Sempena Cuti Perintah Kawalan Pergerakan Ni, Boleh Masak Resipi Ini Untuk Keluarga

Ketika kita semua diminta duduk diam-diam di rumah atas Perintah Kawalan Pergerakan, sebaiknya mak-mak terutamanya rebut peluang ini masak untuk keluarga tersayang. Mungkin ramai yang sudah lama tidak berpeluang memasak kerana sibuk kerja.

Nak Masak Apa ye?

Sebaik menunaikan solat subuh, pasti ramai yang sedang memikirkan apa resipi yang nak dimasak hari ini sama ada untuk sarapan, makan tengah hari atau minum petang. Kalau boleh nak variasi, taklah asyik makan nasi saja, bosan juga kan.

Sila cuba resipi daripada Chef Sue M. Arukin yang kami kongsikan ini. Mudah jer, janji sedap dan mengenyangkan!

Semak resipi itu di bawah ni ye…

 NASI GORENG MENTEGA TELUR

Duduk Diam-Diam Kat Rumah, Mak-Mak Boleh Masak Resipi Ni Untuk Keluarga

BAHAN-BAHAN:

1 mangkuk nasi sejuk

2 sudu makan mentega

2 biji telur

10 ekor udang segar  | bersihkan

2-3 ulas bawang putih | cencang halus

Sedikit cincangan daun bawang | hiasan

Garam, lada sulah dan lada hitam secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan/cairkan satu sudu makan mentega di dalam kuali. Masukkan telur dan goreng hancur hingga masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Menggunakan kuali yang sama, panaskan sesudu lagi mentega. Masukkan cencangan bawang putih dan tumis hingga wangi.
  3. Masukkan udang dan goreng hingga separuh masak.
  4. Masukkan nasi sejuk dan gaul rata.
  5. Sesuaikan rasanya dengan menambah garam, lada sulah dan serbuk lada hitam secukupnya.
  6. Masukkan telur goreng hancur dan gaul rata. Tabur cencangan daun bawang.Sedia dinikmati.

NASI GORENG PEDAS SOSEJ

Duduk Diam-Diam Kat Rumah, Mak-Mak Boleh Masak Resipi Ni Untuk Keluarga

BAHAN-BAHAN:

2 cawan nasi sejuk

2 batang sosej | hiris bulat nipis

2 sudu makan cencangan daun bawang

3 ulas bawang putih

8-10 biji cili padi

2cm belacan

Garam dan lada sulah secukup rasa

Minyak masak secukupnya

IKLAN

CARA MEMASAK:

  1. Cili padi, bawang putih dan belacan ditumbuk lumat. Ketepikan.
  2. Sosej dihiris nipis dan goreng garing. Ketepikan.
  3. Di dalam kuali, panaskan sesudu makan minyak. Tumis bahan-bahan tumbuk hingga wangi.
  4. Masukkan nasi, sosej goreng dan daun bawang. Goreng sebati.
  5. Tambah garam dan lada sulah secukup rasa.
  6. Jika suka hidangkan bersama telur goreng, cincangan daun bawang atau hirisan timun.

SPAGETI GORENG

Duduk Diam-Diam Kat Rumah, Mak-Mak Boleh Masak Resipi Ni Untuk Keluarga

BAHAN-BAHAN:

1 mangkuk spageti/linguine  |  celur

2 batang jejari ketam | potong kecil

8-10 ekor udang sederhana | bersihkan

5-6 biji cili padi | hiris halus

3 ulas bawang putih | cencang halus

1 sudu makan cili kisar

1 sudu makan sos tiram

1 sudu makan cencangan daun bawang

Garam dan lada sulah secukup rasa

Minyak zaitun secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan satu sudu makan minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih hingga wangi.
  2. Masukkan cili kisar, cili padi, jejari ketam dan udang. Tumis hingga semua bahan masak.
  3. Masukkan sos tiram, spageti yang telah dicelur dan hirisan daun bawang. Tumis hingga semua bahan sebati.
  4. Tambah garam dan lada sulah secukup rasa.
  5. Angkat dan sedia dinikmati.

 KUETIAU SUP ALA CINA

Duduk Diam-Diam Kat Rumah, Mak-Mak Boleh Masak Resipi Ni Untuk KeluargaBAHAN-BAHAN:

1 paket kuetiau

2 keping dada ayam

IKLAN

10-12 ekor udang saiz sederhana  | bersihkan

2 batang kek ikan | hiris

1 batang daun bawang  cencang halus

5 ulas bawang putih  | cencang halus

10-12 biji bebola ikan

1 liter air

60 gram tauge

1 cawan stok ayam | air rebusan ayam

Garam dan lada sulah secukup rasa

Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan sedikit minyak di dalam periuk.Tumis bawang putih hingga terbit wangi.
  2. Masukkan air, stok ayam, kepingan dada ayam, kek ikan dan bebola ikan lalu didihkan.
  3. Tambah garam dan lada sulah secukup rasa. Biar ia mereneh.
  4. Keluarkan dada ayam dan hiris nipis. Ketepikan.
  5. Sementara itu, celur kuetiau, udang dan tauge secara berasingan.
  6. Untuk menghidang, letakkan kuetiau tadi di dalam pinggan, tauge dan udang. Susun hirisan ayam di bahagian atas.
  7. Hidangkan bersama sup yang mengandungi bebola ikan tadi dan tabur cencangan daun bawang dan cili padi.

MI KICAP BEBOLA IKAN

Duduk Diam-Diam Kat Rumah, Mak-Mak Boleh Masak Resipi Ni Untuk Keluarga

IKLAN

BAHAN-BAHAN A:

1 paket mi kuning

50 gram tauge

3 ulas bawang putih | cencang halus

2cm halia  | mayang halus

2 sudu makan sos tiram

2 sudu makan kicap manis

1 sudu makan kicap pekat

¼ sudu kecil pati ikan bilis

Garam dan lada sulah secukup rasa

1 cawan air

BAHAN-BAHAN B (SUP):

10-15 biji bebola ikan

3 cawan air

2 ulas bawang putih  | cencang halus

½ sudu teh pati ikan bilis

Garam dan lada sulah secukup rasa

Cincangan daun bawang secukupnya

Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Mi kuning dan tauge dicelur berasingan.
  2. Di dalam periuk, panaskan sedikit minyak lalu tumis bawang putih dan halia hingga naik bau.
  3. Masukkan sos tiram, kicap manis, kicap pekat dan air.
  4. Tambah pati ikan bilis, garam dan lada sulah secukup rasa. Didihkan lagi hingga semua bahan sebati.
  5. Tuang kuah kicap ini ke dalam pinggan berisi mi dan tauge yang telah dicelur tadi.
  6. Untuk membuat sup; panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih dan halia hingga wangi. Masukkan air, pati ikan bilis dan bebola ikan. Didihkan hingga semua bahan sebati. Sesuaikan rasanya dengan menambah garam dan lada sulah secukup rasa. Tabur cencangan daun bawang.
  7. Hidangkan mi kicap tadi dengan sup bebola ikan.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI