terjalin akan terus ke tahap yang lebih baik,” katanya lagi.

IKLAN

Tidak Mahu Terlalu Lama Bercinta

Lamaran Sufian dengan membawa jambangan 23 kuntum bunga ros pada 8 Mac lalu ketika Elfira genap usia 23 tahun tepat jam 12 tengah malam sesungguhnya membuktikan Sufian benar-benar serius dalam hubungan yang terjalin. Tarikh keramat tersebut juga menjadi titik tolak untuk kami serius menjalinkan hubungan yang lebih rapat.

Setelah beberapa bulan menyulam cinta dengan restu insan terdekat, Syawal lalu membuktikan Sufian mengambil langkah berani dengan menghantar rombongan merisik dan akhirnya Oktober lalu menjadi detik indah iaitu hari pertunangan Elfira dan Sufian. Kurang enam bulan dari sekarang, pasangan ini merencanakan untuk tamatkan zaman bujang di bulan kelahiran Elfira.

IKLAN

“Kami merancang untuk berkahwin pada Mac 2018, namun tarikhnya masih belum pasti memandangkan kami tidak rancang apa-apa lagi termasuklah mencari dewan atau konsep perkahwinan. Tetapi jika diikutkan memang saya tidak mahu terlalu lama bercinta dan kalau boleh dalam masa kurang setahun kami bersatu.

“Nampaknya Allah makbulkan apa yang saya mahukan. Malahan itulah juga tempoh yang ibu saya berikan untuk seseorang lelaki mengenali saya. Jadi saya harap semua orang doakan yang baik-baik untuk saya dan Sufian. Semoga apa yang kami rancang berjalan lancar,” ungkap Elfira lagi.

Patutlah Elfira Terpikat…

Menurut Elfira, sejak kali pertama dirinya didekati Sufian lagi, dirinya dapat merasakan Sufian sangat ikhlas untuk mengenalinya. Hubungan mereka dimulakan dengan cara baik. Segalanya dipermudahkan Allah apatah setelah hubungan mereka berdua mendapat restu ibu bapa sejak di awal perkenalan lagi.

Malah perkara pertama yang dapat Elfira dapat katakan sesuatu yang membuatkan hatinya terpikat dengan Sufian adalah kesabaran yang ada pada dirinya. Kesabaran adalah aset termahal sekali, malah jika setiap dugaan yang mendatang jika dihadapi dengan sikap sabar maka segalanya akan berjalan dengan lancar dan ditempuhi dengan mudah.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI