Suami wanita ini kaya sifat penyayang dan bertimbangrasa. Isterinya juga begitu bahagia kerana dimewahkan dengan pelbagai hadiah. Tapi semua itu 7 tahun sebelum ulang tahun perkahwinan mereka apabila suaminya minta izin kahwin lain.
Wanita yang mahu dikenali sebagai ‘ISTERI SERBA SALAH’ ini berkongsi cerita bagaimana suaminya mahu berkahwin lain selepas 7 tahun mereka tak dikurniakan cahaya mata.
Sungguh, permohonan suami merobek hati isteri ini. Sehingga dia tidak sanggup lagi berdepan permintaan suami. Dan berkongsi rasa hatinya dengan Mingguan Wanita.
Saya berusia 39 tahun, sudah 14 tahun mendirikan rumah tangga. Suami merupakan rakan sepengajian ketika di universiti dahulu. Cinta yang disemai sejak zaman kampus akhirnya membawa kami ke alam rumah tangga.
Saya bersyukur kerana memiliki suami yang Penyayang dan bertimbang rasa. Saya sering kali dimanjakan dengan pelbagai hadiah dan tugas di rumah juga sering kali dipikul bersama.
Tanpa disuruh, dia akan membantu melakukan kerja rumah. Dia faham saya juga sibuk bekerja. Percakapannya lembut dan sejak kahwin, dia tidak pernah menengking atau bercakap kasar. Pendek kata, bagi saya, dia cukup sempurna sebagai suami.
Setiap kali ada cuti, kami akan luangkan masa untuk pergi bercuti tidak kira di dalam mahu pun luar negara. Malah, soal kewangan juga tidak pernah jadi masalah buat kami kerana kami berkerjaya mantap.
Hanya satu saja kekurangan dalam rumah tangga kami iaitu, cahaya mata. Pelbagai cara pernah kami cuba namun masih belum berhasil. Namun, sepanjang perkahwinan, saya pernah mengalami dua kali keguguran, bermakna saya mampu hamil. Cuma terdapat beberapa masalah seperti rahim saya yang ‘tidak kuat’.
Kali terakhir saya keguguran kira-kira tujuh tahun lepas. Saya benar-benar sedih namun saya redha dengan ketentuan Allah yang belum mengizinkan saya mengandung.
Pernah juga terlintas hendak mengambil anak angkat, tapi dari sehari ke sehari, ia hanya tinggal niat tanpa sebarang tindakan untuk direalisasikan sebagai kenyataan.
Saya bersyukur kerana suami memahami dan sering memujuk dan menenangkan hati saya setiap kali kesedihan jika berkait soal cahaya mata.
Awal tahun lepas, suami menghadiri satu kursus di utara dan dia pernah bercerita yang dia terjumpa seorang wanita yang baru kematian suami dan punya seorang anak berusia tiga tahun.
Saya tidak syak apa-apa kerana suami akan bercerita apa saja kepada saya termasuk jika ada wanita yang cuba memikatnya.
Baru-baru ini, ketika kami bercuti di Bali, suami telah berterus terang dengan saya bahawa dia ingin berkahwin lagi dan calon madu saya itu adalah wanita yang pernah diceritakan kepada saya dahulu.
Namun, katanya dia takkan berkahwin jika saya tidak setuju. Dia juga berjanji kasih sayangnya tidak akan berubah terhadap diri saya. Keputusannya itu adalah demi untuk mendapatkan zuriat.
Puan, Tuan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Sehingga kini dua bulan berlalu dan saya belum berikan kata putus. Saya sedar dia berhak untuk berpoligami kerana dia mampu.
Tapi saya masih belum dapat berikan persetujuan. Wanita mana yang sanggup dimadu? Tapi, jika tidak izinkan, saya yang berdosa. Bagaimana saya boleh dapatkan kekuatan untuk memberikannya persetujuan?
Isteri Serba Salah, Gombak.